Bab 15

     Das memandu kereta Personanya menuju ke tempat parkir Plaza Ampangan tersebut. Atas permintaan Das, kami ke sini lagi untuk kali kedua. Tambahan pula rumah Das memang berdekatan dengan bandar Seremban ini. Suasana kali ini berbeza. Aku hanya berdua dengan Das. Aku memandang ke arah kaki lima antara dua tiang yang menuju ke pintu masuk Plaza Ampangan tersebut. Tempat terjadi peristiwa yang cukup malang bagiku. Pertemuan aku dengan Datin Anita yang membuka rahsia tentang BB Addicted. Seoalah-olah segala-galanya telah diaturkan dengan baik. Ya, itulah rahsia Allah. Sebagai manusia, aku tidak dapat lari daripada ketentuan yang telah termaktub di Luh Mahfuz itu. Aku hanya mampu berdoa semoga hari-hari yang berlalu seterusnya adalah lebih baik daripada hari –hari yang semalam. Aku tidak mahu lagi dirundung malang begitu. Lamunanku tersentak apabila kedengaran nada dering yang menandakan ada mesej masuk ke peti pesanan ringkasku. Mesej dari Lang Merah lagi.

     'Hai, kat mana tu? Dah makan tengah hari?' rajin pula Lang Merah itu bertanya kepadaku. Kerap dia menghubungi sejak 2-3 hari ini. Terlebih caring pula nampak.

     'Belum. Nak belanja ke..hehe?' aku membalas pendek. Beria-ria sangat nak tahu aku dah makan ke belum.

     'No hal dear. Nak makan kat mana?' amboi. Dear lagi tu...

     'KFC dah la. Makanan cepat,' balas ku lagi. Saja melayan kerenah mamat 'chatting' yang tak kukenali itu.

     'Oh, KFC. Best gak tu. Ok! Nak order apa? Ketiak ayam ke jari ayam..hehe?' balas lelaki itu lagi. Ketawa ku pecah di situ. Memang suka melawak betul lelaki sorang ni. Dari tadi lagi dia duk bincang tentang ayam. Tadi hidung ayam. Sekarang ketiak dan jari ayam pula? Hahahaha. Das memandang ke arahku kehairanan. Aku tersenyum memandangnya. Pelik mungkin dengan kerenahku.

     'Tak mainlah ketiak ayam..hehe. Tak best. Dada ayamlah best. Zinger Burger dia pun best gak,' ujarku lagi seraya menekan punat 'send' pada telefon bimbitku.

     "Seronok betul engkau melayan mamat 'chatting' tu ya? Kau orang bualkan tentang apa?" tanya Das seraya menutup pintu keretanya. Aku turut berkelakuan sama. Aku tersengih memandang Das menahan tawa.

     "Kelakar Das. Ada ke dia tanya aku makan ketiak ayam ke tak?" aku menjelaskan tentang perbualanku tadi kepada Das sambil ketawa besar. Das membeliakkan mata juga turut tertawa.

     "Ketiak ayam? Istilah baru tu," ujar Das lagi sambil tersengih. Aku tergelak. Kadang-kadang berbual dengan Lang Merah boleh menghilangkan stress aku dengan lawak antarabangsanya.

     "Sebut tentang KFC, kecur pulak air liur aku. Jom makan kat sana nak?" soal Das lagi. Macam tahu-tahu aja selera aku pun sama pada tengah hari itu. Kami menuju ke escalator untuk bergerak ke KFC yang terletak di tingkat 2. Dalam kepala ku telah terbayang nasi ayam Colonel dengan ayam goreng KFC yang sangat menyelerakan itu.

     Sesampai di sana, kelihatan orang tidak terlalu sesak di dalam restoran makanan cepat itu. Mungkin ada banyak pilihan di sini. Restoran makanan segera yang lain turut berada di tingkat ini. Siapa-siapa yang berminat untuk makan makanan berlaluk pula mahupun masakan panas boleh ke ruang makan di hujung sebelah kanan tingkat itu. Das memberi isyarat supaya aku mencari tempat duduk yang sesuai sementara dia sendiri yang pergi untuk memesan makanan. Aku memilih tempat duduk di hujung kiri restoran itu kerana tak ramai pelanggan yang ada di situ. Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Tiada sebarang pesanan masuk yang tertera pada skrin notifikasi telefonku. Agaknya, Lang Merah ni sedang meratah ketiak ayamnya lah tu kot. Aku menutup semula telefonku dan meletakkannya ke dasar beg tanganku. Sebentar kemudian, bahuku terasa dicuit orang. Aku berpaling ke belakang. Kak Erra tersengih sambil menatang dulang makanan. Tak sangka dapat jumpa Kak Erra lagi kat sini. Ingatkan dia dah pulang ke Kuala Lumpur, tempat di mana dia bekerja. Ibu pejabat Syarikat Berjaya Megah Holdings.

     "Ida, boleh akak join sini jugak?" soalnya mesra. Aku memandang di sekelilingnya. Sepertinya dia berseorangan. Tiada Abang Nizam bakal tunangnya yang menemaninya. Aku menganggukkan kepalaku seraya mempersilakan duduk. Lagipun tempat duduk yang kupilih ini memang boleh memuatkan 4 orang pelanggan.

     "Awalnya balik tadi? Tak sempat jumpa akak pun. Nasib baik jumpa kat sini," ujar Kak Erra lagi. Memang aku tidak nampak kelibat Kak Erra di dewan mahupun di kafeteria tadi.

     "Oh, akak ada kat kem ke tadi? Tak nampak pun kelibat akak. Ida dan Das terus baliklah tadi bila tunang Das datang jemput," aku menyambung kata bagi menjelaskan keadaan pada pagi tadi.

     "Akak sampai kem lebih kurang dalam pukul Sembilan. Awalnya Ida tinggalkan kem?"oh, pukul Sembilan rupanya. Waktu itu aku dan Das dalam perjalanan ke kilang perfumes di Nilai tadi. Pasti aku tidak akan menceritakan ke mana aku pergi sebentar tadi. Jangan sampai Kak Erra mengetahui akan misi penjualan 10000 perfumes ini. Nanti lagi banyak dia bertanya. Yang paling aku takuti ialah rahsia Datin Anita yang meminta gantirugi daripadaku itu tidak boleh dibocorkan pada wanita yang berada di sampingku ini.

     "Sajalah meround Seremban bersama Das tadi Kak Erra. Seronok juga,"ujarku seraya membalas pertanyaannya sebentar tadi. Aku memberi isyarat kepada Kak Erra supaya dia makan terlebih dahulu kerana pesanan Das mungkin lambat sedikit untuk sampai lantaran ayam baru digoreng semula kerana kehabisan stok sebentar tadi.

     "Diey! Kat sini!" kelihatan Kak Erra melambai-lambaikan tangannya kepada seseorang. Diey? Encik Kacak? Aduh...kacau. Peristiwa di kafe pagi tadi terlayar di ruang mataku. Lelaki itu berlalu begitu sahaja tanpa menghabiskan sisa makanannya yang masih banyak berada di dalam pinggannya. Sekarang, kakaknya memanggil dia untuk kemari dan makan bersama-sama denganku pula. Lalukah dia makan berhadapan denganku lagi. Isy... tak boleh jadi ni. Aku mengetap bibir.

     Encik Kacak yang datang bersama dulang makanan berdiri di hadapanku. Ya, tempat itu masih kosong kerana Kak Erra memilih untuk duduk di sisiku. Serba salah mungkin sama ada untuk terus berdiri di situ atau duduk di hadapanku. Lelaki itu kemudiannya menganjakkan kerusi di meja restoran itu dan memilih untuk duduk berhadapan dengan Kak Erra saja. Memang benar telahanku pagi tadi. Lelaki itu memang tak suka dan tak keterlaluan untuk aku katakan iaitu tak lalu makan apabila memandang wajahku yang tidak komersial ini. Aku tunduk. Malunya akan tindakan ku pagi tadi kerana terlalu yakin untuk duduk berhadapan dengannya.

     "Aik? Bila masa pula adik akak ni suka makan Zinger Burger ni? Beli dua biji pula tu. Mengapa tak order ayam goreng Diey?" Kak Erra mula bertanya sebaik sahaja Encik Kacak melabuhkan punggungnya ke atas kerusinya. Aku hanya mendengar sahaja perbualan kedua-dua orang adik beradik itu tanpa menyampuk. Malu aku masih belum hilang. Lambatnya Das sampai. Aku memanggil di dalam hati.

     "Saja nak try. Rasa nak makan burger hari ni," terdengar suara Encik Kacak menjawab soalan kakaknya.

     "Jangan muntah sudah. Buang tebiat nak makan burger pulak hari ni. Order jelah ayam goreng," kakaknya bersuara lagi. Memang makan burger boleh muntahke? Eh, Zinger Burger KFC sedap lah. Aku suka sangat. Tak suka bagi aku. Aku berkata di dalam hati.

     "Tak adalah sampai muntah. Tekak rasa nak makan. Nampak macam best," Encik Kacak bersuara lagi.

     "Yalah tu. Beli sampai dua biji. Akak nak tengok je," kakaknya pula bersuara. Jelas sekali seolah-olah Kak Erra mengatakan bahawa Encik Kacak alah dengan Zinger Burger itu. Lepastu, dah kenapa order sampai dua? Aneh betul lelaki ni. Dari ekor mataku, aku lihat lelaki itu perlahan-lahan menyuapkan burger itu ke mulutnya. Tidak seperti orang yang rakus memakan burger. Kalau akulah, pasti sudah basah-basah bibirku dengan sos burger tersebut. Lahap sekali. Ini tidak! Makan macam orang tak bermaya. Sikit-sikit je disuapkannya macam budak-budak baru belajar makan. Aku mengutuk dalm hati. Astaghfirullah! Mulut aku ni memang puaka. Tak boleh diam! Ujarku dalam hati.

     Aku hanya memandang ke depan. Sabar menunggu kedatangan Das. Kak Erra kelihatan berselera betul makan chicken wings dan nugget ayam dalam hidangannya. Ha? Ketiak dan jari ayam bak kata Lang Merah. Aku tergelak tatkala teringat ungkapan Lang Merah sebentar tadi. Secara tidak sengaja mengukir senyuman. Sumpah lawak! Melihatkan aku yang tergelak begitu, Encik Kacak mendongak memandang ke wajahku.. Pada masa yang sama, Das juga turut sampai bersama dulang makanan yang berisi nasi ayam Colonel pesananku. Aku lihat Encik Kacak cepat-cepat bangun meninggalkan meja makan. Entah ke mana. Ke tandas mungkin juga. Burger yang disuapkan ke mulutnya tadi hanya sedikit berusik. Das yang baru sampai kehairanan. Bukan dia saja, tapi aku pun pelik.

     "Kenapa dengan Encik Faidi tu?" Das bertanya sambil memandang ke arah aku dan Kak Erra. Aku menjungkitkan bahu. Tak tahu. Sumpah aku tak tahu kerana pada saat itu aku rasa geli hati mengenangkan chicken wings yang dipanggil ketiak ayam oleh Lang Merah tadi.

     "Orang degil macam tu lah. Dah tahu tak boleh makan burger, pergi order dua biji lagi Zinger Burger tu," ujar Kak Erra merungkaikan persoalan. Encik Kacak kelihatannya kembali ke tempat duduk tadi. Pucat sikit wajahnya. Memang benar kot apa yang dikatakan oleh Kak Erra sebentar tadi. Bertambah pelik aku melihatkan tingkah laku dia ni.

     "Salahke kalau kita nak cuba sesuatukan? Bagilah moral support. Bukan duk gelakkan orang yang tak mampu," lelaki itu pula yang bersuara. Pandangannya dibuang ke tempat lain. Serius sekali kelihatannya. Gelak? Kak Erra tak ada gelakkan dia pun tadi. Siapa yang gelakkan dia? Aku? Ops.. akukah yang dimaksudkan olehnya. Aku jadi serba salah. Mungkin benar dia menyangkakan aku yang gelakkan dia tadi. Macam mana ni ya? Ya Allah, sila cepat minta maaflah Ida!

     "Saya tak maksudkan...gelakkan Encik Faidi tadi. Saya sebenarnya teringat akan..." aku belum sempat menghabiskan ayatku, lelaki itu terus bangun meminta diri. Kelat sekali wajahnya. Aku jadi makin serba salah. Apa yang telahku buat ini.

     "Das, ambiklah burger tu. Saya tak mampu nak makan. Bodoh sangat saya ni sampai digelakkan orang," itu saja pesanan yang terpacul di bibirnya kemudian beredar. Aku terdiam. Pedihnya aku rasakan. Kalau tak suka aku, janganlah terlalu zahirkannya. Aku berpaling ke arah Kak Erra untuk memberi penjelasan.

     "Kak Erra, sorry. Sebenarnya, saya tak gelakkan adik akak tadi. Cuma saya teringat kawan saya buat lawak tentang chicken wings tu je," aku bersuara perlahan. Tak tahulah pula aku dia memang dalam sesi percubaan untuk makan burger. Kak Erra tersenyum padaku seraya menenangkan aku supaya tidak tersinggung dengan kelakuan adiknya sebentar tadi. Aduh.. sensitifnya lelaki tu. Orang gelakkan benda lain, dia pula yang perasan. Ting tong kepala aku.

     Sebelum berlalu dari situ, aku sempat menyalami Kak Erra dan berpelukan dengannya.

     "Ida balik malam ni kah ke Pasir Gudang? Balik naik bas ke macam mana ya?" Kak Erra bertanya lagi sebaik kami beriringan keluar dari restoran makanan cepat itu. Nak jawab apa ya?

     "Staylah dua atau tiga hari lagi. Sempat dengan majlis akak,"Kak Erra menyambung kata. Majlis dia? Buat kat sini ke? Bukankah dia orang Kuala Lumpur..

     "Majlis Kak Erra buat kat sini ke?" Das bertanya. Mungkin persoalan yang sama timbul dibenaknya. Kak Erra mengangguk laju.

     "Rumah nenek dengan atuk akak kat Seremban. Jadi, nenek mintak mama dengan papa akak buat majlis di sini. Tak nak buat di Kuala Lumpur," panjang lebar penerangan Kak Erra. Patutlah dia dan Encik Kacak belum pulang-pulang lagi ke Kuala Lumpur. Jadi, pasti keluarga Kak Erra akan masih berada di sini. Kalau aku beritahu padanya, aku akan menetap beberapa hari lagi di sini boleh membawa padahni. Bimbang juga perihal aku menyahut cabaran penjualan 10 000 perfumes itu juga pasti terbongkar. Pasti Datin Anita pun mengetahuinya. Tak boleh jadi.

     "Oh yeke, maaflah akak. Ida naik bas malam ni dekat terminal bas. Lagipun, rumah Das berdekatan saja dengan terminal bas,"ujarku berbohong sambil menyiku lengan Das meminta sokongan. Das mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiyakan perkara yang keluar dari mulutku. Aku menyalami sekali lagi Kak Erra dan mengucapkan selamat bertunang padanya. Selamat bertunang juga untuk Encik Kacak dan Minah Ketak walaupun ianya hanya terbit dari hatiku.


Previous: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh