Home Novel Cinta Dia…Mr Dude Aku
Dia…Mr Dude Aku
Domi Nisa
31/12/2014 12:21:33
16,889
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab Tiga

Kuat Nuha gigit bibirnya.Air liur yang ditelan bagaikan tidak mahu masuk ke rongga kerongkong. Macam tersekat. Sungguh Nuha tidak menduga doktor klinik sekolah itu adalah bapa kepada si kanak-kanak perempuan ini. Matilah Nuha lepas ni. Sudahlah Nuha tarik lengan bapa budak ni mengaku sebagai kekasih depan Syah. Jangan salahkan Nuha sebab memang tak tahu yang doktor tu sudah ada anak. Buatnya isteri doktor ni tahu matilah Nuha kena tembak. Memandai mengaku suami orang kekasih sendiri.

“Auni, kenapa baju kamu kotor?Kamu makan aiskrim?” soal Aysar tegas.Wajah pucat Nuha langsung tidak dipandang.Aysar mendapatkan anaknya di sebelah Mak Dini.

Auni sudah takut langsung terus menjatuhkan pandangan seketika.Bila dia mendongak wajah Aysar sudah menyinga lalu dia berlari mendapatkan Nuha. Begitu juga dengan Nuha, dia juga turut terkejut sama. Habis terbang lamunan dia dibawa suara kuat lelaki itu.Suara Aysar sangat kuat mengalahkan guru disiplin sekolahnya.

“Auni pergi mana tadi, hah? Jawabpapa tanya ni. Kenapa Auni degil sangat sekarang ni?” sergah Aysar mengejut mereka bertiga.

“Kak Nuha…Auni takut…”rengek Auni mengigil ketakutan.Air mata si kecil sudah mengalir keluar.

“Auni! Mari dekat papa bukan dengan dia. Dia bukan sesiapa dengan Auni,” arah Aysar cuba menarik tangan anaknya. Auni meronta-ronta tak mahu melepaskan pegangan pada baju sekolah Nuha sampai badan remaja turut tergoncang- goncang dibuatnya.

“Doktor!Jangan marahkan Auni boleh tak?” Nuha menjerit tiba-tiba sambil membetulkan tudung sekolahnya yang terasa senget.“Doktor dah salah faham. Auni sebenarnya….”

“Abang!”

Nuha terkedu belum sempat dia meneruskan katanya. Entah dari mana seorang perempuan tinggi lampai yang cantik muncul dan terus memeluk lengan Aysar.

“Abang dia ni siapa?” tanya perempuan itu dengan sombong sambil menjeling tajam ke arah Nuha.

Nuha hanya memandang dengan pandangan yang meluat. ‘Tak senonoh betul !Ada ke patut tayang movie loving depan Nuha yang masih dibawah umur ni? Tahulah suami isteri nak pegang-pegang lengan sila masuk bilik. Di sini tempat awam ok? Eh, ini kan rumah dia? Aduhh…aku ni pun satu. Nak membebel tak pandang kiri kanan dah,’ gumam Nuha dalam hatinya.

Aysar tak menjawab pertanyaan gadis itu. Dia merentak tangan kecil anaknya agak kasar sebelum dis menyeluk saku kemejanya.

“Nah! Saya tahu awak hanya nak duitkan?Tadi awak mengaku saya ni kekasih awak sekarang awak nak cakap yang Auni ni bakal anak awak pulak nanti ke? Maaf ya saya tak suka orang entah apa-apa macam awak ni yang suka mengaku sesiapa saja kekasih awak dan jangan pernah cuba ada niat nak rapat dengan anak saya. Tunggu apa lagi baliklah!”marah Aysar kasar sambil menarik tangan Nuha dan meletakkan wang yang bernot 100 ke dalam tapak tangan gadis itu.

Nuha mendengus kasar kemudian menghilai sekuat hati. “Hahaha lawak-lawak. Sakitnya perut… kelakar pun ya! Ada juga orang seperti doktor klinik dekat dunia ni. Tak tahu pangkal jalan cerita dari awal, sesedap mulut menuduh. Apa doktor ingat saya ni spy ke nak menyiasat keluarga doktor. Saya tak tahu yang Auni ni anak doktor kalau dari awal lagi saya tahu dah pasti saya biarkan Auni menangis sorang-sorang dekat lorong sana. Setakat nak belanja sebatang ais krim pada anak doktor tak perlu kot nak minta dibalas balik!” bidas Nuha lancang lalu mendapatkan skuter comelnya. Berdesup asap yang keluar dari ezon skuternya meninggalkan kawasan rumah itu. Sakit hati bila rasa maruah dia dipijak-pijak oleh lelaki itu. Tahulah tadi Nuha tersengaja tarik lengan Aysar sebab nak sakitkan hati Syah, tapi tak sangka kejadian lain pula yang terjadi. Malang betul hidup Nuha ni.

Aysar memandang Nuha sehingga hilang kelibatnya dengan riak muka menahan marah.Nuha adalah satu-satunya gadis remaja yang dia jumpa tersangatlah kuat melawan.

“Dahlah abang tak perlu nak marah-marahkan budak sekolah tu buat sakit hati saja,” pujuk Shila dengan suara manja sambil memeluk lengan kiri Aysar dan mengheret Aysar masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat yang mewah itu. Aysar pandang wajah Shila kemudian turun pada lengan yang kemas dipegangan gadis itu dengan mata helangnya. Shila tersengih terus melepaskan.

“Auni benci papa!” Auni tiba-tiba menjerit. Dia berlari dan terus masuk ke dalam. Masuk sahaja ke dalam Auni mengamuk sakan. Habis pasu bunga dipecahkannya.

Mak Dini senyap saja dari tadi. Dia sedar diri yang dia hanya penjaga Aysar dan Auni jadi masalah yang melanda sekarang dia tak mahu masuk campur. Biarlah Aysar yang uruskan anak tunggalnya yang satu itu. Dia juga turut masuk ke dalam untuk memujuk si kecil.

“Papa jahat! Papa jahat! Auni benci papa!” bentak Auni sambil menghentak kakinya lalu berlari masuk ke biliknya . Pintu biliknya dihempas kuat. “Mama…Mama…Auni rindu mama,” rengek Auni sambil menatap gambar arwah ibu yang mendukungnya ketika dia masih bayi bersama Aysar. Gambar itu jelas terpapar kebahagiaan keluarganya.

“Auni buka pintu ni sayang,” lembut Mak Dini memujuk.

“Auni benci papa!” jerit Auni lagi.

“Mak biarkan dia. Nanti-nanti dia akan senyap sendiri,” celah Aysar sebaik dia masuk ke dalam. Senyuman nipis cuba diukir buat si tua. Penat berjalan kaki akibat kereta tiba-tiba meragam masih belum hilang ditambah dengan si anak membuat onar, Aysar sangat kepenatan sekarang. “Mak tolong buatkan air untuk saya ya,” sambung Aysar lagi sebelum kaki melencong ke ruang tamu.

Mak Dini mengangguk sebelum menghilang ke dapur.

“Hari-hari macam ni. Dah tak reti macam mana abang nak uruskan Auni tu. Sejak masuk sekolah semakin hari semakin kuat dia melawan cakap abang,” keluh Aysar geram kepada Shila yang sedang menapak mendekati dia sebelum melabuhkan punggungnya ke sofa yang empuk itu.

“Abang, Auni tu masih lagi budak tak hairanlah kalau dia buat perangai,” ujar Shila lalu melentokkan kepalanya di bahu Aysar yang bidang itu.

“ Abang dah bagi kesenangan pada dia. Apa yang dia nak abang bagi langsung tak pernah kurang. Cuma yang keluar rumah tu abang tak izinkan sebab abang takut dia kena culik atau berkawan dengan orang macam-macam. Tapi Auni tak pernah nak dengar cakap abang! Abang tak dapat nak terima kalau Auni kenapa-kenapa nanti. Dia adalah nyawa abang. Dia satu-satunya permata yang tak ternilai dari arwah Zulfa untuk abang,” keluh Aysar. Kepala Shila yang melentok manja di bahunya ditepis sebelum dia meletakkan kepalanya di kepala sofa. Pandangan dilontarkan ke kipas siling yang sedang berputar ligat. Saat itu wajah arwah isteri tercinta yang manis dan lembut dilayar di korneanya.

Shila tersenyum sendiri. “Hmm.. Itulah abang asyik kerja. kerja, dan kerja saja yang abang tahu. Perasaan anak sendiri abang taknak ambil tahu,” tutur Shila manja. Dia cuba mencapai tangan kasar Aysar tapi tidak berjaya kerana Aysar terlebih dahulu menaikkan tangannya untuk memicit kepala sendiri. Gadis itu berdecit dalam hati.

“Abang, Shi ada cakap dengan mamy pasal ni. Mamy sendiri bagitahu Shi yang Auni perlukan seorang ibu untuk bermanja,”

Aysar terdiam memikirkan kata-kata Shila. Ada betulnya cakap Shila. Auni masih kecil. Akalnya masih belum matang untuk menerima kematian ibu yang melahirkanya. Bagi dunia kanak-kanak itu dia perlukan seorang ayah dan ibu untuk melengkapkan sebuah keluarga. Tapi siapakah yang sanggup menerima aku yang duda anak satu ni? Kalau aku kahwin adakah Auni akan bahagia atau akan teseksa? Aku sendiri pulak macam mana? Dapat ke aku mencintai perempuan lain sedang segenap hatiku hanya untuk Zulfa saja, gumam Aysar yang sedang melayan perasaannya.

“ Siapa yang sanggup jaga Auni dengan perangai angin satu badan tu, ” keluh Aysar perlahan.

“Abang jangan risau pasal itu. Kan mamy dan cakap Shi akan jaga Auni macam anak Shi sendiri. Kitakan dibesarkan dalam satu keluarga. Segala keperluan abang, Shi dah hafal. Auni anak abang jadi Shi takde masalah untuk melayan kerenahnya nanti,” ujar Shila sambil tersengih.

Aysar tersentak lantas memandang Shila dengan muka serius. Ya. Memang ada mamynya mencadangkan dia mengambil gadis itu sebagai isteri tapi dia tidak mahu dengan alasan yang cintanya tidak boleh diganti. Tapi bila memikirkan kebahagiaan si anak Aysar perlu melunturkan rasa ego yang merajai hatinya. Dia perlu berkahwin lagi untuk memberikan seorang ibu untuk Auni. Seorang perempuan yang boleh memahami dia yang duda dan Auni si anak yang kematian ibu.

Jika Shila jadi isteri aku nanti boleh ke dia menjaga Auni. Dia sendiri sibu memanjang berkejar ke sana ke mari untuk mendapatkan berita terkini. Ada masa ke dia untuk Auni nanti? soal hati Aysar.

“Macam mana setuju tak? Shi tak kisah kalau hati abang masih belum menerima cinta Shi. Shi faham susah nak lupakan cinta pertama. Shi percaya satu hari nanti Shi pintu hati abang akan terbuka untuk Shi juga. Yang penting sekarang kebahagiaan anak abang, Auni,” suara Shila lagi.

Aysar menatap Shila dengan pandangan kosong. “Kalau abang ambil Shi sebagai isteri abang nanti Shi boleh janji yang Shi akan berhenti jadi orang televisyen tak? Abang bukan apa abang taknak Auni terabai nanti,”

“Kalau abang sanggup jadikan Shi sebagai isteri abang Shi janji akan berhenti. Shi akan jadi suri rumah sepenuh masa untuk abang dan Auni nanti,” mata Shila dah bersinar-sinar. Harapan untuk menjadi sebahagian dalam hidup Aysar semakin hampir. Lengan Aysar serta merta dipeluk.

“Jika itu yang diingini Auni abang akan turuti. Kebahagiaan abang terletak pada Auni. Apa yang buat dia rasa gembira abang pasti akan tunaiakan. Shi tadi cakap nak ke tempat programkan? Pakailah kereta abang,” ujar Aysar sambil melepaskan pelukan Shila yang merimaskan dia. Dia sendiri tidak berapa gemar dengan sikap manja Shila. Dia sudah masak dengan kebanyakan perempuan memang suka macam tu. Suka merengek dan melentok di bahu lelaki. Tapi tidak pada Zulfa Qistina. Seorang gadis yang penuh dengan tatasusila adab ketimuran yang berjaya mencuri dan mampu mencairkan hati lelakinya.

‘Maafkan abang sayang. Abang terpaksa lakukannya demi kebaikan untuk anak kita,’desis Aysar sebak.

Shila betul- betul gembira dengan keputusan Aysar untuk mengahwininya. Tinggal satu langkah sahaja lagi. Iaitu misi memikat hati Auni agar suka padanya. Dia sebenarnya tak berapa suka dengan Auni yang anak ayah itu. Perangai berangin macam ribut taufan. Sah-sah dia akan kalah bila dia memarahkan kanak-kanak itu. Anak emas Aysar kan.

“Ni dah kenapa? Masamsajamuka ibu tengok? Tak elok tahu anak dara balik-balik terus termuncung mulut tu. Nanti takde orang nak buat menantu,” bebel Puan Sofiya, ibu Nuha yang sedang menonton drama Indonesia. Hari ini dia tiada kelas jadi dia pulang awal. Terkejut dia bila terdengar pintu rumah kuat dihempas oleh anak dara tunggalnya.

“Uhh! Benci!Benci!!” dengus Nuha kasar lalu melontar beg sekolah ke lantai ruang tamu serentak itu juga dia mencabut tudung sekolahnya dan mencampak ke lantai.

“Ya Allah! Kenapa ni Nuha Cempaka Dahlia! Kalau ya pun nak marah. Jangan hempas beg sekolah tu tak baik! Kat dalam itu ada ilmu!” marah Puan Sofiya. Dia tahu sangat dengan perangai anaknya itu, degil. Tak suka mengalah setiap kali bergaduh dengan orang. Kata orang haram nak didengarinya.

“Nuha sebal ibu. Dahlah si Syah Reza curang dengan Nuha lepastu jumpa pulak dengan doktor berlagak ayah soleh konon! Orang nak bantu anak dia, dia tuduh pulak Nuha nak ambil kesempatan pada anak dia. Sakit hati betul!” Nuha meluahkan rasa geramnya. Kaki dihentak-hentak ke lantai. Puan Sofiya menggeleng sebelum dia bangkit mendekati si dara.

“Siapa yang buat anak dara ibu ni naik angin? Dah jangan nak geram-geram sangat. Buat sakit hati. Kita minum ya, mak dah siapkan,” pujuk Puan Sofiya sambil mengusap lembut rambut panjang si anak.

“Dia ingat Nuha ni apa. Pirahhhhhh! Dasar doktor perasan ayah soleh. Minta-minta lepasni aku tak akan jumpa dengan dia lagi. Ee…Geram betul!” bebel Nuha lagi.

“Dahlah. Marah-marah dekat orang boleh top up pahala dekat dia malah boleh top upkan dosa untuk kita sekali. Nak macam tu?” canda Puan Sofiya sambil tersenyum manis.

“Ibuuu!” jerit Nuha sedikit bengang. Puan Sofiya buat tak dengar. Terus saja dia menghilang ke dapur dan diikuti oleh Nuha.

“Nuha…Maaflah pasal Syah. Saya tak sangka Syah perangai macam tu,” ujar Batrisya sebaik dia mendapatkan gadis itu di garaj. Dia kalih seraya tersenyum.

“Jangan risaulah Risya. Saya takde apa-apa pun. Mungkin jodoh kami tak panjang awak jangan risau okey,” ceria saja suara Nuha. Dia turun dari skuternya lalu bergerak ke tayar hadapan untuk mengunci. Usai mengunci skuternya Nuha mencapai beg galas di raga sebelum mengajak Batrisya masuk ke dalam kelas.

“Betul ni awak takde apa-apa Nuha,” Batrisya masih gusar dengan perasaan Nuha. Nuha berhenti melangkah. Dia pandang wajah Batrisya bersama senyuman paling manis.

“Risya kumbang bukan seekor dan bunga pun bukan sekuntum jadi setiap kuntuman bunga akan dihinggap oleh kumbang yang tertarik padanya. Mungkin Syah lebih tertarik dengan bunga yang cantik menawan dari saya,”

“Nuha walaupun awak dengan Syah break awak jangan break sahabat dengan saya ya? Saya sayangkan awak Nuha. Awak sahabat dunia akhirar saya,” air mata Batrisya sudah tumpah. Nuha dengan senang hati menyeka titisan bermanik itu.

“Saya bukan jenis yang simpan dendam Risya. Syah putus dengan saya bukan awak puncanya jadi kenapa saya perlu marahkan awak. Awak tetap sahabat saya!” Nuha mengalas beg ke bahu sebelum kedua belah tangannya naik ke bahu Batrisya.

“Terima kasih Nuha,” lega hati Batrisya bila Nuha masih mahu berkawan dengannya. Mereka menyambung langkah untuk ke kelas.

“Risya awak nak dengar cerita tak?” tanya Nuha sebaik mereka selesa di kerusi.

“Cerita apa?”

“Khamis lepas saya masa saya jumpa Syah untuk kali terakhir doktor klinik tiba-tiba muncul. Saya dengan selamba tarik lengan dia dan siap mengaku yang dia tu kekasih baru saya,

“Apa?! Kenapa boleh jadi macam tu pulak?” mata Batrisya terjolong keluar. Nuha gigit jari seraya tersengih.

“Kot ya pun terkejut jangan menjerit kuat sangat. Nanti kecoh,”

“Siapa doktor klinik tu? Doktor Muaz ke?” Nuha geleng.

“Saya tak pasti dia kerja sini ke tak, tapi yang kawan dia tu memang doktor klinik sekolah kita. Saya geram sangat dengan Syah masa tu. Dia cakap dekat saya mustahil saya dapat cari penganti dia dengan cepat sebab dia sangkakan dia cinta mati saya. Dulu mungkinlah ya sepupu awak tu cinta mati saya. Saya ni ada maruah jugak tak akanlah nak terus terhengeh pada orang yang tak sudi kan? Nak tunjuk yang saya ni kuat nampak doktor tu terus saya sambar mengaku pakwe saya. Terpaksa sebab nak selamatkan maruah diri. Hmmm…Tapi malang sebab bertemu dengan doktor tu. Mulut bius! Isteri pula sombong nak mati! Ada ke patut saya yang tolong bawa anak dia ke klinik dia tuduh saya nak ambil kesempatan ke atas anak dia?,”

“Ish awak ni Nuha! Takde kerja pergi cari kerja. Kalau doktor tu bujang terus jadi kekasih awak pun takpe ini siap ada pakej isteri dan anak mahu tak beri jelingan maut pada awak,”

“Itulah pasalkan? Hmmm…Nasi dah jadu bubur nak minta undurkan waktu memang tak akan terjadi. Lepasni saya kena bersiap sedia untuk berperang dengan isteri dia yang sombonglah jawabnya. Saya juga berharap doktor tu tak kerja sini. Mahu hari-hari cair tahi telinga saya mendengar bebelan mulut bius berbisa dia tu,”

“Wey, semua kita ada pelajar barulah!” tiba-tiba salah seorang pelajar kelas itu menjerit dengan riang.

“siapa?” yang lain bertanya.

“Emir Naufal!”

“Apa si model remaja tu ke? Waaa…Tak sangka dia masuk sekolah kita juga,”

“Apasal dengan mereka tu? Siapa Emir Naufal sampaikan budak-budak ni gembira macam artis nak masuk sini?” Nuha bertanya. Dahi sudah berkerut seribu. Tak faham betul dengan keterujaan kawan-kawannya.

“Emir Naufal model majalah Ikwan yang popular sekarang ni. Saya ada terbaca dalam insta dia dua tiga hari lepas. Dia cakap dia akan masuk sekolah kita untuk ambil spm sebab family dia memang asal ni tapi berhijrah ke kuala lumpur masa dia kecil lagi. Kalau tak silap dia akan ambil alih ganti datuk dia handle kedai emas yang dekat wakaf bahru tu,”

“Banyak info pasal dia? Peminat ke?” soal Nuha sambil tersengih panjang. Batrisya buat penerangan panjang pasal lelaki itu pun Nuha bukan nak dengar sangat. Sebabnya Nuha tidak kenal siapa itu Emir Naufal. Nuha tak layan itu semua. Yang Nuha layan hanya komik dan anime saja. Memang patutlah Syah Reza putus dengan Nuha disebabkan ketidakmatangan gadis itu. Perangai macam budak-budak sekolah rendah.

“Minatlah juga. Model lelaki muslim siapa tak minat. Wajah dia sangatlah tenang. Senyuman dia pergh boleh cair. Sekali pandang macam wajah pelakon Nazim Othman. Kalau awak nak tahu dia tu abang dari kita dua tahun. Masa umur dia tujuh belas tahun dia tak ambil exam sebab kena buatan orang. Kesian dekat dia. Manusia ni memang tak boleh nak tengok manusia lain bahagia dan berjaya mulalah nak menjatuhkan. Dia ada cakap dia balik nak berubat sambil sambung belajar semula,” Nuha garu kepala. Begitu terkenalkan pelajar bakal masuk ke kelas dia nanti sampai segala tentang dia Batrisya tahu.

“Itupun dia Nuha. Tengoklah hensem kan?” Batrisya sama juga seperti teman Nuha yang lain. Mata bersinar-sinar bila kelibat seorang lelaki yang tinggi dan berbadan sedikit sasa sedang berjalan bersama pengetua sekolah itu menuju ke kelasnya. Nuha pandang tanpa sebarang riak.

“Emir ini kelas kamu. Nanti jam bunyi loceng awak kena turun ke tapak perhimpunan sebab setiap hari ahad perhimpunan akan berlangsung,” pesan pengetua sekolah ni sebelum pergi meninggalkan Emir Naufal.

“Nuha jom jumpa dia,” ajak Batrisya. Wajah masih lagi mood ceria dan teruja. Nuha menggeleng.

“Taknaklah. Tak minat,” laju saja Nuha membantah. Batrisya sudah mendapatkan emir Naufal di hadapan bersama rakan yang lain. Hanya Nuha saja masih duduk di tempat duduk. Nuha tak hairanlah dengan Emir Naufal tu. Model ke pelakon ke Nuha tidak teruja.

“Assalamualaikum,” si model menyapa. Nuha yang ralit pandang ke luar tingkap terus kalih.

“Wa’alaikumussalam,” jawab Nuha.

“Mereka cakap depan awak ni tempat duduk saya. Jadi lepasni awak akan jadi jiran saya dalam kelas ni kan?” lembut Emir Naufal bertutur. Nuha hanya jungkit hujung bibir sebelum dia mengalihkan semula pandangan dia ke luar tingkap.

Emir Naufal tersentap. Dia bagaikan tidak percaya itu yang dia reaksi dapat dari seorang gadis. Tidak seperti yang lain. Sebuah senyuman manis terukir di bibir tebalnya. Gadis itu seolah-olah berjaya menawan kalbunya.

Di saat itu juga loceng berbunyi. Nuha bangkit untuk keluar dari kelas itu tanpa menghiraukan Emir Naufal di hadapannya untuk ke tapak perhimpunan untuk mendengar taklimat dari pengetua dan guru-guru yang bertugas pada hari itu. Nuha berjalan laju dari mereka semua. Masing-masing tersipu malu dan tersengih kambing bila Emir Naufal melepasi mereka. Nuha mula rasa muak dengan gelagak pelajar perempuan. Nampak macam gedik semacam.

“Dia pandang akulah!”

“Dia senyum dekat akulah!”

Nuha buat gaya orang mahu termuntah bila kata-kata itu kedengaran. Sungguh Nuha mahu termuntah sekarang kalau kata-kata itu masih kedengaran. Kalau Nuha dengar Batriysa cakap macam tu juga, Nuha taknak kawan dengan gadis itu! Nasib baik Nuha tak dengar lagi.

Nuha meneruskan langkah ke tapak perhimpunan tanpa mempedulikan orang sekeliling. Mulut masih becok membebel. Langsung tak pandang hadapan. Tiba-tiba tanpa diduga olehnya.

“Aduh!” Nuha menjerit bila dia terlanggar seseorang di hadapan. Lantas dia menggosok sisi kepala yang terasa.

“Dik, Allah bagi mata suruh pandang ke hadapan bukan pandang ke belakang. Sebab nak suruh kita semakin maju ke hadapan bukannya semakin mundur ke hadapan,” Nuha terus panggung wajah bila suara garau itu menegur.

“Doktor klinik?!” jantung Nuha bagaikan mahu tercabut. Jari telunjuk tegak menunding kea rah wajah Aysar.

“Ya saya. Ada masalah?” sinis Aysar menyoal. Hujung bibir terjungkit sedikit sebelum meninggalkan Nuha masih terbeliak biji matanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.