BAB 5
QUE merentap majalah yang sedang
dibaca oleh Mai. Pantas tingkahnya mengalih kedudukan. Terjerit Mai dibuatnya.
Terus saja dia bangun. Pertama, kerana terperanjat. Kedua kerana Que memang
suka mengganggu ketenteramannya. Suka sangat ‘mengacau’. Kalau sehari tidak
mengganggu dirinya, tidak sah agaknya. Ada saja yang dia buat untuk mengusik
Mai.
Mai menjeling geram. Sedang Que,
selamba saja duduk hampir dengan tempat Mai. Bagai tiada apa-apa yang berlaku.
Dibelek majalah tersebut isi ke isi. Sedikit pun tidak menghiraukan Mai yang
sudah bercekak pinggang di depannya. Sesekali dia menyisip milo suam yang masih
berasap nipis. Lega. Mug milo diletakkan semula di tengah meja kopi. Dia
sambung meneliti isi kandungan majalah tersebut.
Mai cuba mengambil majalahnya
semula, pantas tangan Que melarikannya ke tangan yang lagi satu. Bila, Mai
mencuba lagi, terus Que lakukan perkara yang sama; melarikan majalah tersebut
ke tangan sebelah pula. Namun, matanya masih ralit memerhati isi kandungan
majalah tersebut tanpa sedikit pun memandang Mai yang sedang kegeraman. Selamba
saja tingkahnya. Siap menyandar santai lagi di sofa tersebut. Cis tat betullah
Que ini! Selamba badak saja lagaknya.
Mahu cerita sikit sejarah dari mana
datangnya cheese cake, cheese tart, cis tat, cis kek, semua itu ya. Que
kata, dari dia sebut 'cis bedebah!', yang tidak sedap didengari langsung, ada
baiknya dia tukar kepada perkataan yang lebih enak dan manis. Yang sedap
dijadikan halwa telinga. Seronoksaja
didengari ketika menampan gegendang telinga. Cis tat dan cis kek, kan manis.
Sedap. Enak. Yummy! Itulah mulanya asal perkataan 'cis' yang Que suka
guna.
“Que!!!!” jerit Mai masih lagi
berdiri tegak dengan kedua tangan mencekak pinggang.
Comelnya gaya. Macam budak darjah
satu saja.
“Hmm...” jawabnya bersahaja sambil
terus membaca.
Kononnyalah. Padahal dia sudah
hendak ketawa melihat reaksi Mai yang sedang geram. Diintai gerak geri Mai dari
ekor matanya.
“Bak baliklah majalah tu! Aku tengah
syok baca. Kacau aje. Kau baca nantilah,” rengek Mai seperti biasa.
Dia sudah duduk di sebelah Que. Menempel
di sebelah gadis itu.
Dengan Que dia memang begitu.
Ala-ala manja. Boleh kata mereka rapat jugalah. Sejak lima tahun mengenali
antara satu sama lain, sampai sekarang ini pun, mereka jarang berenggang.
Walaupun bekerja di tempat yang berlainan, mereka tetap tinggal menyewa di
rumah yang sama.
Kalau hendak diikutkan, jarak tempat
kerja Mai agak jauh dari rumah sewaan mereka itu. Tapi, demi sayangkan
persahabatan yang sudah lama dan mesra, dia tidak sanggup berpindah ke rumah
sewa lain yang lebih dekat dengan tempat kerjanya.
“Nak baca, ambillah. Siapa larang?”
selamba Que menjawab tapi, matanya masih juga tidak berganjak dari membaca satu
artikal.
Bukanlah menarik sangat pun, tapi
sengaja mahu menyakat Mai. Mai agak manja. Suka diberi perhatian. Kadangkala,
seperti keanak-anakan sedikit perangainya. Tidak reti marah dalam erti kata
sebenarnya. Kira dia ini agak lurus bendullah juga. Eleh, cakap orang! Dia pun
apa kurangnya. Sama saja gayanya. Suka juga dimanja. Suka juga diberi perhatian
lebih. Nama pun perempuan.
Sekali lagi Mai cuba mengambil
majalah tersebut dari tangan Que. Tapi, sepantas itu juga Que menjauhkannya
dari Mai. Sengaja dijelingnya Mai. Tanda tidak mahu diganggu ketika sedang
ralit ‘membaca’. Membaca sangatlah, ya?
Mai sudah tarik muka. Merajuk
manjalah itu! Muncung, sudah panjang sedepa. Makin seronok Que menyakatnya.
“Bak lah balik! Que ni, teruklah.
Suka kacau Mai. Pergilah buat kerja lain.”
“Ini kan, kerja juga.”
“Kerja apanya. Duduk melepak macam
ni, kerja ke?”
“Kerja... Menyakat kaulah.”
Mai menjelingnya tajam.
“Bak sini!”
Que buat tidak dengar. Langsung
tidak mengendahkan rengekan Mai itu.
Geram dengan Que yang bagai tiada
reaksi, Mai mula bertindak agak agresif. Dek kerana geram dia tidak hiraukan
perkara lain. Sambil melutut di atas sofa tersebut dia sedang menyerang Que.
Que yang sudah tersepit di hujung sofa, pastinya tidak dapat bergerak bebas.
Walau dia cuba melepaskan diri, bukan mudah baginya untuk berbuat begitu. Mai
sedang menghalang pergerakannya dengan berlutut dan menekan lengan kiri Que.
Nasib baiklah Mai tidak duduk di atasnya. Memang tidak mudah untuk bergerak.
“Woi! Kalau ya pun nak berasmaradana
luar alam, tak ada tempat lain, ke? Atas sofa tu juga yang di pilih. Koyak
rabak karang sofa tu. Mencemar pandangan betullah kau orang berdua ni. Sumbang
mahram!”
Sumbang mahram? Cis kek betullah
bahasa dia.
Keduanya terus terhenti. Duduk elok
sebelah menyebelah. Macam anak murid kena marah dengan guru besar. Terus tidak
berani berkelahi. Kalau suara ala-ala ‘mak tiri’ ini sudah bergema seluruh
alam, baik buat sedar diri. Sebelum jadi halilintar yang membelah bumi, baik
cuba hentikan. Parah nanti. Itu sudah kira aura mak tiri sedang meresap
namanya. Kedua-dua belah tangan sudah bercekak di pinggang. Eleh, kalau
pinggang ramping, tidak mengapa juga. Ini, kus semangat. Mantap dan montel.
Rin. Seorang lagi teman serumah
mereka. Kira mereka ini memang tiga serangkailah dari dulu. Teman rapat, boleh juga di
kategorikan begitu sebab sejak mengenali satu sama lain, keakraban mereka
memang terserlah. Sukar dipisahkan lagi. Sudah lima tahun begitu. Sejak dari
sekolah menengah lagi mereka saling mengenali. Hingga masing-masing sudah
bekerja pun, masih juga ingin sentiasa bersama.
Dulu, masa zaman duduk asrama,
memang mereka tinggal sebilik pun. Sudah biasa begitu. Mungkin bila mereka
sudah saling mengenali sekian lama, keserasian itu lebih mudah diserap. Itu
yang buat mereka selesa bersama. Sudah saling mengenali dan mengetahui tentang
perangai masing-masing. Buruk, baik, semua sudah faham.
Rin ini, lain sikit. Dia, boleh di
anggap seperti kakak sulung di antara mereka. Tegas, sedikit garang tapi
bertempat, juga sangat baik hati sebenarnya. Mulut saja pot pet pot pet tapi
hatinya baik. Sering juga menjadi pelindung buat kedua rakannya. Sebab itu dia
diiktiraf menjadi ‘kakak’.
Que, di tengah-tengah. Agak
gila-gila perangainya tapi masih terkawal. Suka pada benda dan hobi yang pelik.
Mana tidak pelik. Jarang perempuan minat ‘biking and racing’. Que,
suka motor dan segala yang bersangkut paut dengan pemotoran. Kira ala-ala minah
rempit. Kerja pun sebagai penghantar surat.
Kadangkala jadi pendiam juga. Mood terlebih pusing. Manja, tapi tidaklah semanja Si Mai itu.
Mai, paling bongsu. Memang perangai
kadang-kadang boleh buat sakit jiwa. Manja + mengada-ngada. Macam budak-budak.
Tapi, itu yang seronok. Seronok menyakat kerana Mai tidak pandai marah
betul-betul. Kalau tarik muka pun bukan kerana apa. Hanya mahu diberi
perhatian. Tapi, dengan mereka-mereka saja. Di luar, dia tetap okey. Semua pun
okey.
“Apalah kau ni, Rin. Sumbang mahram
pula. Kau ingat aku ngan Mai ni pasangan lesbian, ke? Dengar dek orang
karang, percuma aje kena cop ‘lesbi’.”
“Dah tu, bergomol kat sofa tu, siapa
suruh? Naik geli aku tengok kau orang tadi tahu, tak? Macam apa aje gaya.
Sorang kat bawah. Sorang menenggek kat atas. Isy! Mengerunkan,” jawab Rin
sambil ternaik-naik bahunya bagi membayangkan kegeliannya.
Cis kek betul!
“Ada, ke? Mana ada kan, Que?” Mai
sudah berpaling ke arah Que, meminta persetujuannya.
Pantas Que mengangguk tanda
mengiakan.
“Sedap mulut dia aje mak cik ni kata
kita bergomol. Aku nak ambil balik majalah aku ni lah. Kau bukan tak tau Que ni
hah,” kata Mai lagi sambil menunjal bahu Que dengan hujung jari telunjuknya.
Que terdorong ke barat sedikit. “Suka sangat mengacau aku membaca. Tu yang aku
geram tu. Bukan buat perkara sumbang mahram pun. Bergasak adalah,” sambung Mai
lagi.
Sekali lagi Que hanya mengangguk,
mengiakan. Mug milo dicapai dan dibawa ke bibir. Disisip milo yang masih berbaki.
Melegakan tekak. Letih woo! ‘Bergomol’ dengan Mai bak kata Rin tadi. Haus
jadinya.
“Tu lah dia! Engkau berdua ni, kerja
lain tak ada. Berkelahi aje. Rimaslah aku dengan perangai tak matang kau orang
ni. Macam budak-budak! Bila dua-dua ada kat rumah, macam nak runtuh rumah ni
kau berdua buat. Bising! Karang kalau jiran-jiran kompelin, baru padan muka tu.
Hormatlah sikit kat orang sebelah menyebelah. Masing-masing kan nak berehat masacuti macam ni. Ni tak!
Kau berdua ni tahu memekak aje. Tak faham aku. Telinga aku ni pun boleh pekak
lama-lama, tau!”
Mulabalik! Ratu membebel betullah dia ini. Sumbat dengan kertas
majalah ini karang, baru tahu. Terus senyap.
“Bosanlah Rin, tak ada buat apa. Menyakat Si Mai ni, hilanglah
sikit bosan aku. Nak menyakat kau, bukan kau suka pun. Percumaaje aku dapat sepak terajang kau nanti. Tak pun, kau bagi aku penampar Jepun
kau tu. Sia-sia aje. Mai, tak. Dia suka aku sakat dia.”
“Amboi! Sedap mulut kau aje kata aku
suka ya, Que?”
“A’ah. Bila masa entah? Suka-suka aje
kata orang suka. Memang kena penampar Jepun kalau kau sakat aku. Aku memang
pantang orang terperanjatkan aku. Cepat aje tangan aku ni melayang.”
“Tu yang aku tak berani nak sakat
kau tu. Belum teringin nak kena penampar Jepun kau tu. Teleng kepala aku nanti.
Kot nanti kalau aku mengidam, mahu aku sendiri yang minta.”
“Penampar aku kau tak nak rasa ke,
Que?”
“Kau kan suka aku sakat kau. Apa kes
pulak nak bagi aku penampar juga?”
“Bila masa aku kata suka kena sakat
dengan kau? Terpaksa suka adalah. Dah kau tak dapat sakat Rin, akulah jadi
mangsa. Karang kalau aku tak layan, kau merajuk bawa motor laju-laju. Siapa
yang susah?”
“Mereka dengan keluarga mereka
juga,” jawab mereka bertiga serentak. Kemudian, pecah tawa mereka tanpa mampu
ditahan-tahan.
Begitulah mereka. Mulanya agak
serius berbicara. Macam hendak gaduh pun ada. Jika orang yang tidak biasa
dengan mereka pasti menganggap mereka ini seperti tidak sehaluan. Ada saja yang
tidak kena antara mereka. Isu-isu yang dibicarakan seringkali mengundang
prasangka dan menghangatkan suasana. Tapi, selalunya pasti berkesudahan dengan
gelak ketawa. Di situlah terjalinnya kemesraan di antara mereka. Saling
memahami diri masing-masing. Saling menjaga hati juga.