Home Cerpen Seram/Misteri Tragedi B2
Tragedi B2
Fatim Khairani
20/9/2016 18:23:43
3,189
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Shima melabuhkan punggung di atas bangku batu yang disediakan di platform menunggu. Lega rasanya dapat meluruskan kaki melepaskan kelenguhan sementara menunggu keretapi transit ringan yang seterusnya tiba. Sempat dia membelek akhbar yang mungkin tertinggal oleh tuan punya badan di atas bangku ini. Mata Shima terpaku sejenak bila terpandang tajuk berita di mukasurat ke dua akhbar tersebut. “Mayat seorang wanita ditemui ditempat parkir disebuah bangunan,” Shima membaca perlahan isi kandungan berita itu.

Terbantut bacaannya apabila kedengaran suara rakaman automatik mengumumkan keretapi akan tiba sebentar sahaja lagi. Diletakkan akhbar itu kembali, sebaik sahaja dia berdiri untuk bergerak kehadapan kelihatan dua orang gadis tiba di platform menunggu. “Ni budak-budak ofis tempat aku bekerja,” bisik hati Shima sendirian.

Shima menghadiahkan senyuman pada mereka berdua. Di balas kembali dengan wajah ceria dari dua gadis tersebut seraya melambaikan tangan. Tidak lama kemudian muncul seorang gadis dari belakang Shima menuju kearah dua gadis itu. “Lambai kat kawan dia rupanya, aku pulak yang perasan,” getus hati Shima. Dia tersenyum malu sendiri.

Di dalam keretapi dia berdiri berhampiran dengan tiga gadis itu. Berkerut dahi Shima mendengar perbualan mereka bertiga. “Sekarang ni kecoh pasal cerita hantu kat parkir B2,” air muka gadis pertama kelihatan serius. “Itulah aku pun dengar cerita yang sama. Cleaner pun takut nak bersihkan kawasan B2 sebab asyik ternampak kelibat je,” gadis kedua yang turut mengakui kebenaran khabar angin itu.

Selesai membersihkan diri dan menyarung pakaian tidur, Shima merebahkan tubuhnya ke atas katil. Fikirannya masih ligat memikirkan apa yang dibincangkan oleh tiga orang gadis dalam keretapi tadi. “Tak pernah pulak dengar apa-apa cerita pasal hantu kat B2. Kalau ada mesti Ida dah bercerita,” gumam Shima. Sekarang ini yang lebih merunsingkan hati Shima adalah Ida. Dah seminggu dia tak balik ke rumah. Kemana dia pergi pun Shima tidak tahu. Tidak pernah pula Ida bersikap begini.

“Hissyy..Ida kau kalau nak balik kampung cakaplah dengan aku. Itu pun susah ke?” Omel Shima sendirian.

Hari ini Shima sampai kerja agak awal. Dia masuk ke dalam bilik yang menyediakan lokar pekerja. Dia menggapai pakaian seragam yang disediakan lalu disarungkan ditubuhnya. Shima kemudian bergerak menuju ke bilik penyelia untuk melihat jadual kerja yang ditampalkan di pintu bilik. Pagi ini dia ditugaskan membersihkan pantri dan bilik pengarah di tingkat 10. Waktu petang pula dia perlu membersihkan kawasan parkir B2.

“ B2…betul ke khabar angin tu?” perasaan curiga mula terbit di dalam hati.

Pintu bilik dibuka, dua orang pekerja pembersih masuk dan menuju ke lokar masing-masing. “Dah seminggu Ida cuti sakit…kesian dia,” ujar salah seorang pekerja pembersih. “Eh! Betul ke aku dengar Ida kena demam panas sebab terjumpa hantu kat B2?” soal seorang lagi pekerja dalam keadaan berbisik.

“Aku pun dengar cerita macam tu jugak. “Kecoh dah sekarang ni! B2 berhantu sejak kematian si…,” perbualan dua pekerja tersebut terhenti apabila penyelia mereka melangkah masuk ke dalam bilik pekerja. Bergegas mereka bersiap dan keluar setelah mencapai peralatan yang perlu untuk memulakan tugasan pagi itu.

Shima yang mendengar perbualan dua orang pekerja tadi membuatkan hatinya semakin resah. Baru dia tahu Ida cuti sakit. Selesai kerja nanti Shima akan buat panggilan untuk bertanya keadaan sahabat baiknya. Shima memulakan rutin kerja seperti biasa, cuma ketiadaan Ida menyebabkan dia lebih suka makan bersendirian di kafeteria. Sebenarnya Shima baru sahaja sebulan bekerja disini itupun kerana bantuan Ida yang mengenali rapat penyelia syarikat pembersihan. Maka dia masih belum mesra dengan pekerja yang lain.

Tiba-tiba dua pengawal keselamatan berlari masuk ke dalam kafeteria memanggil beberapa orang pekerja pembersih. Di dalam keriuhan itu terdengar beberapa orang pengawal keselamatan menyebut parkir di B2 mengalami banjir kecil akibat kebocoran paip. Shima bergegas bangun dan terus mengikuti mereka memasuki lif untuk turun ke B2.

“Hissyy…kenapa sejuk sangat dalam lif ni?” tegur seorang pengawal keselamatan. Shima yang turut berada dalam lif itu terpinga-pinga melihat lelaki itu. “ Mana ada sejuk?” bisik hati Shima. “Memanglah sejuk, baju dengan seluar kita kan basah terkena semburan air masa cuba betulkan paip tadi,” jawab salah seorang dari kawan kepada pengawal keselamatan tadi. Berkerut dahi pengawal keselamatan itu mendengar jawapan dari kawannya. Dia menoleh ke belakang sambil matanya melingas melihat sekeliling lif. Shima hanya tersenyum melihat gelagat lelaki itu.

Apabila pintu lif terbuka kelihatan air mula bertakung di sesetengah tempat. “Kena pam air ni keluar kalau tak banjir B2. Man! kau pergi ambik pam tu keluar dari stor,” salah seorang lelaki itu mula memberi saranan. Lelaki yang bernama Man itu bingkas menuju ke bilik stor yang menyimpan peralatan pembersihan. Nyaris bilik itu tidak dimasuki air. Man menarik keluar segala peralatan yang diperlukan dari rak penyimpanan barang.

Suasana didalam stor agak kusam hanya disinari cahaya dari lampu mentol yang agak malap. Shima yang mengekori Man dari belakang turut masuk ke dalam stor itu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk tiba-tiba, “Baammm!!” pintu stor tertutup dengan kuat.

Mereka berdua segera menoleh ke arah pintu tersebut. “Macamana pintu ni boleh tertutup pulak!” Man cuba memusing-musingkan tombol pintu. “Entahlah! tiba-tiba je tertutup,” ujar Shima dengan hatinya yang berdebar. Man mengetuk-ngetuk pintu dengan harapan akan ada sesiapa yang datang membantu. Shima pula melihat sekeliling cuba mencari apa-apa yang boleh membuka pintu ini. Tiba-tiba dia ternampak telefon di atas meja di hujung bilik. “Nanti saya cuba telefon penyelia,” Shima bergegas ke belakang.

Man pula menggosok kedua-dua lengannya, seolah-olah kesejukan. Matanya meliar memandang sekeliling ruang stor. Sebaik sahaja Shima mencapai gagang telefon, lampu di dalam bilik terus terpadam. “Arrgghhh!!,” Shima menjerit ketakutan. Di dalam kepala mula mengimbas kembali segala cerita yang didengari tentang B2.

Jantung Man mula berdegup kencang. Dia teraba-raba dalam kegelapan. Man berundur perlahan-lahan, nyaris dia terjatuh akibat terlanggar mesin pam air. Kedengaran sayup-sayup suara tangisan seorang perempuan dari celah-celah kabinet penyimpanan barang. “ Man…tolong saya,” suara itu sayu merintih. Man menggigil ketakutan.

Shima semakin resah, terasa peluh dingin mulai merenik keluar di dahinya. Ketakutan mulai menguasai diri. “Man! Man! awak kat mana? Saya takut ni!” suara Shima semakin serak, airmata ketakutan mula mengalir. Dia bagai terlihat kelibat melintas laju dihadapannya.

“Man! Tolong saya. Saya takut jangan tinggalkan saya,” suara itu kedengaran semakin jelas bagai berbisik ditelinganya. Man jadi kaku, tubuhnya menggeletar.

Shima teraba-raba barang-barang di atas meja. Nasibnya baik apabila dia terpegang objek berbentuk lampu suluh. Segera dia menekan punat suis dan lampu suluh terus bercahaya. Lega perasaan Shima buat seketika. Dia menyuluh dan berjalan berhati-hati ke hadapan.

“Man! Man! awak kat mana?” Tiba-tiba dia tersuluh wajah Man yang kelihatan pucat. Man seolah-olah merenung ke satu sudut.

Didalam kesamaran cahaya lampu suluh, Man ternampak sosok seorang wanita berwajah pucat. Matanya kelihatan merah dan mulutnya dipenuhi darah hitam pekat yang meleleh jatuh ke bajunya. Bau hanyir menusuk ke rongga hidung. Man nyaris termuntah apabila terpandang isi perut yang terburai dari tubuh wanita itu.

Sebaik sahaja Shima menghampiri, Man terus jatuh pengsan. Shima semakin cemas. “Tolong! Tolong!” Shima menjerit sambil menepuk pintu sekuat hatinya, Lampu stor tidak semena-mena menyala kembali dan pintu stor terbuka dengan sendirinya. Kelihatan beberapa orang lelaki menerpa masuk ke dalam stor. Mereka menepuk-nepuk muka Man cuba menyedarkannya. Shima segera keluar dari bilik stor dan memerhatikan dari jauh sejurus cuba meredakan perasaan gementarnya.

“Kenapa dia pengsan?” Tegur seorang lelaki yang kelihatan agak berusia berdiri tidak jauh dari Shima.

“Saya tak tahu. Tapi saya nampak muka dia pucat sangat. Lepas tu dia terus jatuh pengsan,” terang Shima.

Lelaki tua itu merenung tajam ke wajah Shima. “Kamu pergilah balik biar kami uruskan Man,” arah lelaki tua itu. Shima memandang wajah lelaki itu, “Tak pernah nampak pun pakcik ni. Pengawal keselamatan baru agaknya,” getus Shima dalam hati. Shima bergegas naik ke tingkat atas.

Sejak peristiwa itu, kisah hantu di B2 semakin galak diceritakan. Namun kerja pembersihan tetap dijalankan seperti biasa. Masalah berunsur misteri bukan alasan untuk memberhentikan rutin pembersihan. Hari ini sekali lagi Shima ditugaskan menyapu sampah dikawasan B2. Dia akan ditemani oleh seorang rakan sekerja iaitu Jannah.

Beberapa peralatan pembersihan seperti penyapu, penyodok sampah, sarung tangan termasuk plastik sampah telah diletakkan ke atas troli. Walaupun agak gementar tapi dia tetap meneruskan jua tugas yang telah ditetapkan oleh penyelia. Jannah membawa troli itu turun ke B2 tanpa menunggu rakan sekerjanya. Suasana di B2 diwaktu ini sememangnya agak sunyi.

Shima baru sahaja selesai membersihkan tingkat 5. Sekarang ini kalau diikutkan jadual tugasan dia sepatutnya membersihkan B2 bersama seorang lagi pekerja. Shima dapati buku log pengambilan barang telah ditandatangani oleh Jannah.

“Alamak! Jannah dah turun ke B2? Aku lambatlah ni,” rungut Shima seorang diri.

Shima menarik sebatang penyapu dan penyodok sampah lalu dia berlari-lari anak ke lif dan terus menuruni ke B2. Gementar perasaan Shima apabila pintu lif terbuka. Dia melangkah keluar sambil matanya meliar mencari Jannah. Di satu sudut kelihatan Jannah sedang membetulkan plastik sampah yang dipasangkan pada troli.

“Jannah! Jannah!” kedengaran seseorang melaungkan namanya. Jannah memerhati sekeliling, mungkin rakan sekerjanya sudah tiba. “Aku kat sinilah Yati!” Jannah melaung kembali. Namun laungan hanya dibalas dengan sepi. Jannah menjenguk celah-celah kenderaan tiada sesiapa pun berada disitu.

“Si Jannah ni pergi mana pulak?” Shima pula tercari-cari akan Jannah.

Jannah pasti dia terdengar suara rakannya. Dia meneruskan kerjanya kembali dengan menolak troli ke tempat yang dikenal pasti akan dikotori dengan puntung rokok. “Ni mesti kerja pengawal keselamatan dengan pekerja fasiliti bangunan. Tak tau nak buang puntung ni kat dalam tong sampah agaknya!?” Jannah menggeleng kepalanya melihat puntung yang bersepah dilantai.

“Jannah! Jannah!” sekali lagi kedengaran seseorang melaungkan namanya.

Jannah tersentak, tiba-tiba dia terasa bulu roma ditengkuknya merinding. Itu bukan suara Yati rakan sekerjanya. Mata Jannah melingas melihat sekeliling, tiada sesiapa pun yang kelihatan. “Jannah tak takut ke datang sini sorang-sorang,” tiba-tiba muncul suara halus berbisik dicuping telinga Jannah. Bibir Jannah menggeletar, suara bagaikan tersangkut di kerongkong. Dari kerlingan mata kelihatan lembaga itu sedang berdiri bersebelahan Jannah sambil merenung tajam ke wajahnya.

“Eh Jannah! Nak pergi mana tu?!” Shima memekik memanggil nama Jannah yang lari lintang pukang meninggalkan B2. “Dah kenapa pulak dia ni, macam nampak…,” tak tergamak dia meneruskan kenyataannya.

“Kamu buat apa dekat sini?” Tidak semena-mena satu suara menyergah Shima dari belakang. Shima pantas menoleh kearah suara itu. “Isssyyy..terperanjat saya!” Shima mengurut dadanya meredakan gemuruh. “Jannah tu lari lintang pukang tinggalkan semua barang-barang,” sambung Shima lagi.

Pakcik Ismail sedari tadi merenung tajam ke wajah Shima.“Kamu nak dengar tak cerita pasal B2?”

“Pakcik tau pasal cerita kat B2 ni?” soal Shima.

Pakcik Ismail sekadar mengangguk. “ Dua minggu yang lalu ada satu tragedi berdarah berlaku di B2 ni. Seorang cleaner perempuan mati dirogol dan dibunuh. Dia ditikam berkali-kali di perut sehingga terburai isi perutnya. Mayatnya di jumpai di hujung sana,” jelas Pakcik Ismail sambil menudingkan jarinya.

“Jadi Pakcik nak bagi tau saya yang roh perempuan itulah yang berlegar kat B2 ni?”

“Pakcik ni Allah anugerahkan kebolehan melihat benda-benda halus.”

“Kalau macam tu pakcik suruhlah dia balik ke tempat asal, jangan ganggu orang kat sini,” Shima jawab dalam keadaan sinis.

Pakcik Ismail merenung wajah Shima tepat ke dalam anak mata. Shima berasa gugup seketika bila ditenung begitu. “Kenapa kamu tak balik lagi?!” suara Pakcik Ismail agak menekan. Shima keliru dengan soalan Pakcik Ismail. “Apasal dia tanya aku soalan macam tu?” getus Shima dalam hatinya. “Pakcik tanya kenapa kamu tak balik lagi? Ada benda yang tak selesai lagi ke?” soal Pakcik Ismail lagi.

“Saya akan balik bila sampai waktunya. Sekarang ni nak kena selesaikan tugas saya dulu lepas tu saya nak jumpa Ida. Penyelia ada bagi tahu kami Ida nak datang petang ni ambil barang.”

“Kenapa kamu nak jumpa Ida?” Pakcik Ismail dapat merasakan ada hajat yang tidak kesampaian.

“Saya sebenarnya nak jumpa Ida sebab nak minta tolong dia bawa balik kain ela yang saya belikan untuk mak kat kampung. Saya takut tak sempat nak bagi kat mak. Saya susah nak dapat cuti sebab baru kerja. Mak memang nak sangat kain ela tu katanya corak bunga pada kain tu cantik sangat,” terang Shima dengan nada sayu.

“Dimana kamu simpan kain ela tu?” timbul rasa simpati dihati pakcik Ismail.

“Saya simpan kain tu dalam lokar pekerja,” jawab Shima.

“Macam nilah kita buat perjanjian. Pakcik akan pastikan mak kamu terima pemberian kain ela tu tapi dengan syarat kamu mesti balik ke tempat asal kamu. Jangan ganggu orang kat sini lagi. Sekarang ini mungkin kamu tak faham tapi pakcik yakin satu hari nanti kamu akan sedar. Pakcik doakan semoga kamu tenang disana dan ditempatkan dikalangan orang beriman.”

Shima yang berwajah pucat dan bermata merah bagaikan orang yang baru lepas menangis merenung kebingungan kearah pakcik Ismail. “Kenapa dia suruh aku balik ke tempat asal? Bila masa pulak aku kacau orang?” Shima yang masih tidak mengerti berlalu pergi bersama isi perutnya yang terburai dan memualkan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fatim Khairani