Home Novel Cinta BILA HATI DAH SUKA
BILA HATI DAH SUKA
Cahaya Izzati
18/9/2013 19:02:30
109,604
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

SUDU dan garpu saling berlaga. Hanya bunyi itu yang kedengaran di meja makan itu. Auni Liyana dan Rifdi Riyadh masing-masing hanya diam. Tiada bicara antara mereka. Seakan mereka tak wujud di pandangan masing-masing. Namun, Auni Liyana sengaja mencuri pandang menatap wajah lelaki di sebelahnya itu. Nasi goreng di pinggangnya yang masih tinggal separuh dikuis-kuis sahaja. Dia sudah tak berselera untuk terus menjamah makanan itu.

“Kenapa diam saja kamu berdua ni? Tak ada benda nak cakapkah?” tanya Dato' Bahri sambil tersenyum nipis melihat keletah kedua anak muda itu. Bukannya dia tak perasan ada kedinginan antara mereka berdua sejak bersua sebentar tadi.

“Tak ada apa-apalah Dato'. Dah tak ada benda nak dicakapkan. Lebih baik diam saja,” balas Auni Liyana sambil tersenyum nipis. Sudu dan garpu sudah diletakkan ke bawah. Dia sudah kenyang. “Tapi kenapa Dato' panggil kami berdua hari ni?” tanya Auni Liyana ingin tahu. Dia sendiri tak menjangkakan akan bertemu dengan Rifdi Riyadh untuk sama-sama menjamu makan tengah hari. Sangkanya, Dato' Bahri hanya menjemputnya sahaja. Mungkin ada perubahan yang ingin dilakukan pada pelan rumahnya.

“Tak ada apa-apa! Sajalah saya nak belanja makan kamu berdua. Liyana dan Rifdi kan dah bersusah payah siapkan rumah saya tu. Jadi, kiranya ni sebagai tanda terima sayalah,” ujar Dato' Bahri lagi.

“Tak perlulah Dato'. Tu memang dah tugas kami. Paling penting Dato' berpuas hati dengan hasilnya nanti,” sahut Rifdi Riyadh pula.

Auni Liyana memandang lelaki itu. Sangkanya dia hanya mahu berdiam diri hingga akhir pertemuan itu nanti. Senyuman nipis bermain di wajahnya ketika pandangan mereka bertaut. Rifdi Riyadh pun hanya tersenyum seadanya. Cuba menjadi profesional di hadapan kliennya itu. Tak mahu pula Dato' Bahri bersangka yang bukan-bukan terhadapnya. Dia masih punyai adab walaupun dengan seseorang yang tak disukainya.

“Eh, dah habis makankah Liyana?” tanya Dato' Bahri bila melihatkan masih banyak nasi bersisa di dalam pinggan gadis itu.

“Cukuplah ni Dato'. Saya dah kenyang,” balas Auni Liyana.

“Biasalah orang perempuan Dato'. Mesti nak jaga badan,” sampuk Rifdi Riyadh cuba bergurau. Dato' Bahri hanya tertawa mendengarkannya. Auni Liyana pula hanya tersenyum.

“Oh ya! Ni untuk kamu berdua,” ujar Dato' Bahri sambil menghulurkan dua sampul surat di hadapan mereka. Untuk seketika, kedua anak muda itu saling berpandangan. Teragak-agak mereka mengambilnya.

“Apa ni Dato'?” tanya Rifdi Riyadh sambil meneliti luaran sampul itu.

“Kad jemputan ke majlis sambutan ulang tahun syarikat saya. Saya harap benar, kamu berdua boleh datang nanti,” pinta Dato' Bahri.

Auni Liyana pun membuka sampul itu untuk melihat kad undangan itu. Majlis itu akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Berlangsung pada hujung minggu hadapan. Setelah membaca serba sedikit, dia pun memasukkan kembali kad jemputan itu ke dalam sampulnya kembali.

“Insya ALLAH, kalau tak ada apa-apa. Saya akan cuba datang,” janji Auni Liyana. Sengaja dia memandang Rifdi Riyadh menanti jawapan lelaki itu pula.

“Saya pun Dato'. Saya akan cuba datang nanti,” janji Rifdi Riyadh.

Setelah itu, mereka berbual seketika mengenai projek rumah Dato' Bahri. Kata Rifdi Riyadh, sudah siap hampir setengah. Mungkin akan siap sepenuhnya mengikut perancangan yang telah dibuat. Kemudian, Dato' Bahri pun membayar makanan mereka semua dan meminta diri dulu. Tinggallah mereka berdua sahaja.

“Nana pergi dulu ya,” pinta Auni Liyana.

“Umm...” hanya itu balasan Rifdi Riyadh.

Kalau boleh, Auni Liyana ingin lebih lama bersama lelaki itu. Ada banyak perkara yang ingin dia bualkan tapi tak mungkin Rifdi Riyadh ingin bersama dengannya lebih lama. Dari riak wajahnya sahaja sudah tahu. Dia tak sabar untuk pergi dari situ. Kemudian, gadis itu pun berlalu menuju ke keretanya.

Ting! Pintu lif pun berbuka. Auni Liyana melangkah keluar. Hampir sahaja dia terlanggar seseorang yang keluar dari lif sebelahnya. Lelaki itu memandangnya tajam. Auni Liyana hanya tersenyum.

Kalau tahu nak pergi parkir yang sama, lebih baik jalan sekali saja tadi. Ujar Auni Liyana di dalam hatinya. Namun, Rifdi Riyadh hanya diam. Tiada bicara antara mereka ketika mereka sama-sama beriringan menuju ke kereta masing-masing. Lelaki itu sedikit ke hadapan langkahnya.

Auni Liyana hanya melihat belakang Rifdi Riyadh. Namun, itu sudah mampu membuatkannya tersenyum sendiri. Dia terleka melihat lelaki itu hinggalah lelaki itu berhenti di keretanya. Kereta gadis itu sedikit ke hadapan lagi.

Auni Liyana cuba melambai tangan namun Rifdi Riyadh langsung tak mengendahkannya. Entah bila lagi, mereka akan bertemu. Walaupun hatinya menegah untuk terus menyayangi Rifdi Riyadh tapi dia masih ingin terus berharap. Meskipun harapan itu suatu yang mustahil baginya. Dia masih bahagia punyai harapan itu.

“Eh...?” Auni Liyana memegang kepalanya. Tiba-tiba sahaja pandangannya berbalam seketika. Mujur sahaja dia tidak jatuh. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya cuba mengembalikan pandangannya. Matanya sedikit berair. Sempat dia meraba dahinya. Badannya makin panas dari pagi tadi. Dia mengeluh perlahan. Tulah degil sangat Nana! Sepatutnya tadi berehat saja di rumah kalau dah tahu demam macam ni. Rungut Auni Liyana sendirian.

“APA kena pulak dengan minah ni?” tanya Rifdi Riyadh sendirian bila dia melihat Auni Liyana seperti hampir terjatuh. Kemudian, gadis itu berjalan kembali. “Hmphh, tu lah. Jalan tak pakai mata,” sindirnya sendiri. Entah mengapa, dia terleka melihat gadis itu menuju ke keretanya. Dia masih lagi di dalam kereta. Belum mahu untuk memandu keluar dari situ.

Kemudian, dia keluar dari keretanya. Langkah Auni Liyana makin tak seimbang. Dia melangkah laju mendapatkan gadis itu. Ketika itu, dia sendiri tak pasti mengapa dia pergi mendapatkannya. Badannya seperti bergerak sendiri. Hatinya juga kosong tanpa kata.

“Nana!!” jerit Rifdi Riyadh bila gadis itu sudah hilang keseimbangannya. Kunci kereta di tangan gadis itu juga terlepas dari tangannya. Mujur sahaja dia sempat menyambut tubuh itu sebelum rebah menyembah lantai konkrit. Gadis itu sudah tak sedarkan diri.

“Hei!! Kau jangan main-main Nana!” herdik Rifdi Riyadh. Dia menggoncangkan tubuh gadis itu sedikit kasar tapi tiada sebarang reaksi. Hanya air matanya sahaja tumpah membasahi pipi seperti menggambarkan kesakitannya ketika itu.

“Nana..!” Rifdi Riyadh masih cuba memanggil gadis itu. Spontan dia terus melekapkan tangannya ke dahi Auni Liyana. Panas badan gadis itu.

Rifdi Riyadh memandang sekeliling cuba mencari seseorang untuk menolongnya. Namun, tiada sesiapa di situ. Hanya barisan kereta sahaja memenuhi ruangan parkir. Dia memandang kembali wajah gadis di pangkuannya itu.

Lemah! Dia nampak lemah sangat. Getus hati kecil Rifdi Riyadh. Selama ini, dia sering melihat Auni Liyana sebagai seorang gadis yang aktif dan ceria. Baru hari ini, dia melihat sisi lemah gadis itu. Dan, dia terleka melihatkannya seketika.

Tanpa berfikir panjang lagi, dia mengambil kunci kereta Auni Liyana dari lantai. Terus sahaja dia menekan punat membuka kereta gadis itu. Mujur sahaja kereta itu tak jauh dari mereka. Rifdi Riyadh terus mendukung gadis itu masuk ke keretanya. Perlahan-lahan dia meletakkan Auni Liyana di dalam kereta. Sempat juga dia memakaikan tali pinggang keledar untuk gadis itu. Kemudian, dia sendiri memandu kereta itu.

SILAU matahari memaksa Auni Liyana menutup kembali matanya. Kemudian, dia memalingkan wajahnya dari silauan itu. Barulah dia boleh membuka matanya perlahan-lahan. Dia melihat keadaan sekeliling. Tak lama untuk dia mengecam bilik itu. Dia berada di sebuah wad. Tapi bagaimana dia boleh sampai ke sini?

Auni Liyana cuba mengingati kembali peristiwa yang berlaku tadi. Yang dia ingat hanyalah makan tengah hari bersama Dato' Bahri dan Rifdi Riyadh. Perkara terakhir adalah dia berjalan menuju ke keretanya. Dia pasti yang dia masih belum sampai ke keretanya. Setelah itu, dia sudah tak ingat lagi apa yang berlaku. Tapi, dia merasakan seperti ada suara seseorang memanggilnya ketika di parkir. Siapa yang panggil? Auni Liyana mengeluh perlahan bila dia tak mampu untuk mengingati lagi kejadian itu.

Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Terjengul wajah Doktor Yamin dan Doktor Hazim di muka pintu. Mereka berdua tersenyum memandangnya. Auni Liyana pun bangun bersandar ke kepala katil.

“Macam mana? Ada rasa pening lagi?” tanya Doktor Yamin.

“Tak. Dah okay sikit. Cuma.... rasa letih lagi,” jawab Auni Liyana. Agak lemah suaranya. Doktor Hazim pula mencatatkan sesuatu ke dalam laporan kesihatannya.

“Yalah. Dah kamu demam. Ada sakit kat mana-mana lagi tak?” tanya Doktor Yamin lagi. Auni Liyana menggeleng.

“Doktor,” panggil Auni Liyana. Kedua-dua mereka memandangnya. “Macam mana saya boleh ada dekat sini? Ada orang panggilkan ambulans ke?” tanyanya ingin tahu.

“Taklah. Kawan Nana yang hantar Nana ke sini,” beritahu Doktor Yamin. Auni Liyana mengerutkan dahinya. Kawan? Siapa? Tak mungkin lelaki itu pulak. Auni Liyana bertanya sendiri.

“Siapa ya?”

“Umm, dia tak beritahu pulak nama dia. Tapi, dia tinggi lebih kurang saya jugak. Lepas tu, dia pakai baju kemeja warna biru cair. Hensem orangnya,” ujar Doktor Yamin sengaja bergurau. Kini, Auni Liyana pasti memang Rifdi Riyadh yang menghantarnya ke sini. Tanpa dipaksa, senyuman mula menghiasi wajahnya. Tak sangka lelaki itu masih prihatin dengannya.

“Dia ada cakap apa-apa tak?” tanya Auni Liyana lagi.

“Tanya Doktor Hazim. Dia memang ada cakap sesuatu tadi,” suruh Doktor Yamin. Auni Liyana pun berkalih memandang doktor muda itu. Doktor Hazim tersenyum nipis memandangnya. Bila teringat kembali kata-kata lelaki itu membuatkan dia mengeluh perlahan. Auni Liyana pula terus memandangnya menunggu bicaranya. Dia mengeluh lagi mengalah dengan gadis itu.

“Dia kata....” Doktor Hazim berdehem seketika sebelum meneruskan bicaranya. “Tolong cakap dengan dia. Lain kali, kalau tak sihat. Duduk saja dekat rumah. Ni tak! Boleh pulak pergi pengsan dekat parkir tu. Nasib baik tak jadi apa-apa!” ujar Doktor Hazim sambil cuba mengajuk cara percakapan Rifdi Riyadh. Auni Liyana tertawa mendengarkannya. Doktor Yamin juga turut tertawa.

“Yup! Memang betullah dia tu,” ujar Auni Liyana masih lagi tersenyum lucu.

“Nana ada masalah ke dengan kawan Nana tu?” tanya Doktor Yamin pula ingin tahu.

“Taklah! Dia memang macam tu dengan Nana,” beritahu Auni Liyana jujur. “Alah, tak apa! Dia tu baik orangnya sebenarnya. Doktor anggap saja dia tu ada masalah untuk berkomunikasi dengan orang lain. Tak adalah nak terasa sangat dengan dia tu,” sambungnya lagi. Doktor Yamin tertawa kembali bersama Doktor Hazim. Ada-ada sahaja keletah gadis itu.

Kemudian, kedua-dua doktor itu pun keluar dari biliknya. Tinggallah Auni Liyana sendirian. Mujur sahaja dia dibenarkan pulang hari itu juga. Dia tak mahu pula merisaukan emaknya di rumah.

Auni Liyana tersenyum sendiri bila teringatkan Rifdi Riyadh. “Tapi dia tak cakap yang aku ni menyusahkan dia. Jadi... dia tak berkira sangatlah dengan aku,” ujarnya sendiri.

“Terima kasih Rifdi...” Auni Liyana terus tersenyum. Dia memandang keluar tingkap di dalam wad itu. Langit membiru dengan kepulan awan yang memutih. Hatinya makin senang melihatkannya.
Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cahaya Izzati