Home Novel Cinta Dulu Benci, Sekarang Suka
Dulu Benci, Sekarang Suka
Rose Eliza
18/6/2013 09:30:16
139,460
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“MAAF bro, lambat. Ada meeting tadi,” ujar Hazrel seraya duduk.

“Tak apa. Aku pun baru aje sampai,” balas Eddie tersenyum.

Suasana hening seketika tatkala pelayan datang mengambil pesanan. Setelah memberi pesanan, Hazrel menghalakan pandangan ke muka Eddie.

“Kau balik hari ke, tidur kat sini?” tanya Eddie, berbasa-basi.

“Aku balik harilah. Malas aku nak tidur kat sini. Kau bukannya tak tahu perangai mama aku tu, suka sangat membebel. Takut sangat aku terpikat dengan orang kat sini,” jawab Hazrel.

“Alah, kau pun tak nak terpikat dengan orang kat sini, kan? Macamlah aku tak kenal kau. Berlagak, ego, sombong,” kutuk Eddie, selamba.

“Mulut kau jaga sikit. Suka-suka hati aje nak kutuk aku,” balas Hazrel, geram.

Dia mengangguk kecil ke arah pelayan yang sedang meletakkan minuman yang dipesan. Seminit kemudian kelibat pelayan itu menghilang.

“Dah memang perangai kau macam tu, tak boleh nak dinafikan. Semua orang pun kau pandang rendah termasuklah aku,” komen Eddie, pedas.

Hazrel mendengus kasar. Gelas minuman di hadapan dicapai lalu airnya diteguk rakus. Sakit hatinya mendengar komen Eddie itu.

“Betul apa yang aku cakapkan ni? Orang macam tu, suka ambil kesempatan pada orang-orang macam kita ni,” kutuk Hazrel tidak berlapik.

“Kau jangan cakap macam tu, Rel. Dibuatnya kau jatuh cinta dengan orang macam tu, baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah,” cabar Eddie.

“Itulah perkara terakhir yang akan aku fikirkan dalam hidup aku,” bidas Hazrel, pantas.

Eddie menggeleng. Hazrel memang terkenal dengan sikap angkuh dan bongkak. Sejak perkenalannya dengan Hazrel di universiti dulu, perangai dan sikap Hazrel sudah sebati dalam dirinya. Walaupun kadangkala sikap Hazrel keterlaluan, namun dia serasi berkawan dengan Hazrel. Dengan cara itu, dia dapat mengubah Hazrel dari semasa ke semasa. Semoga Hazrel tidak memandang serong serta hina terhadap golongan seperti itu. Hanya pada ALLAH dia berdoa agar Hazrel berubah suatu hari nanti.

“Kau nak ke mana lepas ni?” tanya Hazrel membawa Eddie ke alam realiti.

“Aku nak jumpa dengan awek aku,” jawab Eddie.

“Kau masih berkawan dengan perempuan tu ke?” soal Hazrel sinis.

“Kau jangan nak kutuk awek aku, Rel. Aku tak kisah dengan kedudukan serta status dia asalkan hati dia baik. Kalau kaya tapi miskin budi bahasa tak guna jugak, kan?”

“Yang pasti dia memang macam tu dan selama-lamanya akan macam tu jugak. Tak mungkin akan berubah,” cebik Hazrel, meluat.

“Kau dah lebih, Rel. Aku tak pernah kutuk awek kau. Kenapa kau nak kutuk awek aku pulak?” marah Eddie, meninggi. Panas telinganya mendengar kutukan Hazrel itu.

“Sebab awek aku tu kaya dan cantik,” ujar Hazrel selamba, sengaja membuatkan Eddie marah.

Dia mahu Eddie membuka matanya. Kenapa orang macam itu juga yang menjadi pilihan Eddie? Jika nak dibandingkan Eddie dengan perempuan itu, jauh panggang dari api. Bagai langit dengan bumi. Bagai enggang dengan pipit. Eddie anak seorang Tan Sri sedangkan perempuan itu entah dari mana asal usulnya. Melihat daripada gaya dan penampilan, perempuan itu datangnya daripada golongan biasa.

“Kalau perangai mengalahkan syaitan, cantik apa namanya tu,” sindir Eddie pula.

“Kau...”

“Dahlah, malas aku nak layan kau, Rel. Aku ‘blah’ dulu. Aku doakan kau jatuh cinta dengan orang macam tu. Biar terbuka mata kau tu nanti,” pintas Eddie seraya bangun.

Lebih lama dia di situ, entah apa lagi yang akan dikutuk Hazrel. Hatinya terasa dengan kata-kata Hazrel. Kenapa perspektif Hazrel masih tidak berubah?

“Aku harap doa kau takkan dimakbulkan TUHAN,” ujar Hazrel, keras sebelum Eddie melangkah jauh dari tempat itu.

Eddie yang mendengar sekadar tersenyum. Tanpa membalas kata-kata Hazrel, dia segera menghilangkan diri di sebalik pintu restoran. Semoga doa aku dimakbulkan ALLAH tak lama lagi Rel, bisik hati Eddie.



NUR Ain melangkah menuju ke perhentian teksi. Sambil melangkah, fikirannya mengingati kata-kata amaran Encik Latif. Kecut perutnya mendengar amaran Encik Latif tadi. Perjumpaan yang bakal diadakan dengan pengurus besar juga membuatkan dia tidak keruan. Bagaimana untuk menjawab jika pengurus besar bertanya akan kelewatannya selama ini? Adakah alasannya itu akan diterima sama seperti Encik Latif? Buntu dia memikirkannya. Khuatir akan dibuang kerja. Di mana lagi perlu dia mencari pekerjaan jika perkara itu berlaku?

“Saya nak awak buat memo, pengurus besar nak jumpa dengan semua pekerja. Tarikhnya akan saya confirmkan kemudian,” arah Encik Latif, tegas.

“Baiklah, Encik Latif,” balas Nur Ain sambil mencatat arahan itu di atas kertas.

“Lagi satu, awak boldkan perkataan ‘WAJIB’ dalam memo tu. Semua pekerja diwajibkan hadir pada hari tu. Jika tidak, tindakan akan diambil terhadap pekerja yang tak hadir pada hari tu,” tambah Encik Latif.

Nur Ain mengangguk faham. Tangannya masih ligat mencatat arahan Encik Latif.

“Termasuk awak, Ain. Jangan awak tak hadir pada hari tu. Sebab pengurus besar nak jumpa dengan awak,” sambung Encik Latif.

Bulat mata Nur Ain mendengarnya. Menggeletar tangannya dengan tiba-tiba. Hampir saja pen yang dipegang terlepas daripada pegangan tangan. Mujurlah dia dapat mengawalnya.

“Pengurus besar nak jumpa dengan saya?” ulang Nur Ain, bergetar.

Encik Latif mengangguk. Dia menghela nafas pendek dan bersandar ke kerusi.

“Sebab kelewatan saya ke, Encik Latif?”

“Bukan tu aje Ain, dia pesan pada saya supaya pastikan awak hadir pada hari tu. Kalau awak gagal hadirkan diri, tindakan akan diambil ke atas awak. Mungkin awak akan dibuang kerja,” terang Encik Latif, perlahan.

Nur Ain menelan liur.

“Saya akan dibuang kerja ke, Encik Latif?”

“Saya tak tahu, Ain. Semua keputusan di tangan Encik Hazrel. Saya sekadar mengikut arahannya aje,” beritahu Encik Latif, mengeluh ringan.

Nur Ain hanya mendengar. Pelbagai persoalan menerjah ke kotak fikiran. Encik Hazrel? Detik hatinya. Perlukah dia merayu lelaki itu jika benar dia akan dibuang kerja nanti?



ADUH,” rengek Nur Ain tatkala ditolak dengan sesuatu benda keras. Serta-merta dia jatuh terjelepok ke kanan jalan.

Damn!” marah Hazrel seraya memutarkan stereng. Tidak semena-mena bumpernya melanggar divider di situ.

“Hisy, memang menyusahkan. Mata tu letak kat mana? Kepala lutut ke? Geram betul!” rungut Hazrel, keras sebaik sahaja mematikan enjin kereta.

Dia segera keluar daripada perut kereta untuk melihat keadaan keretanya itu.

“Aduh! Calar dah ni. Tak guna punya orang!” marah Hazrel lagi sambil melihat kesan calar yang terdapat di bumper keretanya itu.

Mujurlah dia memandu dalam kelajuan sederhana. Jika tidak, mahu teruk bumpernya melanggar divider itu.

Nur Ain mengaduh kesakitan. Dia meraba-raba punggungnya yang terasa sakit. Dilihat baju kurungnya terkoyak dan berdarah. Serta-merta dia menyingsing lengan baju kurungnya. Alangkah terkejut tatkala melihat darah yang mengalir keluar daripada lengannya itu. Kakinya juga terasa sakit gara-gara dilanggar dengan benda keras itu.

“Macam mana kau melintas? Mata kau tu letak kat mana? Kat kepala lutut ke?” marah Hazrel, bertalu-talu. Tajam matanya ke muka Nur Ain.

“Maaf,” balas Nur Ain, perlahan. Cuba menahan kesakitan di lengan dan kakinya.

Semakin laju darah yang mengalir keluar. Tanpa disedari, lengannya tertusuk serpihan kaca yang terdapat di kawasan itu.

“Maaf kepala otak kau! Tak habis-habis dengan maaf kau tu. Kau ingat maaf kau tu boleh elokkan kereta aku yang dah kau calarkan tu?” tengking Hazrel, meninggi.

Terhenjut badan Nur Ain mendengar tengkingan lelaki itu. Diangkat muka dan memandang ke wajah lelaki itu. Tergamam dia buat seketika. Lelaki ini yang hampir melanggarnya pagi tadi. Lelaki ini juga yang telah menengking, memarahi, mengutuk serta menghinanya pagi tadi.

“Kau?” jerit Hazrel, terkejut.

“Malang nasib aku berjumpa dengan kau. Memang kau ni pembawa malang betullah!”

Terkejut Nur Ain mendengar kenyataan yang keluar daripada mulut Hazrel itu. Tajam matanya ke wajah Hazrel. Mahu sahaja dia menampar lelaki bermulut lancang itu. Perkataan ‘malang’ yang keluar daripada mulut lelaki itu begitu menyakitkan hati. Perkataan yang pernah dijolokkan buat dirinya tiga tahun yang lepas.

“Aku nak kau bayar duit baiki kesan calar tu. Kalau kau tak bayar, sampai ke lubang cacing aku cari kau,” gertak Hazrel pula.

Nur Ain hanya membisu. Matanya mulai berpinar dan kabur. Kepalanya juga berdenyut dengan tiba-tiba. Tubuhnya terasa ringan dan sekelip mata dia pengsan di situ.



KAU memang menyusahkan aku. Habis kereta aku bau darah kau!” marah Hazrel.

Sakit matanya melihat tompokan darah yang membasahi kusyen keretanya. Dikerling sekilas ke arah Nur Ain yang masih tidak sedarkan diri. Terkumat-kamit mulutnya menyumpah gadis itu.

Hazrel memarkir kereta di lorong kecemasan. Diboloskan diri keluar daripada perut kereta dan melangkah mencari pegawai yang bertugas di hospital itu. Kemudian tubuh Nur Ain diletak di atas stretcherdan dibawa masuk ke dalam bilik rawatan. Kelihatan doktor bertugas menuju ke bilik itu.

“Encik!” panggil seseorang, mematikan langkah Hazrel.

Hazrel menoleh.

“Ada apa?”

“Mintak tolong daftarkan pesakit,” beritahu nurseyang bernama Nora itu.

“Tapi saya tak kenal dia.”

“Tak kenal?” ulang Nora berkerut dahi.

Hazrel mengangguk.

“Kalau macam tu, encik tolong callwaris pesakit,” pinta Nora pula.

“Masalahnya cik nurse, saya tak kenal siapa dia. Saya terserempak dia kat tepi jalan. Jadi saya bawalah dia ke sini,” ujar Hazrel tegas.

“Kenapa ni, Nora?” tanya seseorang dari arah belakang.

“Encik ni, dia bawa pesakit, tapi tak kenal. Macam mana nak daftarkan pesakit tu masuk wad nanti?” beritahu Nora.

“Yang mana satu?” tanya Asmah.

“Baru tadi masuk ke dalam wad,” jawab Nora.

“Baru masuk?” ulang Asmah.

Nora mengangguk.

“Kalau tak silap mata aku tadi, itu Nur Ain. Jiran kat taman perumahan aku tu.”

“Kalau kau kenal, kau tolong call waris dia. Nak daftarkan dia masuk wad,” pinta Nora.

“Nanti aku call mak su dia,” ujar Asmah kemudian menjauhi Nora dan Hazrel.

Nora sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Asmah. Kemudian dijatuhkan matanya ke muka Hazrel.

Harap muka aje handsome, tapi berlagak, kutuk Nora dalam hati seraya mencebik.

“Encik, mintak sign kat sini.”

“Kenapa pulak saya yang kena sign?Kan kawan awak tadi tu kenal dengan pesakit? Jadi awak tunggu ajelah waris dia sampai,” protes Hazrel, keras.

“Masalahnya sekarang, encik yang bawa pesakit ke sini. Jadi memang wajib encik yang sign!” bentak Nora turut sama keras. Berlagak!

Hazrel mendengus geram. Dicapai pen dan terus menandatangani borang itu. Hatinya membentak hebat. Jam di tangan dikerling seketika. Niatnya untuk balik ke Kuala Lumpur pada malam ini juga terpaksa dibatalkan. Semuanya gara-gara perempuan itu.



REL, kau buat apa kat sini?” tanya Eddie tatkala melihat kelibat Hazrel.

“Aku hantar perempuan yang dah menyusahkan aku,” jawab Hazrel, selamba.

Berkerut dahi Eddie mendengarnya. Matanya mengerling sekilas ke arah Humaira yang berada di sisi. Jelas kekerutan di dahi Humaira.

“Kak Mai,” panggil Asmah.

Serentak Humaira dan Eddie menoleh.

“As, mana Ain?” tanya Humaira, risau.

“Masih kat dalam. Doktor tengah keluarkan kaca daripada lengan Ain,” beritahu Asmah.

“Kaca? Maksud As?”

“Lengan Ain tertusuk kaca.”

“Macam mana boleh jadi macam tu?” sampuk Eddie pula.

“Tanyalah lelaki tu,” ujar Asmah sambil mengunjuk ke arah Hazrel dan berlalu pergi.

“Rel, apa yang kau dah buat pada Ain?” tanya Eddie, keras.

Hazrel mengangkat muka. Tajam matanya memandang Eddie. Kenapa soalan itu yang ditanyakan Eddie?

“Aku tak buat apa-apa. Mata dia yang buta. Melintas tak tengok kiri kanan,” jawab Hazrel, selamba.

“Aduh, bateri konglah pulak.”

“Kau tu kalau bawak kereta memang tak ingat dunia. Aku pasti kau yang langgar dia.”

“Kau jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan. Yang kau bela sangat perempuan tu, kenapa?” marah Hazrel, meninggi. Sakit hatinya mendengar komen pedas Eddie itu.

“Dahlah, Die. Kita kat hospital ni. Tak pasal-pasal kena tegur pulak. Kita tunggu apa kata doktor,” tegah Humaira, memujuk.

Dia tidak mahu terus-terusan melihat Eddie dan Hazrel berbalah. Bukan sekali dua dia berjumpa dengan Hazrel, sudah berkali-kali. Malah kata-kata hinaan dan cacian Hazrel sudah sebati dalam dirinya.

Eddie mendengus kasar. Hazrel tidak pernah nak berubah. Sombong dan berlagak dengan kekayaan yang dia ada. Bilalah Hazrel akan berubah perangai?

“Doktor, macam mana dengan anak saudara saya?” tanya Humaira sebaik sahaja seorang doktor keluar dari wad kecemasan.

“Macam mana, doktor?” tanya Eddie pula.

“Saya dah keluarkan kaca daripada lengannya. Mujurlah cepat dibawa ke mari. Kalau tak mungkin akan dijangkiti kuman. Tapi sekarang dia tak ada apa-apa. Sehari dua nanti, bolehlah balik,” jelas doktor yang bernama Ahmad itu.

“Terima kasih, doktor. Boleh saya jumpa dengan Ain?” Suara Humaira.

“Boleh. Tapi jangan bawa berbual sangat. Dia perlu rehat secukupnya,” balas Doktor Ahmad dan berlalu pergi.

“Mai masuk dalam dulu,” pamit Humaira sambil melangkah masuk ke dalam bilik Nur Ain.

Eddie hanya mengangguk. Ekor matanya sahaja yang menghantar langkah Humaira. Kemudian dihalakan pandangan ke arah Hazrel yang sedang beriak selamba.

“Aku blah dulu. Kau beritahu pada perempuan tu, suruh dia bayar kos kereta aku yang dah dia calarkan serta upah bersihkan kesan darah kat kusyen kereta aku tu. Kalau dia tak bayar, sampai ke lubang cacing aku cari dan tuntut,” pesan Hazrel dan berlalu pergi.

Sesak nafasnya menghidu bau ubat-ubatan di hospital itu. Tempat yang paling tidak disukainya selama ini.

Eddie hanya menggeleng. Setelah memastikan kelibat Hazrel hilang, dia segera melangkah masuk ke bilik Nur Ain ditempatkan. Jika Nur Ain tidak mampu membayarnya, dia sendiri yang akan membayar kepada Hazrel.

Bukannya Eddie tidak kenal dengan Hazrel. Jika kata putus sudah dibuat, Hazrel akan melakukannya bersungguh-sungguh. Begitulah juga dengan amaran Hazrel sebentar tadi. Jika tidak dibayar, mahu dicari Nur Ain sampai ke lubang cacing. Eddie mengeluh dalam hati.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.