Home Novel Cinta Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Si Bakhil dengan Bunganya (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/2/2025 14:08:40
1,748
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

BAQI mengipas-ngipas mukanya dengan boarding pass, mencerna angin yang tidak seberapa dalam ruang tertutup dengan penyaman udara yang cukup kuat. Bukan kerana dia mahu suhu menurun, tetapi kerana dia rimas. Apabila Baqi rimas, dia perlu melakukan sesuatu. Kalau tadi dia mengenjut-enjut kaki selama beberapa minit, sekarang dia mengipas muka pula. Budak gempal berkulit sawo matang di sebelahnya galak memerhatikan Baqi sambil menjilat lolipop yang berwarna-warni persis pelangi.

"Are you hot, mister?" soal budak itu.

"Nope ... not physically at least. Perhaps my heart is slightly overheated," balas Baqi tanpa memandang budak itu. Matanya galak mencari seseorang di celah-celah orang ramai.

"And why is that?" soal budak tadi lagi.

"Because I don't like to feel as though I'm losing," balas Baqi dengan mata yang masih galak memerhati. 

Entah mengapa dia jujur dengan budak asing yang belum mencapai umur akil baligh itu. Apa yang diharapkan? Budak itu tidak mampu memuntahkan bicara motivasi. Menyelesaikan masalahnya jauh sekali.

Tiba-tiba bagaikan deja vu, waktu terasa seakan-akan terhenti. Di celah-celah orang ramai yang duduk dan berjalan berselerak berdekatannya, mata Baqi tertuju pada sekuntum bunga dingin yang sentiasa membeku biarpun ketika musim panas menjelang. Bunga itu berdiri statik, tercegat sekejap sambil menatap wajah gembiranya. Hatinya yang tadi disifatkan panas menjadi suam. Suhu yang selesa dengan ritma hatinya. Rasa sesak bagaikan terjerut tadi melonggar sendiri. Dia yakin kala itu, langkahnya takkan sendiri. Bunga beku itu ada bersamanya. 

Baqi bangun.

"My kekwat," tegurnya sambil mendepa tangan seakan-akan mahu mempersilakan Kekwa ke dalam pelukannya biarpun dia tahu gadis itu takkan sesekali berminat. 

"Please ...," balas Kekwa dingin.

Dia memeluk tubuh, memerhatikan budak gempal yang duduk di sisi Baqi. Dengan tidak semena-mena Kekwa menunjukkan muka garang pada kanak-kanak tadi seolah-olah mengacah. Mata budak itu membulat terkejut. Dia terus bangun dan berlari meninggalkan bangku di sebelah Baqi, mencari emaknya semula. Kekwa mengambil alih tempat duduk itu dengan selesa tanpa secuit rasa bersalah.

"Dia budak kut!" ujar Baqi.

Kekwa menjongket bahu.

"Sebab budaklah ... dari kecik, kena latih. Life is not all sunshine and rainbows."

"Be nice. Mana kau tau, kan? Mungkin satu hari nanti dia akan jadi presiden ke."

"Habis? Bukan dia ingat aku pun masa tu," balas Kekwa.

Kekwa memandang budak tadi yang masih memaku mata padanya dari jauh. Dia mengacah dengan ekspresi garangnya lagi. Suara teriakan budak itu bergema sekali lagi. Budak itu menyembam muka ke riba emaknya. Kekwa tersenyum puas.

Baqi memeluk tubuh, menepuk-nepuk bahu kiri dan kanan. Hatinya memuji-muji diri sendiri atas kemampuannya menggerakkan hati Kekwa untuk kembali ke Malaysia. Dia tersenyum saja tanpa menegur perbuatan Kekwa. Hati gadis itu keras. Kepalanya degil.

"Kita balik rumah keluarga kau dulu?" soal Baqi. 

Kekwa mengangguk.

"Ya, lusa hari jadi Orked. Aku dah cakap aku akan bawa kau balik rumah."

"Orked cakap apa?" soal Baqi ingin tahu kalau sahamnya masih tinggi di mata Orked.

Seingatnya, Orked berada pada fasa umur dan hormon "boy crazy" semasa pertemuan mereka yang dulu. Berkemungkinan besar Orked sudah beranjak minatnya kepada Adam yang lain semasa mereka berjauhan. Ia normal. Dia dan Orked hanya pernah menyapa dan berkongsi perbualan ringan. Mustahil hati Orked tersimpul mati buatnya.

"Okey."

"Okey?" soal Baqi.

"Ya. Aku hanya perlu buat kau nampak lebih kacak dan menarik daripada Uwais. Dan semuanya akan bergerak lancar macam yang aku dah rancang sebelum ni." Baqi melopong.

"Woo ... tunggu kejap! Uwais? Who?"

"Bakal suami Orked," jawab Kekwa selamba.

"Kau suka Uwais?" soal Baqi.

Kekwa menggerakkan bola mata dalam bentuk bulatan. Uwais bukan seleranya langsung. 

"Tak."

"Habis, kenapa kau nak Orked suka aku?"

"Sebab Uwais bukan lelaki yang baik. Aku tak nak Uwais seksa hidup Orked."

Baqi tersenyum lagi.

"Ambil berat juga rupanya kau ni."

Kali ini senyuman Baqi dibalas Kekwa.

"Of course ... dia adik tiri aku. Hanya aku yang berhak seksa hidup dia."

Senyuman Baqi mati.

"Bunyi macam sadistic."

"Siapa tau? Mungkin aku memang sadistic." Kekwa menjongket bahu.

Dia mengikat selendang yang dipegangnya sejak tadi ke leher Baqi dengan muka tidak berperasaan. Kemudian, dia mengeluarkan beanie warna sedondon dengan selendang tadi di kepala Baqi.

"Kau takut aku sakit dan gagalkan rancangan kau?"

Baqi sudah dapat membaca tindak-tanduk Kekwa. Gadis itu tidak akan melakukan sesuatu tanpa tujuan tertentu. Dia sudah mencapai tahap "kawan matang" untuk membaca setiap tingkah Kekwa. Hatinya sudah tidak berbunga-bunga apabila dilayan manis oleh "seorang" bunga bernama Kekwa itu.

"Ya, kau ingat kau kuat sangat? Ikut kebarangkalian tahun-tahun sebelumnya, kau cepat sakit setiap kali musim sejuk."

"Aww ... aku rasa disayangi sangat sekarang ni," sindir Baqi.

"Oh, well ... maaflah kalau kau harap Iris yang buat semua ni. Dia tak ada kat sini,  Baqi. Terima ajelah apa yang ada," sindir Kekwa pula.

Baqi tersenyum. Dia teringat gambar lamanya dengan Iris yang dijumpai Kekwa di dalam bukunya yang dipulangkan Baqi. Sebetulnya, Baqi hanya menggunakan gambar itu sebagai penanda buku. Perasaannya untuk Iris sudah terkubur bersama waktu, setelah beberapa e-mel yang tidak berjawab dan "drama swasta" yang ditonton ketika pulang ke Malaysia secara sembunyi-sembunyi dua tahun lepas.

"Siapa boleh fikir bunga lain bila ada dengan kau, Kek?" soal Baqi mengusik.

Kekwa bijak. Kekwa cantik. Tetapi Kekwa juga degil, pentingkan diri dan sombong. Konklusinya, Kekwa miliknya. Gadis jengkel itu tidak akan dicuri oleh Adam lain kerana perangainya yang cukup menduga itu. Setiap kali dia bersama Kekwa, dia rasa dia dalam zon selamat. Menang tanpa bertanding.

"Kau," jawab Kekwa laju. 

Baqi ketawa.

"Off record ... I don't think she's pretty. Orked lagi cantik. Tapi sebagai kawan, aku harap kau bahagia dengan dia," ujar Kekwa. 

"Siapa?" soal Baqi.

"Iris."

"Bila kali terakhir aku cakap pasal Iris? Dua tahun lepas? Kan? Kenapa kau nak ungkit pasal dia?" 

"Sebab Baqi yang aku kenal takkan lupakan benda yang dia suka semudah tu. Aku tahu peluang untuk kau suka Orked rendah. Pertolongan kau hanya diperlukan untuk jangka masa pendek. Lepas tu, syuh! Kau boleh balik semula pada Iris kau."

"Dan kalau aku cakap aku dah lupakan Iris?" soal Baqi. 

Kekwa menarik buku tebal yang duduk selesa di atas hand luggage Baqi. Gambar yang digunakan sebagai penanda buku masih gambar gadis bernama Iris itu. Ia tampak sudah tua.

"She's still here."

Baqi tersenyum.

"Orang cakap, keep your friend close, but keep your enemy closer." Baqi tersenyum dan menyimpan kembali gambar Iris di dalam bukunya.

Dahi Kekwa berkerut sedikit, tidak mengerti. Tetapi, dia tidak perlu untuk mengerti. Semakin banyak kau cuba faham, semakin kau akan rasa sakit. Semakin dekat kau ikat diri kau pada seseorang, semakin mudah kau dipukul kecewa. Dia tidak perlukan drama itu dalam hidupnya.

"Oh, well ... poor Iris," ucap Kekwa dengan riak wajah selamba. "Aku harap dia tak kecewa sangat."

"Mana kau tau dia akan kecewa?"

Kekwa menjongket bahu.

"Kau yang selalu cakap kau ni lelaki paling hebat dalam dunia. Jadi, aku rasa mestilah dia nak kau, kan?"

Baqi ketawa.

"Kau?" soal Baqi spontan.

Kekwa menuding ke muka sendiri, sedikit keliru.

"Kau tak nak aku?" soal Baqi lagi.

Kekwa ketawa. Dia memegang hujung selendang yang diikat di leher Baqi. Mata mereka saling bertemu. Kemudian, tawanya mati. Serentak itu, selendang tadi ditarik kasar. Ikatan selendang terentap sehingga menjerut leher Baqi. Baqi menggelupur cuba melepaskan diri. Kekwa melepaskan selendang.

"Tu jawapan aku," balas Kekwa.

Baqi terbatuk sedikit. "Nice ...," ucapnya.

Kekwa memberi pandangan pelik. "Nice?"

"Mestilah. Aku faham maksud tersi rat kau. Jawapan kau tu, maksudnya kau nak ikat aku sampai ke hujung nyawa. That's sweet, Kek. Tapi aku belum bersedia nak kahwin. Kita bincang balik lepas aku dah sedia okey," usik Baqi, berlagak sendiri.

Kekwa menggesel gigi. Terasa meluat yang amat, tetapi terlalu malas untuk terus melayan. Dia bersandar ke bangku tanpa memberi penjelasan. Ah, lagipun penjelasannya nanti bukan berguna! Dia tahu Baqi hanya pura-pura tidak faham. Lelaki itu menyimpan nawaitu mahu mengusik. Mengajar seorang lelaki yang  memegang anugerah pelajar cemerlang di universiti adalah perkara sia-sia. Dia memilih untuk diam saja. Biarkan Baqi berpura-pura bahagia sekejap.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.