Home Cerpen Seram/Misteri SELFIE
SELFIE
5/5/2016 19:56:47
4,440
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Rina terjaga daripada tidurnya. Jam sudah menunjukkan tepat pukul dua belas malam. Peluh yang membasahi wajahnya segera dilap dengan tangannya. Bahang yang dirasakan di seluruh biliknya membuatkan Rina susah mahu tidur. Rina terdengar bunyi bising diruang tamu. Mungkin Teha belum tidur lagi. Rina segera menjengah diruang tamu, tiada sesiapapun yang kelihatan. Televisyen yang terpasang menyebabkan Rina menjadi hairan.

        “Siapa pula yang pasang tv ni?” Rina melangkah ke ruang tamu dan mencapai remote control. Matanya meliar mencari Teha tetapi dia tidak kelihatan. Rina terus menekan butang off lalu melangkah ke biliknya semula. Rina terkejut apabila televisyen itu terpasang semula. Rina mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

        “Teha..Teha!” Rina memanggil rakan serumahnya itu, mungkin dia mahu menakut-nakutkan Rina yang sememangnya seorang penakut. Rina memberanikan dirinya untuk mengambil remote control itu semula tetapi Rina terperanjat apabila remote controlitu disambar oleh Teha.

         “kau kemana tadi? Aku ingat kau sudah tidur” Rina mengurut dadanya perlahan. Terkejut apabila melihat Teha tiba-tiba sahaja muncul dihadapannya. Teha hanya diam. Dia langsung tidak mengendahkan Rina yang berada disitu. Rina hairan melihat sikap kawan serumahnya. Dia langsung tidak menoleh kearahnya. Rina memberanikan diri untuk menyentuh bahu Teha, tetapi Rina terkejut apabila Teha tiba-tiba sahaja menoleh dan mukanya tidak berwajah. Rina menjerit sekuat hati. Teha mengesot kearah Rina yang tidak jauh daripadanya. Rina yang ketakutan terus berlari kearah dapur. Pisau yang terletak berhampiran sinki dicapai. Teha yang mengesot terus menuju kearahnya. Rina tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Teha semakin hampir kearahnya.

          “Teha, jangan dekat..Teha!” Rina memberi amaran. Teha yang mengesot perlahan-lahan tidak mempedulikan arahannya. Tanpa sedar Rina telah menikam belakang Teha berkali-kali. Dia tidak menyedari perlakuannya sehinggalah darah mengalir diseluruh lantai ruangan dapur itu. Rina yang baru tersedar terus melepaskan pisau daripada gengamannya dan mula meraung sekuat hati.

            “Arghh!!!”

Tujuh hari sebelum..

Rina membelek-belek telefon bimbit di kedai Ah Leng, setiap satunya mempunyai pelbagai kelebihan yang tersendiri. Rina membuka dompetnya, masih tidak cukup untuk membeli telefon bimbit idamannya itu. Ah Leng perasan akan kehadiran Rina disitu sejak beberapa hari ini. Rina pasti akan singgah dulu di kedainya selepas pulang daripada tempat kerja.

          “Amoi mahu beli telefon mana satu?” Ah Leng bertanya ramah dalam dialek cina. Rina yang perasan akan kehadiran Ah Leng segera menyimpan dompetnya semula, dia hanya tersenyum manis.

           “saya suka model ini, tapi duit belum cukup lagilah tauke” Rina tersenyum hambar. Matanya tidak berkelip melihat telefon bimbit pujaannya. Ah Leng hanya tersenyum manis. Dia terus ke belakang dan mengambil sesuatu untuk ditawarkan kepada Rina.

            “Ini saya ada jual model yang sama, cuma bezanya telefon ini ada orang jual kepada saya seminggu lalu” Ah Leng menyerahkan telefon itu kepada Rina, dia berjanji akan memberikan harga yang berpatutan sekiranya Rina mahu membeli telefon itu.

Rina amat teruja, dia tidak menyangka akan memiliki telefon bimbit idamannya dalam masa terdekat ini, keadaan telefon bimbit itu amat baik, seperti baru. Ah Leng berjaya memujuk Rina untuk membeli telefon itu dengan harga yang mereka persetujui.

Rina bernyanyi riang, telefon bimbit idamannya sudahpun dimiliki. Walaupun sudah melaburkan kesemua duit simpanannya untuk telefon bimbit itu namun, dia tetap berpuas hati. Rakan serumahnya pasti akan cemburu dengannya nanti. Senyuman Rina semakin lebar.

Sampai sahaja dirumah, dia terus mengurung dirinya didalam bilik, rasa tidak sabar untuk menggunakan telefon bimbit yang baru dibelinya itu. Rina terus mencuba untuk menggunakan kamera di telefon bimbit itu.

Setelah beberapa keping gambar diambil, Rina terus menekan butang upload untuk memaparkan gambar itu di instagramnya. Tidak sampai beberapa saat sahaja sudah ada rakan-rakan di instagramnya menekan butang like dan memberikan pujian diatas kecantikan wajahnya. Rina amat teruja, walaupun sebelum ini dia pernah upload gambarnya di laman sosial itu, tetapi kawan-kawannya jarang sekali untuk menekan butang like dan jauh sekali untuk meninggalkan komen. Rina amat teruja.

           “Rina, buka pintu ni!” Teha memulas tombol pintu yang dikunci daripada dalam. Rina bergegas membuka pintu biliknya, mungkin ada sesuatu yang penting Teha mahu sampaikan.

             “Rina, kau sudah beli telefon bimbit baru ke?” terlihat wajah Teha yang amat teruja. Dia tahu Rina kehilangan telefon bimbitnya sejak dua minggu lalu, jadi mustahil dia akan mengupload gambarnya di instagram sebentar tadi. Rina hanya tersenyum lebar, dia terus menunjukkan telefon bimbit itu kepada Teha.

              “wow! bolehlah kita selfie!” Teha terus merakamkan beberapa keping gambar wajahnya. Rina hanya menggelengkan kepalanya. Tuala di ampaian biliknya dicapai untuk mandi. Dia hanya membiarkan sahaja kawan serumahnya menggunakan telefon bimbitnya itu.

Sedang Teha leka menggunakan kamera hadapan telefon bimbit itu, dia merasakan ada seseorang sedang memerhatikannya. Dia segera menoleh kebelakang. Tidak mungkin ada sesiapa didalam bilik ini. Malah dirumah ini hanya tinggal mereka berdua sahaja. Bulu romanya mula meremang. Teha mula berasa tidak sedap hati.

Teha melihat semula gambar yang dirakamkannya. Teha terkejut apabila melihat kesemua gambar yang diambilnya sebentar tadi kabur , wajahnya tidak jelas. dia cuba mengambil gambarnya semula berulang kali tetapi masalah yang sama juga dihadapai olehnya.

             “Rina, tengok ni, kenapa dengan semua gambar ni?” Teha menunjukkan gambar yang diambilnya sebaik sahaja Rina habis mandi.

             “mungkin ada masalah ni, baik kau periksa” Teha memberi cadangannya. Niatnya hanya mahu membantu, mungkin ada kerosakan pada telefon itu. Teha terus melangkah keluar daripada bilik itu dan meninggalkan Rina sendirian. Rina membelek telefon bimbit yang baru dibelinya itu, kemudian dia mencuba mengambil gambar dirinya melalui kamera hadapan.

             “cantik, tidak ada masalah pun” Rina membebel sendiri. Gambarnya jelas dan terang. Dia terus mengupload gambar itu di laman sosial.

Rina melihat jam didinding menunjukkan pukul enam petang, dia terus membentang tikar sejadahnya untuk solat, telekung juga telah siap dipakai. Tiba-tiba sahaja Rina perasan akan mesej bertalu-talu diterima melalui pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Dia terus mencapai telefonnya dan membalas segala pujian kawan-kawannya itu. Rasa tidak sabar untuk mengupload lebih banyak lagi gambar-gambarnya termasuklah gambar dia sedang memakai telekung waktu itu. Rina amat teruja dengan komen yang diterima sehinggakan dia berlengah untuk menunaikan solat. Penggikut di laman sosial itu juga semakin lama semakin meningkat.

              “Rina jom makan, aku dah siapkan makan malam ni” Teha mengetuk pintu biliknya berulang kali, tetapi tiada jawapan. Teha terus meninggalkan Rina sendirian didalam bilik, mungkin dia sudah kenyang barangkali. Sangka Teha.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul dua belas tengah malam, Rina masih lagi belum tidur. Dia amat leka dengan telefon bimbit barunya itu. Rina tidak putus menerima komen daripada rakan-rakan di laman sosial itu yang membuatkan Rina senyum dan ketawa sendirian.

             “Lapar pulak” Rina memegang perutnya yang berkeroncong. Daripada pulang kerja sehingga sekarang dia masih belum makan lagi. Terasa menyesal apabila dia menolak pelawaan Teha yang mengajak dia makan tadi.

Rina terus melangkah ke ruangan dapur dan mencari sesuatu untuk dimakan. Dia membuka peti ais dan mencapai mentega untuk disapu diatas roti. Telefon bimbit yang baru dibelinya juga masih berada digenggaman tangannya. Rina tidak jemu untuk merakamkan aksinya sewaktu berada diruangan dapur.

Tiba-tiba ada sesuatu yang melintas dibelakang Rina sewaktu dia sedang asyik merakamkan gambarnya. Rina terus menoleh ke belakang. Tiada sesiapapun yang kelihatan. Nafas Rina turun naik. Roti yang berada didalam mulutnya terasa pahit untuk ditelan. Mata Rina meliar mencari sesuatu yang dilihatnya sebentar tadi, tetapi tiada apa yang kelihatan. Rina mengambil keputusan masuk semula ke biliknya dan tidur. Mungkin dia terlalu penat sehingga berfikir yang bukan-bukan. Fikirnya.

            “Rina sudah lambat ni, kau tak kerja ke?” Teha mengetuk-ngetuk pintu bilik Rina. Rina baru terjaga daripada lenanya yang panjang. Dia melihat jam sudah pun menunjukkan pukul lapan pagi. Dia terus bangkit daripada katil dan bersiap untuk ke tempat kerja.

Rina menatap wajahnya dicermin. Dia melihat kulit wajahnya mula kering, Rina segera menyapu pelembab muka dan mengenakan solekan bedak nipis dan gincu bibir berwarna merah, dia merasakan harinya akan berubah selepas ini.

Rina tersenyum dihadapan cermin. Tanpa disedari, disebalik keceriaan Rina ada sesuatu yang memerhatikannya. Wajah yang hodoh dan gigi taring yang menyeringai sedang memerhatikanya tanpa disedari. Ada sesuatu yang dimahukan daripada Rina.

Teha yang sedang menunggunya diruang tamu juga merasa hairan dengan penampilan Rina pada pagi itu. Mereka menaiki kereta yang sama ke tempat kerja pada hari itu kebetulan pula tayar kereta Teha juga pancit. Jadi sebelum memulakan perjalanan perkara yang wajib mereka lakukan dahulu adalah selfie.

           “balik nanti kau ambil aku dalam pukul lima ya” Teha mengingatkan Rina supaya mengambilnya pada petang itu dan mereka berjanji untuk makan diluar bersama-sama. Rina hanya mengangguk faham.

Di pejabat, Rina tidak berenggang dengan telefon kesayangannya. Dimana sahaja dia berada, pasti akan merakamkan gambarnya bersama rakan sepejabatnya, sehinggakan kerjanya juga terbengkalai. Rina sangat gembira, semua rakan-rakannya memuji kecantikan wajahnya dan yang paling mengejutkan pengikutnya di laman sosial juga semakin meningkat setiap saat.

Tepat pukul lima petang, Rina bergegas untuk pulang, dia tidak lupa untuk mengambil Teha daripada tempat kerjanya sebelum pergi ke destinasi yang selalu mereka kunjungi.

          “kau nak makan apa?” Teha membelek menu yang sudah berada dihadapannya. Mahu sahaja dia memesan kesemuanya sekali memandangkan dia masih belum makan sejak tengah hari tadi. Rina pula sibuk dengan telefon bimbitnya sehinggakan pertanyaan Teha langsung tidak dihiraukannya.

          “aku apa-apa pun boleh” Rina menjawab bersahaja. Matanya tidak berkalih daripada skrin telefon bimbitnyanya. Teha mengambil keputusan untuk memesan dua nasi pinggan goreng dan dua gelas teh’o ais. Sementara menunggu makanan tiba Rina tidak ketinggalan untuk selfie bersama Teha.

           “kenapa gambar aku kabur?” Teha menunjukkan gambarnya yang baru sahaja diambil menggunakan kamera depan telefon bimbit milik Rina. Rina juga terkejut. Wajahnya Teha kelihatan kabur didalam skrin tetapi tidak wajah Rina. Rina melihat semula kesemua gambar yang telah diambil bersama-sama rakan sekerjanya. Semuanya kabur dan tidak kelihatan wajah mereka. Rina menjadi hairan. Dia juga tidak tahu apa masalahnya dengan telefon bimbitnya itu.

           “Balik nanti kita singgah kedai Ah Leng” Rina cepat-cepat menghabiskan baki nasi gorengnya. Teha hanya mengangguk setuju.

Kereta yang dipandu oleh Rina berhenti betul-betul dihadapan kedai Ah Leng. Rina merengus kasar, tiba-tiba sahaja Rina naik angin. Stereng kereta menjadi mangsanya . Kedainya tutup selama seminggu. Teha terkejut dengan perubahan sikap Rina. Dia tidak pernah melihat Rina naik angin seperti itu. Dia hanya mendiamkan diri di tempat duduk sebelah. Mereka membuat keputusan untuk pulang dulu dan akan datang semula kemudian.

Selepas membersihkan diri. Rina mengeringkan rambutnya dan seperti biasa dia akan memeriksa telefon bimbitnya. Rina tersenyum lebar apabila, melihat begitu banyak komen di hantar melalui laman sosial itu. Rina mula membelek mukanya di cermin. Kulit wajahnya kering dan mudah terkopek. Kelihatan juga tompok hitam dibahagian dahinya . Rina mula risau. Dia segera menyapu pelembap untuk mengelakkan kulitnya kering. Rina tidak lupa untuk mengambil gambar sebelum tidur dan mengupload gambar itu ke laman sosial dan mengucapkan ‘selamat malam’ kepada semua pengikutnya.

Jam sudah menunjukkan pukul dua belas malam. Rina tersedar daripada tidurnya. Dia berasa rimas tidur diatas katil, wajah dan badannya berasa gatal-gatal. Rina yang tidak tahan terus bangkit dan tangannya tidak berhenti menggaru. Dia berasa panas seperti melecur. Rina terus menatap wajahnya dicermin. Dia terkejut apabila melihat kulit wajahnya terkopek dan hitam seperti hangus terbakar. Dia menjerit dan tidak mampu untuk melihat wajahnya dicermin lagi.

Tiba-tiba sahaja Rina terdengar bunyi hilaian tawa disekitar biliknya, Rina menjerit sekuat hati, tetapi tiada sesiapapun yang mendengar jeritannya.

               “Aku mahu darah!” suara itu menyeru. Rina yang menggigil ketakutan tidak mampu bergerak daripada situ. Nafasnya juga tersekat-sekat. Dia hanya mampu menyorok dipenjuru katil.

              “jangan bunuh aku!!” Rina menggigil, dia merayu supaya dia tidak diapa-apakan. Rina akan melakukan apa sahaja supaya wajahnya kelihatan seperti sediakala semula.

              “Aku mahu darah!!” suara itu mengulang kata-katanya. Rina menutup telinganya, suara itu masih dapat didengari. Seolah-olah suara itu sudah sebati didalam mindanya.

               “Diam!!!”

Selepas seminggu..

Mona mencapai telefon bimbitnya, terasa bosan membelenggu diri. Komputer yang ditatap lama memeningkan kepalanya. Dia membuka sekejap instagramnya untuk melihat gambar-gambar terkini dilaman sosial itu. Tiba-tiba dia terkejut apabila melihat beberapa keping gambar milik Rina.

             “Fiqa cuba kau tengok ni” Mona terus menunjukkan gambar itu kepada rakan sekerjanya itu. Mereka amat terkejut. Gambar itu sudah tersebar di laman sosial itu.

Sudah seminggu Rina tidak menghadirkan diri ditempat kerja. Paling mengejutkan Rina telah mengupload gambar terkininya di instagram. Mereka juga telah meletakkan komen mereka. Rata-rata mengatakan Rina gila dan tidak siuman.

Jiran Rina juga telah melaporkan kepada pihak polis tentang bau bangkai yang dihidu berhampiran rumah itu. Polis sudah menyerbu dan memberkas Rina yang seperti tidak waras. Keadaannya juga tidak terurus sedang sibuk mengupload gambarnya didalam telefon bimbit kesayangannya. Lebih memeranjatkan lagi bangkai mayat Teha dijumpai didalam almari dibawah sinki. Rina dihantar dirumah sakit jiwa untuk rawatan lanjut. Keadaannya semakin kritikal . Dia selalu tersenyum sendirian dihadapan cermin dan apabila tepat pukul dua belas tengah malam kelakuannya pasti berubah. Dia menjadi lebih ganas. Wajahnya bengis dan akan ketawa seperti mengilai dan sentiasa mahukan darah.

                                                            TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.