Home Novel Cinta Jadikan Dia Yang Terakhir
Jadikan Dia Yang Terakhir
Tinta Ana
25/8/2018 19:45:01
29,765
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3-1

“Saya minta maaf!” kata Furqan.

“Saya pun. Saya tak sepatutnya mudah naik angin macam tu,” balasku.

Jadi aku dan Furqan mulakan pagi ini dengan masing- masing meminta maaf sesama sendiri. Selepas aku pulang semalam, aku terus matikan telefon. Jika tidak kami akan terus bertengkar. Jadi pagi ini, selepas solat Subuh, aku menelefonFurqan. Tetapi belum sempat aku menelefon dia, dia yang terlebih dahulu menelefon aku. Aku benar- benar rasa bersalah tentang hal semalam. Tetapi sebelum sempat aku mengutarakan permohonan maafku, Furqan yang bersuara terlebih dahulu.

“Awak terus pulang semalam?” tanya Furqan.

“Ya,ada teksi semasa saya keluar. Awak pula?”

“Saya terpaksa tunggu sekejap. Tapi nasib baik juga. Kalau tidak teruklah Dyana,”jawab Furqan.

“Kenapa dengan Dyana?” soalku hairan.

“Kereta dia rosak. Entah apa masalahnya. Jadi saya terpaksa cari bengkel yang masih dibuka untuk datang tunda.”

“Habis Dyana balik naik apa?”

“Saya hantar dia balik ke Banting.”

Tiba-tiba perasaan cemburu semalam meluap- luap kembali. Jadi dia berdua saja dengan Dyana semalam? 

Ah, sudahlah! Baru tadi aku minta maaf kepada dia, sekarang hendak bergaduh lagi? Lagipun aku yang balik sendiri semalam. Dyana pun dalam kesusahan, salahkah kalau Furqan membantu?

Aku harus rasional. Tak guna terlalu cepat cemburu dan naik marah. Kata orang masa bertunang ini, darah manis. Jangan diikutkan sangat perasaan marah. Tak boleh begini. Bersangka baik. Saling percaya. Ini baru bertunang, belum berkahwin. Ujian hubungan kami sedang berjalan sekarang. Cemburu tidak bertempat hanya akan menyusahkan aku kelak. Lagipun Dyanakan adik aku, dengan dia pun hendak cemburu?

“Oh,macam tu!” Itu saja respon dari aku setelah menarik nafas dan menenangkan diri. “Awak ada rancangan apa hari ini?”

“Ada latihan dengan Kaki Bowling petang nanti. Kami ada perlawanan di Terengganu tidak lama lagi.”

“Jauhnya perlawanan awak,” komenku, menyembunyikan rasa kecewa.

Aku ingin bertemu dengan Furqan sebenarnya. Kalau boleh aku hendak cuba lebih berbaik dengannya hari ini. Setakat bercakap di telefon tidak cukup.

“Kelab kami kadang- kadang dapat jemputan luar. Tahun ini dah lima kali.”

“Yakah? Baguslah macam tu,” komenku.

“Saya ingat nak sarapan dengan awak pagi ni sebab mungkin kita susah nak jumpa lepas ni. Awak pun sibuk kerja nanti,” kata Furqan.

Terus aku tersengih lebar. Dia juga sama seperti aku rupanya. Terasa ingin bertemu dan menatap wajah masing- masing. Hilang terus perasaan kecewa tadi.

 “Nak tak?” tanya Furqan.

“Mestilah!” Cepat- cepat aku menjawab.

Furqan tergelak kecil. “Saya datang jemput awak nanti.”

“Ok, sayang!”

Furqan tergelak dengan jawapanku. Selepas putuskan talian terus aku bersiap- siap. Sia- sia saja rasa cemburu aku. Sepatutnya aku percayakan dia, bukannya mudah melenting. Bukankah cinta itu perlu rasa saling percaya? Kalau tidak bagaimana ia akan bertahan?

 

 

Persiapan untuk majlis pernikahan kami berjalan lancar. Dalam masa lima bulan lagi, aku akan bergelar isteri kepada Furqan. 

Wah, tidak sabar rasanya!

“Hai anak dara, kenapa tersengih macam kerang busuk?”

Soalan ibu membuatkan aku kembali serius. Itulah, berangan masa tengah memasak. Ibu pun dah perasan.

“Itu dipanggil senyum gatallah, ibu! Orang tengah bahagia ibu, biarlah,” perli Dyana.

Aku mencebik ke arah Dyana. “Cemburulah tu!”

“Tak kuasa!” Cebik Dyana kembali.

“Furqan datang tak nanti?” tanya ibu, tersenyum melihat gelagat kami.

“Tak, dia sibuk. Tapi Aunty Sofea dan Uncle Hadi akan datang,” jawabku.

“Dah nak jadi mentua pun masih aunty dan uncle? Bila nak panggil mama dan papa?” soal Dyana.

“Lepas kahwinlah panggil mama dan papa. Kamu yang sibuk bertanya tu bila nak kahwin?” usikku.

Dyana mencebik. “Nanti bila adik jumpa lelaki yang sesuai, adik kahwinlah.”

“Selamat berjaya,” perliku.

“Terima kasih,” balas Dyana, langsung tidak terkesan.

“Tapi Furqan ke mana? Kenapa dia tak dapat datang?” tanya ibu.

“Dia outstation. Ada di Johor sekarang.”

Aku terus memandang Dyana. Macam mana dia tahu? Aku pun baru tahu tadi selepas menelefon Furqan.

“Dia beritahu dalam WhatsApp lepas adik tanya tentang latihan bowling,” jelas Dyana apabila sedar aku merenungnya.

Jangan cemburu! Berkali- kali aku mengingatkan diri. Mereka memang saling berhubung atas urusan latihan untuk perlawanan akan datang. Cukuplah sekali kami bergaduh kerana aku curiga tentang mereka.

“Furqan cakap dia akan datang hujung minggu nanti untuk makan tengah hari dengan kita. Dia rasa bersalah tentang hari ni,” jelasku kepada ibu.

“Benda kecil macam ni tak perlulah rasa bersalah. Kita pun dah nak jadi satu keluarga,” kata ibu.

Ibu kembali menyambung memasak. Aku menghidang makanan dan menyiapkan meja sambil ditolong oleh Dyana. Meriah makan malam hari ini. Selalunya cuma kami bertiga tapi hari ini Dyana akan sertai kami selain Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Dyana jarang dapat balik kerana sibuk dengan kerja. Sekarang dia sertai pasukan bowling pula, bertambah sibuklah dia. Dia sempat bertemu janjikah dalam kesibukkannya itu?

Aku mengerling Dyana. Aneh juga jika dia tidak ada seseorang yang istimewa dalam hidupnya sekarang. Berbanding dengan aku, dia lebih segalanya. Lebih cantik,lebih berbakat dalam pelbagai bidang, lebih pandai memasak, lebih berjaya.Pendek kata, lebih hebat. Mungkin dia terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk peduli tentang urusan cinta.

“Kenapa kakak asyik renung adik macam tu?” soal Dyana merenungku dengan cuak.

“Kakak tengok makin hari…adik makin gemuk!” usikku, membuatkan terus wajah Dyana kelat.

“Mengarutlah kakak ni!”

Aku cuma ketawa. Tidak perlulah aku fikir banyak. Aku yakin yang orang seperti Dyana pasti akan bertemu jodoh juga suatu hari nanti.

Previous: Bab 2
Next: Bab 3-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.