Home Cerpen Seram/Misteri Lif Blok B
Lif Blok B
Fatim Khairani
10/8/2016 15:31:16
4,745
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Usai solat subuh, Faris menggapai telefon bimbit yang terletak diatas meja kecil bersebelahan katil. Deringan telefon mengganggu kekhusyukan solatnya sebentar tadi.” Siapa pula yang telefon pagi-pagi buta ni?” persoalan yang bermain di benak Faris. Tertera di skrin nama Wak Man penyelia tapak projek Kondominium Sri Selasih. Sekali lagi telefon bimbit itu berdering nyaring “Assalamualaikum Wak, ada apa telefon saya awal subuh ni?” soal Faris sebaik sahaja talian bersambung.

“Bos! seorang lagi pekerja kita mati di dalam lif blok B!” menggeletar suara Wak Man menyampaikan berita buruk.

“Hah! siapa Wak?” jantung Faris bagai disentap. “Adi! Kami jumpa dia mati dengan lehernya hampir putus di dalam lif,” terang Wak Man. “Ya Allah! Saya ke sana sekarang juga!” Faris bergegas bangun dari sejadah untuk bersiap ke kondominium Sri Selasih. Dua orang pekerja binaan terbunuh di dalam tempoh dua minggu. Kerja pembinaan sebenarnya telah hampir selesai hanya memastikan segala kemudahan berfungsi dengan baik. Sepatutnya minggu ini pihak pengurusan akan mengagihkan kunci kondominium kepada pembeli. Akibat tragedi ini Faris terpaksa memikirkan alasan terbaik untuk menundakan penyerahan rasmi kepada pemilik kondo.

Paling membingungkan Faris, apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa kedua-dua pembunuhan itu terjadi di dalam lif yang sama? Sinaran dari lampu siren kereta polis menerangi kawasan kejadian. Beberapa orang polis sedang mengusung mayat yang diselimuti plastik berwarna hitam. Selepas berbicara dengan beberapa orang polis di situ, Faris berjalan menuju ke tempat kejadian.

Tali kuning telah dipasang untuk mengelakkan sesiapa pun dari menceroboh masuk kedalam lif yang masih dikotori darah Adi. Bau hanyir darah menusuk ke rongga hidung Faris sehingga menimbulkan rasa mual. Dia berdiri menghadap lif yang dibiarkan pintunya terbuka bagi memudahkan pihak forensik melakukan penyiasatan.

“Cik, ni kerja pembunuh bersiri ke?” soal Faris kepada salah seorang ahli forensik.

Suraya menoleh kearah suara yang menyapanya dari belakang. “Tak tau lagi Encik, belum dapat dipastikan lagi.”Suraya menjawab ringkas.

“Cun gak awek ni. Hissyy…apa aku ni! Pekerja kau baru jer mati sempat lagi nak mengurat. Astaghfirullahalazim…,” getus hati Faris sambil bibirnya tersenyum nipis mengenangkan gelagat sendiri.

Suraya berjalan keluar melepasi tali kuning sementara tangannya membawa bungkusan plastik berwarna jernih. “Cara kematian sama dengan mangsa pembunuhan yang lepas. Leher hampir terputus dan terdapat beberapa kesan calar yang dalam dibeberapa bahagian dilengan dan badan.” Suraya menjelaskan dengan terperinci kepada Faris.

“Bila kami boleh tahu keputusan siasatan?” Faris mengambil peluang mengerling kearah tanda nama di baju Suraya.

“InsyaAllah Encik paling cepat pun keputusan akan keluar minggu depan. Pihak polis akan menghubungi Encik,” ujar Suraya. Sebaik Suraya berlalu pergi, Faris memberanikan diri merapati bentangan tali kuning. Mata Faris melingas melihat ke dalam ruang lif. Tangannya menutup hidung menahan bau hanyir darah.

Tiba-tiba angin deras menerjah keluar dari dalam lif dan menerpa ke arah Faris. Dia terundur setapak kebelakang. Sedang Faris terpinga-pinga dari mana datangnya angin kuat itu, suatu suara berbisik di cuping telinganya “Aku bebasss…,” disusuli dengan ketawa halus yang menyeramkan. Serta-merta bulu roma Faris merinding. Degupan jantungnya menjadi cemas.

Faris bergegas meninggalkan kawasan itu. Muka Faris pucat seperti melihat sesuatu yang mengerikan. Dia meraup wajah yang mula dibasahi peluh dingin.

“Lif blok B berhantu? Jadi yang membunuh Adi adalah hantu…tak masuk akallah!,” Faris menyangkal dakwaannya sendiri.

“Bos, ok ke?

Terangkat bahu Faris apabila Wak Man menepuk bahu Faris secara mengejut. “Aduh Wak!, jangan buat macam tu boleh tak, terperanjat saya,” jawab Faris sambil mengurut dadanya. “Kenapa muka pucat, macam baru lepas jumpa hantu jer,” Wak Man tersengih-sengih mengusik Faris. Berkerut dahi Faris merenung wajah Wak Man.

“Wak, sepanjang menguruskan projek ni ada tak perkara-perkara pelik berlaku?

“Tak ada pulak benda yang pelik berlaku. Cuma sejak kebelakangan ni ada terdengar cerita seorang gadis cantik berbaju kebaya putih mundar-mandir di depan lif blok B. Tapi saya tak pernah pulak berjumpa.”

“Wak, saya nak tengok CCTV?”

“Maaf bos, tadi pihak polis sudah ambil pita rakamannya.”

Faris segera berlari ke arah sekumpulan polis yang masih belum meninggalkan kawasan kondominium Sri Selasih. “Tuan boleh tak saya tengok rakaman CCTV?” Faris berharap dapat melihat sendiri apa yang sebenarnya terjadi di dalam lif blok B. “Minta maaf Encik, pihak kami dah bawa rakaman ke balai. Nanti kami akan hubungi Encik bila selesai siasatan,” terang Suraya yang turut berada di dalam kumpulan polis itu.

Malam itu Faris tidak boleh melelapkan matanya, Puas dia berkalih badannya ke kiri dan ke kanan tetapi matanya tetap berdegil untuk berjaga. Apa sebenarnya yang dia dengari di lif pagi tadi. Bebas dari apa? Apa yang telah bebas? Kepala Faris ligat berfikir sesuatu yang tidak logik. Tidak mungkin hantu boleh membunuh, mustahil! Setelah kepenatan otaknya mencari jawapan, matanya mula memberat dan terlena jua Faris akhirnya.

Nyenyak tidurnya terganggu apabila Faris terasa bajunya basah. Perlahan-lahan dia membuka mata. Faris terperanjat melihat bajunya dibasahi darah dan bau busuk mencengkam rongga hidung. Darah itu menitis dari atas. Faris mendongak kepalanya dengan perasaan yang berdebar. Lembaga itu melekap di siling bumbung sambil memandang Faris dibawah dengan mata merah menyala dan menyeringai. Wajahnya mengerikan bersama rambut panjang mengurai ke bawah sehingga terkena wajah Faris. Darah bersama lendir berbau hanyir menitis keluar dari mulut dan celah gigi taringnya.

Seluruh tubuh Faris menggeletar. Jeritan Faris bagaikan tersangkut dihalkum. Dia cuba meronta untuk bangun namun badannya bagaikan terlekat di atas lantai. Baru Faris tersedar dia kini berada di dalam lif!

“Hihihi…Farissss,” lembaga perempuan itu mengilai sekuat hati. Lembaga itu terapung kemudian turun perlahan merapati tubuh dan wajah Faris. Faris memejamkan mata dan menggigil ketakutan. Terasa kuku tajam sedang mengusap wajah Faris. Ketika ini tiada satu ayat pun termampu di baca. Segalanya hilang dari ingatan, tapi hanya satu kalimah yang tidak mungkin luput. “Ya Allah!” kalimah paling agung itu terlepas keluar dari bibir Faris.

Serta-merta lembaga itu tercampak kebelakang dan terus hilang dari pandangan mata kasar. Faris bingkas bangun dan berlari kearah pintu lif. Dia menekan butang lif berkali-kali dengan rakus namun pintu lif masih tertutup rapat. Lampu lif tiba-tiba berkelip-kelip. Sebaik lampu kembali menyala dinding lif itu telah dipenuhi limpahan darah. Darah itu perlahan-lahan membentuk seperti tulisan “Aku bebas…darah kau hidupkan aku!” Faris semakin cemas. Lembaga itu tiba-tiba muncul dari dinding lif dan terus menerkam ke arah Faris.

Faris menjerit sekuat hati dan meronta-ronta seolah-olah melindung diri dari terkaman lembaga itu. Tubuhnya bagai direntap kuat terus dia terjaga dari tidurnya. Dia tercungap-cungap menahan nafas yang turun naik dengan laju. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh ketakutan.”Astaghfirullah! Astaghfirullah!” Faris mengurut dadanya cuba bertenang. Dilihat jam di dinding menunjukkan pukul 3.30 pagi.

“Hello Encik Faris, saya Suraya. Boleh saya berjumpa dengan Encik di Kondominium Sri Selasih hari ni.” Bantuan Faris masih diperlukan untuk menyelesaikan kes pembunuhan itu. “Boleh, kita jumpa selepas Zohor. Saya ada disana dalam pukul 2.30 petang,” ujar Faris. Sudah hampir tiga hari Faris mengalami demam panas. Gara-gara mimpi ngeri yang dialaminya. Seolah-olah peristiwa itu benar-benar terjadi.

Suraya berdiri tegak di muka pintu pejabat pengurusan kondominium. Faris yang sedang leka membelek dokumen menoleh dua kali kearah Suraya. Entah bila Suraya sampai tiada siapa pun yang tersedar. “Eh! Suraya…bila sampai?” Faris sememangnya tidak sabar hendak bertemu gadis ini. Suraya hanya membalas dengan senyuman.

“Encik Faris, jom kita ke lif blok B. Saya ada urusan yang masih belum selesai,” pinta Suraya.

Sebenarnya Faris masih lagi gementar untuk menjejakkan kaki ke sana. Perasaan takut masih lagi menguasai dirinya. Faris segera menyimpan dokumen di dalam kabinet fail. “Cik Suraya datang seorang sahaja?” Faris bermanis mulut memula bicara. Suraya sekadar mengangguk. Sampai di depan lif tidak sempat menekan butang buka, pintu lif terbuka dengan sendirinya. Walaupun terasa meremang bulu roma Faris, dia tetap mengawal perasaannya dengan baik. Kalau Suraya tahu dia sedang gemuruh mesti jatuh air mukanya!

Sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk kedalam perut lif, telefon bimbit Faris berbunyi. “Hello Wak, ada apa?”

“Bos, Cik Suraya dah sampai. Bos kat mana?”

“Saya dengan Cik Surayalah ni.”

“Bos, Cik Suraya ada dengan saya sekarang ni, dia baru jer sampai. Kalau tak percaya boleh bercakap dengan dia.” Wak cuba meyakinkan Faris.

Telefon bimbit hampir terlepas dari genggaman Faris. Perasaan seram mula menjalar ke dalam hati. “Siapa di belakang aku sekarang ini?” bisik hati Faris. Tubuh Faris kejang menahan ketakutan.

Suasana di dalam lif jadi sepi dan terasa angin sejuk menyapa tubuh Faris. Tiba-tiba kedengaran bunyi seretan kaki dan kini bunyi itu terhenti dibelakang Faris. “Kenapa Faris takut?” bisik suara jelmaan Suraya sambil ketawa halus. Pintu lif masih lagi terbuka luas namun kaki Faris tidak mampu untuk melangkah keluar.

Peluh dingin mengalir lesu ditepi dahi. Faris cuba mengawal ketakutannya walaupun seluruh tubuh mengigil kegerunan.

“Kau nak apa! Kenapa kau ganggu aku!” suara Faris gugup tetapi hatinya nekad untuk berkomunikasi dengan lembaga itu.

Tidak semena-mena pintu lif tertutup dengan laju sehingga menggegarkan ruang dalam lif. Faris nyaris terjatuh tapi dia sempat menahan tangannya di dinding lif. Dia menekan butang buka pintu lif berkali-kali tetapi bagai dikunci rapat. Darah merah pekat mula mengalir keluar dari dinding di pintu lif membentuk ayat yang mengerikan “DARAH KAU HIDUPKAN AKU!”

Mencerlung mata Faris membaca tulisan berdarah itu, dia terundur kebelakang. Bau wangi tiba-tiba menyusup masuk ke dalam rongga hidung Faris. Dari dinding pintu lif itu ternampak biasan kelibat seorang gadis ayu berkebaya putih dan bersanggul rapi ditutupi selendang berwarna putih. Faris serta merta menoleh kebelakang. Gadis itu tersenyum memandang wajah resah Faris.

Senyuman gadis itu semakin lama semakin melebar dan kelihatan darah mulai mengalir di hujung bibirnya. Matanya menjadi merah menyala dan perlahan-lahan lelehan darah keluar dari kelopak matanya. Perasaan ngeri menyusup masuk ke dalam hati Faris. Dia berundur dan tersandar di dinding lif.

“Kau makhluk terkutuk! Aku tidak akan benarkan kau bunuh aku!!” entah mana datangnya keberanian, Faris ibarat mencabar lembaga itu. Bagi Faris berpantang maut sebelum ajal! Lembaga itu mengilai sekuat hati dan terus melibas kuku tajamnya ke lengan Faris. Faris meraung kesakitan, darah mula membuak keluar dari celah rekahan kulit yang tersiat.

Faris menggagahkan dirinya dengan melaungkan azan. Lembaga itu menjerit kepanasan dan terus hilang dari pandangan. Pintu lif tiba-tiba terbuka laju, tanpa berlengah Faris berlari keluar sambil memegang lukanya yang semakin terasa perit. Dia nyaris terlanggar Suraya dan Wak Man yang berada berhampiran kawasan lif itu.

“Ya Allah, Encik Faris kenapa dengan lengan tu!” berdebar hati Suraya melihat darah di lengan Faris.

Faris bagaikan tertelan segala perkataan yang hendak diluahkan. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab pertanyaan Suraya. “Nak cakap hantu cederakan, mesti Suraya gelakkan aku,” getus hati Faris. “Encik Faris kita ke hospital dulu ye…teruk luka ni,” Suraya berasa simpati melihat wajah Faris yang berkerut-kerut menahan sakit. Lega hati Faris tidak perlu menjawab pertanyaan Suraya buat sementara waktu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Puas Faris cuba meyakinkan pihak pengurusannya tentang misteri kejadian kematian pekerja di dalam lif blok B. Dia sendiri telah menceritakan pengalaman ngeri yang dilaluinya di dalam lif itu. Namun pihak pengurusan tidak mempercayai apatah lagi memandang serius dengan telahan Faris. Mereka menganggap alasan Faris tidak masuk akal dan tidak kukuh untuk menangguhkan pembukaan rasmi kondomimum Sri Selasih.

Suraya memberitahu rakaman CCTV tidak dapat dilihat visualnya. Kamera CCTV seperti dikaburkan hanya audio jeritan suara mangsa sahaja yang dapat didengari. Setelah beberapa minggu siasatan dilakukan pihak polis merumuskan pembunuhan itu disebabkan pergaduhan sesama pekerja binaan dari Indonesia. Cuma pembunuhnya masih dalam buruan.

Hanya Faris sahaja yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Siapa yang hendak percaya, hantu yang membunuh. Akhirnya Faris meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan beberapa siri gangguan yang dialaminya.

Sehingga ke hari ini Faris masih tidak mengetahui misteri yang menyelubungi lif itu. Mungkin semasa pembinaan tapak bangunan kondominium blok B itu, telah membebaskan sesuatu yang telah lama dipasak ke dalam bumi!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fatim Khairani