Home Novel Cinta Tiada Dirimu
Tiada Dirimu
Rose Eliza
17/6/2020 22:47:45
39,982
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11


DALIA memandang jam di pergelangan tangan. Hampir 10 minit dia lewat ke tempat kerja. Pasti Encik Zaihan akan memarahinya atas kelewatan itu. Acapkali Encik Zaihan menegur. Namun, teguran itu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sahaja. Seawal mana dia sekalipun, pengakhirannya tetap sama.

“Kak Kinah!” tegur Dalia sebaik sahaja terlihat Sakinah. Dia melemparkan senyuman kepada wanita itu.

Sakinah menghentikan langkah. Dia memandang jam di dinding.

“Sorry, Kak Kinah,” ucap Dalia. Sedar akan kelewatannya itu.

Sakinah tidak mengendahkan teguran Dalia. Dia melangkah menuju ke pantry.  

Dalia berkerut dahi melihat pemergian Sakinah. Rasa pelik melihat sikap Sakinah ketika ini. Sepertinya Sakinah tidak berpuas hati dengannya.

“Berani betul minah tu datang kerja. Tak tahu malu betul,” suara Maya tatkala terlihat kelibat Dalia yang sedang duduk di atas sofa. Dia mencebik meluat.

“Spesis kulit buaya macam dia tu mana nak tahu rasa malu. Dah kebal!” sahut Norin turut sama mencebik.

“Kau orang berdua ni nak makan kasut ke? Pagi-pagi lagi nak cari pasal dengan aku,” bengang Dalia bingkas bangun dari duduk. Tajam pandangannya ke wajah Maya dan Norin.

“Eh! Suka hati kita orang la nak cari pasal ke tidak. Kau tu yang tak sedar diri. Dah buat salah tapi masih berani datang ke opis ni,” balas Norin dalam nada sinis.

“Salah apa yang aku dah buat pada kau orang?” soal Dalia masih bengang.

“Tengok! Buat-buat tak tahu pulak. Memang spesis kulit buaya tembaga betul,” kata Maya pula. Dia segera beredar dari situ. Malas untuk berlawan kata dengan Dalia.

Norin turut sama beredar dari situ. Dia melemparkan jelingan kepada Dalia. 

“Woi! Aku tak habis cakaplah,” panggil Dalia sedikit meninggi. Langkah Maya dan Norin dipandang tajam.

“Dalia!” panggil Encik Zaihan dengan tiba-tiba.

Dalia tersentak. Dia memandang ke arah Encik Zaihan.

“Masuk bilik saya sekejap!” arah Encik Zaihan lalu menghilangkan diri di sebalik pintu bilik. 

“Haa… baik, encik,” sahut Dalia sedikit terkejut. Hatinya berasa berdebar. Seperti ada perkara yang hendak diberitahu oleh Encik Zaihan itu. 



“ADA apa, encik?” tanya Dalia setibanya di dalam bilik.

“Duduk, Dalia,” suruh Encik Zaihan, ramah.

Dalia mengangguk lalu duduk di atas kerusi. Jantungnya mengepam laju. Seperti ada perkara serius yang ingin dibincang melihatkan riak di wajah Encik Zaihan.

“Ada apa, encik?” soalnya lagi.

Encik Zaihan menghela nafas berat. Dia serba salah ketika ini.

“Kenapa, encik? Macam ada perkara serius saja.” Dalia berdebar-debar.

Encik Zaihan menarik laci lalu mengeluarkan sekeping sampul surat. Dihulurkan kepada Dalia.

“Sampul surat apa ni, encik?” 

“Gaji awak untuk sebulan.”

“Gaji saya? Awal sangat encik. Sekarang baru tengah bulan.”

“Saya minta maaf, Dalia. Awak diberhentikan kerja.”

“Diberhentikan kerja?” sahut Dalia bingkas bangun dari duduk.

Encik Zaihan mengangguk perlahan.

“Tapi, kenapa? Apa salah yang saya dah buat?”

“Saya minta maaf, Dalia. Saya hanya mengikut arahan pihak atasan.”

“Tapi, kenapa encik?”

Encik Zaihan tidak membalas. 

“Encik!”

“Saya minta maaf.” Untuk kali ketiga Encik Zaihan meminta maaf. Tidak berani untuk bertentangan mata dengan Dalia.

Dalia memandang wajah Encik Zaihan. Pertanyaannya tidak dibalas. Kesalahan apa yang telah dilakukannya sehingga dia diberhentikan kerja.

“Baiklah, terima kasih encik,” ucapnya lalu beredar dari situ.

Encik Zaihan hanya memandang. Rasa bersalah menghuni dalam hati. Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Semua itu kehendak pihak atasan. Dia hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan.

Dalia memejamkan mata sambil menyandarkan tubuh ke pintu. Rasa tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. 

“Padan muka kau! Cari pasal lagi dengan Encik Ziqri,” suara Norin dengan tiba-tiba.

Dalia membuka mata. Wajah Norin dan Maya menyapa mata.

“Aku harap Encik Zaihan berhentikan dia. Semak aku tengok muka dia kat opis ni.” Maya mencebik meluat.

“Apa masalah kau orang berdua ni?”

“Masalah? Tak ada pun,” balas Norin sambil berpeluk tubuh.

“Yang kau orang tak puas hati dengan aku, apasal?”

“Memang kami tak puas hati dengan kau. Sebab kau Encik Ziqri masuk hospital. Sebab kau Encik Ziqri cedera,” balas Maya dalam nada marah.

Dalia yang mendengar berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Maya itu.

“Apa maksud kau, Maya?” soalnya selepas itu.

“Buat-buat tak tahu pulak. Buat-buat bodoh pulak,” cebik Norin, meluat.

“Apa maksud kau, Maya?” ulang Dalia semula.

Norin dan Maya tidak membalas. Mereka mencebik lalu beredar dari situ.

Dalia menggenggam erat tangan. Kata-kata Maya terngiang-ngiang di pendengaran. Encik Ziqri cedera? Encik Ziqri masuk hospital disebabkan dirinya? 

Tanpa menunggu, dia masuk semula ke dalam bilik Encik Zaihan. Dia perlu tahu perkara yang sebenar. 



“YA, Dalia. Encik Ziqri cedera dan dimasukkan ke hospital. Dia terpijak kaca yang bertaburan di atas lantai di pantry,” beritahu Encik Zaihan berserta nafas berat.

“Kaca?” sebut Dalia, bergetar.

“Ada saksi yang beritahu awak sengaja letakkan kaca untuk kenakan Encik Ziqri.”

“Apa? Sengaja?”

“Encik Ziqri tuduh awak sebarkan berita tentang dirinya. Disebabkan itu, awak berniat untuk mencederakan Encik Ziqri.”

“Ya Allah! Apa yang Encik Zaihan cakapkan ni?” 

“Saya hanya menjalankan tugas, Dalia.”

Dalia menggeleng perlahan. Begitu berat tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk dia membalas dendam kepada Encik Ziqri apatah lagi mencederakan lelaki itu. Disentuh dadanya yang berasa sebu. Kata-kata sindiran dan sinis Maya dan Norin terngiang-ngiang di pendengaran.

“Cik… cik…” tegur seseorang tatkala terlihat Dalia hampir rebah. Pantas, dia memapah tubuh Dalia ke kerusi yang berhampiran.

“Cik, okey?” tanya jururawat yang bernama Maziah itu. Dia memandang wajah Dalia yang sedikit pucat.

“Saya okey. Terima kasih!” ucap Dalia sambil cuba menstabilkan nafas. 

“Cik tak sihat? Kalau tak sihat, saya panggilkan doktor,” kata Maziah lagi.

“Tak apa. Saya okey. Terima kasih,” tolak Dalia, ramah.

Maziah hanya memandang. 

“Cik tahu di mana bilik Encik Ziqri Arif bin Zafran?” tanya Dalia sebaik sahaja stabil.

“Ziqri Arif bin Zafran?” ulang Maziah berserta kerutan di dahi.

Dalia mengangguk lemah. Dia perlu melawat keadaan Ziqri sekaligus meminta maaf daripada pemuda itu.

“Saya tak pasti. Sekejap saya check di kaunter,” balas Maziah lalu bangun dari duduk. Dia beredar dari situ menuju ke kaunter pertanyaan.

Dalia hanya memandang. Seminit kemudian, dia bangun dari duduk. Ada baiknya dia mencari sendiri di mana bilik Ziqri berada. Mujurlah Encik Zaihan memberitahu nombor bilik Ziqri. Mudah baginya untuk mencari. Berharap dia berjumpa dengan Ziqri.



“TERIMA kasih, pak ngah. Ziq minta maaf sebab susahkan pak ngah,” ucap Ziqri, ramah.

“Pak ngah hanya menjalankan tugas, Ziq,” balas Encik Zaihan dari hujung talian.

Ziqri hanya mendengar. Dia tersenyum puas mendengar berita pemecatan Dalia.

“Kalau tak ada apa lagi, pak ngah letak dulu. Ada kerja yang nak diuruskan,” pamit Encik Zaihan selepas itu.

“Baiklah! Terima kasih sekali lagi.” Ziqri mematikan talian. Dia menggenggam erat telefon bimbit di tangan. 

“Kau terimalah balasannya perempuan,” kata Ziqri lalu ketawa sinis.

“Suka nampak!” tegur Dalia dari arah muka pintu bilik.

Ziqri yang mendengar terkejut. Pantas, dia menghalakan mata ke arah suara yang menegur. 

“Kau?” suara Ziqri selepas itu.

“Kenapa? Kau terkejut tengok aku?” Dalia melangkah menghampiri katil Ziqri. Wajah pemuda itu dipandang tajam.

“Kau buat apa kat sini?” tanya Ziqri dalam nada serius.

“Melawat kau,” jawab Dalia sambil bersandar ke dinding lalu berpeluk tubuh.

“Kau nak apa?” Ziqri masih bertanya. Malas untuk melayan Dalia.

Dalia tidak membalas. Pandangannya tepat ke wajah Ziqri. Pemuda itu memang berniat untuk memecatnya.

“Kalau kau nak merayu supaya jangan berhentikan kau, baik kau balik saja. Aku tak akan tarik balik keputusan aku,” kata Ziqri. Dia pasti Dalia datang berjumpa dengannya disebabkan pemecatan itu.

“Huh! Kau ingat aku akan merayu, meratap hiba pada kau? Jangan nak bermimpilah.”

“Berlagak!”

“Rezeki aku, Allah yang tentukan. Bukan kau atau sesiapa.”

Ziqri memandang tajam ke wajah Dalia.

“Aku datang sebab nak tengok sama ada kau koma atau tidak lepas pijak kaca kat pantry tu semalam.”

“Kau…”

“Tak mati pun kalau kau pijak kaca. Lainlah kalau kau makan kaca tu.” Dalia sengaja menyindir. Dia tersenyum sinis kepada Ziqri.

“Kau nak apa daripada aku?” 

Dalia mendengus ringan. Tanpa berlengah, dia beredar dari situ. Walaupun dia berasa sedih kerana diberhentikan kerja, namun dibuang jauh perasaan itu. Hanya kepada Allah dia memohon dimurahkan rezeki.

“Dalia?” tegur Rafiq dengan tiba-tiba.

Dalia yang baru hendak beredar dari bilik itu tersentak. Dia menoleh ke arah yang menegur. Wajah Rafiq menyapa mata.

“Awak buat apa kat sini?” tanya Rafiq sambil melangkah menghampiri Dalia.

“Melawat lelaki tak guna.” Selamba Dalia menjawab. 

“Lelaki tak guna? Siapa?” Rafiq berkerut dahi.

Dalia berpeluk tubuh.

“Oh! Awak maksudkan Ziqri?” sambung Rafiq sebaik sahaja dapat menangkap kata-kata Dalia. Dia ketawa kecil.

“Tak mati pun adik Encik Rafiq tu. Saya ingatkan mati disebabkan terpijakkan kaca kat pantry tu.”

“Kenapa awak cakap macam tu Dalia?”

“Saya minta diri dulu.” Dalia beredar dari situ. Tidak berniat untuk membalas pertanyaan Rafiq. Apa yang penting sekarang, dia perlu mencari kerja lain. Keluhan berat dilepaskan. 

Rafiq segera masuk ke dalam bilik sebaik sahaja kelibat Dalia hilang. Kata-kata Dalia sebentar tadi terngiang-ngiang di pendengaran. Seperti ada sesuatu yang berlaku di antara Dalia dan Ziqri. 

“Kau buat apa kat sini?” tanya Ziqri tatkala wajah Rafiq menyapa mata.

Rafiq tidak membalas. Dia menghampiri Ziqri di katil. Adiknya itu sedang memandangnnya dengan pandangan yang tajam.

“Kalau kau nak jaga aku, baik kau balik saja. Aku tak perlukan kau untuk jaga aku.” 

“Dah sakit macam ni pun kau masih nak berlagak, Ziqri.” 

Ziqri mencebik. Dia mengalihkan pandangan ke luar jendela.

“Aku ada bawakan makanan untuk kau. Suka hati kaulah nak makan atau tidak. Aku balik dulu.” Rafiq meletakkan bungkusan makanan yang dibelinya di atas meja. Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik itu.

Ziqri tidak membalas. Matanya mengekori langkah Rafiq sehingga ke muka pintu bilik.

“Terima kasih sebab pecat Dalia. Aku akan ambil dia bekerja dengan aku,” kata Rafiq seraya menoleh. 

Berita pemecatan Dalia diketahuinya melalui Encik Zaihan. Tergamak Ziqri memecat Dalia atas sebab yang tidak munasabah. Macam budak-budak. Suaranya dalam hati.

“What?!” balas Ziqri, terkejut.

Rafiq beredar dari bilik itu. Dia ketawa kecil.

“Rafiq! Rafiq!” panggil Ziqri. Namun, panggilannya itu tidak bersambut. Rafiq sudah pun beredar dari biliknya.

“Tak guna!” bengang Ziqri. Rafiq sengaja mencabarnya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.