Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
123,745
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

SUDAH satu jam Anom Sufi menunggu papa di lobi bangunan Menara Jauhari. Naik kebas punggungnya duduk di sofa panjang berhadapan kaunter pertanyaan. Ikutkan hati sebalnya, mahu sahaja dia meninggalkan bangunan Menara Jauhari dan pulang ke rumah. Namun, dia bimbang papa mencarinya. Papa sudah berjanji mahu menghantarnya pulang. Tetapi sudah setengah jam berlalu, bayang muka papa pun dia tidak nampak.

Kalau Anom Sufi tahu papa akan lambat begini, tidak ingin dia mengikut cakap papa. Dia pun tidak penat menanti papa macam menanti buah tidak gugur. Sudahlah otak dan tubuhnya letih dari pagi hingga ke petang mendengar leteran pensyarah, papa pula buat hal. Aduhai....cepatlah papa sampai!

'Mengapalah aku tak pandai memandu?' Anom mengeluh kesal. Dia bukannya tidak punya lesen memandu. Ada. Sudah setahun usia lesen memandu kelas Dnya. Tetapi, dia sebenarnya yang tidak berani memandu kereta. Penakut sangat. Bila memegang stereng kereta, tangannya menggeletar. Dia jadi begitu sejak terlibat dalam kemalangan jalan raya masa mula-mula mendapat lesen memandu dahulu. Sejak itu dia serik. Papa pun tidak menggalakkan dia memandu ke sana sini. Bimbang terjadi musibah yang lain.

Malas menunggu di lobi, Anom bangun dari sofa dan melangkah ke pintu lif. Daripada mati kebosanan menunggu papa turun, lebih baik dia sendiri naik ke atas menjenguk papa. Manalah tahu kalau-kalau papa pengsan di ofis dan tiada seorang pun stafnya yang perasan. Hmm...mulalah fikirannya yang resah, merayau-rayau tidak tentu hala.

Lif berdenting dan pintunya terbuka. Anom Sufi masuk. Butang nombor 8 ditekan dan pintu tertutup. Lif bergerak perlahan menuju ke tingkat atas.

Tiba di tingkat lapan, lif bergegar sedikit kemudian terhenti. Pintunya terbuka. Anom keluar dan melangkah menghala ke sebelah kanan. Langkahnya terhenti di pintu kaca yang tertera nama Global Creative Sdn Bhd, nama syarikat papa.

Daun pintu kaca ditarik. Sebaik sahaja terlihat muka Anom, gadis penyambut tetamu yang berambut panjang hingga ke bahu tersenyum lebar. "Nak cari siapa, Cik Anom?" tanyanya ramah.

"Papa sayalah!" Anom menjawab sambil menarik muka masam. Geram betul dia dengan gadis penyambut tetamu ini. Sudah gaharu, cendana pula. Sudah lama mengenalinya, masih juga mahu bertanya siapa yang mahu ditemuinya. Tentulah dia mahu berjumpa dengan Datuk Adman, bos syarikat ini. Di pejabat ini dia bukannya kenal rapat dengan orang lain selain papa dan abangnya, Syahid.

Bukan itu sahaja sebab untuk dia naik angin dengan gadis ini. Gadis yang bernama Najwa itu memanggilnya, Anom. Sudah berkali-kali dipesan agar tidak memanggilnya Anom, dia tetap dipanggil begitu. Papa pun tidak pernah memanggilnya Anom, perempuan ini pula yang memandai. Huh!

Anom? Eeii...benci sungguh dia dengan nama itu. Macam nama orang kampung!

"Datuk Adman ada meeting. Cik Anom duduk dulu ya?" Ramah Najwa menjelaskan biarpun muka anak bosnya ini mencerut macam tidak puas hati.

"Lain kali jangan panggil saya Anom! Dah berapa kali saya pesan supaya panggil saya, Ann? Panggil saya Ann, faham?" Meninggi suara Anom. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang memandangnya penuh kehairanan. Apa dia peduli? Ini ofis papa dialah!

"Oh ya, Cik Ann. Saya terlupa. Cik Ann ada beritahu saya dulu. Maafkan saya ya, Cik Ann?" Najwa menepuk dahi menyalahkan diri sendiri kerana terlupa. Kemudian dia tersenyum kelat tanpa memandang muka anak bosnya. Pura-pura membuang pandang ke arah lain.

Anom Sufi mencebik. Terlupa konon! Hatinya mencemuh. Dia tidak percaya kepada kata-kata Najwa. Najwa bukan terlupa tetapi sengaja buat-buat lupa. Mustahillah Najwa tidak ingat arahan semudah itu? Perempuan itu bukannya budak berumur lima tahun. Sudah tua bangka.

Lagi pun bukan sekali dua dia mengingatkan Najwa tentang itu. Hampir setiap kali dia menjejakkan kaki ke ofis papa, arahan itulah yang dibenamkannya di dalam otak Najwa. Takkanlah Najwa boleh terlupa? Lainlah jika perempuan ini spesis bebal. Arahan seringkas itu pun tidak faham.

"Cik Ann duduk dulu ya? Kejap lagi bila Datuk Adman habis meeting, saya beritahu tentang kedatangan Cik Ann." Pantas Najwa ulangi kata-katanya tadi sambil jari telunjuknya menuding ke arah sofa panjang di hadapan meja penyambut tetamu.

Malas Najwa mahu bertekak dengan anak bosnya yang cukup dikenali sebagai gadis yang sombong dan sangat bengkeng orangnya. Bertekak pun bukannya dia boleh menang. Buat perit tekaknya berlawan cakap dengan gadis perasan bagus ini.

Usai berkata begitu, Najwa meneruskan kerjanya dengan sepasang matanya sesekali melirik ke muka Anom. Rambut 'berkarat' Anom yang dipotong pendek mengikut stail potongan rambut Adira, penyanyi terkenal itu menjadi objek tatapan matanya. T-shirt sendat berlengan pendek yang membaluti tubuh Anom yang sederhana tinggi, dijelingnya sekali lalu. Serentak dengan itu, bibirnya terjuih. Sombong! Muka perasan cantik! Berbakul-bakul hatinya menyumpah Anom Sufi.

ANOM SUFI merebahkan punggung di atas sofa kulit berwarna coklat muda. Majalah Nonadi atas meja kecil di sudut ruang, pantas dicapai. Diselaknya helaian majalah itu satu demi satu hingga ke muka surat terakhir. Terjuih panjang bibir comelnya membaca isi kandungannya. Akhirnya, majalah Nona diletakkan kembali di atas meja kecil. Meluat dia membaca majalah sebegitu. Semua kisah di dalamnya berhubung kait dengan kaum wanita. Balik-balik cerita tentang fesyen, resepi dan kisah-kisah orang perempuan. Bosannya!

Tangannya menyeluk poket jeans ketatnya. Dikeluarkannya Samsung Galaxy S5 dari poket seluar. Kedua belah kaki diangkat dan diletakkan di atas meja kopi. Dia betul-betul buat ofis papa macam rumahnya sendiri.

Apabila telefon bimbit sudah di hadapan mata, jejari halusnya pantas menyentuh muka skrin. Wajah Qayyum yang menjadi penghias dada skrin ditatapnya lama-lama. Berbuah senyuman manis di bibirnya. Qayyum! Hatinya berbisik. Tenang hatinya dapat menatap wajah tampan Qayyum. Wajah yang dikejar ramai gadis-gadis di kampus. Sudahnya, dalam ramai-ramai gadis, Qayyum memilihnya sebagai kekasih.

Anom Sufi pada mulanya terkejut besar dengan keputusan Qayyum. Yalah...dia ini bukannya cukup sifat keperempuanannya. Perangainya kasar. Berpakaian pun bukannya reti hendak melawa. Asyik dengan jeans dan T-shirt sendatnya. Nasib baik muka dia cantik. Kulitnya putih gebu. Agaknya itulah yang membuatkan Qayyum tersangkut hati. Dalam berfikir begitu, sempat lagi dia 'masuk bakul angkat sendiri'.

Pun begitu, dalam sedang asyik mahsyuk bercinta dengan Qayyum, menyelit juga cerita-cerita yang tidak sedap didengar tentang buah hatinya itu. Teman-temannya kata, Qayyum tidak setia dengan dia. Selain dia, Qayyum ada spare tyre, seorang penuntut Tahun Satu yang sama kursus dengannya.

Anom Sufi tidak percaya dengan kata-kata teman-temannya. Selagi tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri, dia tidak mahu menerima bulat-bulat cerita orang. Semua itu hanya fitnah yang direka untuk menghancurkan cinta dia dan Qayyum sementelah ramai yang cemburu melihat dia dan Qayyum bahagia.

Sedang melayan anganan yang merayau semakin jauh, pintu bilik papa terkuak dari dalam. Serentak dengan itu kedengaran hilai tawa papa diiringi suara garau seorang lelaki bertanyakan sesuatu. Pantas Anom Sufi mengangkat kepala sambil tangannya cekap menyumbat telefon bimbit ke dalam poket jeansnya. Kemudian dia membetulkan duduk. Buat-buat sopan. Hilang sudah gaya duduknya tadi yang seperti orang kalah berjudi.

"Terimakasih kerana sudi singgah pejabat saya, Datuk Habib. Datuk nak terus balik ke? Kalau Datuk tak sibuk, bolehlah kita keluar makan. Saya belanja." Datuk Adman bersuara dari muka pintu biliknya.

Lelaki yang dipanggil Datuk Habib itu ketawa kecil. "Eh...tak apalah, Datuk. Lain kalilah. Dah petang sangat ni. Lambat keluar nanti, jammed pulak jalan besar tu," katanya, menyambung tawa.

Anom Sufi menalakan pandangan tepat ke arah papa dan lelaki yang dipanggil Datuk Habib itu. Habib? Lucu pula dia mendengar nama itu. Macam nama kedai emas sahaja. Lelaki ini ada 'bau-bau bacang' dengan Meer Sadik tuan punya Habib Jewels itu ke? Spontan hatinya menelah begitu. Lama pandangan matanya melekat di muka lelaki di sebelah papa.

Boleh tahan juga lelaki yang bernama Habib ini. Mukanya tampan biarpun nampak seperti sudah agak berusia. Orangnya tinggi dan berkulit cerah macam kulit orang Arab. Umurnya mungkin dalam lingkungan awal tiga puluhan. Mungkin usia sebegitu tidak terlalu tua bagi sesetengah orang tetapi tua bagi Anom. Eh...dia kan masih muda belia. Umurnya baru menginjak 19 tahun. Kiranya macam pangkat abang jugalah Datuk Habib ini. Eh...betulkah abang? Pak cik kot!

Mungkin terasa dirinya ditenung seseorang, rakan niaga papa itu mengangkat kepala. Terkejut Anom apabila terasa dirinya pula menjadi mangsa renungan tajam Habib. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dia direnung sepasang mata yang berkening tebal. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, tubuhnya ditelek macam orang sedang menilai barang di pasaraya.

'Hei...apa kena pulak ni? Pandang muka orang macam dah beribu tahun tak pernah nampak perempuan. Gatal! Miang!' Hati Anom sudah angin semacam. Mujur lelaki itu rakan bisnes papa. Kalau tidak, laju sahaja mulut tidak berinsurannya ini mahu menyembur Habib.

"Hai, Ann! Dah sampai dah. Datang sini dengan apa tadi?" tanya Datuk Adman bila terperasankan mata teman yang dilawan bercakap sebentar tadi sudah hilang fokusnya ke arah lain. Segera dia menoleh dan terus terpandangkan Anom.

"Qay hantar," jawab Anom. Dia tidak bimbang untuk berterus-terang dengan papa kerana papa sememangnya mengenali Qayyum.

Datuk Adman mengangguk. "Itu anak bungsu saya," terangnya kepada Habib. Terus digamitnya Anom supaya datang mendekatinya.

Anom Sufi buat muka bersahaja. Langsung tidak kisah dengan ajakan papa. Mengapa pula papa mahu mengenalkan dia dengan lelaki yang nampak gatal semacam itu? Dia tidak faham. Tidak kenal lelaki itu seumur hidup pun dia tidak kisah. Dia tidak sudi menambah seorang lagi kenalan dengan lelaki yang hobinya suka merenung muka perempuan.

"Ann!" Suara Datuk Adman naik satu oktaf apabila anak bungsunya itu buat acuh tidak acuh. Dia tahu Anom nampak dia menggamit, tetapi entah mengapa Anom seperti tidak mahu mengendahkannya.

Bila suara papa sudah macam halilintar, terpaksalah Anom melangkah mendapatkan papa walaupun kakinya melekat di lantai macam kena gam. Jika dia terus ikutkan keras hatinya, alamat bakal berasaplah kepalanya nanti kena bedilan leteran papa. Papa kalau sudah berleter, kalah murai tercabut ekor. Mama pun tidak dapat menewaskan papa dalam bab berleter ini.

"Ini saya kenalkan, Anom Sufi." Datuk Adman mengenalkan Anom kepada Habib.

Anom menganggukkan kepala sambil memandang sekilas wajah Habib. Selepas itu dia terus tunduk. Memandang sneakers kuning pekatnya lebih elok daripada memandang muka si tua gatal ini. Hendak buat apa lagi? Hendak bersalaman dengan si 'Habib Jewels' ini?Eh...jangan harap!

"Assalamualaikum, Cik Sufi." Lembut suara Habib menyapa Anom. Pandangan tajamnya membelah lagi muka Anom yang nampak gelisah berdiri terpacak di hadapannya.

Serta merta wajah seseorang singgah di tabir matanya. Seseorang yang wajahnya begitu seiras dengan wajah gadis di hadapannya ini. Dia ke? Takkanlah. Gadis ini terlalu muda. Adik dia? Saudara mara dia? Teka hatinya lagi. Sudahnya dia terpaku dengan lidah kelu bagaikan terlekat dengan gam UHU.

Anom Sufi pula membulatkan mata memandang Habib. Sufi? Ini lagi seorang makhluk ALLAH yang bakal menerima sumpah seranahnya. Benci betul dia dengan nama panggilan yang tidak sepadan dengannya itu. Dia bukan seorang yang 'sufi' sehingga layak dipanggil Sufi. "Panggil saya Ann!" jawab Anom tegas. Tidak dihiraukan mata papa yang terbelalak mendengarnya bercakap kasar dengan rakan bisnesnya.

"Ann, bercakap tu biar sopan sikit." Suara Datuk Adman lembut tetapi berbaur amaran. Panas hati dia dengan perangai anak perempuan yang tidak makan diajar ini. Sudah puas dinasihati supaya bercakap dengan lemah-lembut dan bersopan-santun tetapi Anom tetap dengan perangai kasarnya. Entah bila perangai anak yang seorang ini akan berubah.

"Datuk...err...Datuk boleh panggil saya Ann." Kendur akhirnya suara Anom apabila melihat papa sudah menjegilkan mata. Bukan bermakna dia mengalah kerana sudah kalah. Tetapi dia tidak mahu memanjang-manjangkan cerita. Akibatnya nanti, papa juga yang susah kerana kehilangan rakan niaga.

"Tapi saya lebih suka panggil Sufi. Saya rasa nama Sufi itu lebih sopan dan manis." Habib tersenyum meleret memandang Anom.

Terdiam Anom. Kaku. Tiba-tiba dia kehilangan suara. Dia jadi bisu bukan kerana kata-kata pujian itu tetapi kerana memandang wajah lelaki di hadapannya ini. Terpaku matanya di muka Habib. Wow! Manisnya senyuman dia. Ada lesung pipit!

"Suka hati Datuklah nak panggil apa pun," balas Anom dan terus melontarkan pandangan ke arah lain. Tidak mahu dia pandang muka Habib lama-lama. Nanti ada pula orang yang perasan. Sudahlah Habib ini jenis lelaki merenyam. Pantang berjumpa perempuan muda, terus terlupa anak isteri di rumah.

Tentang nama panggilan Sufi itu, biarlah Habib terus memanggil dia begitu. Lantaklah. Anom pun selepas ini bukannya berjumpa dengan Habib lagi. Biarlah sekarang ini dia tadah telinga mendengar nama panggilan yang dibencinya itu meniti di bibir Habib.

"Saya nak keluar makan dengan Ann. Datuk nak ikut sekali?" Datuk Adman mempelawa Habib sekali lagi.

"Tak apalah, Datuk. Saya nak terus balik rumah. Takut tak sempat bersolat maghrib bila dah tersangkut kat tengah jalan nanti," tolak Habib lembut.

"Err...Datuk boleh bersolat maghrib kat sini. Kat ofis saya ni pun ada surau." Datuk Adman terus memujuk.

"Eh...tak apa...tak apa. Saya dah janji nak balik awal malam ni. Mengamuk orang kat rumah nanti bila saya balik lewat. Malam ni ada majlispulak. Lain kalilah, Datuk." Habib beri alasan yang munasabah untuk menolak pelawaan Datuk Adman.

Mendengar papa beria-ia mengajak Habib bersolat, Anom Sufi tercengang-cengang. Papa bersungguh-sungguh mengajak orang bersolat macam orang alim. Sedangkan bukan begitu hakikat sebenarnya. Di rumah, dia jarang-jarang nampak papa bersolat. Sama juga dengan mama dan Abang Syahid. Dia sendiri pun bersolat cuma di majlis-majlis agama yang diadakan di kampus. Justeru, apabila papa mengajak Habib mengerjakan solat maghrib di pejabatnya, dia susah mahu percaya.

"Kalau macam tu, okeylah. Mungkin lain kali Datuk boleh dinnerdi rumah saya. Saya dan wife saya dah lama nak jemput Datuk lunch atau dinner di rumah kami. Insya-ALLAH, bila-bila ada kelapangan nanti, kami akan undang Datuk," sambung Datuk Adman seraya mengiringi Habib ke muka pintu.

"Insya-ALLAH." Habib mengangguk. Setelah bersalaman dengan Datuk Adman dan memandang sekilas ke wajah Anom, dia terus melangkah keluar.

"Ann tunggu papa kejap ya? Bagi papa lima minit. Papa nak habiskan kerja sikit." Datuk Adman berpaling memandang Anom. Tanpa menanti jawapan Anom, dia terus berlalu ke biliknya.

'Tidak habis lagi ke kerja papa?' Anom mengeluh. Kalau macam ini, alamatnya perut dia bakal mengaum-ngaum macam harimau lapar. Tetapi hendak buat macam mana? Terpaksalah dia merelakan punggungnya kebas menunggu papa menyudahkan kerjanya. Bukankah bisnes papa itu sumber rezeki mereka sekeluarga?

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.