Home Cerpen Umum Haji Tidak Bergaji
Haji Tidak Bergaji
Nur Ashiya
3/2/2017 11:51:30
1,140
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Gema laungan azan subuh menerobos ke seluruh pinggiran desa di Kampung Batu 2. Dingin dan nyaman saat embun pagi masih lagi membasahi bumi. Sang mentari juga belum lagi timbul memancar cahaya pagi. Tenang, damai dan nyaman. Itulah yang sesuai digambarkan dari luar.

Nun kejauhan kelihatan sekumpulan manusia berpusu-pusu menuju ke arah surau usang itu. Ada yang terkocoh-kocoh sedang mengambil wuduk. Ternyata sang muadzin sudah pun selesai menunaikan solat sunat. Usai dia berdoa, satu sapaan menyinggah.

“Assalamu’alaikum Ji.” Tok Ketua Khamis menegurnya mesra. Mereka bersalaman.

“Wa’alaikum salam. Sihat Mis? Eh anak lanang kau mana?”

“Macam biasalah Ji, disuruh bangun liat, solat pun susah, inikan nak diajak ke surau, usah mimpilah. Agaknya bila kiamat baru nak terjaga. Tu pun kalau sempatlah.” Jawapan Tok Ketua dibalas dengan tawa daripada Haji Isnin berkenaan anak lelakinya. Tanpa mereka berdua sedar yang sebenarnya mereka diperhati seseorang yang juga berada di surau itu.

Begitulah rutin harian mereka berdua. Dua sahabat merpati sejoli. Bukan semua tidak tahu. Haji Isnin jika bercakap pasal agama semuanya dikata tahu, bab mengutuk dan menghina orang juga dialah nombor satu. Tidak kiralah anak, bini, orang tua mahupun kanak-kanak belum tumbuh habis gigi susu semuanya ditegur. Tidak kira bangsa, masa, tempat, dan suasana ada sahaja yang tidak sempurna di matanya kerana itulah kerjanya. Yang seorang itu pula jadi pak turut sahaja bagai lembu dicucuk hidung. Semua diturut semua dibetulkan sahaja.

~

Belum pun pukul lapan pagi, gerai Hajah Jameah sudah pun penuh dengan pelanggan. Mana tidaknya, isteri Haji Isnin ini memang terkenal dengan kelazatan nasi lemak rendang lokan masakannya. Air tangan wanita tua ini bukan sahaja dikagumi di kampung ini, hatta orang-orang kampung Batu Satu, Tiga, Empat dan Lima turut bertandang semata-mata ingin merasa penangan nasi lemak rendang lokan Hajah Jameah baik Melayu, Cina atau India.

Si Pemerhati dan juga sahabatnya, Daim sudah pun mula menjamah. Meskipun baru dua minggu dia berkelana di sini mencari ilham dan sumber inspirasi sebagai seorang penulis. Namun, nasi lemak ini menjadi hidangan wajib baginya setiap pagi. Biarlah boroi asalkan bahagia.

“Mak Jah tambah lagi sepinggan ye.” Penuh mulut si Daim memesan. Si Pemerhati tergelak melihat telatah sahhabatnya itu. Berselera sungguh.

“Amboi kamu ni Im, yang dekat pinggan dan mulut pun belum habis dah nak pesan lagi. Sabar jangan gelojoh.” Hajah Jameah tersenyum menggeleng melihat perangai anak buahnya itu. Berbeza sekali perangai beliau dengan suaminya. Sopan dan prihatin.

“Tu kawan kamu tu tak mau tambah ke? Siapa namanya? Maaflah mak cik dah lupa nak.”

“Ai...” Baru sahaja dia ingin menjawab.

“Jah nasi untuk aku dengan Tok Ketua mana? Aku ni dahlah penat. Bini jenis apa kamu ni, makanan untuk laki sendiri pun tak reti nak siapkan. Orang lain kamu sibuk hidang! Karang aku robohkan gerai kamu ni baru tahu. Dah cepat sikit!” Tanpa salam, insan yang ber-title ‘haji kehormat’ ini menunjukkan taringnya bak seorang diktaktor. Hajah Jameah sudah mencuka masam mukanya. Si Pemerhati perasan ada pucat sedikit di raut wajah ibu tua itu, mungkin kerana tingkah lakinya yang tidak berinsuran itu.

Para pelanggan hanya diam membisu. Macam tak biasa. “Nasib baiklah sebabkan nasi lemak rendang lokan ni ada orang sudi datang. Kalau tak hmmm…” Daim sudah bermonolog memerli. Nasib tidak didengar dek Haji Isnin.

“Kau dari mana Nin? Bacin satu badan dengan peluh.” Wak Ahad yang merupakan warga paling tua di kampung itu menegur.

“Aku dari kebunnya si Rahah. Punyalah semak-samunnya aku nengok kebunnya. Sampe-sampe apa lagi aku tempelak lah dia. Yelah sebabkan dia aku jatuh tak nampak lubang dek semak macam Amazon je.” Marah Haji Isnin dengan loghat Jawanya.

“Loh, kok dimarah si Rahah tu? Dia kan udah bangka. Balu tak punya anak. Mahu berjalan pun tak larat inikan nak ke kebun.” Wak Unggal menegurnya. “Aku kisah apa. Dahlah kampung kita ni ramai yang demam denggi ini dia nak menambah lagi. Baik mati aje bagi tanah kebun tu dekat aku.” Pedas ayat yang dikeluarkan oleh seseorang yang berstatus haji ini.

Si Pemerhati hanya diam mendengar dengan teliti. Sahabat di depannya sudah menjamah meluat. Aku orang luar lebih baik aku jangan masuk campur. Itu getus hatinya. Mungkin ada benarnya. Aku lihat selain dari gerai ini orang-orang kampung seperti tidak ambil peduli dan bersatu hati dalam hal-hal sebegini. Masing-masing buat hal sendiri. Itulah andaiannya selama tinggal di sini.

~

Dua minggu berlalu sudah. Cerita mengenai keindahan paya bakau di Kampung Batu 2 juga sudah disiapkan dan dihantar kepada editor. Dia pun sudah lama tidak ke sana. Kerja di Shah Alam makin menimbun. Sedang dia membancuh kopi di pantri, telefon pintarnya berdering.

Hello bro,kau kat mana? Alhamdulillah aku sihat.” Ternyata di talian adalah sahabatnya Daim yang menelefon.

“Weh jom kita pergi makan dekat gerai Mak Jah. Aku dah lamalah tak merasa nasi lemak dia.”

“Err… Aku nak cakap dekat kau yang Mak Jah dah meninggal semalam. Demam denggi berdarah. Ni aku pon on the way nak ke sana. Kau nak ikut tak?”

Jawapan dari Daim nyata meberikan kejutan padanya. Seperti sang halilintar memanah ke dalam hati. Ucapan innalillah perlahan kedengaran. Sebak dan pilu. Ternyata seperti baru semalam dia bertemu dengan Hajah Jameah. “Okay aku siap-siap.” Lambat dia membalas.

“Lagi satu, Haji Senin dan Tok Mis kena tangkap dengan polis sebab berjudi. Majlis Daerah pun kenakan dia kompaun sebab rumah dia jumpa banyak jentik-jentik waktu buat spot-check haritu. Kau macam tak tahu rumah dia kalau Mak Jah tak bersihkan macam mana.”

Si Pemerhati sudah menggeleng mendengar berita tersebut. Pedih dan sedih bercampur geram hanya Tuhan yang tahu. Talian dimatikan. Lama dia merenung kertas tidak bertinta di mejanya. Jiwanya terasa kosong. 

Benarlah kata orang paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kuman di seberang nampak, gajah di depan tidak nampak. Status haji tidak semestinya terpuji, tidak semestinya baik tak terperi, segala kata mesti dipatuhi bak seorang nabi. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Masyarakat yang prihatin dan berdisiplin adalah masyarakat yang memimpin bukan dipimpin.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.