Home Novel Cinta Kesayangan ENCIK MALIQUE
Kesayangan ENCIK MALIQUE
AHC
11/6/2023 02:20:37
6,851
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
KEM 2

MATANYA menatap tepat pada wajah lelaki dihadapannya itu. Namun, reaksi selamba seakan tidak ada rasa bersalah dari wajah lelaki itu, membuatkan Ayumi merasa geram dan sakit hati. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia bersuara. "Awak janji nak datang lunch tadi. Kenapa tak datang? Bagi tahu pun tak. Saya lapar tunggu awak datang jemput saya makan tau tak," Terketap-ketap bibir Ayumi menahan geram.

"Lupa nak bagi tahu." Jawab Fadhli acuh tak acuh.

Alis kening Ayumi berkerut seribu. Aneh dengan jawapan lelaki itu.

Update status boleh, inform tak jadi datang, tak boleh? Bebel Ayumi di dalam hati.

"Nah. Saya bayar duit awak. Tapi, dapat bayar separuh je dulu," beberapa note lima puluh ringgit dihulurkan pada Ayumi.

Tanpa menunggu, Ayumi terus mengambil duit itu dari tangan Fadhli.

"Hujung minggu ni, mak suruh balik kampung bawa awak. Tapi, saya tak dapat teman awak. Ada kerja sikit. Awak balik soranglah." Sambung Fadhli lagi.

"Awak ada kerja apa?" Soal Ayumi. Dia geram dengan sikap acuh tak acuh Fadhli terhadapnya.

Mata Ayumi melirik pada superbike milik lelaki itu. Superbike yang dibayar oleh Ayumi tiap-tiap bulan. Entah mengapa dia begitu baik hati untuk menanggung hutang lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu.

"Ada kerjalah." Jawab Fadhli seakan tidak suka disoal sebegitu. Mata lelaki itu juga sibuk menatap telefon bimbitnya sejak dari tadi.

Hati Ayumi merasa sebal. Geram dengan tingkah laku Fadhli. Awal pertunangan mereka, lelaki itu melayannya agak baik sehinggalah dia memujuk Ayumi untuk menghadiahkan dirinya sebiji superbike. Selepas itu, segalanya berubah. Fadhli sering sibuk semenjak dia memilik superbike itu. Ada sahaja aktiviti yang dia sertai bersama kawan-kawan yang mempunyai superbike sepertinya. Siap ada kelab lagi!

"Jangan cakap nak pergi ride dengan kawan-kawan awak. Keluarga awak lagi penting dari kelab motor awak tu. Lagi pun, kita memang dah lama tak balik kampung," Ayumi bersuara setelah beberapa detik dia berdiam diri.

Fadhli berdecit geram. Matanya melirik tajam pada Ayumi saat ini. "Tak payah nak ingatkan sayalah pasal benda tu. Jangan sibuk hal kelab saya. Membebel je. Bising!" Terus Fadhli naik ke atas motor miliknya. Tanpa menunggu, dia menghidupkan enjin motor dan terus berlalu pergi dari rumah sewa Ayumi.

Terkebil-kebil Ayumi melihat tingkah laku tunangnya itu. Terketap-ketap bibirnya menahan geram.

"Pergi macam tu je?" Gumam Ayumi dengan hati yang membara. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja superbike itu dihumban ke dalam sungai. Biar puas hatinya.

Dengan hati yang masih sakit, Ayumi berjalan masuk ke dalam rumah. Mulutnya tidak henti-henti membebel dek kerana geram yang masih bersisa.





MALIQUE menatal telefon bimbitnya sambil mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan kawasan mereka beriadah hujung bulan ini. Dia juga ada meminta bantuan pekerjanya untuk mencari tempat untuk jalankan aktiviti itu nanti.

Malique termenung sejenak saat teringat kembali perbincangan siang tadi. Bibirnya mengukir senyum apabila melihat reaksi terkejut Ayumi sewaktu dia mencadangkan aktiviti lasak itu.

"Hiking?" Soalan itu meluncur keluar dari mulut Ayumi dengan reaksi muka yang terkejut.

"Masuk hutanlah?" Soal Ayumi lagi.

"Iyalah. You ingat hiking dekat dalam mall?" Sindir Malique, selamba.

Terus berubah riak wajah Ayumi saat mendengar kata-kata Malique itu. Serta merta dia diam dan sudah tidak lagi menyoal apa-apa.

"Best boss hiking. Adventure sikit." Celah Mamat salah seorang dari penghantar surat di dalam syarikat milik Malique.

"Semua wajib sertai. Okey. No excuse!" Pesan Malique dengan tegas. Memang dia sengaja mahu semua pekerjanya menyertai aktiviti itu.

Asyik family day, nyanyi, BBQ, makan-makan... benda biasa. Kali ni, diorang kena ikut selera aku pula. Fuh, lama tak hiking ni! Gerutu Malique di dalam hatinya. Dia tersenyum puas kerana tiada siapa berani membantah cadangannya siang tadi. Cuma Ayumi sahaja yang buat muka tak suka. Bukan dia tidak tahu gadis lembut seperti Ayumi. Tak sukakan aktiviti lasak seperti itu. Tetapi, dia peduli apa!

Malique bangun dari duduknya dan berjalan ke arah dapur. Matanya meliar mencari sesuatu yang boleh dia jadikan kudapan malam itu. Tetapi, malangnya tiada satu pun makanan ringan yang ada di dapur miliknya.

Mahu tidak mahu, dia terpaksa turun ke bawah untuk membeli sesuatu. Mujur kedai makanan dan barangan runcit berderet di bawah kondominium itu. Mudah untuk dia membeli apa sahaja tanpa perlu memandu.

Dengan berkain pelikat dan t-shirt kolar bulat berwarna hitam, Malique terus berjalan ke pintu keluar. Sempat dia mencapai kopiah putih miliknya dan diletakkan ke kepala. Disarung selipar jepun ke kakinya. Kemudian, tombol dipulas dan pintu dibuka. Dia berjalan santai menuju ke lif.





TELEVISYEN yang sedang menayangkan drama cinta lakonan Aydean Asyraff dan Aurora langsung tidak menarik perhatian Ayumi. Fikirannya menerewang mengingatkan pertengkaran antara dia dengan Fadhli sebentar tadi. Hatinya masih sebal dan geram. Fadhli berubah seratus peratus selepas Ayumi menghadiahkan superbike itu kepadanya. Entah apa yang membuatkan Fadhli berubah sedemikian rupa, Ayumi sendiri tidak tahu.

Hubungan mereka juga semakin renggang. Kalau ikutkan hati Ayumi, dia malas mahu meneruskan pertunangan itu. Tetapi, apabila mengenangkan Mak Jah, ibu kepada Fadhli yang telah menjaganya sejak dari kecil, membuatkan Ayumi merasa bersalah. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meneruskan sahaja pertunangan mereka itu.

Ayumi mengelamun. Dia teringat saat dia dan Fadhli mengikat tali pertunangan setahun yang lepas. Beberapa hari sebelum majlis itu berlangsung, Fadhli ada berbual dengannya. Riak wajah lelaki itu juga seakan terpaksa.

"Saya tak sedia lagi sebenarnya nak bertunang. Tapi, mak tu mendesak," ujar Fadli. Wajahnya kelihatan tegang.

"Kenapa awak tak terus terang saja pada mak. Kita boleh tangguh," balas Ayumi. Dia sendiri sebenarnya masih tidak bersedia dengan pertunangan itu.

"Awak bukan tak tahu mak macam mana. Suka mendesak. Banyak lagi benda yang saya masih tak capai dalam hidup saya. Kalau kita kahwin, semua tu terkubur je," ayat itu dikulum perlahan. Namun, cukup untuk telinga Ayumi menangkap setiap butir bicara ayat lelaki itu.

Keluhan berat terlepas dari mulut Fadhli. Seberat hatinya untuk meneruskan majlis itu.

"Saya tak kisah kalau awak tak sedia nak teruskan. Cuma kena bagi tahu mak lah," Ayumi masih cuba memberi cadangan agar lelaki itu berterus terang dengan Mak Jah bahawa dia sendiri tidak bersedia dengan semua ini.

Fadhli raup wajahnya dengan kasar. "Tak boleh. Mak takkan terima. Dia berkenan sangat dengan awak. Dia takut awak kahwin dengan orang lain,"

Ayumi terdiam. Hilang kata-kata. Muka serabut Fadhli direnung dengan rasa bersalah.

Mak sukakan aku, bukan kau? Detik hati Ayumi. Tetapi, dia tidak kisah kerana dia sendiri tiada perasaan pada lelaki itu. Namun, segalanya harus dipupuk agar dia boleh hidup dengan lelaki itu sebagai suami isteri tidak lama lagi.

"Habis tu, macam mana ni?" Soal Ayumi setelah beberapa detik mereka berdiam diri.

Fadhli angkat bahu sambil berkata, "Teruskan je lah. Cuma, saya ada permintaan," Fadhli menoleh pada wajah Ayumi.

"Apa dia?" Soal Ayumi sabar menanti kata-kata seterusnya daripada lelaki itu.

"Saya nak beli superbike. Tapi, tak lepas pinjaman bank sebab saya baru je kerja. Boleh tak awak tolong saya? Anggaplah sebagai balas budi mak saya jaga awak dari kecil." Selamba sahaja Fadhli menutur kata tanpa rasa bersalah.

Ayumi bungkam beberapa ketika. "Tiap-tiap bulan macam mana?" Soal Ayumi ingin tahu.

"Kitakan dah nak bertunang. Lepas tu kahwin. Apa salahnya awak bayar bulan-bulan untuk saya. Tak kan itu pun nak berkira." Jawab Fadhli lagi.

Ayumi ketap bibir cuba menahan perasaan geramnya. Namun, akhirnya dia mengalah. Dia mengangguk tanda setuju untuk memenuhi permintaan lelaki itu.

Entahlah, dia sendiri tidak faham kenapa begitu mudah dia bersetuju dengan permintaan Fadhli.

Senyuman Fadhli melebar saat melihat jawapan dari Ayumi. "Nanti kalau saya dah ada duit, saya sambung bayar," janjinya. Walaupun dia sendiri tidak pasti akan janji itu tertunai atau tidak. Yang penting, dia dapat apa yang dia idamkan.

Lamunan Ayumi terhenti apabila Bella menghenyak punggung ke sisinya. Terus Ayumi menoleh pada Bella yang sedang merenung tajam padanya.

"Fadh nak apa tadi?" Soal Bella sambil menyumbat beberapa keping keropok kentang ke mulutnya. Dihalakan plastik keropok ke arah Ayumi mempelawa gadis itu makan bersama. Ayumi menolak. Seleranya tiada. "Bayar hutang dia," ringkas Ayumi menjawab. Kemudian, mata ditalakan pada skrin televisyen.

"Berapa kali dalam sebulan dia pinjam duit kau?" Bella mula membebel. Memanglah lelaki itu bayar semula, tetapi, meminjamnya berkali-kali, bayar cuma sekali.

Lelaki tak guna macam Fadhli tu elok campak dalam sungai! Bella menyambung bebelan di dalam hati. Geram melihat sahabatnya dipermainkan sebegitu.

"Ada je dia bayar walaupun bukan semua," Jawab Ayumi acuh tak acuh. Dia malas mahu membahas tentang Fadli kerana dia pasti Bella tetap tidak sukakan lelaki itu.

"Aku bukan nak fitnah si Fadh tu tau. Tapi, aku banyak kali dah nampak dia usung betina naik motor dia," Bella mula buka cerita. Terjuih-juih bibir Bella menahan geram.

Ayumi diam. Bukan sekali ini Bella bercerita tentang hal itu, tetapi sudah berkali-kali. Pada Ayumi, selagi benda tu dia tidak nampak dengan mata kepalanya sendiri, selagi itulah dia tidak akan percaya bulat-bulat kata-kata orang lain.

"Terpulanglah dekat kau nak percaya ke tak. Aku harap satu hari nanti dia kantoi depan mata kau." Sambung Bella seakan dapat membaca isi hati sahabatnya itu.

Ayumi melepaskan keluhan kecil. Dia tidak mahu membalas kata-kata Bella. Lebih baik dia berdiam diri dari terus terusan menyebelahi Fadhli.

"Encik Malique tu kenapa tiba-tiba ajak kita hiking? Buang tebiat ke?" Kata Ayumi mengubah topik perbualan. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan cadangan lelaki itu. Tetapi, apa kan daya, dia tidak mampu membantah.

"Encik Malique tu dari dulu lagi memang kaki hiking. Tapi, lepas dia terjatuh beberapa tahun lepas, dia stop hiking. Ni dia nak panas enjin baliklah. Rindu agaknya," jawab Bella bersahaja.

Ayumi memncebir bibirnya. "Aku tak biasalah hiking ni. Aku tak suka masuk hutan. Kotor-kotor, berpeluh-peluh semua. Walaupun aku asal kampung, aku tak biasa buat aktiviti lasak macam tu," Terang Ayumi.

"Aku biasa juga buat aktiviti lasak ni. Tapi, hiking tak pernah cuba lagi." Kata Bella pula.

"Aku nak bagi alasan balik kampunglah nanti. Tak payah aku join hiking tu,"Ayumi sudah berkira-kira untuk mengelak dari menyertai aktiviti tersebut. Bella ketawa kecil saat mendengar alasan Ayumi. "Kau ingat senang encik Malique tu nak bagi kau cuti balik kampung? Silap haribulan, cuti dibekukan." Kata Bella lagi.

Terus berubah riak muka Ayumi. Bibir diketap geram. Bukan dia tidak tahu sikap Malique. Suka memaksa!

"Aduh, aku ni dah lah geli dengan pacat semua," Ayumi berkeluh kesah. Sungguh dia tidak rela untuk menyertai aktiviti sebegitu. Dia berdoa agar dia dapat mengelak dari ikut serta aktiviti hiking itu nanti.

"Doa-doalah Encik Malique ubah fikiran. Dia nak buat aktiviti karaoke macam sebelum-sebelum ni ke. Aktiviti BBQ ke." Ujar Bella dengan mata yang melekat kuat pada skrin televisyen.

Ayumi raup wajahnya perlahan. "Dahlah. Aku nak masuk tidur. Mengantuk dah. Good night, Bell," ucap Ayumi. Tubuh ditolak bagun dari sofa dan dia terus berlalu pergi meninggalkan Bella keseorangan di situ.

"Nite," balas Bella tanpa menoleh pada Ayumi.


Previous: KEM 1
Next: KEM 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh AHC