Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 26

Aku merenung bulan yang mengambang terang dan bersinar cantik di angkasa sana. Aku duduk di balkoni selepas berbincang dengan ahli keluarga tadi. Perbincangan yang menyesakkan dadaku. Aku tidak sangka keputusan mama begitu menduga imanku sekali. Alangkah ngerinya kehidupanku pada musim cuti sekolah ini. Entah apa lagi yang mereka hendak buat kepada kami selepas ini, aku pun tidak tahu.

“Kenapa duduk di luar malam-malam macam ni? Tak elok tau untuk kesihatan!” soal Nukman Faris membisik di telingaku. Aku geleng. Aku mahu menangis di hadapannya agar dia faham yang aku tidak setuju dengan cadangan ibu bapa kami. Namun, mahukah Nukman Faris menyatakan ketidaksetujuannya kepada ibu bapanya? Sedangkan tadi dia sudah setuju dengan sebulat hatinya? Benarkah dia setuju dengan sebulat hatinya?

“Saya tak setujulah Nukman,” kataku perlahan. Aku menarik nafas payah. Aku dengar nafas Nukman Faris juga. Agak sukar hendak membantah cadangan mereka.

“Ayuh kita masuk. Sejuk ni, tak elok untuk kesihatan anak dalam kandungan Tasya,” katanya yang sudah menarik tanganku. Dia sudah mendudukkan aku di birai katil yang berhias cantik itu. Siap dengan hiasan katil pengantin. Mama, Datin Zahara sentiasa inginkan kesempurnaan kepada anaknya ini. Aku hanya tumpang sekaki melihat keindahan di dalam bilik Nukman Faris yang berhias cantik ini.

Aku terpaksa ikut juga kata-katanya. Namun aku masih tetap tidak puas hati dengan persetujuannya sebentar tadi. Boleh-boleh dia setuju hendak pergi berbulan madu denganku. Aku memang berasakan yang ia agak mustahil namun aku tidak mampu menolak. Ibu bapa kami seolah-olah mengenakan kami berdua.

“Kita ikut ajelah apa yang mereka mahu tu Tasya, saya rasa kita tak rugi juga. Sebab kita pun sepupu. Ia dapat mengeratkan silaturrahim antara kita. Selama ni kita lama tak jumpa dan lama saya tak usik Tasya kan.” Kata Nukman Faris. Aku membulatkan mataku memandangnya. Apakah aku tidak salah dengar?

“Mengeratkan silaturahim? Apakah dengan cara begini?” kataku agak terkejut dengan kenyataannya. Alasan yang karut dan tidak masuk di akalku. Mungkin akal dia aku tak tahu. Aku takut ada sesuatu berlaku kepada hatiku sendiri dan aku tidak dapat menolaknya. Dia pula tidak apa, dia sudah ada kekasih. Sedangkan diriku ini bagaimana kalau selalu dekat dengannya dan akhirnya jatuh cinta kepada sepupuku sendiri? Apa yang akan aku buat? Kenapa lelaki ini tidak mahu fikir panjang?

“Jadi, bagaimana lagi? Apa yang saya boleh buat untuk menolak cadangan mereka Tasya? Apakah kita membantah kata-kata mereka dan kita masing-masing bermasam muka dengan ibu bapa kita sendiri? Macam tu?” soal Nukman Faris. Aku termangu. Banyak sekali aku termenung panjang sejak tiba di kediaman rasmi Datuk Norman ini. Ini kerana sejak masuk ke rumah banglo dua tingkat ini banyak sungguh kejutan yang terjadi kepadaku. Kalau ada lagi kejutan selepas ini mungkin aku akan pengsan! Jantungku sudah tidak mampu mengepam oksigen!

“Bukan macam tu,” kataku dengan muka masam. Nukman Faris menunggu jawapanku dengan resah.

“Jadi, apa sebenarnya sayang?” soalnya memerlukan jawapanku. Aku memang tidak setuju dengan cadangan ibu bapa kami. Namun aku tidak tahu bagaimana hendak membuat bantahan. Pasti Nukman Faris tidak akan setuju.

“Saya pun bingung Nukman.” Mukaku masam. Aku harap dia akan pertimbangkan kemahuanku.

“Bingung kenapa ni?” soal Nukman prihatin. Wajahku dipandangnya tegang. Mungkin dia juga tidak mahu kalau kami berlama-lama tinggal serumah. Mungkin dia pun rimas macam aku. Apatah lagi jika kekasihnya datang ke rumah ini. Aku sepatutnya melarang dia sebagai suamiku ketika ini, melarang dia membawa kekasihnya ke rumahnya. Dia mengheret aku ke dalam dosanya sama. Ah, sukar sungguh keadaanku ketika ini. Mahu sahaja aku menjerit menyatakan ketidak puasan hatiku.

“Saya sebenarnya nak tinggal aje di rumah sewa saya tu dengan Shamira. Banyak asignment yang kami kena bincangkan bersama, tapi kalau dah mereka masuk campur saya tak boleh nak kata apa lagi! Saya takut pula sekarang ni! Banyak benda yang saya takutkan!” kataku kepada Nukman Faris. Nukman Faris memandang wajahku seperti singa yang tidak pernah menerkam mangsa sekian lama. Sakit hatiku. Mahu sahaja aku cucuk matanya itu macam Kassim Selamat mencucuk matanya sendiri. Namun, aku masih ada rasa belas kasihan kepada suamiku di atas kertas itu.

“Senang aje, lepas kuliah tu pergi lah ke rumah sewa dan buat perbincangan dengan Shamira. Kat mana-mana pun boleh buat perbincangan. Jangan risau, takkan ada masalah punya! Trust me, sayang! Saya akan sentiasa temankan ke mana saja sayang nak pergi!” aku angkat kening. Kenapa dia hendak temankan aku ke mana-mana pula? Aku bukannya kekasihnya. Aku hanya isteri sementaranya. Kenapa lelaki ini terlalu baik pula kepadaku? Tidak pernah aku memikirkan Nukman Faris yang dulunya garang dan suka melihat aku menangis sekarang di hadapanku sudah menjadi seorang lelaki yang sangat romantik dan menyenangkan hatiku. Apakah aku tidak bermimpi ni!

“Awak ni kenapa nak buat baik sangat kat saya? Hairan sungguh saya tau!” soalku kehairanan. Dia pegang tanganku. Dia mula lagi dengan tingkah yang disukainya iaitu memegang tanganku dan mengucupnya perlahan-lahan. Apa yang aku tidak suka, dia seperti tidak segan silu mengucup tanganku dan memanggilku sayang di depan orang tua kami. Aku sebenarnya hendak menarik tanganku tetapi dia seperti sudah mengunci tanganku agar aku tidak dapat melepaskan diri.

“Baik?” soalnya. Aku angguk. Aku benci dia selalu mengembalikan soalanku dengan soalan juga. Ah, aku rimas sekarang ini!

“Ya awak kenapa baik sangat kat saya? Lebih baik awak teruskan berbuat jahat kepada saya dan jangan layan saya baik-baik, saya lebih rela dan ia akan menjadi lebih mudah apabila perjanjian kita sampai ke hari yang terakhirnya.” kataku kepadanya. Dia sudah ketawa. Kulihat wajahnya kusut. Senyumannya itu tidak bermaya. Matanya tidak bersinar. Apakah itu ketawa yang dibuat-buat? Apakah dia tertekan sama sepertiku?

“Tasya sayang, awak kan sepupu saya. Tak elok saya nak layan awak jahat-jahat macam dulu. Saya dah boleh terima awak sebagai sepupu saya. Awak sepatutnya bersyukur. Tiga bulan terpisah telah menginsafkan saya. Sepatutnya sebagai sepupu kita berbaik-baik. Bukannya ramai sepupu saya,” katanya. Aku mula resah dengan jawapannya. Memang kami bersepupu tidak ramai. Namun, ah, entahlah! Aku menjadi resah pula.

Hanya kerana aku sepupunya maka dia melayan aku dengan baik-baik? Jawapan itu sebenarnya lebih menyakitkan aku kemudian hari. Kenapa tidak dia buang sahaja aku sekarang? Tidaklah aku terjatuh perasan suatu hari nanti!

“Oh, kerana kita sepupu? Pegang-pegang macam ni sepupu dibolehkan lah ye?” soalku yang masih keliru dengan jawapannya. Dia angguk dan ketawa. Berseri-seri wajah lelaki kacak itu. Apakah itu seri pengantin? Seri pengantin apa kalau sudah nikah lebih tiga bulan?

“Taklah macam tu. Kita kan sudah halal, kenapa tak boleh bersentuhan?” soalnya pula. Aku kesal. Dia seperti mengambil kesempatan ke atasku kerana pernikahan kilat kami ini. Alangkah sedihnya aku.

“Sepatutnya awak mengharamkan diri awak menyentuh kulit saya, sebab kalau kita dah cerai nanti, tak siapa yang nakkan saya ni dah! Sebab saya ni dah diganggu!” dia ketawa mendengar jawapanku. Aku lupa yang aku hampir dapat disentuh oleh Amri. Nasib baik Shamira menyelamatkan aku. Kalau tidak, aku tidak tahu apa yang aku katakan. Aku sungguh kesal sekali. Ada juga manusia yang bertopengkan keagamaan untuk membuat kejahatan. Bencinya aku dengan Amri.

“Awak ni kelakar lah Tasya. Tapi suka hati saya lah nak sentuh atau tidak kat awak, awak kan isteri saya!” katanya pula. membulat mataku. Dadaku bagaikan dipalu. Kali ini dia menggunakan tiket isteri pula untuk menyentuh aku. Tadi dia menggunakan tiket sepupu kerana bermesra dan tinggal serumah denganku. Eh, aku bingunglah dengan keadaanku ini.

“Awak yang kelakar! Apa sahaja arahan mama awak, awak nak terima! Awak ni peliklah Nukman!” kataku yang hampir sahaja memarahi dia. Dia ketawa lagi. Apakah benar aku berlawak di depannya? Aku sebenarnya bersungguh-sungguh mahu menolak cadangan mamanya tetapi dia cakap aku lawak pula. memang sakit lelaki di depanku ini.

“Kita ikut ajelah apa yang mama dan mak kita nak. Kita cari jalan macam mana nanti. Janganlah nak sedih-sedih dan nak memberontak pula. mereka ibu bapa kita yang melahirkan kita ke dunia ini. Mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Jangan nak membantah-bantah pula. Apa pula cakap kita ni kalau nanti kita jadi ibu bapa? Jadi, sementara mereka masih sihat dan bernafas ini, kita ikutlah cakap ibu bapa kita, jangan ada kesalan di hati!” kata Nukman Faris seperti seorang ustaz yang memberikan tazkirah kepada anak didiknya. Aku angguk perlahan-lahan.

“Awak disuruh pegi honeymoon pun awak nak! Apa ni Nukman? Saya tak nak pergi honeymoon!” kataku sudah membantah semula. Aku bagaikan anak kecil yang tidak mahu dipujuk lagi.

“Apa yang susahnya? Kalau kita diberikan tiket honeymoon kita pegi ajelah. Apa yang susah! Kita jalan-jalan tenangkan fikiran! Saya pun sudah lama tidak berjalan-jalan dengan isteri!” katanya. Aku pula seperti hendak berteriak mendengar jawapannya yang selamba itu. Ya Allah bila masa dia beristeri? Dia rindu nak jalan-jalan dengan isteri? Huhu! Memang sudah mengusik aku dia ni!

“Saya tak nak macam tu! Kalau ada tiket tu, senang aje, awak tukar nama saya kepada Rozaila, tak perlu saya nak susah-susah kan!” Nukman Faris sudah geleng kepala.

“Saya tak nak buat hal sayang. Kalau kat tiket tu nama sayang, sayang dan abang lah kena pergi. Bukan orang lain. Mungkin dengan Rozaila nantilah. Bukan masanya sekarang!” jawabnya. Dadaku berdebar-debar. Agak sakit hati pula apabila nama gadis lain disebut di depanku. Sakitnya macam isi yang terhiris pisau. Sakitkan?

Memang benar Nukman Faris masih menyimpan harapan nak kahwin dengan kekasihnya. Aku menjadi sedih pula. aku hanya menjadi sandaran sementaranya sahaja pada masa ini.

“Ah, awak ni asyik nak ikut cakap orang tua awak! Saya tak naklah!” kataku macam nak merajuk. Nukman Faris sudah ketawa. Dia kelihatan riang dan ceria aje malam ini.

“Jangan bimbang, mungkin lama-lama mereka dah lupa nak belikan tiket untuk pergi honeymoon tu sayang!” katanya. Aku geleng. Aku tidak percaya kedua-dua ibu bapanya akan lupa akan hal itu.

“Tak mungkin mereka lupa Nukman! Saya ni kenal sangat mama awak tu! Kalau tak mama awak, papa awak tu! Mereka tu sayang sungguh kat awak!” kataku bersungguh-sungguh. Ketawa lagi lelaki sekacak senyuman Lee Min Ho ini. Muka dia tidak lah sebiji macam Lee Min Ho. Ah, aku ni memang peminat Lee Min Ho, memang lah terbawa-bawa suami sendiri ke dalam kehidupanku seharian. Nyerinya kan!

“Mungkin ya. Kita pegi aje. Nanti kita shopping dan jalan-jalan! Sayang belilah apa yang sayang suka nanti!” kata Nukman Faris lagi. Aku cebik bibir. Aku bukan mata duitan. Aku tidak mahu menggadai maruahku hanya kerana ruang bulan madu ini. Ohoh! Tolong aku! Aku tidak mungkin berlama-lama dengan lelaki ini. Aku takut aku akan parah kerana bahang aku terjatuh cinta kepadanya!

“Saya tak sampai hati nak hancurkan hati kekasih awak Nukman, kalau emak saya, saya takut Rozaila datang lagi ke rumah awak. Saya tahu awak dan Rozaila dah hidup macam suami isteri kan?” kataku yang masih mengingati kekasihnya Rozaila. Dia pegang tanganku lagi dan mengucupnya seperti biasa. Sepatutnya dia memarahiku kerana aku sudah cuba menyakiti hatinya. Aku hanya memerhatikannya.

“Jangan buruk sangka sayang. Buruk-buruk saya ni belum pernah lagi nak ganggu anak dara orang lain,” katanya. Aku cebik bibir. Memang aku tidak percaya.

“Kenapa bibir tu, nak minta kena sentuh lagi?” soalnya menakutkan aku. Aku tutup bibirku. Aku tahu bibirku ini sudah hilang sucinya. Dia sudah ketawa terbahak-bahak. Kenapa dia suka mengganggu aku dengan usikan berbau seks itu? Sakitnya hatiku!

“Gila! Awak ni gila! Gila gatal!” kataku lagi. Dia sudah ketawa senang hati.

“Saya cakap yang benar, kasihan Rozaila!” kataku. Aku sengaja menyebut nama kekasihnya biar dia ingat yang dia akan bernikah dengan kekasihanya itu. Dia geleng-geleng kepalanya. Tanganku masih dipegang.

“Jangan sebut nama orang lain kalau kita berdua sayang, sudah berapa kali saya ingatkan! Sayang tak faham?” aku buntangkan mata. Mungkinkah aku terlupa atau apa? Cemburu? Ah, siapa yang tidak cemburu kalau suami sendiri ada kekasih hati. Oh tidak, aku tidak boleh hendak cemburu. Kerana kami dinikahkan kerana hendak menutup fitnah orang kampung yang asyik memperkatakan hal aku yang kononnya tidak tahu menjaga maruah diri ini. Sakit kan hati di atas segala-gala yang telah berlaku ini!

“Kenapa pula macam tu?” dia tersenyum manis kepadaku. Sekarang aku rasa hanya dialah kekasihku. Namun hakikatnya tidak. Aku hanya dianggapnya sebagai sepupu dan bukannya isterinya. Bertambah sakitnya hatiku seperti kain yang dicarik-carik!

“Sebab, momen-momen manis antara kita ini akan kekal di dalam ingatan kita nanti,” aku terpaku menghadapinya. Apakah aku tidak salah dengar? Kenapa pula dia hendak mencipta momen-momen manis denganku? Aduhai, aku tidak faham dengan kerenah suamiku ini.

“Nukman, saya rasa sudah tiba masanya kita hentikan keadaan begini. Saya takut terjadi sesuatu antara kita!” Kataku. Dia masih tersengih.

“Sayang, jangan risau. Selepas ini kita akan berjauhan dan sukar bertemu. Kalau awak rindu, jangan lupa kenang momen-momen indah yang sudah kita lakarkan,” katanya bermadah-madah pula. aku mahu menangis mendengarnya. Sebenarnya bagi diriku, kenangan sepanjang bersamanya adalah kenangan yang manis-manis sahaja bagiku. Ini kerana, cintaku kepada lelaki ini kembali mekar setelah pernikahan ini. Pesan emak, apabila sudah sah sesebuah pernikahan, harap seorang perempuan mencintai lelaki lain selain suaminya sendiri. Aku dengar kata emak. Walau apapun yang berlaku selepas ini, aku reda. Tetapi selagi aku masih menjadi isteri kepada lelaki ini, rasanya aku hanya mencintai dia sahaja. Ah, aku kerumitan memikirkan perhubungan kami yang agak aneh ini. Aneh!

Aku tidak sangka lelaki ini romantik orangnya. Untunglah Rozaila mendapat kekasih yang romantik dan penyayang macam sepupuku ini.

“Saya tak nak ingat-ingat awak dah! Nanti saya jatuh cinta susah pula! Siapa nak cintakan saya pula kalau awak dah kahwin dengan kekasih awak?” soalku. Dia memandang aku penuh belas kasihan. Dia masih mengusap-usap tanganku, jemariku dengan lembut dan aku mahu sahaja menangis.

“Itu kita kena buat cerita lain nanti. Apa yang kita lalui sekarang adalah sebuah perjalanan hidup kita. Kita hadapi dengan gembira. Kalau suatu hari ada sesuatu berlaku kepada kita, kita harus berani hadapinya sayang,” kata Nukman Faris seperti mahu memujuk aku lagi. Dia sudah banyak kali memujuk aku.

“Eh, apa sebenarnya maksud awak macam tu?” soalku tidak puas hati. Aku tidak mahu berlaku apa-apa terhadapku. Dia lelaki, tidak apalah. Tetapi aku? Aku ni masih gadis lagi. Kalau apa-apa berlaku kepada kami, aku yang akan menanggung semuanya. Aku yang akan parah. Dia tetap sahaja pergi kepada kekasihnya seperti seorang lelaki teruna yang belum pernah bernikah. Aku ni? Aku akan jadi janda berhias! Mak ai!

“Maksudnya, kalau sayang dah jatuh cinta kat saya dan sayapun jatuh cinta kata sayang, kita teruskan pernikahan ini walaupun abang dah kahwin dengan Rozy!” aku rasa hendak tercabut nyawaku. Dia sekarang ada hati pula hendak memadukan aku dengan kekasihnya. Aku menggeleng. Kelu rasa lidahku seperti kena biusan orang yang hendak dicabut giginya. Apakah maksud lelaki ini? Kenapa dia masih hendak memadukan aku sedangkan sekarang ni aku sudah reda dan relakan kalau dia mahu ceraikan aku. Sakit hati atau sebak dengan kata-katanya?

“Awak nak madukan saya pula? oh tidak! Rasanya lebih baik kita teruskan saja perancangan kita iaitu bercerai daripada awak nak beristeri dua,” dia tersengih. Dia pula menggeleng. Kenapa ya? Benarkah aku tidak bertepuk sebelah tangan? Benarkah dia sudah mula menyukai aku? Atas dasar apa dia menyukai aku? Kalau banding aku dan kekasihnya bagai bumi dengan langit. Sangat jauh perbezaannya.

“Kenapa awak cemburu dan tak mahu kasih sayang saya dibelah-belahkan? Awak sudah pandai cemburu ya?” Mahu sahaja aku pengsan di depannya ketika ini apabila dia menuduh aku sudah pandai cemburu. Soalan apakah ini? Kenapa dia bercakap seperti seorng lelaki yang sasau dan tidak ingat akan kekasihnya sendiri?

Kenapa lelaki ini? Kenapa dia hendak memadukan aku pula? Siapa yang tidak cemburu jika suaminya kahwin dua? Sekalipun tidak ada cinta antara kami tetapi aku memang tidak rela. Bagiku hidup sendirian lebih baik dan tidak mengganggu perasaan sesiapa. Buat apa aku mengaku hendak hidup bermadu dengan kekasihnya jika itu akan membuatkan aku mati dan sentiasa berperang dengan perasaanku sendiri. Ada baiknya jika dia ceraikan aku sekarang! Sekarang!

Ya Allah tolonglah aku! Aku perlukan nafas untuk menyambung nyawaku!

Ohoh! Tidak! Tidak! Sakit hatiku! Aku bagaikan nak mati!

“Oh awak berniat hendak memadukan saya dengan kekasih awak?” soalku. Dia ketawa senang hati. Aku perhati. Tidak ada anggukan. Mata kuyu itu memandang aku dengan pandangan tajam bagaikan pisau berkilat mengenai silaunya di hatiku. Kenapakah lelaki ini?

“Tak nak jatuh cinta dengan saya yang kacak ni?” soalnya. Aku semakin galak membuntangkan mata. Hairan dengan kenyataannya.

“Saya tak mahu awak jadi biawak hidup menanggung hidup saya Nukman! Cukuplah awak dah selamatkan saya dari fitnah orang kampung! Jangan nak harap kita saling jatuh cinta pula!” kataku memulangkan paku buah keras pula. Dia tutup mulutku dengan tangan lebarnya. Aku sukar bernafas.

“Jangan cakap macam tu Tasya. Maafkan saya. Mungkin saya dah buat silap. Jangan lah cakap macam tu lagi! Mungkin hari tu saya terlalu ikut perasaan saya!” dia cuba angkat daguku agar aku memandang wajahnya. Aku keraskan mukaku. Aku sudah sebak. Dadaku sebu dengan rasa sedih. Kenapalah aku ditakdirkan hidup begini.

Alangkah baik kalau aku teruskan sahaja hidup dalam fitnah orang kampung dahulu. Janganlah aku kahwin dengan lelaki ini. Kami tidak mencipta apa-apa perasaan. Redah sahajalah fitnah itu. Lama-lama mulut orang kampung akan berhenti bercakap kalau mereka tahu aku tidak mengandung. Ah, menyesalnya aku.

“Sudahlah Nukman! Hari ni jangan halang saya! Saya nak tidur kat sofa aje. Awak tidur kat katil tu!” kataku yang sudah menangis. Nukman Faris memandang aku dengan wajah sayunya. Dia menyapu-nyapu mukanya. Mungkin dia juga berasa serba-salah dengan apa yang berlaku kepada kami.

“Sayangku Tasya, maafkan saya. Permintaan orang tua kita nampaknya merumitkan keadaan kita. Kita bertahan dululah. Jangan lah berfikiran apa-apa dulu. Biarkan sahaja waktu mengalir bagaikan air sungai mengalir tenang. Kita ikut aje permintaan mereka. Tak pe malam ni saya tidur kat bawah ni, kalau Tasya tak sudi nak tidur sekatil dengan saya.” Aku buntangkan mata. Bukan maksudku begitu.

“Tak! Tak! Jangan salah sangka! Awak tidur atas katil, saya kat bawah!” kataku. Sebenarnya aku sudah marah kepadanya. Perbincangan kami bukannya menjadi perbincangan lagi. Ia sudah menjadi pergaduhan yang menamatkan hubungan kami. Sakitnya hatiku!

“Tak pelah kalau awak tak sudi.” Katanya merajuk. Dia sudah berdiri dan mengambil bantalnya. Aku pula yang kelam-kabut dan berasa cemas. Cemas dengan sikapnya yang suka mengenakan aku.

“Saya sudi, ok, tak pe kita tidur sekatil,” dia sudah tersenyum manis. Air mataku dikesatnya dengan tangannya. Dia sudah tersenyum manis dan memandang aku penuh berseri-seri. Di dalam senyuman itu bagaikan terpandangkan wajah Lee Min Ho yang menjadi kegemaranku itu. Aduhai, sayangnya aku kepada wajah suamiku itu. mahu sahaja aku kucup tangannya seperti mana dia selalu mengucup tanganku di depan orang tua kami. Bencinya!

“Terima kasih sayang. Jangan menangis lagi. Malam ini sepatutnya kita bahagia seperti mana kata orang tua kita. Jangan nak sedih-sedih, saya pun rasa serba salah kalau sayang selalu bersedih macam ni!” katanya sudah mendekati aku dan mengucup dahiku. Suasana terasa syahdu. Aku menutup mataku. Aku berharap kebahagiaan antara kami ini akan berpanjangan hingga ke tarikan nafas yang terakhir kami. Aku sudah tersenyum di dalam pelukan lelaki ini. Wangian perfumenya bagaikan membakar cintaku kepadanya, namun aku tahan. Aku seharusnya bertahan dan mendiamkan diri sahaja walaupun sebenarnya aku mahu memberitahu dia betapa aku cintakannya dan tidak akan ada dua atau tiga isterinya selagi aku masih hidup! Namun aku mendiamkan sahaja di dalam pelukannya.

Patutlah Rozaila begitu mencintai Nukman Faris ini, dia memag lelaki yang prihatin dan penyayang.

“Ya lah, saya nak ke buang air kejap, maafkan saya.” Kataku yang tidak tahan dengan pelukan Nukman Faris itu. Desahan nafasnya bagaikan masih terasa menampar-nampar pipiku. Kata-katanya bagaikan air menenangkan aku. Ah, aku tdak harus berlama-lama dengan lelaki ini. Aku kelak yang akan kecewa dengan cadangan ibu bapa kami yang tidak masuk akal ini. Ah, entahlah!

“Pergilah sayang, lepas ni kita tidur ya. Esok kita ada aktiviti lain lagi!” kata Nukman Faris pula. Aku mengangguk. Sebenarnya wajahku sudah panas seperti terbakar dipanah terik matahari. Jadinya, aku harus cepat-cepat hentikan perasaan halus yang menjalar indah di hatiku ini. Kalau perasaan Nukman aku tak tahulah!

Ah, manisnya cinta!

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha