Home Novel Cinta Bukan Salah Cinta
Bukan Salah Cinta
21/11/2014 11:21:38
19,912
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

MEGDELINA menyusun beberapa ketul batu di tepi dinding dapur. Laman belakang seluas lima 5 x 10 kaki itu kelihatan bersih dan kemas. Bahkan dia sudah merancang hendak membuat taman kaktus di situ. Semalam dia memunggah enam pokok kaktus dari nurseri dan dibawa pulang bagi melaksanakan rancangan fasa pertama.

Sedang asyik dia bekerja tiba-tiba seseorang menyapanya dari belakang. Badannya tersentak. Dadanya berdebar. Terlintas di benaknya wajah seseorang lantas dia segera berpaling.

“Oh, awak, Syafil! Ingatkan siapa tadi.”

Syafil mengerising sambil memegang sepinggan bihun dan air soya. “Bukalah pintu pagar ni. Boleh kita makan sama.”

Megdelina menghela nafas lega. Pantas dia masuk ke dapur mencari kunci. Sempat juga dia mengintai-intai keluar mencari wajah seseorang yang sebenarnya memang tidak masuk akal kalau berada di situ.

Dia membuka kunci pintu pagar belakang untuk membolehkan Syafil masuk.

“Nah, ni awak punya!” Syafil mengunjukkan sepinggan bihun goreng dengan telur mata kerbau dan secawan air kopi kepada Megdelina.

“Terima kasih,” sambut Megdelina teruja kerana tidak menyangka Syafil sudah menyiapkan sarapan untuknya.

“Awak tunggu. Saya nak ambil sarapan saya sekejap.” Syafil berpatah balik ke rumahnya.

Megdelina tidak membantah. Aroma kopi Arabica benar-benar menyengat hidungnya. Ditambah pula bau bihun goreng membuatkan perutnya tiba-tiba menggelodak.

Dua minit kemudian, Syafil kembali dengan sebuah kerusi lipat dan sepinggan bihun goreng. Dia membuka kerusi tersebut.

“Duduklah. Kerusi ni kukuh. Jangan takut.”

Megdelina mengangguk lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi kecil yang diperbuat daripada besi bersilang dengan pelapik punggung daripada kain keras.

Manakala Syafil pula duduk di atas batu-bata yang sudah tersusun bertingkat-tingkat. Kakinya bersilang panggung. Seluar bermudanya tersingsing hingga ke atas lutut. Bulu-bulu roma kasar berselirat melingkari betisnya yang pejal.

Megdelina tunduk mengunyah bihun. Matanya sengaja dilarikan kerana tidak mahu memandang bahagian sensitif itu.

Syafil sejak tadi memerhati pokok kaktus yang disusun melengkung di tepi dinding segera memecah kesunyian. “Cantik kaktus awak.”

Megdelina mengangkat muka dan mengulum senyum. “Saya suka kaktus. Dia menggambarkan diri saya.”

Syafil menyahut. “Ya, nampak garang tapi sebenarnya baik hati. Terima kasih sebab semalam awak beri saya pokok halau nyamuk.”

Gadis itu tertawa. “Ya ke saya ni garang?” Dengan tawa yang masih bersisa, dia menambah. “Terima kasih sebab selalu bagi saya makan,” balas Megdelina separuh manja. Bihun di dalam pinggan sudah tinggal suku. “Sedap bihun ni. Terasa udang kering dan teksturnya sangat lembut. Senang dikunyah.”

“Wah, komen awak dah macam juri Masterchef. Lega hati saya awak suka bihun kosong ni.”

“Saya memang suka bihun yang digoreng ringkas tanpa banyak bahan tambahan. Cukup udang kering dan cili.”

“Nampaknya kita ni sama selera. Bolehlah kita sarapan bersama lagi.”

Mereka tertawa. Nampak serasi tatkala bersama. Tanpa disedari ada mata yang mengintai dari atas. Pemiliknya sedang menahan perasaan marah yang terbuku.

“Awak ni peramah. Tentu ramai kawan,” ujar Megdelina sejurus meneguk air.

“Tengok juga. Saya hanya rapat dengan orang yang masuk gu dengan saya.”

“Jadi saya ni kira gu awaklah, kan?” Gadis itu sekadar menguji.

“Boleh sangat.” Syafil tergelak.

“Awak pun suka kaktus ke?” Megdelina menyoal. Senang benar hatinya bila berbicara dengan Syafil. Lelaki itu sangat sopan dan jujur.

“Saya suka apa saja yang awak suka.” Terhenti kata-kata itu di situ. Syafil menelan air liur sebelum menyambung, “Pokok ni apa namanya? Cantik, bulat, gemuk... hmm... geram saya!”

“Oh, yang ni?” soal Megdelina sambil menunjuk ke arah kaktus berwarna kuning keemasan berbentuk bulat. “Namanya Golden Barrel. Kaktus yang paling saya suka. Tengok durinya yang keemasan. Bila kena cahaya matahari, nampak berseri-seri. Comel sangat!”

Megdelina bercerita panjang lebar. Mudah sangat berbicara dengan orang yang pandai mengambil hati. Bukan macam Yusoffe yang mulutnya celopar. ‘Ah, kenapa pula tiba-tiba aku ingatkan dia?’ getusnya di dalam hati.

“Tak sangka ya pokok kaktus pun cantik,” balas Syafil tanpa melepaskan renungannya ke wajah Megdelina. Kaktus yang sifatnya berduri mungkin tidak begitu digemari ramai tetapi kepada peminatnya, kaktus lambang jiwa murni yang cekal dalam menempuh segala dugaan.

Pantas Megdelina menjawab. “Semua pokok cantik. Pokok-pokok kaktus kan makhluk ALLAH juga?”

“ALLAH Maha Indah sebab itu kita pun sukakan keindahan dan kecantikan,” balas Syafil tenang sambil matanya memandang ke arah pokok-pokok renek di tepi longkang. “Macam kaktus ni. Dalam keadaannya yang berduri dan tidak dianggap romantik, dia tetap ada kecantikan yang tersendiri. Bijak awak campurkan dia dengan tumbuhan jenis lain. Taman ni nampak segar. Apa nama pokok-pokok yang melata ni?” sambungnya lagi.

Megdelina mengangguk setuju. “Pokok hiasan tutup bumi memang saya sengaja tambah untuk wujudkan suasana segar.”

Syafil mengangguk. “Kat Subang Bestari ni mesti belakang rumah awak yang paling cantik. Jarang orang kita nak hias belakang rumah.”

Megdelina tertawa galak, lucu dengan pandangan Syafil itu. “Bilik saya di sebelah dapur. Jadi inilah laman saya. Waktu cuti, saya suka lepak di laman belakang ni. Konon macam backyard orang putih.”

Syafil tersenyum sambil membiarkan Megdelina terus bercerita. Kesempatan itu diambil untuk memerhatikan wajah gadis manis itu. Paling banyak direnungnya jari jemari runcing yang sedang memegang mug itu. Jari-jari jemari yang telanjang tanpa sebentuk cincin pun itu menari-nari sambil pemiliknya bercerita tentang pokok. Dia jadi ralit.

“Waktu cuti awak suka buat apa?” soal Megdelina.

“Mestilah memasak. Tapi sejak kenal awak ni saya rasa macam nak bercucuk tanam pula terutama pokok herba yang sesuai untuk masakan,” jawab Syafil semakin teruja.

“Wah, bagus tu! Kalau awak nak pokok herba, saya boleh bawa balik. Bila dah boleh dimasak, jangan lupa kongsi dengan saya hasilnya,” ujar Megdelina.

“Alhamdulillah, memang saya nak beritahu awak pasal pokok herba. Mujur ternampak awak tadi. Cepat-cepat saya goreng bihun. Sambil borak sambil makan.”

Megdelina tergelak. “Alah, tak payah susah-susah. Saya boleh masak sendiri.”

“Tak apa. Lagipun bukan selalu dapat minum pagi dengan awak.” Sesekali mata Syafil jatuh ke jari-jemari kaki gadis di depannya. Memang dia tahu kawasan itu kawasan larangan tapi dia tidak dapat menolak untuk tidak melihatnya.

Sedang mereka asyik berbual, Netty muncul dengan menghentak mug ke dalam singki membuatkan Syafil dan Megdelina terkejut. Mereka saling berpandangan lalu memandang ke dalam daput. Netty sedang berdiri di singki.

“Cikgu dah sarapan?” sapa Syafil mesra.

Senyap. Hanya kedengaran bunyi air paip yang menyembur sahaja.

Syafil bangun lalu menuju ke pintu dapur. “Tolong basuhkan pinggan saya, boleh? Nanti saya upah cikgu sepinggan bihun goreng.”

Netty yang tadinya masam terus memandang Syafil lalu mengukirkan senyuman. “Oh, ingatkan dah lupakan kita tadi. Seronok aje makan berdua…”

“Eh, memang nak ajak cikgu sekali tadi tapi nampak Megdelina aje,” ujar Syafil sekadar mahu mengambil hati. Senyumnya kelat.

“Ya ke? Mana bihunnya?” Netty teruja. Matanya bercahaya.

Syafil melepaskan nafas lega. Ternyata pujukannya berjaya. “Ada di rumah saya. Pergilah ke dapur.”

“Eh, jomlah temankan. Saya tak biasalah masuk rumah orang.” Netty pantas menjawab.

Syafil terkesima. Berat hatinya hendak meninggalkan Megdelina di situ. Tapi nampaknya Netty lebih pantas bertindak. Tanpa berlengah Netty terus menerpa keluar.

“Cepatlah, Syafil. Saya lapar ni!” jerit Netty. Lagaknya seperti keanak-anakan.

“Saya tunggu sini saja,” ujar Syafil lagi. Berat dia hendak mengekori langkah Netty.

Megdelina terkejut dengan situasi kabut itu. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan. Pura-pura tidak melihat. Namun di dalam hatinya tertanya-tanya mengapa tiba-tiba Netty begitu lepas laku? Apa motifnya?

“Tak apalah saya tunggu kat sini dengan Megdelina. Cikgu pergi ke dapur rumah saya. Bihun ada dalam kuali,” tambah Syafil lagi.

Netty menarik muka masam. Dia merengus lalu mengayun langkah ke dapur rumah Syafil.

Megdelina dan Syafil memandang langkah gadis itu.

“Jomlah, Syafil! Saya tak tahu kat mana awak letak pinggan!” Tiba-tiba terdengar laungan Netty yang masih tidak berputus asa.

Wajah Syafil kelat. Dia serba salah. “Ya... ya... saya datang.”

Sebaik Syafil menghilang, Megdelina segera masuk ke dalam rumahnya. Membasuh pinggan yang telah digunakan tadi. Dia tidak mahu mengganggu peluang keemasan Netty untuk berkenalan dengan lebih rapat lelaki yang diminatinya itu. Dia sedikit pun tidak berkecil hati.

Memang dia senang dengan Syafil tetapi hatinya tidak bergetar. Baginya layanannya pada Syafil sekadar kawan. Cuma tindakan Netty yang seolah-olah mahu merebut Syafil dengannya membuatkan dia terasa. Sikap Netty tadi agak gelojoh dan kurang sopan.

Kemudian dia menyiapkan kerjanya yang terbengkalai tadi. Pantas dia menyusun dahlberg daisydi atas tanah yang sudah digembur dan menabur baja. Selesai kerjanya dia menyiram pokok tersebut agar dapat hidup subur. Manakala laluan dari pintu pagar belakang disusun dengan batu-batu refleksologi.

Megdelina tersenyum puas. Dia mencangkung sambil merenung taman kecilnya. Fikirannya menerawang jauh. Membayangkan dia memiliki sebuah taman secantik Indah. Manakala anak-anak kecil yang comel berlari-larian mengejar kucing kesayangan. Ah, lebih indah lagi bila anak-anak itu ialah anak-anaknya.

“Wah, cepatnya siap!” Tiba-tiba satu suara menyapanya.

Megdelina terkejut. Dia bingkas berdiri dan kepalanya terhantuk pada dagu seseorang.

“Argh!” Kedua-duanya menjerit kesakitan.

Megdelina menekan kepalanya yang bengal dan berpinar-pinar. Begitu kuat hentakan tadi. “Maaf!” Dia berpaling.

“Saya pun minta maaf!” balas Syafil dengan mulutnya berlumuran darah.

Megdelina panik. “Bibir awak luka! Mari sini basuh di singki!”

Syafil akur. Hentakan kuat kepala Megdelina tadi rupa-rupanya telah membuatkan bibirnya tergigit. Mulutnya yang berdarah dihala ke bawah cucuran air. Darah bercampur air tersimbah keluar bila Syafil berkumur.

“Ya Allah! Kenapa ni?” sergah Netty yang muncul selepas beberapa ketika.

“Err... salah aku... kami terhantuk...” balas Megdelina dengan suara bergetar.

Netty memandang Megdelina dengan wajah masam sebelum menempelaknya, “Kenapa kau ni cuai sangat? Syafil yang besar macam ni pun tak nampak ke?Kesian dia sampai berdarah bibir.”

Megdelina terpempan. Terketar-ketar bibirnya hendak menjawab tetapi ditahannya kerana tidak mahu memanjangkan hal.

Syafil turut tidak terkata apa-apa bila Netty segera menekap bibirnya yang luka dengan tisu sebelum menariknya ke ruang tamu.

Megdelina terus menghilang di dalam bilik dengan perasaan yang bengkak. Bengang kerana ditempelak oleh Netty tadi. Hatinya sempat mengomel, ‘Macamlah aku hadap sangat mamat tu. Ambillah kalau kau nak sangat!’

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh