Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
580,576
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Sudah dua hari Ainin tidak melihat muka Ziyad kerana pemuda itu keluar rumah awal untuk ke pejabat. Entah apa sebabnya Ziyad bersikap dingin begitu, dia tidak dapat meneka. Apa yang dapat disimpulkannya, Ziyad mahu mengelak daripada bertembung muka dengannya. Mungkin marah Ziyad padanya masih berbekas di hati.

Namun pagi ini, sebaik saja tiba di rumah Hajah Fauziah, hati Ainin melonjak melihat kereta Ziyad masih berada di halaman rumah. Lambat pula dia pergi kerja hari ini. Dia dah tak marah pada aku ke?Tanyanya di dalam hati.

Ainin masuk ke rumah Hajah Fauziah menggunakan kunci pendua yang diberikan Ziyad. Sejak dimarahi Ziyad tempoh hari, dia tidak berani lagi memberi salam atau mengetuk pintu. Dia masuk sesuka hati. Rumah Hajah Fauziah sudah dibuatnya seperti rumah sendiri.

Ziyad sedang menyarung stoking apabila dia melangkah masuk ke rumah besar itu.

Pemuda itu langsung tidak menghiraukan kedatangan Ainin. Sambil berdiri tegak berhampiran sofa tempat Ziyad duduk, Ainin memandang wajah pemuda berkulit cerah itu tepat-tepat.

“Tawaran Encik Ziyad pada saya tu masih terbuka ke?” Walaupun berdebar, Ainin kuatkan semangat untuk berdepan dengan Ziyad.

Sudah tiga malam berturut-turut Ainin melaksanakan solat istikharah supaya diberikan petunjuk memilih jodohnya. Dan sudah tiga malam berturut-turut juga, lelaki itu hadir menjengah mimpinya. Ziyadlah lelaki itu. Mungkin memang Ziyadlah lelaki yang diciptakan Allah untuk menjadi pelindung seorang perempuan bernama Ainin Sofiya.

Ziyad yang nampak terkejut mendengar pertanyaan Ainin mengangkat kepala. “Kenapa? Awak dah ubah fikiran?”

“Kata-kata Encik Ziyad memang betul. Saya tak seharusnya pentingkan diri sendiri dan bersikap ego. Saya sepatutnya mendahulukan orang-orang yang saya sayang dari hati dan perasaan saya sendiri,” ucapnya lambat-lambat.

“Apa yang membuatkan awak ubah fikiran?” soal Ziyad seperti tidak berminat melayan Ainin bercakap. Dia pura-pura menumpukan perhatian pada kaca televisyen di hadapannya. Semua siaran ditekan menggunakan remote control walhal hatinya bukan berminat sangat mahu menonton.

“Hisyam nak duit malam ni,” terang Ainin singkat.

“Jadi awak dah terdesaklah,” perli Ziyad sambil menjeling Ainin sekilas.

Ainin Sofiya tidak menyahut.

“Duit awak ada atas almari kat dapur. Bayar duit Hisyam, lebih tu beli motosikal baru. Esok, saya tak nak tengok awak datang naik motosikal buruk tu lagi,” tegas Ziyad.

Ziyad memang sengaja meletakkan wang yang dipulangkan Ainin tempoh hari di atas almari di dapur. Manalah tahu kalau-kalau Ainin berubah fikiran untuk menerima pemberiannya.

“Tapi… saya tak nak berhutang dengan Encik Ziyad.”

“Siapa kata awak berhutang? Janji tetap janji. Saya bagi awakduabulan untuk buat persediaan. Telefon abang awak untuk jadi wali dan sediakan apa-apa yang patut. Nanti saya masukkan duit ke dalam akaun awak untuk awak uruskan semua perkara tu. Manalah tahu awak nak buat kenduri untuk orang-orang kampung awak di Muar sana.”

“Ki… kita nak bernikah di Muar ke?” tanya Ainin yang masih keliru dengan keputusan yang dibuatnya. Ianya terlalu pantas. Terlalu drastik.

“Yalah. Takkan nak bernikah di sini? Saya dah cakap, saya tak nak orang tahu. Kalau setakat saudara-mara awak yang tahu, saya tak kisah sangat. Mereka bukannya kenal saya,” kata Ziyad ambil mudah.

Ainin tidak berkutik mendengarnya. Matanya terkebil-kebil memandang Ziyad. Betul ke keputusan aku ni? Hatinya masih berbelah bahagi.

“Kenapa diam? Nak ubah keputusan lagi? Baik fikir masak-masak sebelum terlambat. Bila tok kadi dah ada depan awak, awak dah tak boleh buat apa-apa lagi. Jangan pulak awak lari tinggalkan saya masa tu. Awak jangan malukan saya. Saya cencang awak lumat-lumat nanti,” ugut Ziyad dengan mata tajam memanah anak mata Ainin.

“Tak. Saya tak akan tarik balik keputusan saya,” tegas Ainin dengan menelan air liur.

“Baguslah. Mak awak dah tahu ke pasal ni?”

Ainin mengangguk.

"Kita berdua kena pergi kursus kahwin, kan? Saya cuba booking tempat untuk kursus tu hari ni. Kalau dapat lagi dua minggu kita pergi." Ziyad mengusulkan begitu.

Tercengang Ainin mendengarnya. Walaupun pernah punya pengalaman berkahwin, dia tidak teringat tentang itu. Nampaknya dalam bab nikah kahwin, Ziyad lebih peka dari Ainin. Agaknya Ziyad sudah tidak sabar-sabar bergelar suami kepada Ainin Sofiya!

“Ada beberapa syarat yang awak kena ikut untuk jadi isteri saya ni, Ainin. Awak dengar betul-betul. Pertama, untuk mengelakkan orang syak kita dah jadi suami isteri, saya mahu awak kekal panggil saya Encik Ziyad. Tak payah panggil saya abang ataupun Ziyad. Kedua, simpan sijil nikah kita tu ditempat yang selamat. Kalau boleh jangan simpan dalam dompet ataupun handbag awak. Ketiga, saya nak awak kekal bekerja di sini sebab umi saya suka sangat pada awak dan dah tak mahu cari pembantu rumah lain. Awak faham semua tu?” Tegas suara Ziyad.

Ainin mengangguk lagi.

“Kalau dah faham, pergi buat kerja awak. Apa-apa hal nanti saya beritahu,” putus Ziyad kemudian.

Perbincangan mereka tamat di situ. Ainin bergerak ke dapur dan Ziyad pula terus ke pejabat. Mudahnya kedua-dua insan ini merancang untuk mendirikan sebuah masjid!

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.