Bab 15

TAMAM sembahyang subuh berjemaah, bacaan doa dibaca sebagai penutup. Nama Isya, tidak ketinggalan juga dalam bacaan doa. Doa dipanjatkan supaya satu-satunya anak yang mereka miliki itu, sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.

Berat untuk melepaskan, tetapi lebih berat untuk melihat impian puteri mereka itu ranap.

Mereka bersalam-salaman sebelum berpecah. Tidak lupa juga untuk Isya mengukapkan maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka, takut segala yang dia belajar di luar negara nanti tidak berkat.

Seminggu telah berlalu, hari ini adalah hari terakhir dia di tanah air. Selamat tinggal Malaysia. Barang-barang keperluan seperti berus gigi, ubat gigi, sabun dan pencuci muka tidak lupa juga dimasukkan ke dalam beg.

Tok. Tok.

Pintu dikuak. Isya berpusing ke belakang. Ayahnya tercegat di muka pintu.

“Eh, ayah rupanya. Jemputlah masuk,” pelawa Isya lalu mengezipkan beg pakaian. Usai itu, dia menghenyakkan punggung di tubir katil. Ditepuk-tepuk sampingnya yang kosong.

Tengku Aariz menapak hatta melabuhkan punggung di sisi anaknya.

“Jaga diri kat negara orang. Ingat, jangan tinggal solat. Sama ada solat fardhu atau solat sunat, buat dua-dua sekali. Itu je kunci kejayaan.” Tengku Aariz menukas nasihat.

Isya anggukkan kepala. Selepas itu, hanya bunyi cengkerik dari luar tingkap magun yang kedengaran.

“Ayah okey?” soal Isya lantaran raut wajah bapanya tampak sugul.

“Okey. Ini ... telefon baru. Gunakan sebaiknya. Maafkan ayah sebab campak telefon kamu hari tu,” bahas Tengku Aariz fasal isu kelmarin.

Isya tersenyum. Dia meraih jari-jemari sang ayah.

“Ayah ... Isya dah lupakan semua tu. Zaf pun dah nak berkahwin tak lama lagi. Ayah janganlah risau lagi,” ucap Isya lemah lembut.

Tengku Aariz mengedangkan sebuah kotak telefon. Isya menerimanya dengan hati yang terbuka. Kotak iPhone SE keluaran terbaru itu dia buka dengan perasaan teruja.

Warna putih, cantik. Kereta warna putih, telefon pintar pun warna putih, Tengku Aariz memang kenal warna kesukaan Isya.

“Sampai New York nanti, dengar cakap Abang Ir dan isteri dia. Papa amanahkan kamu kepada dia. Kalau ada apa-apa masalah, terus bagitahu ayah. Faham?”

Isya mengangguk lagi.

“Isya ... oh, Isya! Ada orang datang nak jumpa kamu!” Laungan suara Che Puan Medina kedengaran.

Bergegas Isya berlari keluar untuk menjenguk keadaan di tingkat bawah.

“Jumpa Isya? Siapa ibu?” tanya Isya sambil menunduk memandang ke bawah.

Che Puan Medina sekadar tersenyum.

Terangkat alis kanannya. Ibunya sekadar tersenyum. Terasa seolah-olah ada yang tersirat di balik senyuman itu. Isya mengerling sekilas ke arah Tengku Aariz yang masih duduk di dalam kamar.

Dia mengorak langkah turun ke bawah. Masih berbaki beberapa jam sebelum bertolak punggung ke KLIA. Siapakah gerangan yang berhasrat untuk beradu kening dengannya?

Barangkali, Farhad.

Isya memakai alas kaki. Tekaannya tepat. Farhad adalah gerangan itu.

“Assalamualaikum,” ucap Farhad serta terkernyih.

“Waalaikumussalam ... awak baru balik dari kampung?” Isya menghadiahkan senyum madu.

Jemala Farhad mengangguk.

“Ayah awak apa khabar?” Mulutnya menanyakan pula khabar bapa Farhad yang berada di kampung.

“Abah saya ... dah meninggal dunia.”

Isya membungkam mulut. Mulutnya mengucapkan istirja'. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada Allah jualah kita kembali.

“Salam takziah, Farhad. Saya doakan, semoga roh abah awak berada di dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ucap Isya yang kini sudah mengerti mengapa Farhad tidak menelefonnya.

Kasihan, lelaki di hadapannya ini sedang berduka. Sungguhpun yang paling memilukan, dia tidak dapat mengubati duka lelaki itu.

Sahabat jenis apa aku ni? Isya menggumam.

“Isya, sebenarnya saya datang ke sini ... sebab ada hajat,” ujar Farhad tanpa melengahkan waktu lagi.

Bulu kening Isya bertaut rapat. Berhajatkan apa pula Farhad datang ke mari? Bukan untuk temankan dia ke lapangan terbang?

“Kalau macam tu ... jomlah masuk dulu,” pelawa Isya.

Pantas Farhad menggeleng. Dia lebih memilih untuk duduk di halaman rumah yang tersedia dua buah kerusi dan sebuah meja besi.

Isya patuh. Mereka berdua duduk di situ. Sendiri-sendiri mencari buah fikiran untuk memulakan pokok diskusi.

“Awak masih ingat tak hari tu? Hari tu kan, saya nak luahkan sesuatu kat awak,” kata Farhad meleret-leret.

“Oh, okey,” balas Isya ringkas.

“Sebenarnya ... saya nak luahkan isi hati saya.”

Suspens kian terasa. Debaran menghentak dada. Apa yang Farhad nak luahkan sebenarnya?

“Saya ... cintakan awak. Saya sayangkan awak lebih daripada seorang kawan.”

Hilang satu bebanan. Lapang dada Farhad tatkala dapat memuntahkan segala kesempitan yang menyesakkan dada. Dia mentamsilkan semua keputusan kepada tuhan.

Isya mengelukan diri. Apa jawaban yang patut dia ucapkan? Lengkara dia harus membalas dengan kata-kata cinta juga.

Hatinya masih belum temui jawapan. Dia tak nak memberi harapan palsu terhadap Farhad. Cinta itu bukan seperti bola, boleh ditendang sekehendak hati.

“Setiap orang, rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Tidak semestinya apabila kita mencintai seseorang, seseorang tu akan mencintai kita kembali.”

Farhad tarik muka empat belas. Kecewa.

“Tapi itu tak bermakna pintu hati saya tertutup untuk menerima awak sebab ...”

Di bibir Farhad meleret sebuah senyuman. Jadi, masih ada harapan untuk cintanya terbalas?

“... awak lelaki yang baik. Saya nampak keikhlasan hati awak. Kita sama-sama pernah gagal dalam percintaan, malah masa depan saya hampir hancur. Buat masa sekarang, saya dah tekad untuk fokus sepenuhnya terhadap pelajaran,” sambung Isya panjang lebar.

“Jadi, cinta saya tak diterima?” Farhad masih ingin mengulas lebih lanjut.

“Bukan tak diterima tapi ... saya tak rasa cinta jarak jauh tu akan kekal. Hati seseorang tu boleh berubah bila-bila masa sahaja.”

“Tapi saya akan setia dengan awak.” Bersungguh-sungguh Farhad bersuara.

Setiawan? Boleh percayakah mulut manusia? Lidah bercabang.

“Kita buat perjanjian,” cadang Isya seraya menguntum senyum.

“Perjanjian?”

You have two choices. Sila pilih, janji atau setia?”


DUA PULUH jam perjalanan, sungguh memenatkan dan melelahkan. Sehari suntuk perjalanan, pesawat hanya berhenti untuk beberapa jam. Akhirnya semua penumpang selamat tiba di John F. Kennedy International
Airport iaitu lapangan terbang antarabangsa di Bandar New York.

Beg pakaian ditarik tanpa bantuan sesiapa. Isya harus pandai berdikari selama di negara ini. Dia keluar dari perut pesawat. Wayu memuput sepoi-sepoi bahasa.

Selangkah demi selangkah meninggalkan kapal terbang, perasaan rindu merusuk ke kalbu. Semua baik-baik sahajakah di tanah air?

Orang berjejal-jejal menyusur masuk ke dalam bangunan. Dan pastinya dipenuhi bangsa-bangsa Amerika Syarikat.

Isya gelisah. Untuk mendapat rakan berbangsa Melayu di sini agak tipis. Mampukah dia bertahan?

“Tengku Puteri Qalisya!”

Terdengar seseorang meruah namanya. Segera si empunya nama melingas. Dia memicingkan mata.

Itu dia! Tengku Irwan bersama isteri yang tercinta di samping kirinya. Tengku Irwan merupakan satu-satu sepupu lelaki yang Isya miliki. Lelaki itu baru sahaja mendirikan rumah tangga 1 tahun yang lalu dengan Ramona.

Tengku Irwan atau nama samarannya Irwan, merupakan saksi pertemuan Isya dan Zafran. Memori manis 4 tahun yang lalu di mana majlis ulang tahun Tengku Irwan berlayar di minda.

Lelaki itu yang mengenalkan Isya kepada Zafran dan bohonglah jika lelaki itu tidak tahu tentang hubungan mereka yang sudah retak.

Welcome to New York, my sister.” Mesra nada lelaki itu.

Bibir Isya menjebik.

“Salam mana salam? Tak payah speaking sangatlah bang,” cebik Isya sekali gus menyilangkan tangan. Salam tak diberi, entah-entah bahasa ibunda pun sudah dilupakan.

“Assalamualaikum, adinda ...” Ucapan salam diberi berserta senyum kanyur.

Isya menyahut salam tersebut dalam hati. Seketika kemudian, dia dan Ramona saling berpelukan. Rindu metah. Hampir setahun tidak bertemu, akhirnya bertemu jua.

“Macam mana, flight semua okey?” tanya Ramona dengan senyuman manis.

Kepala Isya mengiakan bahawa sepanjang perjalanan ke sini segalanya baik-baik sahaja. Pramugara pun semuanya kacak-kacak belaka. Juruterbang apatah lagi.

Lebih elok rupa mereka berbanding Farhad!

Kurang pasti sama ada Isya datang ke sini seorang diri, untuk sambung belajar atau mencari jodoh?

“Jom balik, sis ada masak special. Just for you,” ujar Ramona dengan senyuman tak lekang di bibir.

Wow ... sis masak?” Pada kala Ramona bersikap ramah, Isya juga bersikap ramah.

Sifat peramah Ramona sentiasa disenangi orang ramai.

“Ha, you. Tercegat apa lagi? Tolonglah angkat beg cousin you tu,” arah Ramona sembari anak matanya mencerling.

Irwan menarik beg pakaian dan menjinjit beg baju yang bukan kepunyaannya. Dua figura itu bergandingan tangan dan berlalu pergi. Manakala Irwan dibiarkan terkontang-kanting sendirian.

Mereka bertiga menuju ke tempat letak kereta. Orang berpusu-pusu masuk dan keluar. Sebuah beg baju dan beg pakaian milik Isya dimasukkan ke bahagian but kenderaan pacuan empat roda.

Dengan berkendera sebuah kereta, mereka bergerak meninggalkan lapangan terbang. Kereta meluncur ke jihat utara.

“Abang dengar ... Isya dah putus dengan Zaf?”

Isya diam setagal. Telahan dia tidak meleset. Lambat-laun soalan itu akan diajukan kepada dirinya. Dia tak akan dapat lari dari soalan tersebut.

“Haah. Dah lebih dari sebulan kut. Dia pun dah jumpa pengganti Isya ...”

“Oh, Isya tak cari pengganti juga?”

Isya menggigit bibir. Banyak pula soalan orang tua ni, getus hati Isya mengenai mulut sepupunya yang becok sejak dari tadi. Pandu sajalah kereta itu!

“Isya nak fokus study.

Irwan memuncungkan mulut dan fokus terhadap pemanduan.

“Zaf? Oh ... anak kepada Dato' Azam yang satu sekolah dengan Isya dulu tu kan? Yang you kenen-kenenkan dia dua orang time birthday party you dulu tu kan?” Ramona yang berdarah kacukan Cina dan Melayu itu mula becok mengobrol.

Apa semua ini? Semakin dia ingin membuang segala memori pahit, semakin kuat memori itu menghantui. Isya yang duduk bersendirian di tempat duduk belakang berpeluk tubuh.

Ramona dan Irwan merupakan saksi bagaimana cinta Isya dan Zafran bercambah. Namun, dua insan itu tidak tahu bagaimana pahit yang mereka alami.

Dia mengira apabila berhijrah ke luar negara, lenyaplah Zafran dari hidupnya. Realitinya, meleset.

“Sebelum ni, Pak Ngah ada call Abang Ir. Dia cakap ... ada budak lelaki yang tak tahu asal usul dia dari mana, suka kat Isya. Betul ke?”

Membulat mata orang di belakang Irwan.

Budak lelaki yang tak tahu asal usul dia dari mana? Adakah orang yang dimaksudkan Tengku Aariz itu adalah Farhad? Isya melepaskan keluhan halus.

“Nama lelaki tu, Farhad. Taklah, kitaorang kawan je,” sangkal Isya mengenai kenyataan Farhad menyukai dirinya.

“Kawan?” Nada suara Irwan seakan-akan menyindir.

“Boleh percaya ke... ?” Ramona menyampuk. Tidak lama selepas itu, pasangan suami isteri itu bercenerul.

Dalam ketawa yang berdekah-dekah, tanpa disedari mereka telah tiba di hadapan sebuah rumah. Di sini adalah tempat Isya mengendon selama menyambung pelajaran di New York.

Azam ditanamkan dalam diri. Dia akan pulang semula ke Malaysia dengan gelaran 'doktor'. Bukan pulang dengan tangan kosong.

Kediaman Irwan dan Ramona ini berkonsepkan 'townhouse' atau 'rumah bandar'. Harapan Isya cuma satu. Kejiranan di kawasan perumahan ini dapat menerima kehadirannya dengan baik.

Sepasang mata Isya menyilau ke segenap ruang rumah. Luas dan lapang kerana tidak dipadati banyak barang. Deretan bingkai gambar perkahwinan tersusun di atas meja. Ada juga yang tergantung di dinding.

Kalaupun begitu, perlukah menggantung gambar Isya dan Zafran sewaktu menjadi pengapit pada hari persandingan Irwan dan Ramona tahun lalu?

“Isya nak makan dulu atau nak mandi dulu?” Irwan yang sedang menyusun pinggan-pinggan di atas meja itu menyoal.

“Mandi.” Sepatah jawapan Isya. Tas tangan yang digalas pada bahunya dibetulkan kasar. Dia meluru masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan oleh Ramona tidak lama tadi.

Irwan tercengang. Ramona menjinjit telinga si suami.

“Aduh! Apa you ni? Tarik-tarik telinga I pula,” omel Irwan.

“Salah you! Yang you sibuk pergi gantungkan balik gambar tu buat apa?” gusar Ramona.

Tercebir bibir Irwan. Lelaki itu menggaru kulit kepala. Ramona kembali menyibukkan diri di penanggahan.

Irwan menapak menuju ke bilik tidur Isya. Daun pintu yang ternganga sedari tadi itu dia ketuk beberapa kali.

“Boleh abang masuk?” soal Irwan. Selagi dia tidak mendapat kebenaran, selagi itu dia akan berdiri di ambang pintu.

“Masuklah,” respons Isya yang tengah duduk di birai katil.

Are you okay?” Irwan berdiri bertentangan Isya. Badannya bersandar ke dinding.

I'm fine. Don't worry.” Bibir Isya tersenyum sumbing.

“Abang tahu Isya marahkan abang .... I'm sorry. Kejap lagi abang simpan balik gambar tu ya?” pujuk Irwan belan-belan berpeluk tubuh.

Isya tersengguk-sengguk.

“Esok, abang cuti. Isya pun belum mula kelas lagi kan? Esok, abang temankan Isya pusing-pusing Bandar New York,” kata Irwan bersungguh-sungguh. Irwan yang berkerja sebagai pensyarah itu sanggup mengambil cuti semata-mata ingin meluangkan masa bersama Isya.

Bapa saudaranya telah amanahkan Isya kepadanya, bahkan duit rumah sewa pun Tengku Aariz telah kirimkan. Mustahil dia ingin membiarkan Isya terperuk sahaja di rumah.

“Abang temankan? Okey. Isya nak shopping banyak-banyak esok.”

Jemala Irwan terangguk-angguk.

“Tapi abang kena belanja Isya.”

Tingkah laku Irwan berjeda.

“Abang belanja Isya? Takde maknanya. Dah, abang dengan Kak Mona tunggu kat meja makan. Cepat sikit,” arah Irwan kemudian beredar dari kamar itu.

Isya senyum bergumam. Sebelum bergerak ke bilik air, dia memeriksa telefon pintar. Tiada sebarang panggilan atau mesej yang diterima daripada Farhad.

Tidak rindukah jejaka itu kepada dirinya?





















Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh