Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
39,965
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1



“LAMBAT kau masuk hari ni Dalia,” tegur Sakinah tatkala terlihat kelibat Dalia masuk ke dalam pejabat. Dia mengerling jam di desktop komputer. Masa sudah menghampiri ke pukul 9.00 pagi.

“Jalan sesak, Kak Kinah,” balas Dalia. Dia tersengih kepada Sakinah.

“Jalan sesak ke bangun lambat?" Sakinah serkap jarang. Dia mengangkat kening.

Dalia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia masih lagi tersengih.

“Err… Kak Kinah. Bos dah masuk ke?” tanyanya selepas itu.

“Kenapa?” Sakinah pula bertanya. Tangannya lincah menaip sesuatu di komputer.

“Tak adalah apa. Saya cuma berkira-kira nak buat solat hajat atau solat dhuha.” Dalia tersenyum kambing. Dia menanti jawapan daripada Sakinah.

Sakinah yang mendengar mematikan tingkah laku. Dia mengangkat muka lalu memandang ke wajah Dalia.

Dalia tersengih.

“Kak Kinah rasa baik kau buat solat hajat. Minta sejukkan hati bos kau tu,” cadang Sakinah dalam nada serius.

Dalia yang mendengar segera menghampiri Sakinah di meja.

“Tak ada… tak ada… pandai-pandailah kau nak jawab pada bos kesayangan kau tu.” Sakinah pantas berkata. Dia dapat menduga melihatkan tindakan Dalia.

“Ala… tolonglah Kak Kinah. Kali ni saja. Lepas ni saya janji tak akan lewat lagi.” Dalia membuat janji. Dia mengangkat tangan lagak seperti orang berikrar.

“Kak Kinah tak tahu.” Sakinah menjungkitkan bahu. Dia meneruskan kerjanya menaip di komputer. Tidak dihiraukan Dalia di sisi.

“Saya belanja Kak Kinah makan tengah hari ni macam mana?” Dalia membuat tawaran.

Sakinah menghentikan tingkah laku.

“Kak Kinah nak makan apa pun saya belanja.” Dalia masih lagi memujuk.

Sakinah yang mendengar menoleh ke sisi. Wajah Dalia yang sedang tersenyum gedik menyapa mata. Dia berfikir sejenak.

“Please…” Dalia merayu.

“Okey!” putus Sakinah setelah berfikir.

Dalia melepaskan nafas lega. Dia melangkah menuju ke sofa.

“Dalia!” tegur seseorang dari arah muka pintu.

Dalia yang baru hendak melabuhkan duduk menghentikan tingkah laku. Dia memandang ke arah yang menegur.

“Masuk bilik saya sekarang!” arah Encik Zaihan bernada tegas.

“Baik, bos!” sahut Dalia sambil memberi tanda hormat. Dia memandang langkah Encik Zaihan sehingga masuk ke dalam bilik.

Sakinah yang melihat bangun dari duduk. Perlahan-lahan dia beredar dari meja sambil membawa sebiji cawan.

“Kak Kinah!” tegur Dalia tatkala terlihat Sakinah beredar dari tempatnya.

Sakinah mematikan langkah. Dia tersengih sambil menggaru kepalanya yang bertudung. Pasti Dalia berasa tertipu. Sengaja dia menakut-nakutkan Dalia. Sekadar untuk bergurau dengan gadis itu.

“Kak Kinah!” panggil Dalia buat kali yang kedua. Kelibat Sakinah sudah pun hilang menuju ke pantry. Sengaja Sakinah mempermain-mainkannya sebentar tadi.


*****


“SAYA nak awak hantar dokumen ni. Urgent!” arah Encik Zaihan bernada serius. Dia menghulurkan sekeping sampul surat kepada Dalia.

“Urgent bos?” tanya Dalia sambil membalas huluran.

“Dokumen tu penting. Awak jangan cicirkan di mana-mana.” Encik Zaihan memberi amaran. Dia mahu Dalia lebih bertanggungjawab.

“Kalau tercicir?” Dalia sekadar bertanya. Sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Kalau tercicir?” ulang Encik Zaihan seraya menoleh ke wajah Dalia.

Dalia menanti jawapan daripada Encik Zaihan.

“Saya potong gaji awak bulan ni.” Tegas Encik Zaihan memberitahu. Ada nada ugutan di situ.

Dalia yang mendengar menelan air liur sendiri. Wajah Encik Zaihan dipandang meminta kepastian.

“Dah! Awak pergi hantar sekarang.” Encik Zaihan mengarah. Dia menyambung kerja yang tertangguh dengan kehadiran Dalia.

Dalia mengangguk. Dia melangkah keluar dari ruangan itu.

“Err… bos.” Dalia memanggil selepas itu.

Encik Zaihan menoleh ke arah Dalia. Gadis itu sedang tercegat di muka pintu bilik.

“Betul ke bos nak potong gaji saya kalau saya hilangkan dokumen ni?” Dalia meminta kepastian.

Encik Zaihan sekadar mengangguk.

Dalia tersenyum paksa. Dia mengangguk tanda faham untuk kesekian kalinya. Kemudian, dia beredar dari situ sambil berkira-kira dalam hati. Jika gajinya dipotong, bagaimana dia perlu membayar segala hutang-piutang? Dia menggeleng laju tanda tidak mahu.

“Wei!” sergah Sakinah, tiba-tiba.

“Opocot! Hantu bungkus!” latah Dalia akibat terkejut.

Sakinah yang melihat tergelak besar. Tingkah laku Dalia yang sedang melatah dipandang tidak berkelip.

“Kak Kinah!” tegur Dalia sedikit tinggi. Dia mengurut dada yang sedang bergetar laju.

Sakinah masih lagi ketawa. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi sambil memandang wajah Dalia yang pucat.

“Nasib baik saya tak mati terkejut.” Dalia mengurut dada.

Sakinah tersengih.

“Bagilah saya taubat dulu. Banyak dosa.” Dalia berkata. Dia menstabilkan nafas.

“Sorry Dalia. Kak Kinah tak sengaja.” Sakinah serba salah.

“Sorry naik lorry,” balas Dalia lalu beredar dari situ. Dia menjeling kepada Sakinah.

Sakinah ketawa. Dia memandang pemergian Dalia. Setelah itu, dia menyambung kerjanya semula.


*****


“KE TEPI… ke tepi…” arah Dalia sambil melambai tangan meminta orang yang lalu di situ ke tepi. Khuatir berlanggar dengan mereka.

“Tepi… tepi…” suruh Dalia sedikit meninggi sambil menekan hon.

Orang ramai yang lalu-lalang di situ akur. Mereka mengelak daripada bertembung dengan Dalia.

“Woi! Tepi!” marah Dalia tatkala seorang lelaki melintas dengan tiba-tiba. Tidak sempat untuk dia mengelak lalu dia jatuh ke tanah.

Orang ramai yang berada di situ sedikit terkejut. Masing-masing melihat keadaan Dalia.

“Bodoh!” suara Dalia sambil cuba bangun dari duduk.

“Cik… cik…” tegur Rafiq Adam sambil menghampiri Dalia. Dia membantu gadis itu bangun dari jatuhan.

“Tepi!” tolak Dalia, kasar.

Rafiq tersentak dengan tindakan kasar Dalia. Dia menjauhi Dalia sambil memandang tingkah laku gadis itu yang sedang mengibas punggung.

“Otak kau tu letak kat mana? Lutut?” marah Dalia seraya memandang ke wajah Rafiq. Pemuda di hadapannya itu dipandang tajam.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja.” Rafiq meminta maaf.

“Maaf kau tu tak boleh bayar kecederaan aku ni. Motor aku tu habis rosak dan calar.” Dalia membidas. Dia mendengus kasar.

Rafiq tidak membalas. Dia berasa bersalah atas apa yang berlaku kepada gadis di hadapannya itu.

“Kau nak tolong aku ke tidak?” tanya Dalia sedikit meninggi. Dia cuba mengangkat motornya yang terjatuh.

Rafiq tersentak. Dia segera mendapatkan Dalia lalu membantu gadis itu menegakkan motor. Tercungap-cungap dia membantu Dalia.

“Huh! Macam perempuan. Baru angkat motor sikit dah macam nak mampus.” Dalia menyindir. Dia menongkat motor lalu melepaskan nafas lega.

“Saya minta maaf. Kalau cik nak claim perubatan serta kerosakan motor ni, cik beritahu pada saya.” Rafiq bersuara. Dia perlu bertanggungjawab.

Dalia yang mendengar pantas menoleh. Wajah pemuda itu dipandang tidak berkelip.

“Nanti cik beritahu berapa kesemuanya pada saya,” tambah Rafiq lagi. Dia tersenyum kepada Dalia.

Dalia tidak membalas. Wajah pemuda itu masih lagi dipandang. Seminit kemudian, dia teringatkan sesuatu. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Dia perlu menghantar dokumen yang diamanahkan oleh Encik Zaihan.

Rafiq yang melihat Dalia beredar dari situ terkejut. Langkah gadis itu dipandang sehingga hilang di sebalik pintu.

“Kelakar,” sebut Rafiq berserta ketawa kecil. Dia melangkah beredar dari situ.
Namun, langkahnya terhenti tatkala tersepakkan sesuatu. Lantas, dia menunduk lalu mengambil benda yang disepaknya itu. Berkerut dahinya melihat benda tersebut.


*****


“YA, cik. Boleh saya bantu?” tegur Azie selaku penyambut tetamu.

“Maaf, betul ke tempat ni seperti alamat dalam kertas ni?” Dalia menghampiri Azie. Dia mengunjuk sekeping kertas kepada gadis itu.

Azie melihat alamat yang ditunjuk.

“Betul cik,” balasnya sambil mengangguk.

Dalia yang mendengar melepaskan nafas lega.

“Boleh saya bantu cik?” tanya Azie, ramah.

“Boleh bagi saya segelas air?” pinta Dalia, selamba.

Azie yang mendengar berkerut dahi

“Cuaca panas kat luar tu. Dahaga.”

“Err… sekejap.” Azie melangkah menuju ke pantry.

Dalia hanya memandang. Dia menghampiri sofa lalu melabuhkan duduk di situ. Kepenatan mulai terasa. Malah, tubuh badannya berasa sakit akibat terjatuh daripada motor.

“Cik!” Azie menghulurkan segelas air kepada Dalia.

Dalia tersentak. Dia mencapai gelas yang dihulurkan oleh Azie lalu meneguk air dari dalam gelas tersebut. Tekak yang terasa kering sudah pun dibasahkan.

“Aarrgghhh!!! Lega cik. Terima kasih.” Dalia tersengih. Dia menghulurkan gelas kosong kepada Azie.

Azie mendengus ringan. Dia memandang ke wajah Dalia. Menanti bicara daripada gadis itu.

Dalia yang melihat tidak senang duduk. Kenapa Azie memandangnya tidak berkelip? Adakah mukanya comot? Dia meraba-raba wajahnya sendiri.

“Cik?” Azie menegur. Dia perlu tahu tujuan kehadiran Dalia ke pejabat itu.

“Oh! Maaf, saya terlupa.” Dalia tersengih. Hampir dia terlupa untuk menyerahkan dokumen di pejabat itu.

Azie menanti penuh sabar.

“Saya ke sini nak hantar dokumen.” Dalia menyeluk beg sandang. Mencari sampul surat yang telah diamanahkan oleh Encik Zaihan.

“Dokumen?” Azie berkerut dahi.

Dalia tidak membalas. Dia menyelongkar beg sandangnya. Meraba-raba dia mencari. Namun, sampul surat berkenaan tidak dijumpai.

“Cik?” tegur Azie tatkala melihat tingkah laku Dalia.

Dalia risau. Dia melilaukan mata mencari sampul surat berkenaan. Berkemungkinan sampul surat itu tercicir di mana-mana.

“Kalau cik tak ada urusan di pejabat ini, saya rasa baik cik beredar dari sini.” Azie bersuara. Dia berasa kurang enak. Khuatir Dalia berniat jahat.

“Azie?” Rafiq menegur sebaik sahaja masuk ke dalam pejabat.

“Selamat pagi, Encik Rafiq.” Azie membalas. Dia menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat.

“Kenapa ni?” Rafiq bertanya. Seorang gadis yang sedang mencari sesuatu menyapa mata. Seakan mengenali gadis itu.

“Err… dia…” Azie serba salah untuk menjawab.

“Mati aku macam ni. Adui!” Dalia bersuara. Dia mengetuk kepala sendiri. Sampul surat Encik Zaihan hilang entah ke mana.

Azie dan Rafiq hanya memandang. Mereka berdua berkerut dahi.

“Habislah gaji aku kena potong bulan ni. Mana nak cover semua.” Dalia mengeluh. Dia melabuhkan duduk di atas sofa.

“Cik?” Azie menegur untuk kesekian kalinya.

“Bodoh! Kau cuai!” marah Dalia kepada dirinya sendiri. Dia mengetuk kepalanya beberapa kali.

“Cik?” Rafiq yang melihat menegur.

Dalia menghentikan tingkah laku. Dia memandang ke arah suara yang menegur. Wajah seorang pemuda menyapa mata. Seminit kemudian, dia menjatuhkan mata ke arah sampul surat yang dipegang oleh pemuda itu.

“Bukan itu…” Dalia mematikan ayat. Dia pantas bangun dari duduk lalu merampas sampul surat dari tangan Rafiq.

Terkejut Rafiq dengan tindakan Dalia. Tidak sempat dia menstabilkan tubuh lalu dia terdorong ke belakang.

“Cik!!!” tegur Azie sedikit meninggi.

Dalia yang mendengar menoleh. Buntang matanya melihat pemuda dan gadis di hadapannya itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.