Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,939
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 7

SYIKIN yang bertugas sebagai pelukis pelan melangkah laju menuju ke meja Miya. Memang dirinya awal-awal lagi kena tolak, andai kesopanan dan kesusilaan yang diambil kira dalam pemilihan calon menantu. Berjalan dalam pejabat pun macam lipas kudung!

“Apasal kau macam ada masalah aje?” tanya Miya sebaik ternampak Syikin menghampiri mejanya.

“Hmm… hari ni kau ada mesyuarat kat luar atau berdating dengan si Arash tu?”

Tanpa mukadimah, soalan cepucemas daripada Syikin sudah keluar. Dia tidak sabar hendak tahu. Tadi sempat juga berborak dengan Kak Jasmin, tetapi wanita itu kedekut hendak memberi sebarang maklumat. Terpaksalah dia sendiri yang mencari jawapan.

Miya hanya memandang kosong sahabatnya yang berasal dari Perlis itu. Gadis itu telah bekerja di sini sejak dua tahun yang lalu. Andai dikira tempoh bertugas, maka Syikin lebih senior daripada dirinya. Tetapi umur mereka sebaya sahaja, baru suku abad! Masih jauh lagi perjalanan hidup yang bakal ditempuh.

“Wei, aku tanya ni,” tegur Syikin apabila Miya masih tidak menjawab pertanyaannya.

“Ni gosip mana pulak yang kau dengar? Aku ni baru aje balik dari meeting kat Seremban tu.Lain kali memang tak ingin aku pergi dengan anak bos tu,” jawab Miya sambil meraup wajahnya.

“Aku tanya aje pun, yang kau marah-marah ni apasal?” balas Syikin sambil menampar bahu Miya.

“Yalah! Kau tuduh aku berdating dengan dia, macam mana aku tak berangin?”

Miya cuba menyibukkan dirinya dengan membuka fail di atas meja. Dia dapat rasakan yang Syikin sudah tahu sesuatu. 

“Kalau betul korang berdating pun, apa salahnya, kan? Sama-sama bujang, lainlah kalau Arash tu dah jadi suami atau bapak orang.”

“Aku ni penat tau tak? Dahlah pagi tadi aku terperangkap dalam sangkar kat apartmen aku tu, ni kena fikir pasal projek Seremban tu pulak.”

“Relaks, tak ada masalah yang tak boleh diselesaikan,” pujuk Syikin.

Dia cuba meredakan tekanan kerja dan gangguan emosi yang Miya alami dengan mengurut belakangnya. Melihat keadaan sahabatnya itu, Syikin boleh mengagak yang si Miya ini dah kena gangguan lain. Gangguan yang boleh buat tidur tak lena, mandi tak basah!

“Balik nanti aku nak tumpang kau,” beritahu Miya, cuba mengalih isu yang sama sekali dia tidak mahu ingat dan bincangkan.

“Boleh aje, tapi ceritalah sikit pasal si Arash tu.” Syikin masih berminat hendak tahu pasal jejaka itu. Selagi tak tahu kisah sebenar, tidak tenteram jiwa dan raganya.

“Tak ada bendalah aku nak cerita pasal dia.” Miya menjawab malas.

“Mana boleh tak ada? Ingat aku tak nampak dia bukakan pintu untuk kau masa sampai ofis tadi?”

Miya terus menekur meja. Hendak jawab macam mana ni? Habislah dia kalau staf lain juga ternampak. Nanti tak berhenti mereka membawang, melada dan boleh siap masak kari. Eii... semua ini memang Arash punya pasal! Dia memang geram sungguh dengan lelaki itu. Jumpa nanti, memang siap dia gulai anak bosnya itu!

“Miya?”

“Pintu tu rosaklah, tak boleh bukak dari dalam.” Miya terpaksa juga memberi alasan. Tapi memang betul pun pintu kereta itu susah hendak dibuka. Bukan dia sengaja mereka cerita untuk selamatkan dirinya.

 “Tak percayalah aku. Takkan kunci pintu kereta Ford Mustang harga beratus ribu tu boleh rosak? Oh, lupa pulak yang selama ini memang tiada sesiapa pun yang pernah duduk kat sebelah Arash. Patutlah susah nak bukak!” Syikin sudah tertawa dengan bicara sendiri.

Miya hanya mampu menjelingnya. Ya ke tidak pernah ada sesiapa menumpang kereta Arash? Takkanlah Syereen pun tak pernah naik kereta lelaki tu?

“Kau fikir apa pulak ni?” tanya Syikin sambil menyiku lengan Miya.

“Sibuk ajelah kau ni!”

“Mestilah aku nak menyibuk. Lebih-lebih lagi bila tiba-tiba saja Arash memandu semula kereta Ford Mustang dia tu. Ni mesti ada apa-apa, kan? Selalunya dia bawak kereta lain.” Syikin memberitahu maklumat pasal Arash yang selama ini tidak Miya ketahui.

“Amboi, ada berapa kereta dia?”

“Banyak dan berderet-deret. Ada yang memang dia punya. Ada jugak milik ahli keluarga dia, tapi dia yang pakai,” beritahu Syikin.

“Kau ni kan, semua tahu!”

“Biasalah. Arash tu jejaka edisi terhad. Macam-macam pasal dia yang menarik perhatian perempuan kat luar sana. Tapi tulah, dia tu lain sikit.”

“Apa yang lainnya? Aku tengok sama aje macam lelaki lain.Miang, gatal semua ada!”

“Oh ya? Dia mengurat kau ke? Wow, ni memang berita terhangat. Dia cakap apa kat kau?” Syikin semakin beria-ia hendak tahu.

Sorry ya, sekarang ni waktu kerja. Jangan sebab kau melepak kat sini, dengan aku-aku sekali kena tindakan tatatertib.”

“Cik adik, sejak bila pulak tindakan tatatertib berkuatkuasa kat ofis ni?”

“Kau ni tak baca memo ke?” tanya Miya dengan geram. Dia mahu menghalau minah ini, tetapi bertambah liat hendak beredar.

“Kita tolak tepi dulu pasal memo tu, sekarang ni waktu rehat minum petang. Ni, kau tak cerita lagi pasal anak bos tu. Dia nak kau jadi girlfriend dia ke?” tebak Syikin.

 “Kalau dengan dia, rasanya kena fikir seratus kali untuk jadi girlfriend. Nak jadi isteri dia pulak, memang tak terlintas langsung!” tekan Miya.

“Jangan berlagak. Nanti kau jugak yang gila bayang kat dia, baru tau!”

“Walau bagus macam mana pun, dia memang bukan taste aku,” balas Miya.

“Zain Arash al Bakri tu punyalah segak, betul kau tak nak?” duga Shikin.

“Segak? Hmm... rasanya perkataan yang paling sesuai untuk anak bos tua dalah grumpy!” selar Miya kemudian mencebik.

“Woo! Kalau dia dengar kau menfitnah dia, silap-silap kena tukar ke jabatan lain.”

“Aku bukan menfitnah, tapi memang begitulah perwatakan dia, kan?”

“Aku tak setuju!” pantas Shikin membangkang.

“Tak betul ke apa yang aku cakap tu?”

“Tak! Dia  bukannya seorang  yang perengus, jauh sekali suka membebel.”

“Sebab kau tak pernah berurusan dengan dia. Cuba tanya staf kat ofis dia,”balas Miya pula.

“Ya ke? Lupa pulak sejak dua menjak ni kau selalu menyinggah kat ofis dia.Okey, apa yang grumpy sangat tu?”Tiba-tiba Syikin ingin tahu pula.

“Nak terangkan satu-satu memang payahlah. Buang masa, buang tenaga!” tekan Miya.Dia sudah penat melayan kerenah Syikin. Bilalah minah ini nak blah?

“Ringkaskan sajalah.”

Tiba-tiba telefon Miya berdering. Melihat nombor yang tertera di skrin, dia abaikan sahaja.

“Kenapa tak nak jawab? Mana tahukan ada hal mustahak,” tegur Syikin.

“Tak ada apa yang penting pun.”

“Tapi wajah kau mempamerkan sebaliknya.”

Miya buat muka selamba dan sambung membuat kerja. Dia malas nak ambil kisah bicara sahabatnya yang tak reti-reti hendak memulakan tugas.

“Jangan-jangan Arash yang telefon, kan?” tebak Syikin, siap angkat-angkat kening lagi.

“Dah! Pergi tempat kau buat kerja,” suruh Miya sambil menolak Syikin.

“Tak apa. Esok, lusa, tulat masih ada. Lama-lama nanti aku akan tahu jugak.”

Akhirnya Syikin berlalu menuju ke kubikelnya. Miya berasa amat lega. Terasa lelah melayan minah kecoh yang asyik mendesaknya.

Baru sahaja dia mahu menarik nafas, telefonnya berbunyi pula.

“Awak nak apa lagi?” tanya Miya sebaik terlihat nombor pejabat Arash tertera di skrin telefonnya.

“Macam tu ke bercakap dengan bos awak?” Walaupun Arash bertanya lembut, ia kedengaran sinis sekali.

Sorry...” ucap Miya sepatah. Dalam hati, dia mahu baling sahaja telefonnya ke muka lelaki itu.

“Balik nanti tunggu kat lobi. Nanti saya hantar awak balik.”

“Eh, tak payahlah! Saya tumpang Syikin aje.” Cepat-cepat Miya menolak.

No. Awak kena naik kereta saya.”

“Awak ni suka memaksa, kan?”

“Kalau awak tak nak saya paksa buat macam-macam, tunggu saya kat lobi,” tegas Arash.

Miya yang berasa geram terus memutuskan panggilan daripada lelaki itu.

Tidak lama kemudian, telefon di mejanya pula berdering.

“Awak ni tak reti bahasa ke?” jerit Miya.

Kali ini tiada pula kata balasan daripada si pemanggil.

“Helo, nak cakap dengan siapa?” Miya segera bertanya apabila menyedari ianya bukan panggilan daripada Arash.

“Miya, ni Kak Jasmin. Kenapa marah-marah?”

Sorry kak, tadi entah orang gila mana asyik tersalah nombor.”

I see... so macam mana?”

“Macam mana apa?” Miya sedikit keliru dengan pertanyaan Kak Jasmin.

“Handal tak, Ultraman Taro tu tolong Miya?”

“Huh! Lembap gila. Lama saya kena tunggu.”

“Bukan dia terbang terus ke hati Miya ke?” usik Kak Jasmin.

“Akak ni... orang tengah tension, lagi nak simbah petrol!”

“Hahaha...” Kak Jasmin tertawa berdekah-dekah.

“Ada apa akak telefon saya?”

“Miya okey ke, kalau tukar kat ofis Arash?” Itulah tujuan sebenar dia menghubungi gadis itu.

“Cepatnya akak tahu?”

“Biasalah, akak kan kerja kat bahagian sumber manusia. Apa sahaja berkenaan dengan staf, cepat aje maklumat terkini sampai kat akak.”

“Dia baru aje cakap kat saya, takkan nak terus pindah ke sana? Tuan Bakri dah setuju ke?”

“Dua-dua pun bos. Miya tak nak naik pangkat ke?” tanya Kak Jasmin pula.

“Biarlah saya jadi pekerja yang biasa-biasa aje, janji hati senang,” balas Miya.

“Okeylah, Miya teruskan kerja. Lain kali kita sembang.”Mendengar suara Miya, Kak Jasmin sedar gadis itu sedang menghadapi masalah.Baiklah dia bincang hal itu lain kali sahaja.

“Bye...” Miya terus meletakkan telefon. 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.