Home Novel Cinta SPLIT PLAYGIRL
SPLIT PLAYGIRL
thira jono
21/10/2021 03:30:24
32,542
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

ANGGUN masuk ke kamar mandi. Air dibiarkan saja mencurah-curah membasahi tubuh dari kepala hingga ke kaki. Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke bawah sehingga dia duduk bersandar pada dinding. Tampak matanya sedikit bergetar. Bibirnya juga begitu. Dia sedang menahan sebak. Jantung terasa mahu pecah acap kali duduk bersendirian.

Jay. Ayu. Anggerik. Yin. Amanda. 

Nama-nama itulah yang tidak akan terasing dari hidupnya. Nama yang banyak memberi kesan negatif kepadanya. Namun dia perlu akur bahawa dialah yang mencipta mereka semua sebagai mekanisme pertahanan untuk melindungi diri. Walaupun dia sendiri tidak tahu, mengapa mekanisme pertahanan itu muncul dan mengapa mereka muncul. Ingatannya pada kenangan lalu telah hilang dan membuatkan dia tiada jawapan pasti untuk membuat konklusi tentang setiap perwatakannya.

Di kala mereka keluar, Anggun akan tidur buat sementara. Jika mereka terbangun dari lena, maka Anggun tidak akan tersedar apa yang telah dilakukan oleh personaliti bergandanya di dunia realiti. Dia akan hilang kesedaran setiap kali personaliti itu muncul. 

Dan setiap kali itulah, dia tidak akan ingat apa yang telah berlaku jika dia muncul kembali sebagai Anggun. Itulah yang pasti.

Mungkin mereka sudah sebati dalam hidupnya, tetapi Anggun tetap mahu mereka lenyap dari terus menghantuinya.

Entah mengapa, dia merasa sedih bila mengenangkan nasib diri yang terasa bagai tiada jawapan hingga ke akhirnya.

“Sampai bila aku nak hadap semua ni? Sampai bila aku nak duduk dalam dunia pelik ni.” Sangat perlahan, dia berkata-kata. Tapi cukup menggambarkan rasa beban yang kian menjalar.

Semakin dia dewasa, ada di antara personalitinya yang boleh berkongsi kesedaran seiring dengannya. Itulah yang paling dia risaukan. Jika personalitinya semakin kuat, ia boleh muncul dalam keadaan yang sama dan ia mampu menguasai personaliti utamanya. Lebih teruk, personaliti bergandanya boleh menguasai kelakuan dan kesedarannya.

Bukan dia tidak reda dengan segala yang menimpa diri, cuma kadang-kadang dia perlu akur yang dia tewas dengan emosi sendiri.

“Selagi korang tak lenyap dari hidup aku, selagi itulah aku tak boleh kahwin. Selagi korang wujud dalam badan aku, selagi itulah aku menderita.” Lemah dia menyambung bicara. Mata dipejam rapat sambil kepala menunduk sedih.

Urat kepalanya mula terasa sakit bila terlalu banyak berfikir.

“Anggun! Jangan kecewa. Kalau kau kecewa perempuan yang paling kau benci tu akan keluar.” Segera Anggun tersedar. Dia mengepal penumbuk menahan kesakitan.

Anggerik tak boleh keluar!

Tak boleh. Dia tak boleh bersedih begini. Takut dia yang susah jika personalitinya berubah. 

Tahun demi tahun, Anggun masih tercari-cari punca sebenar personalitinya berubah melalui emosi. 

Buat masa ini, dia hanya mengetahui cara Jay dan Ustazah Ayu keluar dari tubuh. Personaliti Amanda, Yin dan Anggerik masih samar-samar untuk diketahui.


HELLO, kesayangan hamba.” Baru saja Anggun muncul di tingkat bawah, dia dapat melihat figura Habib sedang berdiri dan merenungnya. 

Terbelalak biji mata melihat kemunculan tunangnya secara tiba-tiba.

“Kenapa awak datang tak beritahu saya?” 

Anggun bertanya kadar segera. Wajahnya berkerut seribu. Anggun tidak suka bila Habib muncul tiba-tiba. Lagipun ini rumah anak dara, mana boleh ikut suka hati saja di masuk tanpa ada kedua orang tua. Elnara pun selamba badak aje benarkan Habib masuk ke dalam rumah.

“Saya nak buat surprise je. Nak ganti date kita yang tertangguh semalam.” Anggun mencebik bibir.

Bukannya dia terkejut pun dengan kehadiran Habib yang secara tiba-tiba itu. Cuma dia kurang berkenan cara Habib tidak meminta izinnya untuk datang.

Patutlah tadi beria Elnara suruh dia pakai tudung, rupanya tetamu dikatakan itu tunangnya sendiri.

Kurang asam jawa betul si Nar ni, bersekongkol dengan Habib rupanya.

“Kalau ia pun janganlah masuk sampai ke dalam rumah. Nanti jiran tetangga nampak macam mana? Orang dekat kawasan rumah ni dahlah kepochi. Jiran saya ni dah lah ustaz. Kalau dia nampak laki masuk dalam rumah saya, tak pasal-pasal pula nanti dia anggap saya ni perempuan murah.” Anggun bercekak pinggang. Habib hanya tayang gigi putih dan tangan buat gaya peace.

“Alah sayang, pintu terbuka luaslah. Tak akan kena tangkap basah punya,” balas Habib nada selamba. Jari dipetik depan muka Anggun.

“Banyak cantik muka awak?” Anggun menjegil biji mata. Meledak tawa Habib memerhatikan tingkah Anggun.

“Saya tak cantik tapi handsome, sebab itulah Cik Anggun terpikat dengan saya dari zaman sekolah.” Habib berseloroh nakal.

Sikap Habib memang begitu. Suka sangat buat perangai selenga depan Anggun. Langsung tak serius bila mengutarakan sesuatu.

“Eee, sajalah tu ingat kenangan lama.” Anggun herot bibir ketepi. Dia mengerut dahi.

“Kenangan lama tu boleh menggamit memori. Tapi saya tak tahulah awak ingat lagi ke tidak kenangan kita berdua waktu sekolah dulu.” Habib mengingatkan Anggun tentang kenangan berdua. Saja mengimbau kenangan lalu mengusik jiwa.

“Kalau saya tak ingat siapa awak dalam hidup saya, mesti kita tak akan bersama sampai sekarang.” Mata bertemu mata. Anggun simpulkan senyuman manis.

Dia tak akan lupakan segala pengorbanan Habib buatnya.

Hanya Habib yang mahu berkawan dengannya suatu masa dahulu. Jika bukan kerana lelaki itu, pasti dia akan hidup lebih merana dan sunyi.

Anggun benar-benar menghargai kehadiran Habib dalam hidupnya. Kerana dia menghargai lelaki itu, dia tidak mampu untuk menceritakan kelemahan yang ada dalam dirinya.

Anggun tak mahu kehilangan Habib kerana kelemahan yang satu ini.

“Eleh, sayang tu kalau cakap berpuitis sungguh. Tapi bila ajak kahwin, ada aje alasan.” Habib mengomel. Bibir mencebik.

“Sayang bukan tak mahu kahwin, cuma sayang belum bersedia.” 

Itulah jawapan yang sering Anggun ungkapkan. Habib sudah muak mendengar jawapan yang sama. Tetapi, kerana sayang dia akur dengan keputusan Anggun.

“Tiga tahun kita bertunang, tak akanlah belum bersedia.” Habib tayang wajah geram yang dibuat-buat. 

“Ke sayang ni sebenarnya takut nak hadap malam pertama dengan saya? Fuh …” 

Selamba dia mengusik. Saja dia buat spekulasi sendiri. Mata pula sengaja dikecilkan. Buat muka curiga.

“Dah merepek dah awak ni. Jom keluar cepat, saya nak jalan-jalan dengan awak ni. I miss you so much babeh.” 

Tergesa-gesa Anggun mahu bawa tunangnya keluar dari rumah. 

“Awak pergilah bersiap dulu.” Habib tergelak kecil.

“Tak payah, saya ni natural beauty.” Begitu yakin Anggun mahu keluar memakai t-shirt dan berseluar track suit. Habib hanya mengeya dan tersenyum. 

Ikut suka Anggun nak pakai apa pun. Dia memang cantik.

Dring …

Deringan telefon membuatkan tingkah laku Anggun terhenti. Habib juga semerta diam. 

Doktor Fayyid. 

Nama itu yang tertera di telefonnya. Dia mengerling sekilas wajah Habib yang memerhati. Bibir digigit menahan perasaan gelisah. 

Beberapa saar perhatikan skrin, Anggun hanya membiarkan panggilan itu tak berjawab. Telefon disimpan semula.

“Siapa yang call? kalau penting angkat je.” Habib bersuara. Dia yakin, Anggun tidak mahu menjawab panggilan tersebut kerananya.

“Boleh ke?” Anggun bertanya inginkan kepastian. Habib angguk lantas tersenyum.

“Minta maaf sebab selalu spoil mood awak.” Sempat Anggun memohon maaf sebelum menjauhkan diri sebentar dari tunangnya.


TELEFON melekat di telinga. Anggun menarik nafas sebelum bersuara.

“Waalaikumussalam, doktor.” Anggun melirik perlahan suaranya.

“Saya nak jumpa awak hari ini boleh tak?” Doktor Fayyid bersuara tergesa di hujung talian. Terjongket kening Anggun mendengar pertanyaan itu.

Kenapa pula tiba-tiba doktor nak jumpa aku? 

“Nak jumpa saya? Kenapa pula? Bukan ke appointment kita…” belum sempat Anggun menghabiskan bicara, Doktor Fayyid mencelah terlebih dahulu.

“Kalau tak ada hal penting, saya tak suruh datang.” Doktor Fayyid bersuara tegas. Anggun menelan liur yang terasa kelat. Dia menjadi rungsing bila doktor memberi kata penegasan. 

“Tapi saya ada date dengan tunang saya.” Bibir memuncung sedepa. 

Semalam janji temu mereka terganggu kerana dato tua bangka tu. Tak akan pula dia mahu mencari alasan untuk tidak keluar dengan Habib? Kasihan Habib sudah membawa bekal untuknya.

“Oh, kalau macam itu pergilah dulu keluar dengan dia kalau dia lebih penting dari kesihatan awak.” 

Anggun tersentak. Dahi berkerut. Sedikit keliru dengan kata-kata Doktor Fayyid. 

Ayat macam menyinis je.

“Besoklah saya jumpa doktor.” Anggun menjawab perlahan.

“Hurm, terpulang.” Segera Doktor Fayyid matikan talian.

“Aduih, dah kenapa pula doktor ni tiba-tiba nak emosi? Relaks boleh kut,” omelnya seraya memusing tubuh untuk menghampiri Habib semula.

“Kenapa ni sayang? Nampak gelisah je.” Dada Anggun berdegup kencang bila Habib sudah berada di belakangnya.

Alamak, sejak bila dia ada dekat belakang?

“Awak nak jumpa doktor mana ni?” Habib menyoal hairan. Keningnya bertaut.

Glurp. Anggun telan liur, biji mata juga terbelalak merenung Habib. 

“Saaa saya nak jumpa doktor …”

“Awak sakit apa ni? Kalau ada sakit jangan diam.” Habib bertanya penuh curiga. Dia mahu, mengapa tunangnya berhubungan dengan seorang doktor.

“Saya tak sakitlah. Saya nak jumpa doktor gigi. Saya ada buat appointment dengan dia hari ini, tapi saya lupa.” Anggun mencatas. Lancar dia mencari jawapan untuk menafikan sakit yang dihadapi.

“Oh, kita tak jadi keluar ke ni?” tenang dia bertanya.

“Saya dah tukar waktu appointment. Jomlah keluar je,” balas Anggun menggesa senyum sekadar mahu menenangkan jiwa yang gelisah.

“Kalau dah berjanji, kita perlu tunaikan. Awak pergilah jumpa doktor tu, biar saya balik.” 

Habib berura-ura mahu membiarkan Anggun bertemu doktornya terlebih dahulu. Dalam waktu yang sama, sengaja dia mahu menguji si gadis. Anggun menghela nafas berat bila Habib memberi jawapan begitu.

“Janganlah macam itu. Saya dah cancel appoinment dah pun.” Anggun bersuara mendatar. Dia tetap mahu meneruskan janji temu bersama Habib.

“okey bos.” Akhirnya Habib tersenyum semula. Sedikit gembira tatkala Anggun lebih memilihnya.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh thira jono