Home Cerpen Seram/Misteri Fantasi
Fantasi
Nur Jannah Abdul Rahman
23/11/2016 17:48:55
2,205
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku menghirup sisa baki air milo panas dalam mug putih kesayanganku sebelum perlahan-lahan diletakkan semula ke atas meja bersama-sama dengan pil tahan sakit yang baru sahaja aku ambil tadi untuk menghilangkan sakit kepala. Sambil itu mata tidak berkelip-kelip memerhatikan skrin komputer yang memaparkan hasil nukilan terbaharuku yang masih lagi di dalam proses. Ada banyak lagi watak-watak baru yang belum aku persembahkan untuk dimuatkan ke dalam manuskrip keduaku ini. Watak-watak yang sedia ada pula belum aku kembangkan lagi dengan lebih terperinci.

Menurut kata beberapa orang penulis ternama, untuk proses mengembangkan watak aku perlu mendalami watak tersebut dengan cara membayangkan diri seperti berada di dalam cerita itu. Babak-babak di dalam setiap bab juga perlu ‘dihidupkan’ agar ianya menjadi lebih real supaya pembaca lebih mudah untuk masuk ke dalam cerita dari awal pembacaan sehinggalah ke penamat. Sekiranya semua elemen itu berjaya dikuasai dan diterapkan pula ke dalam cerita, barulah sesebuah buku itu layak untuk diiktiraf sebagai buku yang berkualiti.

Tetapi masalahnya sekarang, aku masih lagi terperangkap di alam realiti! Aku mahukan ke FANTASI untuk mendalami cerita ini namun aku masih lagi ternanti-nanti. Ah!

Tuk, tuk, tuk…

Aku terus menoleh ke arah pintu.

“Elly, mama dah nak berangkat ni,”

Kata mamaku yang sudah tercongok di hadapan bilikku. Dia memakai blouse plain berwarna biru pastel bersama seluar slack kembang berwarna hitam dan dilengkapi pula dengan tudung satin berwarna kelabu. Tampak elegant sekali penampilannya. Aku hampir terlupa bahawa hari ini mama ada rombongan ke utara bersama Kelab Housewife Taman Mewahjaya.

“Baik, mama. Hati-hati tau. Jangan nakal-nakal dekat sana tu. Ingat laki dan anak dekat rumah ni,” selorohku.

“Okay, sayang. Mama cuma nak pesan yang mama ada letakkan duit dekat atas peti ais untuk kamu beli makan tengahari nanti. Guna dengan cermat tau, jangan buat makan besar pulak,”

Aku terus membuat isyarat tabik tanda faham. Tangannya terus kucium sebelum tubuh separuh usianya itu aku dakap kuat-kuat. Bau haruman Chanel No.5 terus menusuk ke dalam lubang hidungku. Wangi sangat. Macam nak pergi berdating pulak orang tua ni.

“Sebelum tu, Elly. Boleh mama tau apa kamu buat berkurung dekat dalam bilik ni dari semalam?”

“Oh, lupa Elly nak beritahu mama semalam. Sebenarnya Elly tengah sambung menulis cerita baru. Dah lama rasanya Elly tinggalkan hobi menulis ni sejak masuk kolej haritu,”

Mama terus diam. Dia seakan-akan sedang memikirkan sesuatu sambil bersilih ganti memandangku dan skrin komputerku. Riak wajahnya seakan menunjukkan reaksi terkejut.

“Kenapa mama? Tak boleh ke Elly menulis lagi?”

“Tak…. Hmmm maksud mama bukan tak boleh menulis. Elly boleh menulis. Itu kan minat Elly dari dulu lagi. Cuma…”

“Cuma?”

“Jangan overthinking. Just don’t think too much. Tak payah sampai nak menjiwai atau mendalami sangat watak dan babak dalam cerita tu sebab semua tu cuma rekaan Elly sendiri. Just take it easy ya and take care, sweetie”

Aku terus mengangguk perlahan sambil memerhatikan dia pergi meninggalkan perkarangan bilikku.

Pelik.

Aku pelik apabila melihat perubahan mendadak pada wajah mama setelah aku memberitahu niat aku untuk menyambung kembali hobi menulisku. Tahulah aku nak menjaga diri dan kesihatan aku kerana aku sudah dewasa. Macam menulis itu suatu kesalahan yang besar pulak sampai perlu buat muka saspen macam nampak hantu.

Ah! Malas aku nak fikir pasal masalah mama. Sekarang adalah lebih baik aku menyambung kembali aktiviti penulisanku yang masih tergantung tadi. Kerusi beroda itu terus kutarik sebelum aku mengempaskan buntutku ke atas permukaannya yang empuk. Aku perlu memberikan sepenuh perhatian kepada naskah keduaku ini. Tidak mahu lagi diulangi kesilapan yang lalu.

Perlahan-lahan nafasku ditarik sedalam yang mungkin sambil kedua-dua belah mataku dipejam.

GELAP.

Sehinggalah dalam kiraan 8 saat aku kembali membuka mataku. Sekarang aku berasa lebih tenang dan lebih bersedia untuk menyambung kembali penulisanku. Tiada lagi sebarang gangguan, rumahpun telah kosong cuma ada aku, komputer dan mindaku.

Tuk, tuk, tuk..

Ah! Siapa pulak ni?

“Elly, sorry mama ganggu lagi. Tapi kitorang perlukan pertolongan Elly sangat-sangat. A.S.A.P,” kata perempuan itu sambil tercungap-cungap.

“Kitorang?”

Tanpa menjawab persoalan Elly, perempuan itu terus menarik tangannya supaya mengikut gerak langkahnya sehingga ke ruang tamu.

Di situ, Elly dapat melihat Untie Zainab sedang berdiri dengan penuh gelisah.

“Elly, Untie nak minta tolong sangat-sangat. Babysitter yang sepatutnya jaga Zara dan Daniel tiba-tiba tak dapat datang sebab ada masalah last minute. Jadi Untie nak minta tolong Elly untuk tengok-tengokkan budak berdua tu. Untie janji akan bagi upah pada Elly. Lagipun kitorang ke sana balik hari je, tak lama. Dalam pukul 10 malam macam tu kami dah sampai sini balik. Boleh?”

Aku terus terdiam sambil memandang muka mama. Mama pula hanya mengangguk-anggukan kepalanya sebagai tanda supaya aku menyetujui sahaja pertolongan yang diharapkan oleh teman baiknya itu. Aku jadi berbelah bagi.

Nak cakap ‘tak’ macam tak baik pulak sebab nampak gayanya orang tua tu macam betul-betul terdesak nakkan pertolongan aku. Lagipun aku pernah terhutang budi dengan Untie Zainab masa aku kecik dulu. Kalau nak cakap ‘ya’ pulak, macam mana dengan penulisan aku?

“Elly, boleh tak? Kitorang tak boleh lama ni, nanti tertinggal pulak rombongan dekat luar tu,”

“Err…boleh. Apa salahnya tolong-menolong sesama jiran,” balasku sambil membuat senyuman fake tahap infiniti.

Sejurus mendengar persetujuanku, Untie Zainab terus memelukku erat sambil beberapa kali mencium pipiku sampai basah dibuatnya. Berulang kali dia mengucapkan terima kasih kepadaku kerana sudi membantunya di saat susah.

“Budak-budak tu tengah tidur sekarang ni dekat rumah. Nanti bila diorang dah bangun, cakap pada mereka supaya behave. Cakap juga kalau diorang berkelakuan baik sepanjang harini, Untie akan belikan mereka McD sebagai ganjaran,”

Aku hanya mengangguk tanda faham.

Tanpa membuang masa mereka terus bergegas mengekori kumpulan rombongan di luar yang kelihatan sudah mula nak berangkat. Aku hanya memerhatikan sebuah demi sebuah kereta meninggalkan perkarangan rumah. Ada 3 buah kereta kesemuanya yang menyertai rombongan bershopping ke utara tersebut. Masing-masing nampak bergaya sungguh macam nak pergi mencari jodoh.

Untie Zainab ada memberikan kunci rumahnya kepadaku tadi sebelum dia berangkat. Aku tidak boleh terus tercongok di situ lama-lama. Risau kalau budak-budak tu terjaga kemudian menangis apabila melihat rumah kosong tiada orang. Terus aku kemaskan apa-apa yang patut untuk di bawa ke rumah sebelah. Laptop, telefon bimbit, charger dan dompet aku letakkan ke dalam satu beg sandang. Oh ya, duit yang mama letak di atas peti ais hampir aku terlupa. Pantas aku berpatah semula ke dapur sambil berjalan selaju yang mungkin. Sambil-sambil itu aku pastikan semua plug elektrik berada di dalam keadaan off. Setelah semuanya selesai, aku mengunci pintu rumah siap dengan mangga sekali. Macam nak berjalan jauh pula rasanya.

Di luar, cuaca agak mendung macam nak hujan. Dalam hati aku panjatkan doa mudah-mudahan perjalanan mama dan juga rombongan berjalan dengan lancar tanpa sebarang kecelakaan. Risau pula apabila melihat keadaan cuaca ketika itu. Harap-harap selamatlah perjalanan mereka pergi dan pulang.

Setelah beberapa langkah, akhirnya aku sampai di hadapan rumah Untie Zainab. Rumah kami tiada pagar, hanya ada dua buah pokok pelam besar sahaja yang menjadi pemisah antara rumah termasuklah rumah-rumah lain di seluruh kawasan kejiranan. Aku pun tidak pasti mengapa, tetapi memang sudah menjadi trademark sebahagian perumahan di Putrajaya yang tidak mempunyai pagar. Mungkin nak tiru perumahan ala-ala inggeris?

Perlahan-lahan aku memulas tombol pintu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah dua tingkat itu. Masuk-masuk sahaja aku sudah dapat melihat dua beradik itu sedang terbungkang tidur di hadapan televisyen yang terpasang. Sempat juga aku membaca mantera lalu menghembuskan ke arah mereka supaya mereka kekal tidur sehingga rombongan pulang, dapatlah aku menulis dengan tenang tanpa sebarang gangguan.

Aku terus menghenyakkan buntutku ke atas sofa merah jambu yang tersedia di ruang tamu. Rasanya empuk sekali sehingga mengundang rasa nak tidur terus di situ. Dengan cuaca yang mendung ditambah pula dengan udara dingin dari air cond yang terpasang sehingga ke suhu 16 darjah Celsius. Nikmatnya!

Ah, tidak! Aku tidak boleh terus hanyut dengan mainan syaitonirrajiiiiiim yang sengaja mahu memancing aku supaya melengah-lengahkan niatku. Bingkas aku memperbetulkan posisi dudukku dengan menegakkan posture tubuh. Dengan lafaz basmalah aku terus membuka komputer ribaku yang aku letak di atas riba.

Takkan atas kepala pula.

Alhamdulillah, untuk satu jam yang pertama aku berjaya menyiapkan 7 muka surat dengan lancar. Mungkin kerana persekitaran menulis yang baru seakan menyumbangkan lebih banyak idea dan ilham yang baru. Tetapi aku telah merancang untuk berehat dalam beberapa minit sebelum menyambung kembali penulisanku. Kebetulan tekak pula sudah mula terasa kering. Bingkas aku bangun dan terus berjalan menuju ke dapur. Untie Zainab ada beritahu tadi supaya ambil sahaja apa yang ada di dalam peti jika terasa lapar atau dahaga. Aku anggap itu sebagai satu rezeki yang enggak bisa ditolak!

Saat aku melintasi ruangan menonton TV, aku dapat melihat budak-budak masih lagi sedang lena diulit mimpi. Nampak gayanya macam mereka sengaja ingin memberi ruang untuk aku menyiapkan kerja-kerjaku dengan aman. Yahoo!

Sampai sahaja di dapur, aku ternganga. Cantik sungguh hiasan dan susun atur perabot di ruangan memasak tersebut! Lantainya disaluti dengan jubin bercorak kayu yang berkilauan manakala dindingnya pula disaluti dengan jubin bercorak batu yang timbul. Tampak mewah! Rasanya kali terakhir aku menjejaki dapur rumah itu adalah pada 2 tahun yang lepas semasa jamuan rumah terbuka hari raya. Itu pun setelah dipaksa 100 kali oleh mama.

Tanpa berlengah aku terus mendapatkan peti ais yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripadaku yang terletak di sebelah kabinet dapur. Bukan main meriah isi kandungan di dalamnya. Dah macam peti ais di kedai 24 jam 7-Eleven!

Aku terlihat deretan tin minuman bergas tersedia hanya menanti untuk diambil dan diteguk. Terlalu banyak pilihan air yang sedap-sedap belaka sehingga menyukarkan aku untuk membuat pilihan. Akhirnya aku memilih air Vanilla Coke yang kelihatan agak rare berbanding minuman-minuman gas mainstream yang lain. Sedang aku menuang isi minuman tersebut ke dalam gelas, aku tiba-tiba terdengar suatu bunyi yang datangnya dari ruang tamu.

Gedegang!

Apabila diteliti, ianya seperti bunyi benda jatuh.

Budak-budak tu dah bangun ke?

Dengan pantas aku memanjangkan leherku untuk menjenguk keadaan di ruang tamu. Aku dapat melihat kaki budak-budak tu masih terlunjur statik di kedudukan yang sama seperti sebelum aku bergerak ke dapur tadi. Pastinya mereka berdua masih tidur, jadi dari manakah datangnya punca bunyi itu? Oh tidak! Adakah dari orang luar atau lebih tepat lagi…

PEROMPAK?!

Dengan berbekalkan perasaan yang ingin tahu walaupun ada sedikit rasa takut, aku terus membuka langkah ke ruang tamu dengan laju. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati Zara terbaring bersendirian di situ! Di manakah perginya si Daniel?! Adakah Daniel telah diculik? Tapi kenapa mesti Daniel seorang sahaja yang diculik? Kenapa dia tidak menculik kedua-duanya sekali? Atau ini semua cuma perangkap daripada si perompak yang ingin memancing aku untuk ke ruang tamu lalu menculikku sekali?

“Hi!”

Aku terus menoleh ke arah punca suara yang datangnya dari tempat sofa yang aku duduki tadi. Jantungku terasa bagaikan mahu luruh. Hampir sahaja aku menyemburkan air gas keluar dari mulutku setelah melihat sosok tubuh kecil sedang tertonggok di hadapan komputer ribaku sambil melambai-lambaikan tangannya ke arahku!

“Ahhhhhh…!” jeritku secara spontan.

“Hi, Akak Elly. Daniel nak tengok Didi and Friend dekat laptop akak boleh?”

Ceh! Budak Daniel tu rupanya. Aku dah cuak separuh mati fikirkan ke mana menghilangnya dia tapi dia boleh selamba badak bukak laptop aku semata-mata untuk tengok cerita Didi and Friend!

“Daniel, kenapa buat akak terkejut macam ni?” terus aku dapatkan budak itu lalu dirangkul tubuh comelnya. Mujur segala andaian di luar imaginasiku itu tadi tidak betul.

Akibat jeritan garau aku tadi, si Zara yang sedang lena terus terjaga. Budak perempuan dengan rambut kerinting Maggie yang menggerbang itu terus berlari ke arahku. Terkejut gamaknya.

“Mana mama Zara? Zara nak mama Zara,” katanya dengan suara serak-serak basah sambil memeluk teddy bear Mr Bean-nya.

“Mama Zara dan Daniel keluar sekejap dengan kawan. Nanti malam mama balik. Jadi sementara mama tak ada, Akak Elly akan jaga korang. Mama juga ada pesan kalau korang berkelakuan baik hari ini, mama akan belikan McDonald!”

“Yeayyy!”

SEJAMberlalu dan aku telah berjaya menyiapkan 5 muka surat dengan separa lancar. Tidak selancar tadi kerana sedikit terganggu dengan volume TV yang agak kuat berserta dengan suara dua beradik yang turut sama bernyanyi bersama Didi dan kawan-kawannya. Aku melihat mereka semakin hilang minat kepada cerita 3 ekor anak ayam yang ligat menari sambil menyanyi bersama seekor orang utan bersuara besar dan annoying itu, mungkin kerana mereka sudah berasa bosan apabila cerita yang sama asyik diulang-tayang. Tiba-tiba dua beradik itu kelihatan bangun meninggalkan TV yang terpasang lalu terus bermain campak-campak bantal sambil berlari-lari.

Tak cukup satu ruangan menonton itu mereka berlari, di atas sofa yang aku duduki itu pun mereka redah suka hati. Sampaikan bantal yang mereka campak terkena ke muka aku yang comel persis Sari Yanti! Tak cukup dengan itu, mereka boleh ketawa sekuat hati apabila melihat reaksi terkejutku setelah bantal busuk mereka hinggap ke muka aku. Saat itu hanya tuhan sahaja yang tahu betapa geramnya hati ini sehingga rasa nak cubit-cubit je tangan gebu dua beradik itu. Sebenarnya dari dulu lagi aku memang bersikap dingin dengan kanak-kanak. Tidak kiralah mereka itu baik ke, comel ke, gebu ke tetapi memang sudah menjadi sifat semulajadiku yang kurang mesra dengan manusia kerdil lagi suci itu. Mungkin kerana aku merupakan anak tunggal di dalam keluargaku.

Setelah puas mentertawakan aku sehingga berguling-guling di atas lantai, mereka kemudiannya menyambung kembali bermain kejar-kejar sehingga ke tingkat atas.

“Zara! Daniel! Jangan main dekat atas tu bahayalah,” bingkas aku bangun mendapatkan dua ekor itu yang terkedek-kedek memanjat anak tangga. Pantas aku mengangkat mereka seorang demi seorang ke ruang tamu.

“Korang tak ingat ke apa pesan mama?”

“Nanti mama balik beli McD, yeay!”

“Ya, memanglah mama akan belikan McD tapi dengan syarat Zara dan Daniel kena jadi budak yang baik. Kalau Zara dan Daniel berlari-lari, main campak-campak bantal macam tadi, macam mana mama nak belikan?”

Terus dua beradik itu diam sambil berpandangan sesama sendiri.

“Baiklah, sekarang Kak Elly akan berikan korang satu kertas dan pensel untuk korang lukis apa sahaja yang korang suka. Nak?”

“Nak!”

“Okay good! Cuma janji dengan akak jangan bising-bising lagi dan jangan ganggu akak sebab akak nak buat kerja sedikit, faham?”

“Faham!”

Setelah memberikan kertas dan pensel seperti yang telah dijanjikan, aku terus mengangkat laptopku lalu bergegas ke dapur. Di situ aku berasa jauh lebih tenang. Namun entah mengapa, mood menulisku seakan telah hilang mungkin kerana sedikit terjejas dengan apa yang telah berlaku tadi. Jadi aku terus menolak laptopku ke tepi dan terus bermain dengan telefon. Pada mulanya aku bercadang untuk bermain sekejap sahaja namun lama kelamaan aku menjadi semakin khayal dengan gajet ciptaan yahudi itu. Selepas memuat naik status di Facebook, aku berpindah ke Instagram, kemudian ke Twitter dan ke Facebook semula, kemudian Instagram, Twitter dan berulang-ulang melakukan rutin yang sama.

Sedang aku bermain dengan Twitter, aku terlihat akan satu status dari seorang temanku yang berbunyi;

Damn bored! If only I have someone to hang out with…

Pap! Aku terus memetik ibu jariku.

Elly bingkas bangun dari duduknya lalu mendail nombor telefon temannya itu. Sementara menunggu panggilannya disahut, dia berjalan menuju ke arah tingkap sambil memerhatikan Memo Board yang tergantung di sisinya. Ada banyak sticky note yang berwarna warni dan ada juga sekeping foto terselit dicelah-celahnya. Di dalam foto tersebut ada Mama, Papa dan juga dirinya sendiri sedang tersenyum gembira di tepi pantai yang sangat indah. Tanpa dia sedar, dia tersenyum seorang diri apabila memikirkan detik-detik manis sewaktu bercuti di pulau peranginan tersebut 2 tahun yang lalu.

Kemudian dia membuang pandang ke luar tingkap. Dia dapat melihat cuaca yang telah kembali cerah, berbeza dengan cuaca pagi tadi yang mendung seperti hendak hujan. Sempat dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang telah memakbulkan doanya tadi agar cuaca berubah menjadi baik supaya perjalanan mama dan rombongan selamat sampai ke destinasi.

“….tutt…tutt…”

Setelah lama menanti panggilannya yang tidak bersahut, dia terus memberikan pesanan ringkas pada temannya itu melalui Whatsapp;

Hello, babe! Need a date?” 9:12 AM

“Why not, haha XD” 9:30 AM

“APA KABO, everybody!” sapa Madi yang sudah tercongok di hadapan pintu. Dia berpenampilan begitu Androgynous sekali dengan kemeja kotak-kotak yang dimasukkan ke dalam seluar khakis berwarna coklat cair sambil menjinjing beg plastik yang penuh dengan makanan ringan.

“Siapa nak jajan angkat kaki sekarang!”

“Nak!” jerit budak-budak sambil berpusu-pusu berlari ke arahnya.

Elly hanya memerhatikannya sambil memeluk tubuh. Kelakuan temannya itu saling tak tumpah seperti seorang ayah yang baru sahaja pulang daripada bekerja. Comel!

“Sweet jugak you belikan jajan untuk ‘anak-anak’ ni,”

Madi hanya tersengih sambil mengatur langkah ke arahnya.

“I memang sweet kalau dengan budak-budak, okay. Nampak je kasar macam ni tapi dalam hati ada taman permainan kanak-kanak tau,” balasnya sambil terus memeluk tubuh keding Elly.

Dengan kehadiran Madi, Elly menjadi semakin leka tanpa menghiraukan langsung penulisannya yang masih tergantung. Laptopnya dibiarkan tersadai di dapur manakala dirinya sedang bergembira sakan melayan kehadiran teman istimewanya itu di ruang tamu. Sesekali bergema tawa mereka berdua yang semakin rancak bertukar cerita. Almaklumlah, sudah lama tidak bersua setelah masing-masing sibuk dengan urusan pembelajaran di kolej.

“Tadikan masa dekat supermarket, aku terserempak dengan seorang perempuan ni lawa gila, insecure I dibuatnya,”

“Yeke? Lagi lawa dari I ke?” balas Elly sambil mencebik.

“Hmm... kalau nak dibanding dengan kau, aku jauh lebih lawa kot,”

Dua perempuan itu terus ketawa terbahak-bahak macam Pontianak. Sejak dari bangku dan meja sekolah lagi Madi memang gemar berloya buruk. Di antara 4 orang sabahat mereka, dialah yang paling pandai melawak sehinggakan ketiadannya akan menimbulkan rasa sunyi. Dia juga merupakan seorang yang agak kasar dan gemar berpakaian seperti lelaki namun begitu, dia sangat gemarkan kanak-kanak dimana dia masih lagi mempunyai perasaan dan hati sama seperti seorang wanita sejati.

Menjelang tengahari, mereka telah merancang untuk masak Spaghetti Bolognese bersama-sama. Madi yang telah mengemukakan cadangan tersebut kerana menurutnya, aktiviti memasak akan jadi lebih menyeronokkan apabila dilakukan secara beramai-ramai sehinggakan si kecil Zara dan Daniel juga turut diajak bersama ke dapur untuk menolong atau lebih tepat lagi; MENGANGGU mereka. Mengikut perancangan asal Elly, dia mahu membeli sahaja makanan yang telah siap di luar ataupun telefon pesanan delivery secara atas talian terus ke rumah. Tetapi setelah mendengar rancangan Madi, dia terpaksa batalkan rancangan asalnya itu dan ikutkan sahaja kehendak teman baiknya.

“Elly, aku ada satu teka-teki untuk kau,” kata Madi sambil memotong bawang merah secara dadu.

“Apa dia?”

“Sekali-sekala ada apa?”

“Hmm…”

Elly terus berhenti mencincang daging untuk memikirkan jawapan kepada soalan tersebut. Perempuan itu siap mengurut-urutkan dagunya ibarat seorang professor yang sedang berfikir.

“Bagilah clue. Sejenis barang ke binatang ke?

“Ianya merupakan sesuatu yang tidak boleh disentuh atau lebih tepat sekali, EMOSI,”

“Emosi?”

Elly jadi makin bingung. Setelah malas nak memerah otak untuk soalan yang pelik itu, dia terus mengaku kalah.

“Okay jawapannya, sekali sekala ada….”

Elly, Zara dan Daniel masing-masing duduk mengelilinginya kerana tidak sabar menantikan jawapan yang bakal keluar dari mulut perempuan itu.

“Sekali-sekala ada………ada rindu yang datang tiba-tiba…” jawab Madi sambil mengeyitkan sebelah matanya kepada Elly lalu terus sambung menyanyikan lagu hit Alyah yang bertajuk Tak Mungkin Kerana Sayang itu.

Elly terus ketawa terbahak-bahak sambil turut bernyanyi bersama Madi sehingga bergema satu dapur itu dibuatnya. Si kecil Zara dan Daniel yang tidak mengerti apa-apa itu pun turut sama bernyanyi tetapi dengan menggunakan bahasa mereka yang tersendiri.

SETELAHkenyang menikmati hasil hidangan air tangan sendiri, mereka telah melepak kembali di ruang tamu sambil menonton TV. Namun tiada satu siaran pun yang berjaya menarik minat mereka. Jadi, Madi seperti biasa telah sekali lagi merancang satu lagi aktiviti yang ‘agak’ menyeronokkan.

“Apa kata kita main nyorok-nyorok?”

“Nak!!” sahut budak-budak.

Elly yang sudah semakin layu disisinya bingkas memperbetulkan duduknya sambil membuat muka pelik.

“Macam permainan kanak-kanak Ribena je,”

“Permainan kanak-kanak Ribenalah yang seronok untuk dimainkan. Betul tak Zara dan Daniel?”

“Betul!!”

Budak berdua itu memang tidak pandai untuk berkata ‘tidak’. Hampir semua pertanyaan yang diajukan pasti mereka akan ‘ia’kan. Elly pula yang tiada pilihan lain terpaksa sahaja mengikut kehendak mereka.

Sekali sekala main nyorok-nyorok apa salahnya.

Bisik hatinya.

Setelah mengundi, Elly telah ditugaskan untuk menjadi si pencari manakala mereka yang lain perlu menyorokkan diri di mana sahaja di dalam rumah.

“Satu...dua...tiga...” kira perempuan itu sambil menutup mata.

Kelam-kabut yang lain pergi menyembunyikan diri daripada ditangkap oleh Elly.

Saat aku mengira, aku dapat mendengar dengan sangat jelas bunyi hentakan kaki di anak tangga bermakna mereka bertiga telah bersembunyi di tingkat atas. Sehinggalah selesai mengira sehingga ke angka 20, aku terus bergegas ke tingkat atas secara perlahan-lahan. Aku tidak mahu mereka menghidu kehadiranku.

Sampai sahaja di tingkat atas, aku melihat ada 3 buah bilik yang tertutup dari dalam. Nampak gayanya mereka memang sengaja nak memudahkan misi pencarianku. Pasti masing-masing telah menyorok di setiap bilik yang berbeza. Kacang! Tanpa berlengah, aku terus menuju ke bilik yang pertama.

Kosong.

Hanya ada beberapa tikar sejadah yang dibentang mengikut arah kiblat bersama satu rak yang penuh dengan buku agama. Bilik kecil itu pasti telah dijadikan surau untuk kemudahan Untie Zainab sekeluarga. Melihatkan keadaan bilik itu yang kosong, aku bingkas beralih ke bilik nombor dua.

Bilik itu agak besar di mana mengikut kiraan aku, saiznya adalah dua kali ganda lebih besar berbanding bilik tadi. Aku sangat yakin dan pasti yang bilik itu pastinya master bedroom oleh kerana saiznya yang besar selain beberapa buah frame gambar pasangan suami isteri yang digantung rapi di dinding.

Sappp!

Tiba-tiba ada satu bunyi datang dari arah almari.

Aku terus tersenyum kerana aku pasti, mesti ada salah seorang dari mereka yang sedang menyorok dari dalam. Dengan perlahan-lahan aku melangkah ke arah almari pakaian yang terletak di sebelah meja solek. Sebelum itu aku mendekatkan telingaku ke pintu lalu terdengar suara seseorang sedang menahan nafas dari dalam dengan sangat jelas. Sempat aku tertawa namun tanpa suara apabila memikirkan betapa cuaknya orang yang berada di dalam itu. Sudahlah panas, gelap gelita pulak tu.

Tanpa berlengah, kedua-dua pintu almari itu aku buka. Zapp!

KOSONG!

Pelik.

Baru sahaja tadi aku mendengar bunyi dari dalam almari itu seperti ada jasad di dalamnya. Aku betul-betul yakin yang aku ada mendengar bunyi orang bernafas dari dalam. Mustahil ianya cuma khayalan. Jika ianya bukan khayalan, jadi bunyikah yang aku dengar tadi?

Tap, tap, tap!

Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki sedang berlari. Dengan pantas aku menoleh keluar lalu terlihat kelibat si kecil Daniel sedang berlari dengan sangat pantas lalu terus menghilang.

“Kak Elly!”

Sempat dia memanggilku sayup-sayup.

Ceh! Mereka mungkin sengaja mahu mengenakan aku. Siaplah korang!

Aku terus bergegas keluar dari bilik lalu mencari punca bunyi tadi yang datangnya dari bilik nombor 3. Namun belum sempat aku membuka pintu bilik berkenaan yang tertutup rapat, ianya tiba-tiba terbuka sendiri dengan perlahan-lahan seakan ada seseorang telah menarik daun pintu tersebut dari dalam. Bijak sungguh percaturan mereka. Pasti diorang mahu memancing aku untuk masuk ke dalam perangkap permainan yang telah direka oleh siapa lagi kalau bukan si Madi.

Dengan berhati-hati aku terus melangkah masuk ke dalam.

GELAP

Namun penglihatanku masih lagi dapat melihat susun atur perabot di dalam bilik tersebut walaupun samar-samar oleh kerana tingkap yang telah ditutup rapat.

Di manakah mereka?

Persoalan itu ligat bermain di mindaku saat aku sedang menjalankan misi pencarian ke seluruh bilik tersebut yang nampaknya seperti menemui jalan yang buntu. Habis satu bilik itu aku geledah namun masih lagi tidak menemui sebarang tanda akan kewujudan jasad di dalam bilik tersebut. Di dalam almari, di bawah katil dan juga di bawah meja study namun apa yang aku berjaya jumpai hanyalah dua biji pil yang telah terjatuh dari atas meja.

Pelik.

Jika tiada seseorang pun berada di dalam bilik itu, siapakah yang telah menarik daun pintu dari dalam tadi? Adakah sekadar angin atau…

Bagaimana pula dengan suara tadi? Siapakah yang telah memanggilku? Aku sangat yakin dan pasti suara itu datangnya dari dalam bilik ini. Ah! Panik mula datang menyerang. Tidak semena-mena habis semua bulu romaku berdiri. Serasa seram semacam pula. Madi harus memberhentikan permainan ini sekarang juga!

“Madi, Zara, Daniel!” aku menjerit memanggil nama mereka namun tiada siapa pun yang menyahut. Memang sah, tiada seorang pun yang berada di tingkat atas ketika itu. Pasti mereka semua telah beredar ke tingkat bawah. Tanpa berlengah, aku terus berlari menuruni anak tangga.

Habis satu rumah itu aku geledah namun keputusannya masih sama. Tiada langsung kelibat mereka! Di dapur, bilik air, ruang tamu, stor, semuanya KOSONG!

“Madi, Zara, Daniel, korang ada dekat mana?! Tolonglah jangan main-main lagi, orang takutlah,”

Aku mula tak tentu hala merayau-rayau di dalam rumah itu seperti orang gila yang tiada arah tuju. Kepala pula mula pusing memikirkan mereka yang hilang entah ke mana.

Ding, dong! Tiba-tiba loceng berbunyi.

Itu pasti mereka! Siaplah aku kerjakan kau, Madi!

“Elly,”

Namun orang yang berada di hadapan pintu ketika itu bukanlah orang yang seperti aku sangkakan.

“Sue? Apa kau buat dekat sini?” soalku hairan. Apatah lagi apabila melihat raut wajahnya yang pucat lesi seperti baru dikejar hantu. Belum sempat dia menjawab persoalan aku, secara tiba-tiba dia terus memeluk tubuhku sambil menangis. Lagilah bingung aku dibuatnya.

“Sue, what’s wrong?”

Perempuan itu terus memandang wajah Elly sambil mengesat air matanya yang keluar dengan sangat laju.

“Madi….”

“Madi, kenapa dengan Madi?”

“……Madi kemalangan!”

“WHAT!?”

Aku terasa bagai mahu pitam di situ. Jantungku tiba-tiba berdegup dengan sangat kencang. Tangan pula mula basah dengan peluh yang keluar dengan sangat deras. Apa benar berita yang telah disampaikan oleh Sue itu? Baru sahaja tadi aku bergembira sakan dengan Madi tiba-tiba dapat berita yang dia telah kemalangan?!

“Masa tu aku tengah dalam perjalanan nak balik ke rumah. Lepastu masa aku lalu lorong depan tu, aku nampak ramai gila manusia. Rupanya kawan kita, Madi yang kemalangan. Aku dah try call kau banyak kali tadi untuk bagitau pasal benda ni tapi kau tak angkat-angkat call aku even text aku pun kau tak reply,”

“Kau call aku?”

“Ya Elly, banyak kali aku call kau,”

Aku terus memeriksa noti pada telefon pintarku dan alangkah terkejutnya aku apabila mendapati ada lebih kurang 30 missed call dari Sue termasuk 10 pesanan darinya dibiarkan tidak berjawab!

“Apa yang kau buat sampai kau tak angkat phone aku, Elly?”

“Aku…aku…aku sebenarnya tengah sambung menulis cerita baru, lepastu...”

“Kau menulis lagi?!” jerit perempuan itu.

“Aku ingatkan kau dah berhenti, Elly,”

Aku terus terdiam. Dadaku terasa sesak bagaikan telah dihempap oleh batu besar sehingga menyukarkan aku untuk bernafas secara normal. Aku masih lagi tidak percaya dengan apa yang telah disampaikan oleh Sue mengenai kemalangan Madi kemudian dia boleh menjerit memarahi aku apabila mendapati aku telah menyambung kembali penulisanku. Bertambah sesak dadaku dibuatnya!

“Jom, ikut aku sekarang,”

Sue terus menarik lenganku lalu membawaku ke tempat kejadian yang tidak jauh dari situ. Di luar, cuaca sangat mendung macam nak hujan. Sewaktu berjalan meninggalkan perkarangan rumah, aku mulai perasan yang aku sedang berjalan di atas laman rumahku! Bertambah menakutkan adalah apabila aku terlihat Untie Zainab sedang bersiap-siap untuk keluar bersama Zara dan Daniel di rumah mereka!

Setelah meredah kumpulan orang ramai yang mula berkerumun, mereka akhirnya berjaya berada di barisan paling hadapan. Di situ, Elly dapat melihat dengan sangat jelas jasad Madi terkujur di atas jalan di samping motor skuternya yang sudah remuk. Sukar untuk dia gambarkan bagaimana perasaannya ketika itu. Sedih, bingung, takut dan pelik bergabung menjadi satu sehingga tercipta suatu perasaan yang tiada siapa mampu untuk ungkapkan.

Di bawah rintik-rintik hujan yang mulai turun itu, aku terus melutut di hadapan tubuhnya yang sudah kaku sambil cuba untuk menangis tetapi tidak mampu. Lama aku terdiam di situ sambil membiarkan air hujan yang semakin membasahi tubuhku. Sue disisiku masih lagi meraung sambil dipujuk oleh beberapa orang awam yang cuba untuk menenangkannya.

Tiba-tiba aku terlihat akan telefon bimbit Madi yang tercampak sedikit jauh dari tubuhnya. Pantas aku mengambil telefon tersebut yang sudah disaluti dengan cecair pekat berwarna merah. Dengan tangan yang menggeletar, aku mengelap telefon itu dengan menggunakan baju.

Jelas terpampang pada skrin telefon tersebut konversasi antara aku dan Madi di Whatsapp beberapa minit sebelum kemalangan berlaku;

Hello, babe! Need a date?” 9:12 AM

Why not? Haha XD” 9:20 AM

“Seriously?! Haha...okay, I’ll wait”9:21 AM

“Aku OTW ke rumah kau ;)” 9:35 AM

Sejak kejadian itu, baru aku mula terfikir bahawa kata-kata mereka itu benar belaka. Aku memang tidak boleh jadikan menulis sebagai hobiku lagi.

Kerana menulis hanya akan membawaku terbang jauh ke alam FANTASI.

-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Jannah Abdul Rahman