Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
106,405
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Adelia melangkah masuk ke Tesco. Perasaannya bersimpang siur. Pelbagai persoalan menerpa mindanya. Kenapalah aku bersetuju untuk pergi camping dengan Kayla? Okey, tak apa. Sekali ini saja. Mungkin ada baiknya aku menghirup udara segar di kawasan perkhemahan. Atau melihat kehijauan pokok dan belukar. Tapi, macamlah tidak cukup tengok hutan di Kuala Lipis.

Adelia hanya ada dua tujuan. Pertama, ke kedai buku untuk membelek buku-buku masakan. Kedua, mencari bahan-bahan masakan di Tesco.

Okey, tiada yang menarik di kedai buku. Adelia menuju ke rak bahan-bahan bakeri. Seronoknya kalau ada ketuhar, hatinya berbisik. Boleh buat segala macam jenis biskut dan kek. Bukan itu aje. Boleh panggang ayam, daging dan ikan.

Sedang dia membelek bahan-bahan yang tertulis pada setin inti pai strawberi, dia perasan dirinya diperhatikan. Dia meletak tin itu kemudian mencapai pula tin berisi inti pai blueberi. Di dalam mindanya terbayang pai yang rangup dengan inti buah-buahan yang manis. Ataukah lebih berbaloi membeli epal segar dan dimasak dengan gula perang untuk dijadikan inti pai epal?

Meskipun tiada ketuhar, dia teringin membuat pai di dalam pemanggang ajaib. Kak Maz ada beli dan cuma sesekali guna untuk memanggang ikan.

“Jenama tu tak sedap,” kata seorang lelaki yang berdiri di sisi Adelia.

Demi mendengar suara itu, serta-merta Adelia berundur beberapa tapak ke belakang. Air mukanya penuh dengan kekagetan. “Awak?”

Syed Idlan tersengih. “Ya, saya. Percayalah cakap saya, inti pai jenama tu hanya banyak gula dan tak banyak buah-buahan.”

“Bila pula saya minta komen awak?”

Lelaki itu menggeleng. “Sejak tadi saya perhatikan awak ambil tin tu, belek-belek, letak balik... ambil tin lain, belek-belek, letak balik. Awak keliru nak beli yang mana, kan?”

Adelia menggigit bibir. Dia kehilangan kata-kata.

“Saya dah cuba semua jenama dan yang paling sedap...” kata lelaki tersebut seraya melirik ke arah rak itu. Dia mencapai sebiji tin inti pai strawberi lantas menghulurkannya kepada Adelia. “Ni... paling banyak buah strawberi dan warnanya pun asli, tak ditambah pewarna merah lain.”

“Saya nak buat pai blueberi, bukan strawberi,” tingkah gadis itu dengan selamba.

Syed Idlan mencapai pula tin inti pai blueberi jenama lain. Ternyata dia memang arif dalam soal memilih inti pai buah-buahan. Dia sempat membelek barang-barang dalam raga gadis itu.

“Mentega tu tak sedap, kenapa awak nak beli?” soal Syed Idlan.

Adelia tersengih. “Ni pai saya, chef. Ikut sayalah nak beli mentega jenis apa pun.”

“Tak sangka awak pun off hari ni, ya?”

“Ni pertama kali saya datang sini. Selalunya saya pergi Giant.”

“Sebabnya dah jelas, awak nak jumpa saya...”

Ternganga mulut Adelia mendengar kata-kata lelaki itu. Hatinya panas. Memandai aje lelaki itu. “Awak ni...”

“Perasan?” sampuk Syed Idlan.

Seorang wanita yang menolak troli berlalu berdekatan mereka. Syed Idlan terpaksa mengelak ke tepi sedikit supaya dia tidak dilanggar oleh wanita itu. Kedudukan dia dengan Adelia terlalu rapat. Mereka saling bertukar-tukar pandangan sebelum lelaki itu meletakkan tin inti pai blueberi ke dalam raga Adelia.

“Cantik tudung awak,” puji lelaki itu.

What?

“Kalau di hotel asyik bertudung warna putih aje.”

“Awak asyik perhatikan saya ya?” soal Adelia.

Syed Idlan tersengih. “Saya tengok semua orang. Aunty Soo pun saya tengok.” Ada bait-bait sindiran di dalam intonasi suaranya.

Adelia mengambil tin inti pai strawberi dari tangan lelaki itu lalu pergi tanpa menunggu dia menghabiskan kata-katanya. Memang dia rasa malas nak melayan lelaki itu apatah lagi bila teringat bagaimana lelaki itu gemar membuat dirinya rasa begitu kerdil.

Syed Idlan hanya terkebil-kebil bila gadis itu berlalu. Entah kenapa dia gemar menyakat gadis itu. Suka benar dia melihat air muka Adelia bila disindir. Geram pun ada bila sesekali dirinya menjadi bahan kemarahan. Semuanya umpama perang saraf menjelang hari pertandingan itu kelak.

Pada perkiraan Syed Idlan, Adelia bukan calang-calang gadis. Berani masuk pertandingan manisan sedangkan dia lebih mahir dengan masakan panas di Malay Kitchen. Begitu bersemangat sekali dan tidak gentar langsung. Tidak dapat tidak, lelaki itu amat mengkagumi sikap gadis tersebut.

Adelia seorang yang tidak akan mengaku kalah kalau dicabar. Jarang Syed Idlan bertemu dengan gadis begitu. Semakin lama mengenalinya, semakin banyak yang ingin diketahuinya. Banyak rahsia yang tersirat di sebalik air muka gadis itu yang kadangkala sukar dijangkakan.

Setelah mengambil sekotak muesli dan oat segera, Syed Idlan beredar ke kaunter. Jam baru 9.45 pagi, jadi tidak banyak kaunter yang dibuka. Lelaki itu melangkah ke kaunter bernombor 10. Alangkah terkejutnya dia melihat Adelia sedang beratur di dalam barisan itu.

“Hai, jumpa lagi...” ujar Syed Idlan sebaik saja berdiri di belakang gadis itu.

Serta-merta Adelia berpaling. “Takde kaunter lain ker?”

Dengan selamba Syed Idlan menggeleng. “Awak dah habis beli barang? Bila awak nak buat pai tu? Boleh bagi saya rasa?”

Gadis itu cuma mempamerkan wajah selamba. Syed Idlan nak cari kesalahan dialah tu. Mesti berguni-guni komen negatif yang bakal menjadi halwa telinganya. Barangkali sampai naik loya dia mendengar kata-kata lelaki Si Konon Bijak itu.

“Saya tak rancang lagi bila,” jawab Adelia. “Kalau saya buat pun, rasanya saya takkan bagi awak rasa.”

“Kenapa?”

Gadis itu tidak menjawab. Pelanggan di hadapannya sudah mengeluarkan wang untuk membayar. Selepas ini gilirannya pula.

“Sebab awak takut tak sedap?” soal lelaki itu pula.

Adelia lantas membidas. “Awak cabar saya, chef.”

Syed Idlan hanya tersengih. “Bagi kejutan pada saya, macam panini yang awak buat di majlis Haji Ahmad Denil tu.”

Adelia meletakkan bakul berisi barang-barangnya di atas kaunter. Juruwang mengimbas setiap barang dan meletakkan ia ke dalam beg plastik. Kemudian dia memberitahu jumlah yang perlu dibayar oleh gadis itu.

Adelia membuka dompet lalu mengira wangnya. Alamak, macam mana boleh tak cukup? Gadis itu mulai menggelabah. Dia mengorek beg tangan dan poket seluarnya. Rasa kalut menjerat kerongkongnya, membuat dia rasa lemas.

“Kenapa?”

Di dalam panik itu, Adelia langsung tidak mendengar pertanyaan Syed Idlan. Dia memandang juruwang dengan rasa serba salah. Oh tidak! Cemasnya dia waktu itu sehingga mukanya terasa berpeluh-peluh.

“Sa... saya tak cukup wang. Boleh... err, tolak harga...” ujar Adelia seraya mengeluarkan tin inti pai blueberi. “Harga ni? Saya tak jadi beli.”

Juruwang itu membuat muka bosan. Dia perlu key-in harga barang yang hendak ditolak oleh Adelia. Kemudian dia mesti buat catatan di dalam resit. Walaupun prosesnya tidak rumit tetapi dia rasa sikap pelanggan seperti Adelia menyusahkan dirinya saja.

“Kenapa? Tak cukup duit ke?”

Boleh pula Syed Idlan bertanya setelah dia melihat kekalutan yang sedang dialami oleh Adelia. Gadis itu pekakkan telinga aje. Malas dia nak layan. Dia sedar dia sepatutnya pergi ke bank dulu tadi. Manalah dia sangka barang yang dia beli melebihi lima puluh ringgit? Hadoi.

“Saya bayarkan dulu. Nanti awak boleh bayar balik,” kata Syed Idlan.

Juruwang merenung wajah Adelia. Dia memohon kepastian sama ada Adelia bersetuju dengan cadangan Syed Idlan atau sebaliknya.

Adelia rasa macam nak pitam. Mujurlah tiada sesiapa yang beratur di belakang lelaki itu. Jika ada, malu lagilah dia.

“Takpe, takpe...” kata Adelia seraya menyerahkan not lima puluh ringgit kepada juruwang itu. Setelah dia mendapat baki wangnya, dia terus beredar dengan terburu-buru.

Jika boleh dia nak hilang dari pandangan Syed Idlan. Malunya TUHAN aje yang tahu. Macam manalah dia cuai sangat sampai tak sediakan wang yang mencukupi? Ini pengajaran yang pedih buatnya. Belumpun jauh Adelia melangkah, dia didatangi oleh juruwang tadi. Juruwang itu menghulurkan sebuah beg plastik.

‘Tak mungkin ada barang yang tertinggal,’ fikir Adelia. “Apa ni?”

Juruwang itu menuding ke arah kaunter. Syed Idlan tersenyum seraya mengangkat tangannya. “Lelaki handsome tu yang bayarkan.”

Spontan Adelia menggeleng. Mana mungkin dia terima pemberian Syed Idlan? Rasa malu dan segan saling bertingkah di dalam jiwanya.

“Ambil cepat, saya ada kerja.” Juruwang itu terus beredar sebaik saja dia menghulurkan beg plastik itu ke tangan Adelia.

Dalam keadaan terpinga-pinga Adelia sempat melemparkan pandangan ke arah Syed Idlan. Kali ini lelaki itu langsung tidak mengendahkannya. Dengan perasaan kelam-kabut, Adelia terus beredar dari situ.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin