Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 13

SIAPA ni, abang?” tanya Shana sebaik saja Thaqif muncul bersama-sama Yasmin di Gerai Yong Hanifa. Gerai yang selama ini menjadi destinasi sarapan pagi mereka berdua. Satu-satunya gerai yang masakannya menepati selera Shana, selepas beberapa kali bertukar gerai dengan pelbagai alasan.

“Awak rasa?” tanya Thaqif sinis. Bibirnya juga sinis. Tanpa dipelawa dia duduk di hadapan Shana. Tangan Yasmin ditarik supaya duduk di sisinya. Sengaja berbuat begitu demi memahamkan Shana yang selama ini begitu sukar hendak faham jika hanya diterangkan dengan kata-kata.

“Adik abang ke?” duga Shana.

“Adik?” Membulat mata Thaqif. Hatinya berdebar-debar. Takkanlah mudah benar Shana mematahkan pembohongannya?

“Bukan ke? Kalau bukan, maaflah sebab saya tak tahu banyak tentang abang. Saya tengok muka abang dan dia macam ada iras. Itu yang saya fikir dia adik abang,” kata Shana sambil tersenyum.

Mengerti kini, apa yang ingin Thaqif sampaikan padanya. Lebih daripada itu, hatinya sendiri masih belum pulih, apalagi bila malam tadi papanya sengaja menolak pinggan sehingga jatuh ke lantai dan berderai. Hanya gara-gara dia yang menyendukkan nasi tersebut. Hatinya yang melihat Mak Indah mengutip deraian kaca itu, ikut berderai sama.

Kemarahan papanya kini seperti tak terbatas. Dia sungguh-sungguh terkilan!

“Ini Yasmin! Lain kali jangan pandai-pandai buat andaian sendiri. Tak perlu berlagak pandai kalau otak tu kosong.”

Kelat senyuman Shana. Hari ini, Thaqif tampak berbeza dengan hari-hari biasa. Memang bahasa lelaki itu kadang-kadang tak indah mana. Ada masa-masanya mampu juga membuatkan sabar yang dipupuk bertabur di jalanan. Tapi tak juga sepedas ini. Malu juga dia pada Yasmin. Betapa dia di mata Thaqif bagaikan langsung tak ada harga. Tapi dia cuba juga berlagak tenang.

Dibandingkan kata-kata Thaqif dengan penolakan papanya, kata-kata lelaki itu tak besar mana.

Sedangkan Yasmin yang melihat senyuman Shana, mengetap bibir. Tak menduga, Thaqif sebongkak itu. Padahal, abangnya selalu melayan orang lain dengan baik. Apalagi jika orang itu seorang perempuan.

“Maaflah, saya salah,” pinta Shana rendah.

“Inilah manusia, buat salah minta maaf. Buat salah lagi, minta maaf lagi,” bebel Thaqif.

“Abang...” tegur Yasmin. Hatinya seperti tak sanggup melihat Shana terus dimalukan Thaqif.

“Kenapa? Tak betul ke apa yang abang cakapkan ni?”

Shana tunduk memandang kuku sendiri. Banyak pula cakap Thaqif hari ini. Cumanya, setiap kata-kata itu seperti bertujuan memalukannya di hadapan Yasmin. Tiba-tiba dirasakan, Thaqif yang ada di hadapannya ini berbeza dengan Thaqif yang semalam. Dan kalau diberikan pilihan, dia lebih memilih Thaqif yang semalam dibandingkan hari ini. Meski sinisnya sama, tetap ada perbezaan yang ketara.

Namun hatinya ingin tahu, yang mana satu diri Thaqif yang sebenarnya?

“Abang ada nak makan apa-apa ke? Kalau ada saya orderkan.” Shana bertanya tanpa memandang muka Thaqif.

“Saya datang bukan nak makan!”

Shana angkat muka. Namun yang dipandang bukannya Thaqif, sebaliknya Yasmin. Senyuman dihadiahkan pada Yasmin sambil kepala menggeleng perlahan. Thaqif yang memandang ke sisi kanan, langsung tak sedar.

“Min nak makan, abang.”

“Tak payahlah! Makan kat tempat macam ni, ingat bersih ke?”

Kening Yasmin berkerut. Sejak bila abangnya kisah soal itu semua?

“Orang yang tak ada duit aje yang makan kat tempat-tempat macam ni, Min. Bukan orang macam kita. Jangan makan kat sini. Nanti abang belanja Min makan kat tempat lain,” sambung Thaqif angkuh.

Lewat ekor matanya, dia menjeling Shana yang hanya tenang. Gadis itu seperti langsung tak tercuit dengan kata-katanya yang jelas mahu menyakitkan hati. Jauh sekali mahu berbalah kata dengannya seperti selalu. Diam-diam, hatinya ingin tahu yang hati Shana itu sebenarnya diperbuat daripada apa?

Jika sama dengan hatinya, kenapa tak tercuit? Kenapa tak marah atau sakit hati?

“Abang hina makanan?”

“Bukan! Abang hanya bercakap tentang realiti hidup. Ramai orang dalam dunia ni yang suka ambil kesempatan pada orang lain. Lupa macam mana nak jaga air muka sendiri demi nak penuhkan perut. Tak gitu, Shana?” tanya Thaqif pada Shana. Senget bibirnya kerana menghadiahkan Shana dengan senyuman sinis.

Ikutkan hati, dia taklah sekejam itu. Malah ketika mulutnya terus mengomel, rasa bersalahnya menebal. Namun demi menyingkirkan Shana daripada hidupnya, dia harus menjadi manusia yang tak hati.

Dia tak perlukan Shana dalam kehidupannya.

Shana hanya senyum. Tak seronok mana disindir orang. Namun ditahan saja telinganya kerana hakikat sebenar bukanlah begitu. Hidupnya tak sempit sehingga terpaksa menagih belanja orang. Kalau dia mahu, hari-hari dia boleh memilih makan di hotel lima bintang kerana dia lebih daripada mampu.

Tapi untuk apa disebut jika Thaqif tak pernah tahu siapa sebenarnya dia.

Selebihnya, dia tak mahu memalukan Thaqif. Cukuplah selama ini dia mempermain-mainkan hidup Thaqif walaupun dia tak berniat jahat. Hanya hati Thaqif terlalu ampuh untuk ditundukkan. Akhirnya, yang terduduk bukannya lelaki itu. Sebaliknya, dia dan Yasmin yang terpaksa menadah telinga mendengar kata-kata Thaqif yang seperti berbangga dapat memalukannya.

Jangan kecil hati dengan dia, Shana. Jangan benci dia sebab dia tak sejahat itu!

Itu yang hati kecil Shana ucapkan berkali-kali, ketika ini. Dia tahu Thaqif bukan lelaki kejam. Dalam masa beberapa bulan, tak banyak yang dia tahu tentang Thaqif. Tapi dia sangat pasti lelaki itu memang seorang yang sangat baik.

Lantaran itu, tak ada sebab untuk dia membenci Thaqif.

Sebaliknya, Thaqiflah yang patut kecil hati dan benci padanya. Pun, bukan salahnya kerana dia hanya bidak. Itu juga bukan satu kesalahan kerana baginya, gembira dan bahagia itu perlu dicipta. Bukannya datang bergolek seperti sebiji bola. Hanya usaha yang dibuat gagal dan dia, pasrah. Ikhtiar lain perlu dicari dan dilaksanakan, yang tentunya tak melibatkan dirinya.

“Awak dengar ke tak saya cakap apa, Shana?”

Shana angguk sambil tersenyum. Lucu bila Thaqif berlagak serius begitu.

“Dah tu kenapa diam? Dah bisu ke?”

“Abang harapkan saya jawab apa?” tanya Shana datar.

“Bukan ke selama ini awak selalu kaya dengan jawapan dan alasan. Apa dah jadi dengan lidah awak hari ni?”

“Tadi sebelum abang datang, saya minum air panas. Lidah saya rasa melecur. Sebab tu saya banyak diam daripada bercakap hari ni,” balas Shana selamba. Nada suaranya rendah kerana tak ada apa yang perlu dimarahkan. Usaha Thaqif untuk melihat dia menjerit-jerit atau menangis-nangis seperti perempuan kematian suami, tak akan berhasil.

“Saya tak nak tahu!”

“Tadi abang yang sibuk nak tahu. Kan?”

“Awak ni...”

Meletus perlahan ketawa Shana. Geli hati melihat Thaqif yang nampak bersungguh-sungguh benar. Dia bukanlah jenis yang banyak cakap. Tapi setiap kali berlawan kata dengan Thaqif, dia selalu memastikan dirinya tak kalah di tangan lelaki itu. Kini, sekali lagi dia mampu mematahkan hujah Thaqif dengan mudah.

“Ketawa kenapa?” tanya Thaqif garang. Sakit pula hatinya. Lain yang diharap, lain yang terjadi.

“Sebab abang kelakar. Saya ketawalah. Salah ke?”

“Kenapa awak suka menyakitkan hati saya?”

“Sebab abang tak pernah sakitkan hati saya. Jadi biarkan saya aje yang sakitkan hati abang,” jawab Shana berani.

Yasmin yang melihat, mengulum senyum. Tak berani ketawa walau hatinya bagaikan digaru-garu. Terhibur melihat Thaqif dan Shana saling berbalas kata. Tak ada kemesraan kerana gaya percakapan mereka jelas berbeza. Namun nampak sangat comel. Ada masa-masanya, jelas terpeta keserasian.

Kalau mereka saling jatuh cinta, dia akan jadi orang pertama memberikan sokongan. Namun saat menyedari hakikat, hatinya rasa hampa. Kalau abangnya sukakan Shana, dia tak perlu menjadi teman wanita olok-olok Thaqif.

“Ni... saya nak kenalkan awak dengan girlfriend saya. Syarifah Yasmin!”

“Hai...” Shana hulur tangan pada Yasmin. Sesaat, dua tangan menjadi satu dan senyum saling berbalas. “Saya, Shana Melati.”

“Syarifah Yasmin.”

“Patutlah Thaqif kata kulit saya macam arang, girlfriend dia putih macam susu Marigold rupanya,” luah Shana selamba.

Yasmin yang mendengar, pantas memandang Thaqif yang sudah berubah air muka. Tak menduga Shana menyebut soal itu. Dia tak berniat, namun perkataan itu semalam memang ada diucapkan. Kalau diterangkan pada Yasmin yang dia tak sengaja, tentu adiknya itu tak akan percaya. Hendak berbohong, itu bukan dirinya.

“Jadi, awak dah tengok cermin. Kan?”

“Maksud abang?”

“Awak dan Yasmin bezanya macam langit dan bumi.”

Terkaku Shana. Terkelu lidahnya hendak membalas kata-kata Thaqif. Meskipun sudah bersedia, tak pula dia menduga Thaqif sanggup berkata sejauh itu. Tunak matanya menancap wajah Thaqif. Entah kenapa, hatinya di dalam terasa seakan-akan mengecil pada bicara Thaqif kali ini.

Hina benarkah jika tak punya kulit putih?

“Jangan ingat saya tak tahu yang awak hanya kerja di Kedai Buku Kasih.”

“Kenapa kalau saya kerja di sana?”

“Taraf kita tak sama. Macam enggang dan pipit Shana...” ujar Thaqif berterus terang. Muka Shana tak berani dipandang.

Namun di bawah meja, dia meramas tangannya sendiri. Kuat-kuat. Berkali-kali hatinya menitipkan kata maaf pada Shana. Tahu, dia tak sepatutnya merendah-rendahkan diri dan pekerjaan yang digalas Shana. Baginya, kerja apa pun tak mengapa asalkan sumbernya halal. Hanya dalam kes Shana, dia terpaksa berkata begitu kerana dia sememangnya tak punya pilihan lain lagi.

“Abang anggap saya macam tu ke?”

“Habis awak nak saya anggap macam mana lagi bila awak setiap hari mengendeng di sisi saya? Dan kalau betul awak nak hidup senang, awak kena usaha. Tak ada benda yang mudah dalam dunia ni,” nasihat Thaqif. Kali ini dia benar-benar ikhlas dengan apa yang dikata. Untuk maju ke hadapan, setiap orang memang perlu berusaha. Tak ada kejayaan yang boleh datang bergolek dalam hidup.

Sungguh... Shana terasa seperti dirinya direndah-rendahkan Thaqif. Tapi salah lelaki itukah bila dialah yang menyalakan pelita dalam hati Thaqif?

Malu! Ya, itulah yang Shana rasa ketika ini walau tak ada yang tepat dalam andaian Thaqif. Mungkin kehadiran Yasmin yang membuatkan rasa itu hadir. Sedangkan jika dia mahu, boleh saja diabaikan kata-kata Thaqif. Kalau dia jahat, kata-kata pedas lelaki itu boleh saja dibidas dengan kata-kata yang jauh lebih pedas. Mahu hidup di sisi Thaqif, sekuman pun hatinya tak teringin. Dan kesilapan paling bodoh pernah dilakukan sejak kenal Thaqif, mengajak lelaki itu kahwin dengannya. Semalam! Itu memang dia kesal.

Mungkin kerana itu, hari ini Thaqif membawa Yasmin bertemu dengannya. Mahu dia sedar siapa dirinya yang sebenar.

“Awak dah faham kan apa yang nak saya sampaikan pada awak?” tanya Thaqif pada Shana yang hanya diam.

Shana angguk dengan riak tenang, walau malunya tak tergambar dengan kata-kata. Malah, ada juga rasa hendak menangis. Teruk benar dia dikerjakan Thaqif hari ini. Selalunya, dia yang menewaskan Thaqif dengan mudah. Namun hari ini lelaki itu langsung tak memberikan sebarang ruang padanya.

Benarlah betapa hidup ini tak ubah seperti laut. Ada pasang surutnya.

“Baguslah kalau dah faham. Jadi berhentilah kejar saya. Saya rimas! Kalau awak masih degil, saya akan pastikan awak dibuang kerja. Saya akan jumpa dengan Madam Anne tu!”

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.