Home Novel Cinta ~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
~JODOHNYA~OH MY SWEET BURBERRY BRIT EDT
usakoprincessz
15/5/2019 14:58:06
14,347
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19


     Malam itu, aku tidur agak lambat. Masing-masing tidak dapat melelapkan mata dek memikirkan duit Kimi dan Farhan. Kalau dihitung, Farhan perlu membayar sebanyak RM6300 manakala Kimi pula RM9450. Aku membuka komputer riba Asusku untuk menjalani wilayah jalur lebar menerusi broadband Celcom milikku. Aku perlu memastikan bahawa duit mereka benar-benar masuk ke dalam akaun milikku itu, kerana botol-botol wangian tersebut telah pun berada di tangan mereka. Ini bermakna wang hasil jualan tersebut perlu aku pindahkan kepada Encik Shark nanti. Aku tidak menyangka yang angka sebanyak itu akan menembusi talian akaun bank ku itu. Pasti pihak bank Negara juga turut terkejut dengan kenaikan mendadak baki akaun ku itu. Sebelum itu, aku menghantar pesanan ringkas melalui emel kepada Encik Shark memberitahu bahawa telah terjual sebanyak 200 botol unit perfumes itu kepadanya. Emel aku terus mendapat reaksi daripadanya. Kelihatannya, Encik Shark pun belum tidur juga.

     Aku menekan kata laluan masuk ke laman web akaun bankku itu untuk memeriksa amaun yang tercatat di situ. Seingatku jumlah yang tinggal di situ hanya RM100 sahaja setelah aku memindahkan wang Datin Anita kepada Kedai Aira Comel dulu. Das yang di sebelah juga turut teruja. Saat punat 'saving account', aku separuh pengsan apabila mendapati baki akaunku berubah mencecah angka RM51 900. Banyaknya! Tak masuk dek akal ni! Aku dan Das saling berpandangan. Masing-masing melopong melihat angka yang tertera di dalam akaun aku tersebut. Aku mula melihat notifikasi di telefon bimbitku. Kami mengira satu persatu mesej yang masuk dan mengira-ngira jumlah yang masuk. Telefon bimbitku kelihatan penuh dengan mesej. Terpaksa aku hapuskan semua mesej-mesejku yang terdahulu untuk memberi laluan masuk mesej-mesej yang baru. Setelah semua mesej berjaya masuk. Aku kembali memastikannya semual.

     "Kalau kita kira jumlah yang masuk dari nombor akaun ini bermula pagi tadi, jumlahnya ialah RM6300. Ini pasti dari Farhan," kata Das khusyuk mengira. Tak hairanlah kalau Das menajdi guru prinsip perakaunan di sekolahnya lantaran kecekapannya dalam mengira itu. Aku dah naik pening dengan melihat nombor yang bersambung-sambung itu. Aku hanya diam mendengarkan penjelasannya dari pengiraannya itu.

     "Nombor akaun ini pula masuk sejak pagi tadi dan berakhir kira-kira jam 11.00 malam tadi. Semuanya berjumlah RM9450. Ini tentu duit Kimi kan?" Das mendongak memandangku. Aku mengangguk kepalaku tanda setuju. Memang Kimi mengambil baki sebanyak 105 botol wangian pagi tadi denganku. Jadi, duit yang lain ini dari mana ya?

     "Tapi, ada beberapa nombor akaun lagi ni. Duit yang mula masuk ke akaun kira jam 2 petang tadi dan berakhir jam 11.45 malam tadi. Kalau dikira kesemuanya duit-duit dari akaun-akaun ganjil ini.... Apa? RM36 000! Duit siapa ni Ida?" Das melopong tatkala selesai mengira kesemua jumlah duit yang masuk itu. Kalau Das yang melopong, aku apatah lagi! Misteri betul! Siapa pula yang salah pindah wang ini kepadaku? Caranya pula sama. 'Online transfer'

     "Ida...duit siapa ni?" Kelihatan wajah Das terkejut benar. Aku juga begitu. Aku menggeleng-gelengkan kepalaku. Tiba-tiba ingatanku terarah pada Lang Merah! Apa benar duit ini milik Lang Merah? RM36 000 untuk 400 unit perfumes. Tidak! Tapi, sepertinya suatu kebetulan yang sangat sama dengan jumlah yang tertera di skrin komputer ku sekarang. Aku menekup kedua-dua belah tanganku. Das kehairanan melihatkanku begitu.

     "Das, sebenarnya tadi budak chatting aku tu ada mesej aku masa kita nak lena sekejap tengah hari tadi. Dia ada melawak dengan aku untuk beli 400 unit perfumes denganku setelah aku katakan wangian 'Magic Spray' tu macam bauan 'Burberry Brit for Man'. Memang dia ada minta details account aku tadi. Tapi, dia hanya melawak kot. Aku tak percaya,tapi....," aku mula menjelaskan tentang perkara itu kepada Das. Das mendengar dan reaksinya sungguh terkejut. Kata Das, budak chatting aku itu ternyata bukan seorang yang sembarangan. Rm36 000 macamtu saja dia boleh pindahkan segera kepadaku.

     "Ida, siapa sebenar budak chatting kau tu? Dia kerja apa? Datukke dia tu" Banyak betul duitnya," tanya Das lagi. Tak mungkin, Lang Merah berpangkat Datuk. Dia hanya menceritakan bahawa dia hanyalah seorang technichian biasa sahaja. Ataupun aku perlu bertanya tentang kesahihan bahawa duit itu benar-benar dari Lang Merah atau tidak. Tapi, sudah pukul dua pagi, mesti Lang Merah sudah tidur. Tapi, kalau benar dari dia, kenapa tidak dinyatakan bahawa dia telah selesai memindahkan wang itu kepadaku. Bukankah aku telah menuliskan ayat yang aku curiga dengan kemampuannya untuk membeli wangian yang sebanyak itu tadi? Kalau begini, aku tak boleh memindahkan wang kepada Encik Shark melalui perbankan online dengan jumlah yang banyak ini. Aku perlu memindahkan wang ini melalui kaunter di bank. Lantas satu emel kutitipkan kepada Encik Shark untuk menyatakan bahawa jualan perfumes yang di luar dugaan ini kepadanya. Encik Shark kelihatan sungguh teruja dan bersedia untuk menunggu wang itu sehingga aku berjaya memindahkannya melalui kaunter bank dengan syarat aku memindahkan sebanyak RM2000 tanda pembuktian duit itu telah masuk ke akaunku. Dia sendiri pun bagaikan tidak percaya akan jualan yang begitu laris itu kerana rakan-rakan peserta kursusku yang turut menyahut cabaran ini, paling banyak pun hanya mampu menjual sebanyak 10 botol wangian sahaja dalam sehari ini.

     "Das, kita kena cepat ambil stok perfumes tu kalau benar Lang Merah lah yang memindahkan wang RM36 000 itu. Encik Shark benarkan aku untuk mengambil stok lagi tadi walaupun duit tersebut belum dipindahkan sepenuhnya padanya tadi," ujarku kepada Das kemudiannya. Das bersetuju untuk mengambilnya esok.

     Ya Allah! Kejaiban apakah ini yang berlaku. Tanpa ku duga, Lang Merah itu sanggup membeli 400 unit pewangi itu dengan harga RM36 000. Amaun yang menyamai sebidang tanah kampung. Aku mula mencurigai Lang Merah ini. Tak mungkin Lang Merah ini hanya technichian biasa saja. Mungkin dia seorang doktor, ataupun mungkin juga peguam atau mungkin juga kontraktor yang berjaya. RM36 000 macam Rm360 pula dibuatnya. Sedangkan aku RM360 pun tak sanggup untuk aku belikan semata-mata hanya untuk mendapatkan 400 unit perfumes.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh usakoprincessz