Home Novel Cinta Sindiket Cinta
Sindiket Cinta
awa
3/9/2024 10:15:04
9,449
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

LARIAN Sean kian perlahan sebelum terhenti sepenuhnya bila merasakan tiada pergerakkan dari belakang. Lekas dia menoleh. Telahan dia benar bila menemukan susuk tubuh Hawa di tengah-tengah kegelapan yang berada tidak jauh dari sini.


Sean berpatah balik mendapatkan Hawa yang nampak bingung. Dengan mengah masih tersisa, laju Sean suara tidak puas hatinya.


“Kenapa kau berhenti? Kita belum lepas kawasan bahaya lagi!” Keras suara Sean. Geram bila Hawa tersasar dari rancangan mereka. Walhal, semalam dia sudah beritahu secara ringkas rancangan untuk membawa Hawa keluar dari sini.


Arahan dia tak susah mana pun. Dia hanya menyuruh Hawa ikut dia. Lari selaju yang mungkin tanpa menoleh belakang. Tapi perkara mudah saja Hawa sudah gagal. Besar kemungkinan mereka tidak akan dapat melarikan diri malam ini. Boleh jadi nyawa mereka berdua akan melayang jika tertangkap.


“Aku takut, Sean…” Putus-putus ayat Hawa.


“Aku kan ada!” Pangkah Sean. Dia sudah pertaruhkan nyawa dia sendiri demi memastikan Hawa pulang ke pangkuan orang tuanya. Apa lagi yang Hawa nak takutkan?


“Paan cakap aku takkan berjaya lari. Sebab kau akan tipu aku.” Itu yang menghantui Hawa. Sebelum melarikan diri, dia sempat berjumpa dengan Paan. Banyak sisi gelap Sean yang disampaikan Paan kepada dia.


“Kau percaya dia?” Sean pulangkan soalan.


Lambat-lambat Hawa geleng kepala. Semua orang tidak boleh dipercayai. Hanya Sean yang dia boleh meletakkan sedikit harapan.


“Dah tu? Kenapa dengar cakap dia?” Sean bercekak pinggang. Geram bila Hawa tunduk kepala.


Sean merengus. Nasib baik Paan tak ikut sama. Kalau tidak, memang pecah muka lelaki itu dia kerjakan. Paan sengaja guna taktik kotor dengan memburuk-burukkan dia.


“Jom! Kita kena cepat sebelum dia orang sedar kita hilang.” Mengendur suara Sean. Sekarang bukan masa yang sesuai menyaksikan drama air mata. Takut nanti hanya jasad mereka yang akan dibawa pulang ke pangkuan keluarga.


“Niat aku baik. Aku akan pastikan kau sampai ke sempadan Malaysia dengan selamat. Nanti akan ada yang bantu uruskan segala urusan dokumen kau.” Sean bersuara. Dia yakin Hawa mendengarnya.


“Kau baik, Sean…”


“Aku tak baik, Hawa...Bagi aku, setiap kebaikkan, perlukan ada balasan yang setimpal.” Dia menolak pujian Hawa mentah-mentah.


“Apa kau nak dari aku, Sean? Aku tak kaya dalam semua benda. Tapi InsyaAllah…Aku akan balas budi kau satu hari nanti.” Fahamlah Hawa, bantuan Sean bukanlah percuma. Dia sedia membalas budi lelaki ini sekiranya mampu.


Sean berhenti mendadak. Wajah Hawa dicari.


“Janji?” giliran Sean menagih janjinya.


“Janji.” Tanpa ragu Hawa memberi jawapan. Bagi dia, pengorbanan Sean cukup besar. Dan dia akan tunaikan apa saja hajat Sean jika Allah izinkan.


Lama Sean berdiam diri. Mencari kejujuran di mata Hawa yang terbias dengan cahaya bulan.


“Lepas urusan aku selesai, aku akan datang Malaysia cari kau.. Aku nak lamar kau jadi isteri aku.” Lancar saja sebutan Sean.


Kelu lidah Hawa. Dia menjangkakan Sean akan meminta wang ringgit atau apa saja kerja-kerja amal. Siapa tahu Sean sedang melamarnya. Dia belum bersedia ke arah itu. Dan perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah perbezaan agama. Itu merupakan tembok terbesar yang ada di antara mereka berdua.


“Sean…” Ada perkara yang Hawa perlu betulkan.


“Kau dah janji, Hawa. Jangan cakap kau tak tahu apa itu munafik. Aku pun pernah dengar ciri-ciri orang munafik.”


“Ta…pi…” Hawa hilang susun ayat. Tak tahu bagaimana nak menolak lamaran Sean dengan cara baik.


“Aku tak nak dengar alasan Hawa. Janji tetap janji.” Sean serius. Dia berharap Hawa juga sama dengan dia.


“Jom!”


Hawa masih kaku di tempatnya. Lamaran Sean yang mendadak tadi berjaya melumpuhkan semua sistem dalam tubuhnya. Kaki dia bagaikan digam. Tak mampu nak bergerak.


“Cepat Hawa! Kali ni kita kena lari. Dia orang dah dekat!” Keras suara Sean. Larian dia terbantut lagi gara-gara Hawa masih tercegat.


“Ya! Aku datang.” Hawa buka langkah. Soal perasan sebentar tadi ditolak ke tepi terlebih dahulu.


Larian Hawa tidak teratur seperti Sean. Sekejap perlahan, sekejap laju. Terkadang dia berhenti bagi menghilangkan penat. Belum pun sempat menarik nafas, Sean sudah menjerit. Terpaksa dia berlari semula.


Sepanjang larian meredah hutan tebal, tiada perbualan tercipta di antara mereka berdua. Sean lebih banyak berdiam diri setiap kali mereka berehat seminit ke dua minit. Semuanya salah Sean. Kalaulah Sean tidak melamar dia, suasana begini tidak akan wujud.


“Dah tak jauh lagi.” Kata Sean dengan sisa mengah. Mata dia lurus ke depan. Mengukur jarak yang bakal mereka tempuh.


Ada rasa gembira di dalam hati Hawa. Bibir dia melorek senyuman di dalam kegelapan. Tak sabar nak pulang dan berjumpa dengan orang tuanya.


“Kaki kau macam mana?” Sean tunduk. Merenung Hawa yang sedang duduk beralaskan sebatang pokok tumbang.


Kaki dibelek. Tangan meraba-raba disekitar buku lali. Kakinya sudah mula bengkak. Ada rasa sakit yang menjalar sehingga ke betis.


“Boleh lari lagi?” soal Sean prihatin. Takut Hawa akan jauh ketinggalan nanti.


“Boleh…Tapi tak boleh laju sangat.” Jujur Hawa.


Entah di mana silapnya, Hawa boleh tersadung ketika mereka menyelusuri kawasan anak sungai. Sakitnya bukan kepalang lagi. Namun Hawa tetap meneruskan larian biarpun tidak selaju tadi.


“Tahan sikit. Kita dah nak sampai.” Ada rasa gusar di hati Sean selagi mereka tidak sampai. Bertambah pula dengan keadaan yang Hawa semakin melarat.


“Dekat depan tu ada sungai…Bot pihak berkuasa Thailand dah tunggu situ. Kau akan selamat sebaik saja kau sampai dekat mereka.”


Hawa panggung kepala. Ada rasa terharu yang datang menyapa. Tak sangka Sean sanggup membantu dia biarpun baru mengenali lelaki itu. Rancangan rapi Sean jauh lebih baik berbanding dia.


“Terima kasih, Sean…” Hawa tidak pernah jemu mengucap dua perkataan tersebut. Dan dia tidak akan pernah lelah menyebutnya.


“Sampai sana, kita akan berpecah. Aku akan pulang ke negara aku…Kau pulang ke Malaysia.” Sean abaikan ucapan terima kasih Hawa. Takut nanti akan menjemput kesedihan gadis itu.


Sekali lagi Sean merendahkan ego lelakinya. Bermati-matian dia merayu dengan salah seorang sindiket untuk meminjam telefon mereka. Sejurus saja permintaan dia ditunaikan, cepat saja dia menghubungi bantuan hasil daripada dia mengakses laman sosial. Sempat dia menghantar mesej memohon bantuan dan memberitahu rancangan dia melarikan diri.


Mujur dia menerima maklum balas dengan kadar pantas. Dan dia menerima maklumat akan ada bantuan menunggu apabila dia berjaya sampai ke check point.


“Cepat…Kita akan selamat kalau sampai sana.” Sean tidak mahu melengah-lengahkan masa. Dia perlu sampai ke sungai barulah dia mampu menarik nafas lega. Tanggungjawab dia memastikan Hawa sampai dengan selamat juga selesai.


Perlahan-lahan Hawa bangkit. Sedia untuk buka langkah lagi. Cukup tiga langkah, erangan halus Hawa menyusul. Terasa ada tulang-tulang kaki yang patah.


Sean tidak jadi berlari. Dia menoleh.


“Kita jalan…” Dalam keadaan Hawa begini, mustahil untuk berlari. Apa mampu Sean lakukan adalah berdoa. Berharap mereka semua tidak dapat mengejar.


“Tapi…” Hawa mahu membantah.


“Keadan kau lagi penting sekarang ini.” Potong Sean laju.


Melihat wajah serius Sean, tak jadi Hawa mahu bersuara lagi. Akhirnya dia akur. Mula menapak secara perlahan-lahan.


“Hawa!”


Langkah mereka berdua terhenti bila ada suara asing. Sean orang pertama yang memerhati sekeliling. Di sudut kanan, dia menemukan bayang yang sedang menghampiri mereka berdua. Automatik dia menyembunyikan Hawa di belakang bagi melindungi gadis itu.


“Aku, Paan!”


Sean tak percaya. Jarak mereka terlalu jauh. Sukar dia mengecam wajah Paan dalam keadaan gelap begini. Apa lagi berada di dalam hutan.


Bayang yang tadinya ada satu, bertambah menjadi dua. Kemudian tiga. Dan tidak terhitung banyaknya lagi. Sean sudah mencarut. Hawa yang berada di belakang Sean sudah menarik hujung baju lelaki itu. Tubuh Hawa menggigil teruk sehingga Sean juga dapat merasakannya.


“Sorry, Sean.” Bisik Paan perlahan sebaik saja dia berdiri depan mata Sean.


Mengeras seluruh tubuh Sean melihat keadaan Paan. Wajahnya bengkak. Darah merah sudah merata pada wajahnya. Mata kanannya tidak mampu dibuka.


“Aku terpaksa.” Kata Paan kesal.


Sean mengetap bibir kuat. Boleh jadi mereka memaksa Paan buka mulut dengan menyeksanya. Memandangkan dia sudah jauh sampai ke sini, mana mungkin dia akan mengalah dengan mudah. Dia akan tukar rancangan lain.


Selangkah Sean mara. Kolar baju Paan dicekak.


“Tolong aku bawa Hawa keluar dari sini…Aku akan lengah-lengahkan dia orang.”


“Ta…” Paan mahu bersuara. Kepala digeleng laju. Kurang setuju dengan rancangan gila Sean.


“Sekarang!” Tegas Sean. Tiada masa Paan nak ingkar arahan dia.


“Kau?”


“Kalau ditakdirkan aku masih hidup, aku akan menyusul.” Sean serahkan nasibnya pada takdir.


“Sean! Kau dah gila?” Hawa tarik tubuh Sean menghadap dia. Tak setuju dengan rancangan Sean. Dia mahu pergi bersama-sama. Dan dia tak akan tinggalkan Sean sendirian.


“Kita orang akan tunggu kau!” Paan akur. Cepat dia sambar pergelangan Hawa.


Rakus gelengan kepala Hawa. Meronta-ronta dia cuba melepaskan cengkaman Paan yang terlalu kuat.


Tanpa kata, Paan mengheret dia pergi.


“Sean…” Hawa menoleh. Tak rela meninggalkan Sean berdepan dengan mereka yang jauh lebih ramai. Dia yakin Sean tidak akan mampu menewaskan mereka semua. Kemungkinan besar nyawa Sean akan melayang.


Dari jauh Hawa nampak Sean tunduk mencapai sesuatu lalu dihayunkan ke arah mereka. Terdengar suara erangan keras setiap kali ayunan Sean mengena tepat pada mangsanya. Kemenangan Sean hanya sebentar cuma bila tiga orang menyerang serentak. Tubuh Sean jatuh menyembah tanah apabila menerima serangan bertubi-tubi dari setiap penjuru.


“Paan! Lepaskan aku.” Hawa pandang Paan yang sedang mengheret dia. Kemudian pada Sean semula.


“Aku kena selamatkan Sean.” Lengan besar Paan dipukul berkali-kali.


Ketika itu Hawa terdengar bunyi tembakan. Bukan sekali. Tetapi tiga kali. Serentak Paan dan Hawa berhenti lalu menoleh. Keadaan sekeliling yang gelap-gelita menghadkan pandangan. Suara-suara yang riuh sebentar tadi menghilang. Membuatkan Hawa jadi tidak keruan.


“Sean…” Suara Hawa bergetar. Pandangan dia mula kabur. Tubuh dia terjelepok di atas tanah. Bahu dia mula bergegar.


“Cepat, Hawa!” Paan sambar lengan Hawa. Dipaksa berdiri semula.


Esakkan Hawa meletus. Dia hanya membiarkan Paan mengheret dia ke mana saja. Tiada daya lagi dia melawan.


Sesampai saja di tempat yang disebutkan Sean, ada beberapa orang penguatkuasa yang sedang menanti. Hawa dan Paan dibawa menaiki sebuah bot. Beberapa minit mereka menunggu jika ada mangsa lain yang muncul. Hawa berharap Sean akan muncul seperti yang dijanjikan.


Namun lima minit berlarutan ke dua puluh minit. Tiada bayang Sean. Dan akhirnya bot dinaiki mereka meninggalkan kawasan itu.  


“Paan…” Gamit Hawa.


Paan yang tunduk angkat muka.


“Sean dah mati ke?” Putus-putus suara Hawa. Takung mata dia mula bergenang.


Kebisuan Paan memecahkan tangisan Hawa. Dia menangis semahu-mahunya

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.