Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
6,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6
"ASTAGHFIRULLAHALAZIM!” Berdesing telinga Puan Mariam menadah tempikan kakaknya. 

Seperti yang dijangka berita yang baru disampaikannya itu mengundang kemarahan kakaknya. Disebabkan itulah dia memilih untuk menelefon sahaja. Kalau berdepan, entah-entah dah makan penampar agaknya. 

“Eh! Hang sedar tak, Aidil tu anak hang jugak! Yang hang dok turut sangat cakap laki hang tu pasal apa? Hang tau dak? Bila Aidil kahwin dengan budak perempuan tu, kalau anak hang mati… tanah pusaka kita ni nanti jatuh ke tangan budak tu. Dia tu orang luar!” Lantang suara Puan Masyitah menempelak adiknya. 

“Ya ALLAH, kak… sampai hati akak cakap macam tu. Janganlah mendoakan benda-benda tak elok kat anak tunggal saya tu. Lagipun ayah Hannah tu kan orang kampung kita jugak?” Puan Mariam cuba mempertahankan keputusan suaminya.

“Betullah orang kampung kita. Tapi dalam setahun tu, berapa kali sangat dia tunjuk muka kat kampung ni? Rumah pusaka Zainal tu? Tunggu masa ja nak kena jual! Silap-silap tanah pusaka kita ni pun tergadai!”

Puan Masyitah terus menyinga membuatkan lidah Puan Mariam terus kelu. Kecut perutnya untuk bersuara lagi. 

“Hangpa semua ni tak boleh diharap!” Puan Masyitah terus mematikan talian. Diurut-urut dadanya yang sakit menahan amarah. 

“Pasai pa, mak?” 

Puan Masyitah memandang tajam ke arah anak-anak gadisnya yang sejak dari tadi memerhati. Damia menyiku lengan adik bongsunya, Adeeba. Risau sekiranya mereka pula terkena tempias. 

“Eii… tak sabar-sabar. Tunggulah marah mak tu reda dulu.” Damia berbisik kepada adiknya dengan nada yang keras. 

Dia tahu, berita berkenaan Hannah dan Aidil telah sampai ke pengetahuan ibunya. Jika tidak, masakan bertalu-talu ibunya memarahi Mak Ngah Mariam. 

‘Huh, nasib aku diamkan saja hal ni. Kalau tidak…’Damia mengelak daripada memandang ibunya. 

“Hah! Seronoklah hang, Mia. Tak payah nak turut kata aku dah! Punah habis rancangan aku!” Tiba-tiba kemarahan Puan Masyitah beralih kepada anaknya. 

Terkebil-kebil mata Damia memandang ibunya. 

“Patutlah macam-macam alasan hang dok bagi. Rupa-rupanya hang dok bagi jalan kat kawan hang tu!” 

Damia menelan air liur melihat jegilan mata ibunya.Kemarahan Puan Masyitah semakin meluap-luap. 

‘Nasib kaulah Kak Mia. Siapa suruh kau menolak tuah? Kalau aku di tempat kau, pasti aku berguling suka kalau disuruh berkahwin dengan Abang Aidil. Abang Aidil tu dahlah handsome, berkarisma, berjaya pulak tu. Sekali dia senyum, hmm… boleh terbawa-bawa ke alam mimpi. Sebab fikirkan aku ni baru je nak berasa jadi student universiti, kalau tak, dengan rela hati aku tawarkan diri. Bodohnya kau, Kak Mia.’ Kutuk Adeeba dalam hati.

“Mak ni… Mia dah anggap Abang Aidil tu macam abang sendiri.” Damia memberanikan diri untuk bersuara. 

Adeeba yang sedang duduk di sebelah juling mata ke atas. Kakaknya dah hilang akal barangkali. Membuka mulut ketika amukan ibu sedang memuncak. Itu menempa nahas namanya. 

“Abang?” Puan Masyitah menyingsing kedua-dua belah lengan bajunya ke siku. “Tu Rafiq tu abang hang! Takdak sapa suruh hang pi cari abang lain! Hang saja nak bagi aku naik darah kan!” Kemarahannya sudah hampir tidak terkawal. Kurang beberapa inci lagi tangannya hendak menarik rambut Damia. 

‘Padan muka! Jual mahal sangat.’ Hati Adeeba mendesis. Tetapi dalam masa yang sama terselit simpati melihat kakaknya yang sedang tunduk ketakutan. 

“Masyitah!” 

Kelantangan suara Encik Daud mengejutkan semua yang ada di situ. Puan Masyitah berpaling ke arah suaminya yang sedang berdiri bercekak pinggang di belakangnya. 

“Abang…” Amarah Puan Masyitah serta merta surut melihat suaminya yang tiba-tiba muncul entah dari mana. 

“Apa dah jadi ni?” Encik Daud merenung isterinyayang kelihatan gugup. 

“Mia… Deeba… pasal apa ni? Awat yang mak hang mengamuk serupa orang gila?” 

Damia dan Adeeba hanya menundukkan pandangan.Tidak berani hendak bersuara. 

“Masyitah?” Pandangan Encik Daud kembali kepada isterinya. 

“Si Aidil tu dah nak kahwin dengan Hannah…” adu Puan Masyitah dengan wajah kelat. 

“Hah… baguslah macam tu. Orang nak membina masjid. Yang hang nak mengamuk sampai macam tu sekali, pasal apa?” 

Encik Daud mendekati kedua-dua anaknya lalu mengambil tempat di sebelah Damia. Dia mengerling ke arah anak gadisnya itu. Wajah Damia kelihatan pucat lesi. Rasa gerun terhadap amukan ibunya tadi masih belum pudar. 

“Senang kan abang cakap? Saya dengan Mariam nak Aidil tu menikah dengan Mia!” Puan Masyitah bertegas.“Saya tak nak tanah pusaka keluarga saya tu, jatuh ke tangan orang luaq!” 

“Tak habis-habis dengan tanah pusaka tu. Sudah-sudahlah… bukannya boleh bawak mati pun. Orang lain tanah beratus, beribu ekar, tak dak pun sampai nak kena paksa anak kahwin.” Encik Daud perlahan-lahan memberi isyarat kepada anak-anak gadisnya untuk beredar. 

Puan Masyitah hanya memandang melalui ekor matanya. 

“Saya tak dak tanah beratus, beribu ekar. Sebab tulah saya kena jaga elok-elok. Jangan sampai tergadai atau terlepas ke tangan orang yang tak tau nak hargai tanah tok nenek saya ni!” tegas isterinya lagi. 

“Harta Azmi dan Siti tu, makan anak-beranak depa pun tak habis. Kalau dah risau sangat… wakafkan saja tanah-tanah tu. Senang, habis cerita!” sindir Encik Daud lalu bingkas bangun meninggalkan isterinya. 

Puan Masyitah mencebik geram. Hatinya sakit. Segala yang dirancang kini sia-sia sahaja!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.