Home Novel Cinta Bitter Honey (Sudah Terbit)
Bitter Honey (Sudah Terbit)
Meja Editor
5/9/2023 10:02:46
7,322
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

MAJLIS kesyukuran sempena keberangkatan Ustaz Azmi dan Puan Mariam ke Tanah Suci berlangsung dengan meriah. Ramai sanak-saudara, sahabat handai dan jiran yang hadir. Ada yang ringan tulang membantu dan tak kurang juga yang cuma duduk menanti dijamu.

Dalam kemeriahan majlis itu, kelihatan Aidil, anak tunggal Ustaz Azmi dan Puan Mariam sedang mencuci pinggan mangkuk kotor bersama teman-teman sekampungnya. Pohon manggis yang rendang di halaman rumah itu menjadi tempat mereka berkumpul dan bergurau senda. Riuh-rendah suara mereka, maklumlah sekali-sekala dapat berjumpa.

Namun dalam diam, perhatian Aidil tidak seratus peratus pada tugasnya. Matanya seperti mesin pengimbas yang tak henti-henti mengimbas wajah setiap tetamu yang ada di situ.

"Mana ni?" Aidil berdesis perlahan. Misi mencari wajah yang dicari belum kesampaian. Tingkah Aidil menarik perhatian Sulaiman yang berada di sebelahnya. Lantas dia menyiku lengan Aidil.

"Awat hang? Mana apanya?" soal Sulaiman dalam loghat utara yang pekat. Pandangan Aidil segera beralih kepada longgokan pinggan mangkuk di hadapan mereka.

"Pinggan ni ha... macam mana nak basuh? Kotor sangat!" balas Aidil sambil tangannya menenyeh-nenyeh span di pinggan. Dia cuba berlagak selamba. Malu dia jika Sulaiman tahu perkara yang bermain di fikirannya.

"Dah la... hang tok sah dok berlakon sangat. Aku tau hang cari mata ayaq hang, kan?" Jari telunjuk Sulaiman lurus menunjuk ke wajah Aidil. Menitik-nitik buih di hujung jarinya.

Aidil tersengih malu. Terlebih bijak pulak kawan aku ni! Sindiran Sulaiman mengundang memori dari 13 tahun yang lalu. Sewaktu dia dan teman-teman sedang melepak di tembok pintu kunci air yang terletak di simpang jalan masuk ke kampung mereka. Kebiasaannya, waktu petang mereka akan diisi dengan aktiviti riadah seperti bermain bola sepak, takraw atau badminton. Namun, rutin mereka itu secara automatiknya berubah sebaik Sulaiman muncul bersama gitar kapoknya.

Masing-masing teruja ingin menunjukkan bakat. Semuanya dek pengaruh rancangan realiti televisyen, Akademi Fantasia yang sedang popular ketika itu. Dan tembok simen di tepi simpang itu diibaratkan seperti sebuah pentas untuk mereka pamerkan bakat mereka yang tidak seberapa itu.

Seorang demi seorang melantunkan suara. Ada yang lunak, tak kurang juga yang sumbang. Aidil yang sememangnya berbakat memetik gitar, tak ubah seperti seorang gitaris profesional yang setia mengiringi nyanyian teman-temannya.

Sedang mereka rancak beradu suara, sebuah kereta Honda Civic berwarna putih bergerak perlahan lalu berhenti di hadapan mereka. Petikan gitar Aidil terus terhenti sebaik pintu kereta di bahagian pemandu terbuka. Seorang lelaki sebaya bapanya menjengah keluar.

"Assalamualaikum, Aidil!"

"Waalaikumussalam, Pak Cik Zainal!" Aidil membalas mesra sapaan daripada sahabat bapanya itu. Encik Zainal merupakan teman sekampung bapanya. Juga teman sebilik sewaktu di universiti dahulu. Selepas tamat pengajian, Encik Zainal merantau ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjayanya di sana. Manakala Ustaz Azmi pula memilih untuk kembali ke Pulau Pinang.

"Hang dok buat apa la ni?" tegur Encik Zainal ramah.

"Tak buat apa, pak cik. Baru habis SPM." Aidil bingkas bangun lalu bersalaman dengan Encik Zainal. Kemudian dia melambai tangan ke arah Puan Siti, isteri Encik Zainal yang berada di dalam kereta.

"Mak cik," Aidil menyapa lembut.

"Aidil..." lembut juga suara Puan Siti membalas.

Selang beberapa saat kemudian, kelihatan Ustaz Azmi yang sedang menunggang motosikal mendekati mereka. Patutlah Encik Zainal memberhentikan kereta, rupa-rupanya dari jauh lagi dia sudah nampak kelibat Ustaz Azmi. Sengaja dia berhenti di situ semata-mata untuk bertegur sapa dengan sahabatnya yang sudah hampir tiga tahun tidak bersua.

Aidil meninggalkan Encik Zainal bersama bapanya. Niat di hati hendak menyambung semula konsert syok sendiri yang tergendala. Dia kembali bersandar di tembok bersama teman-temannya. Namun, sebaik tangannya menyambut gitar yang dihulurkan oleh Sulaiman baru dia terperasan anak gadis Encik Zainal yang berada di tempat duduk belakang.

Aidil terpaku. Matanya tak lekang dari memerhati keletah dan raut wajah gadis yang bernama Nurul Hannah itu. Hannah yang sedang ralit membaca novel tidak sedar ada jejaka yang sedang memerhati. Dia di dalam dunianya, langsung tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekelilingnya. Sesekali rambut Hannah yang hitam bersinar itu jatuh menutupi separuh wajahnya. Dia akan meraup rambutnya dan menyelit kembali ke belakang telinga.

Detak jantung Aidil semakin tak tentu arah. Cantik... sepertimana mata Aidil terpahat memandang Hannah, begitu juga hatinya. Sesekali kelihatan Hannah tertawa kecil. Entah apa yang dibacanya sehingga tercuit begitu sekali.

Comel... bisik hati Aidil memuji tingkah Hannah. Tanpa disedari, merekah senyum suka dibibirnya.Kenapa sebelum ni aku tak perasan pun anak Pak Cik Zainal ni? Aidil musykil dengan dirinya sendiri. Bukannya mereka tidak pernah berjumpa. Tapi kali ini Aidil seperti terkena panahan asmara. Angau!

Seperti Aidil, Hannah juga merupakan anak tunggal di dalam keluarga. Menjadi kesayangan dan kebanggaan orang tuanya. Istimewanya Hannah bukan setakat kecantikannya sahaja. Dia juga cemerlang dalam pelajaran dan halus budi pekertinya.

Mungkin dahulu Hannah kelihatan seperti kebudak-budakan. Namun, sejak menginjak usia remaja penampilannya semakin terserlah. Wajahnya yang persis gadis daripada negara timur tengah sering mencuri tumpuan. Jadi, tidak hairanlah walaupun usianya baru mencecah empat belas tahun, ramai remaja lelaki yang meminatinya.

Pegun Aidil kian mereda. Tidak semena-mena, jari-jemarinya mula memetik gitar kapok yang sedang dipegangnya. Tanpa ada segan dan silu bibirnya mula menyanyikan bait-bait indah dari sebuah lagu cinta. Walaupun sedikit sumbang, nyanyiannya penuh rasa cinta. Namun entah kenapa lagu popular nyanyian kumpulan rock legenda Malaysia, Search yang menjadi pilihan.

"Demi cintaku padamu
Ke mana pun kau kan kubawa
Ke hujung dunia ke bintang kejora..."

Nyanyian Aidil ibarat dia sedang memahat sebuah monumen cinta di hatinya. Dan pada monumen itu terukir nama Nurul Hannah Binti Zainal. Gelagat Aidil disedari oleh teman-temannya. Masing-masing tersengih melihat Aidil yang seperti pungguk merindukan bulan.

Perbualan Encik Zainal dan Ustaz Azmi turut terhenti. Suara Aidil yang mendayu-dayu mengingatkan Encik Zainal kepada nostalgia lama. Dia amat mengenali lagu itu. Lagu itulah yang sering dinyanyikan oleh Ustaz Azmi ketika zaman mudanya dahulu. Lebih-lebih lagi ketika dia sedang dilamun asmara. Sebijik macam pak dia! Bibirnya mengulum senyuman.

Merah padam wajah Ustaz Azmi menahan malu. Dia sedar, pasti kisah zaman romeonya dulu sedang berputar ligat di fikiran temannya itu.

"Mintak maaflah, Zainal. Anak aku tu kuat mengusik," jelas Ustaz Azmi tanpa disoal.

"Tak apa. Like father like son. Mana nak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi," balas Encik Zainal sambil menepuk-nepuk bahu Ustaz Azmi. Kasihan pula dia melihat temannya itu terkulat-kulat menahan malu. Ustaz Azmi hanya mampu mengeyakan sahaja kata-kata temannya.

"Okeylah, Azmi. Aku mintak diri dulu. Sat lagi maghrib kita jumpa di surau." Encik Zainal meminta diri. Dia terfikirkan anak dan isterinya yang sedang menunggu di dalam kereta. Bukan dekat perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, pasti mereka keletihan. Selepas bersalaman, Encik Zainal masuk semula ke dalam kereta.

Aidil bingkas bangun sebaik mendengar deruan enjin kereta Encik Zainal yang dihidupkan. Langkah demi langkah dia merapati kereta Honda Civic itu. Nyanyiannya terus berlagu. Mata dan hatinya masih belum puas menatap wajah si penghuni hatinya itu.

Sebaik Aidil merapat ke kereta barulah Hannah tersedar yang dia menjadi tumpuan Aidil dan teman-temannya.Eeii... menyampah! Getus hati Hannah sambil menjeling tajam. Meluat dia dengan gelagat anak-anak muda kampung yang suka berpelesiran itu.

Jelingan mata Hannah membuatkan Aidil semakin angau. Keadaan sekeliling tidak dihirau. Kakinya terus melangkah sambil matanya tak lepas memandang kereta Encik Zainal yang sudah jauh meninggalkan mereka. Sehinggalah dia terlanggar motosikal bapanya.

"Hang awat? Angau?" tegur Ustaz Azmi dengan wajah yang kelat. Aidil seperti baru tersedar daripada mimpi. Tersengih- sengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal itu.

"Hang ni pun satu, tak boleh nyanyi lagu lain ka? Lagu zaman abah mengurat mak hang dulu jugak yang hang nyanyi!" membulat mata Ustaz Azmi memandang anaknya.

Aidil buat muka bersalah. "Ambik berkat, abah." Jawabnya ringkas. Sejujurnya, bait-bait indah di dalam lagu itu memang kena dengan perasaannya terhadap Hannah pada saat itu.

"Dah! Cepat naik. Teman abah pi beli laksa. Mak hang pesan, dia nak makan buka posa nanti."

Aidil terus membonceng Honda Cup milik abahnya itu, gitar di tangan dipulangkan kepada Sulaiman.

"Malu abah kat Pak Cik Zainal. Dah la jarang-jarang jumpa!" Ustaz Azmi terus membebel. Dia pelik dengan kelakuan Aidil. Senakal-nakal anaknya tidaklah sampai mengusik anak dara orang. Bahkan anak tunggalnya itu merupakan anak muda kesayangan dan kebanggaan Kampung Permatang Pasir.

Tiba-tiba Aidil terasa percikan air di wajahnya. Menyedarkannya daripada lamunan yang mengasyikkan. Kacau daun betul! Dah macam perangai budak-budak nak main percik-percik air. Gerutu Aidil yang geram kerana Sulaiman merenjis air di mukanya.

"Hang dok berangan apa? Tu! Mata ayaq hang dah sampai." Sulaiman memuncungkan mulutnya ke suatu arah. Terasa seperti sekebun bunga ros berkembang di hati Aidil. Si dia yang dinanti telah pun tiba. Luas matanya cuba mencari.

"Mana, Man? Tak nampak pun..." Aidil memanjangkan leher mencari kelibat buah hatinya.

"Tu! yang dok berjalan sebelah Damia, sepupu hang tu!" balas Sulaiman.

Damia merupakan sepupu Aidil merangkap teman baik Hannah. Keluarga Damia dan Hannah dahulunya berjiran ketika di Kuala Lumpur. Tetapi kini mereka telah kembali menetap di kampung. Selama ini, Damialah yang menjadi spy Aidil. Apa sahaja yang ingin dia ketahui mengenai Hannah, sepupunya itulah yang akan dicari.

Akhirnya mata Aidil bertaut pada wajah pencuri hatinya. Wah, dah berhijab! Makin lawa. Hatinya mula memuji.

Sudah empat tahun mereka tidak bersua muka. Kali terakhir sewaktu dia dan keluarga berkunjung ke rumah Hannah di Kuala Lumpur. Tetapi pada waktu itu Aidil telah pun menjadi tunangan orang.

Susuk tubuh Hannah yang tinggi lampai persis seorang model membuatkan banyak mata melirik memandangnya. Ditambah pula dengan busana kurung pesak berwarna kuning pastel dan hijab putih yang dikenakannya menyerlahkan lagi keanggunannya.

Tidak berkelip mata Aidil memandang Hannah. Dup... dap... dup... dap... bukan main rancak degup jantungnya. Memang sesuai dibuat isteri! Dalam diam Aidil memasang niat.

"Aidil!" Sulaiman buat hal lagi. Jika tadi dia mengganggu Aidil yang sedang mengimbau kisah lampau. Sekarang dia merencatkan keasyikan Aidil yang sedang mengagumi kecantikan cinta hatinya.

"Hang dok tunggu apa? Hang bukannya muda lagi. Kawan-kawan kita semua dah menikah. Anak aku yang sulung tu pun dah masuk darjah satu tahun ni. Berapa lama lagi hang nak tunggu? Dari dulu lagi hang suka kat dia kan? Masuk la meminang." Panjang berjela leteren Sulaiman.

Ada betulnya kata-kata Sulaiman. Tapi mahukah Hannah dengan aku? Satu soalan yang kedengaran mudah tetapi mampu untuk membuatkan Aidil sasau. Sejujurnya Aidil terlalu meminati dan mengagumi Hannah. Dari zaman remaja sehingga kini layak digelar bujang terlajak, Hannah sentiasa dekat di hatinya.

Bukannya tiada keinginan untuk dia meluahkan perasaan. Namun sistem tubuh badannya tidak memberikan kerjasama setiap kali dia berada dekat dengan Hannah. Sama ada jantungnya tiba-tiba berdegup serupa sedang berlari pecut 100 meter. Atau kelenjar peluhnya terlebih aktif mengeluarkan peluh sehingga lencun bajunya. Pernah juga peti suaranya seakan-akan hilang, langsung bisu dan terus diam. Disebabkan itulah, boleh dikira dengan jari berapa patah perkataan sahaja yang pernah terucap di antara mereka.

Sudah 13 tahun berlalu, sejak Hannah mencuri hatinya. Dan selama itu juga perasaannya terhadap Hannah tidak pernah berubah. Jika betul dia ingin memiliki Hannah, dia harus segera bertindak! Sudah tiba masanya untuk dia memberanikan diri, menyunting Hannah unyuk dijadikan permasuri hati.

"Insya-ALLAH, Man... Insya-ALLAH," jawab Aidil ringkas, sambil matanya tak lepas dari memandang Hannah. Tersenyum Sulaiman mendengar jawapan Aidil. Tidak sabar dia hendak melihat temannya itu menamatkan zaman bujang.

Previous: Bab 0
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.