Home Alternatif Alternatif Karton
Karton
Astrid K.
23/9/2018 10:43:03
26,511
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Bab 1

Pilu Malam Tahun Baru



Dua minggu diundur ke belakang.

  Telefon meja di depan saya tu berdering. Saya angkat gagang, lepas tu saya letak kembali. Talian mati. Dua saat, dia berdering lagi. Saya putuskan juga dengan wajah muak. Celakanya, telefon tu berdering lagi untuk kali ketiga. Malas- malas saya angkat gagang tu, bawa ke telinga saya.

  “Hello? Hello, Cik Suzana,” Sapa orang di dalam panggilan.

  “Boleh telefon nanti saja? Saya sibuk,” Saya betul- betul tak ada hati nak melayan apa- apa panggilan telefon. Lagi pun entah dengan siapa saya bercakap ni. Ah, tak mahu tahu saya.

  “Eh, nanti dulu Cik. Saya cuma nak tanya. Macam mana dengan kiriman barang cik tu? Dah 3 minggu barang tu ada dengan saya. Cik kata nak ambil. Apa nak saya hantar semula ke pejabat pos?”

  Saya mula kerut kening.


  “Siapa ni?” Tanya saya.


  “Ini Razali,” Balasnya. 

  Saya terus picit pelipis saya. Razali adalah budak yang ada menghubungi saya beberapa minggu yang lepas. Bilangnya, ada satu kiriman barang sampai ke rumahnya, di flat Bukit Gurney. Itu bekas rumah yang pernah saya sewa 3 tahun lalu. Macam mana dia boleh menghubungi penerima barang yang betul, (iaitu saya), suatu yang agak ajaib bagi dia, atau menyusahkan orang, bagi saya.

  Katanya, dia bertanya kepada jiran- jiran sekitar alamat dan nombor telefon baru saya. Atas pilihan saya sendiri, saya dah lama menjadi jenis orang yang tidak suka bermesra- mesra dengan jiran tetangga. Jadi saya sendiri tak pasti dari siapa dia dapat nombor telefon tempat kerja baru saya. Atau mungkin saya pernah memberitahu detail tu pada seseorang yang tinggal dekat situ, tapi saya terlupa atau saya memang melakukannya semasa saya tengah mabuk.

  “Saya tak mahu simpan barang cik ni lama- lama. Entah ada apa dalam bungkusan tu. Saya tak mahu ambil risiko.” Suara Razali takut- takut tambah curiga.


  “Okay, petang nanti saya akan datang dan ambil barang tu,” Kata saya cepat- cepat, malas mahu berbual lebih panjang. Talian mati dan saya kembali menyambung kerja saya yang menyebalkan tu.


*--------*


Sayang, aku sibuk. Nanti aku call semula.

  Apa ni. Mesej yang saya tunggu dari pukul 7 pagi tadi, cuma ada tiga kata. Berbaur rejeksi pula. Apa pula yang tengah dihadapi lelaki ni. Saya scroll perbualan kami di whatsapp ni. Betul saya cuma mengajak dia lunch, dan dia cuma mahu membalasnya sekarang, pukul 3 petang.

  Ya, sudah. Saya kira, mahu macam mana lagi. Sejak dia dinaikkan pangkat, masa yang dia ada untuk tanya khabar saya pun macam dah tak ada. Sudah 2 minggu kami tak berjumpa. Jadi, kadang- kadang ini membuatkan saya rasa dia tak betul- betul komitmen dengan percintaan kami. Saya terus memikirkan tentang Genta dan diri saya sendiri.

  Saya menghela nafas berat bila saya tengok rokok di tangan saya sudah pendek. Sisa asap tipis beralun naik menyentuh kubikel tandas pejabat yang kecil ni. Curahan air paip sinki di luar berbunyi, tandanya ada orang. Saya buang puntung rokok tu dalam lubang tandas, tarik pam air, dan duduk sekejap. 2 minit lepas tu baru saya keluar, sebab saya kira dah tak ada orang, tapi nyata saya silap. Ada 2 orang pekerja perempuan masih membelek- belek wajah di depan cermin.

  Hidung mereka berkerut- kerutan. Mata mereka memandang saya macam baru memandang mutan. Saya abaikan. Saya basuh tangan cepat- cepat dan keluar dari situ.


*--------*


  “Kau tahu kenapa kau ada di sini?” Suara Encik Bustamam datar, dan dia kelihatan cuba mengancam saya.


  “Encik ada projek baru untuk saya kendalikan?” Teka saya, tak bersungguh, sebab saya sendiri pun tak pasti. Lantas, lelaki separuh umur tu gelak kecil.

  “Tengok, kau ni optimis, tapi kadang- kadang benda tu yang membuat kau terlepas dari landasan yang betul, Suzana.”Dia cuba nak berfalsafah pula pagi- pagi macam ni.

  “Prestasi kerja kau,” Encik Bustamam menjeda dekat situ. Saya menghela nafas.

  “Lambat hantar laporan, meeting tak fokus. Penampilan tak kemas, merokok dalam kawasan pejabat,” Mata Encik Bustamam memandang saya, macam lah tengah memandang timbunan dosa.

  “This is not you. Kau ada masalah kah Suzana? Bagi tahu aku masalah kau,”

  Saya menghela nafas lagi. Otak saya kosong. Saya jujur benci dengan situasi ni. Dia bertanyakan soalan yang saya benci untuk jawab.

  Akhirnya saya menggeleng.

  “Mungkin kau perlu berehat. Dua atau tiga minggu, dan mungkin datang semula kembali berkerja macam diri kau yang dulu.”

  Ah. Kenapa tak pecat saja saya. Saya raup rambut saya yang saya tak dandan pun pagi tadi sebelum keluar rumah. Saya pun keluar dari pejabat Encik Bustamam, dan ambil beg tangan saya, lalu saya berambus dari situ. Surat pemberhentian sementara tu saya buang dalam tong sampah.


*-------*


   Satu hari sebelum malam tahun baru tiba. Saya di rumah. Seharian saya tak keluar ke mana mana. Surat perletakan jawatan dah saya hantar pada Encik Bustamam pagi tadi. Selama satu hari tu saya melepak di ruang tamu, memutar filem Psycho lakonan Anthony Perkins dan Janet Leigh di televisyen, berulang- ulang kali. Dua belas tin air soda bersepah di atas meja. Dua kotak piza saiz medium. Empat puluh lima panggilan tak terjawab dari orang yang sama terpampang di skrin telefon saya.


   Genta. Siapa lagi.


   Saya tengok dinding, dan sumpah, saya lihat ia berpusar- pusar, macam air yang disedut masuk ke dalam lubang sinki. Saya menggeleng kepala dengan mata terpejam. Itu- yang saya minum, cuma air soda, bukan bir. Saya cuba yakinkan diri saya sendiri. Mata saya buka semula dan alihkan ke telefon bimbit. Benda tu kembali berdering, kuat dan nyaring. Saya menelan air liur. Kemudian saya mendekat, dan capai ia dengan teragak- agak.


  Genta, juga. Panggilan yang ke empat puluh enam tu, saya rejek juga. Ia.... berdering lagi. Tak berhenti. Muzik latar adegan Janet Leigh ditikam di dalam bilik air berdendang, bersatu dengan deringan panggilan telefon dari Genta. Dinding di belakang televisyen itu makin laju berpusar, seperti juga mengeluarkan bunyi pusaran siklon yang sangat memuakkan. Saya tekap telinga kuat- kuat, dan meringkuk atas lantai. Entah berapa lama masa berjalan, sampai saya dah tak dengar apa pun. Akhirnya yang tinggal cuma keriutan kipas siling. Saya bangun dan memandang ke sekeliling macam orang tolol. Apa yang baru terjadi?


  Saya terus memutar- mutar kepala ke sini sana dan akhirnya mata saya tertancap pada sebuah kotak karton di hujung sudut ruang tamu. Kiriman yang saya ambil dari budak Razali di Bukit Gurney tu. Baru sekarang saya perasan dan teringat pasal kotak gedabak yang entah dari mana- mana tu. Saya mendekat, sebelum terfikir untuk mendapatkan pisau di dapur.


  Stretttt.......


  Bahagian atas kotak tu saya toreh, dan mengoyakkan kertas bungkusan luarnya. Isi kandungan kotak karton tu terdedah. Banjo berwarna kayu oak, sebuah perangkap mimpi dan beberapa helai kertas paperback yang dah kumal macam roti kirai. Mata saya tak pernah jadi seliar ini.


*--------*


    Saya sedut rokok di bibir dengan sungguh- sungguh, kemudian melirik ke kotak karton itu kembali. Apa- apaan ini? Bulu roma di tengkuk saya meremang. Kesemua barang- barang tu adalah apa yang pernah jadi milik saya 14 tahun yang lalu. Semua yang ada dekat dalam kotak karton tu, adalah sebuah entiti yang saya ingin lupa dan hapuskan secara total (cerita pasal ni agak panjang dan sedikit rumit, mungkin nanti akan saya ceritakan). Siapa sangka sekarang ia ada di depan mata saya, sedangkan dulu sewaktu saya membuangnya, betul saya siap berdoa seperti orang warak, yang mereka tak akan pernah kembali lagi.

  Saya kembali memandang kotak karton itu. Lama, dan otak saya menerawang kepada satu perkara yang sepatutnya saya fikirkan dari mula lagi. Nama pengirim. Laju saya belek- belek keseluruhan kotak. Tiada. Cuma tertulis alamat dari mana ia datang. Sudah tentu, yang tertulis itu alamat rumah lama saya- Tanjung Rambai. Serta- merta saya pejam mata. Saya tak mahu pandang dinding, sebab setiap kali saya berfikir dengan keras, nanti pusaran aneh tu akan muncul lagi.

  Jam di dinding menunjukkan pukul 10 malam. Saya ke tandas, dan membuang air kecil sambil memikirkan hanya satu benda- berulang- ulang macam putaran roda ferris. Rokok kedua saya untuk malam tahun baru saya nyalakan. Sedut, hembus dari mulut, sedut dan hembus melalui lubang hidung.

  Keluar dari tandas, saya langsung capai kunci kereta. 

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Astrid K.