Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
222,230
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13
ANEESA yang sedang asyik membetulkan pakaian terhenti seketika. Tiba-tiba sahaja hatinya dijentik perasaan yang tidak selesa. Seolah-olah dirinya sedang diperhatikan seseorang. Tapi siapa? 

Terus sahaja dia mengangkat wajah. Riak wajah Aneesa terus sahaja berubah menjadi kelat apabila melihat Dzaquan berdiri di hadapannya. 

Sejak Dzaquan berkeras untuk tidak membantu dirinya tempoh hari, dia sudah menganggap lelaki itu sebagai ‘musuh’nya. Dan dia akan pastikan lelaki itu turut merasakan begitu. Hanya cara itu sahaja yang dia ada bagi mengelakkan terjadinya perkahwinan di antara mereka.

“Apa pandang-pandang? Ada hutang?” soal Aneesa dengan kasar.

Dzaquan yang mendengarnya terus mencebik. Hilang sudah rasa simpatinya yang tertumpah buat Aneesa saat gadis itu terpaksa menjadi tunangannya. Meskipun dia sudah mendengar dengan jelas penolakan Aneesa tempoh hari.

“Kalau pandang tu maknanya ada hutang ke?” tanya Dzaquan bodoh. Seraya dengan itu dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Aneesa yang melihat reaksi Dzaquan terus mengetap giginya dengan kuat. Terasa seperti lelaki itu sengaja mempermainkan dirinya. 

Malah, dia juga sudah pun menggenggam erat kedua-dua tangannya. Kalau diikutkan rasa hatinya, mahu saja dia menyepak mulut Dzaquan yang memang petah membalas kata-katanya itu. 

Riak bersalah langsung tidak terpapar pada wajah lelaki itu. Itu yang membuatkan dia bertambah bencikan lelaki yang bernama Dzaquan itu. Wajah Dzaquan dipandang dengan renungan tajam.

“Yang kau pandang aku tu kenapa? Ada hutang ke?” sindir Dzaquan pula. 

Sengaja dia memulangkan paku buah keras pada Aneesa. Orang seperti gadis itu memang tidak boleh berlembut sangat. Nanti naik lemak, fikir Dzaquan. 

Terus sahaja ingatannya melayang pada pertemuan pertama mereka tempoh hari. Kemunculan gadis itu dikampungnya semata-mata untuk meminta dia menolak permintaan Datuk Zaman.

Bukan dia tidak pernah simpati pada gadis itu tapi dia tidak mempunyai pilihan lain lagi. Kalau dia tidak ikutkan permintaan Datuk Zaman, adik-adiknya akan dipisahkan daripadanya. Itu yang dia tidak sanggup. Dipandang riak wajah Aneesa yang kelihatan tegang. Tentu gadis itu memarahinya kerana kata-katanya sebentar tadi. 

Sayang, harap muka saja cantik. Tapi gaya percakapannya betul-betul kasar. Tidak sesuai untuk seorang gadis cantik sepertinya. Berbeza betul perwatakan di antara Aneesa dan Qisya. Dan ternyata adiknya itu lebih lembut daripada Aneesa.

“Wah! Main sindir-sindir pulak,” balas Aneesa yang mula terasa hangat. Semakin lama dia menghadap muka lelaki itu semakin hangat dibuatnya.

Dzaquan yang mendengar kata-kata Aneesa hanya angkat bahu. Tidak mahu terus-terusan membalas kata dengan gadis itu. Bimbang nanti makin melarat. Tambahan pula hubungan mereka yang sememangnya tidak sehaluan. Semuanya disebabkan keputusan yang dibuatnya.

Bila teringatkan pesanan Datuk Zaman, Dzaquan terus jadi gelisah. Tawan hati Aneesa? Gila! Betul-betul gila! Macam mana aku nak tawan hati gadis yang nadanya sentiasa kasar dan dingin itu? Apatah lagi aku sememangnya tak ada pengalaman dalam menawan hati gadis. 

Ah, masak aku! Tanpa sedar, anak mata Dzaquan terus menatap seraut wajah Aneesa yang berada di hadapannya. Langsung dia tidak pedulikan riak tegang gadis itu. Apa yang dia tahu, dia cuba mencari jawapan pada soalan yang sedang bermain dibenaknya sebentar tadi.

Seketika kemudian anak matanya mula turun pada badan Aneesa. Dapat dilihat dengan jelas susuk tubuh gadis itu yang hanya dibalut dengan pakaian yang agak sendat. Tidak cukup dengan itu, paha Aneesa yang putih melepak jelas kelihatan. Dzaquan telan air liurnya.

Hati Aneesa mula digaru dengan perasaan tidak enak apabila melihatkan Dzaquan hanya mendiamkan diri. Sebaliknya anak mata lelaki itu begitu rancak meratah tubuhnya. Terus ingatannya melayang pada pertemuan pertama mereka. Dan pandangan seperti itulah juga yang diberikan Dzaquan. 

Ah! Dasar jantan tak guna! Sepantas kilat dia menyilangkan tangan dan diletakkan di dadanya. Entah mengapa pandangan Dzaquan seolah-olah boleh menembusi pakaian yang agak sendat itu.

Dzaquan tergelak kecil dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa. Teringat pula sewaktu pertemuan pertama mereka. Gadis itu memakai skirt yang agak pendek dan kemudian cuba menarik skirt itu. Seolah-olah mahu menutup apa yang terdedah. Sekarang gadis itu memakai pakaian yang agak sendat dan cuba menutupnya dengan tangan yang disilangkan.

Kelakar, bukan? Dzaquan berasa hairan dengan gadis yang bernama Aneesa itu. Bukankah dia sengaja berpakaian seperti itu dengan alasan mahu mempamerkan bentuk tubuh badannya yang menarik? 

Tetapi kenapa pulak dia berasa tidak selesa jika ada mata yang memandang? Salah aku ke memandang apa yang terhidang di depan mata? Mana ada kucing yang tolak ikan? Fikir Dzaquan nakal.

Bertambah bengang Aneesa apabila mendengar ketawa Dzaquan itu. Seolah-olah sedang mengejeknya.

“Kenapa kau gelak? Aku tak buat lawaklah!” soal Aneesa geram. Menyampah benar dia dengan ketawa Dzaquan itu.

“Tak adalah. Aku pelik dengan kau,” ujar Dzaquan. Namun ketawanya masih bersisa.

Aneesa mendengus geram.

“Kenapa pulak?”

“Yalah, aku tengok kau ni suka sangat pakai pakaian yang tak cukup kain macam tu,” ujar Dzaquan sambil menunjuk ke arah Aneesa. 

Selamba saja jari telunjuknya terarah pada Aneesa dari atas hingga ke bawah. Beberapa kali juga dia berbuat begitu.

“Apa yang tak kenanya dengan pakaian aku? Inikan fesyen. Kau budak kampung, apa tahu?” balas Aneesa kasar. Bertambah menyampah dia dengan Dzaquan yang sedang menunjuk-nunjuk ke arah pakaiannya. Teruk sangatkah pakaiannya?

“Fesyen apa macam ni? Macam orang tak cukup kain aje. Lagi satu, dah tahu pakaian kau tu sendat, yang kau pakai buat apa? Lepas tu sibuk pulak nak tutup-tutup dengan tangan,”sambung Dzaquan lagi. Pedas kata-katanya itu. Langsung tidak mengambil kira yang kata-katanya itu akan menggores perasaan Aneesa.

“Hei! Suka hati akulah nak pakai apa pun. Badan aku, bukan badan kau! Aku pakai pun bukan nak suruh kau tengok!” tengking Aneesa kuat. Meluat benar dia dengan Dzaquan yang berlagak baik itu.

“Dah tunjuk, mestilah aku tengok,” balas Dzaquan pantas. Seraya dengan itu dia tersengih nakal. Malah, sengaja dia memandang Aneesa dari atas ke bawah buat beberapa kali. Sengaja mahu membakar perasaan gadis itu.

“Cuba cakap kat aku, lelaki mana yang tak pandang kalau kau pakai macam ni depan dia orang?” soal Dzaquan pula. 

Sebenarnya bukan niatnya untuk menyakitkan hati Aneesa. Tetapi dia mahu Aneesa sedar akan kesilapan yang sedang dilakukannya yang boleh mendatangkan masalah pada gadis itu juga. 

Lihat sahaja kes-kes rogol yang dilaporkan di media massa. Semakin hari kes seperti itu semakin meningkat. Punca utamanya datang daripada perempuan juga yang suka sangat mendedahkan benda-benda yang tak sepatutnya didedahkan.

“Kau aje yang mata keranjang. Am tak,” balas Aneesa sengaja menyebut nama kekasihnya itu walaupun dia sendiri berasa sangsi dengan kata-katanya itu. Apatah lagi dengan perbuatan Amsyar yang adakalanya terbabas juga. 

Dia mahu Dzaquan sedar yang dirinya itu sudah mempunyai kekasih hati. Meskipun dia sekarang bergelar tunangan kepada Dzaquan, dia akan pastikan yang cinta mereka tidak akan tergugat meskipun dengan kemunculan Dzaquan kerana Dzaquan hanyalah orang asing di dalam hidupnya.

Ah! Nama tu lagi. Sengihan di wajah Dzaquan mati dengan kata-kata Aneesa. Dia perasan sebaris nama itu tidak pernah hilang daripada mulut Aneesa. Dan dia tidak pernah lupa siapa yang bertakhta di hati tunangnya itu meskipun Aneesa tidak menyebut nama itu.

“Baguslah kalau dah tahu. Kalau tak nak aku pandang, lain kali jangan pakai macam tu depan aku lagi,” ujar Dzaquan perlahan sebelum berlalu pergi meninggalkan Aneesa sendirian.

Terpinga-pinga Aneesa dengan perubahan mendadak yang ditunjukkan Dzaquan. Baru sebentar tadi lelaki itu begitu hebat ‘berperang mulut’ dengannya dan tiba-tiba sahaja lelaki itu mengalah dengannya. 

Apa yang sudah berlaku? Adakah kerana Amsyar? Ah, buat apa aku fikirkan perasaan lelaki yang hanya mementingkan diri sendiri aje.

Aneesa yang mahu melangkah terus sahaja terhenti. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Dzaquan sebentar tadi. Terus dia memandang pada pakaian yang dipakainya. 

Mungkin ada benarnya juga kata-kata lelaki itu. Kerana dia sendiri sedar yang dia selalu menjadi tumpuan lelaki-lelaki yang bermata keranjang. Tidak terkecuali Amsyar yang kadangkala terbabas juga. Langkahnya diatur menuju ke arah bilik. Pakaiannya harus segera ditukar.





ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v

Kalau anda tak sabar nak ketahui kesudahan cerita ini, jangan lupa dapatkan di PBAKL 27 arpil-5 mei 2013. Itu pun kalau sempat masuk pbakl, kalau xsempat kena tunggu ia berada dipasaranlah ^___^
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.