MALAM
itu
Husna berdiri di jendela bilik tidurnya. Sekadar membuang waktu sambil melihat
langit gelap tanpa bintang. Telefon pintar jenama Samsung itu dipandang sekilas. Tidak ada tanda-tanda yang
telefon itu akan berbunyi malam ini. Selalunya pada waktu-waktu ini pasti akan
ada seseorang yang akan menghantar sms kepadanya.
Dia
sibuk agaknya… Husna cuba memujuk hati. Rindunya pada
seorang lelaki yang bernama Muhammad Fahrin Irsyad itu kembali menjengah ke
lubuk hati. Entah kenapa lelaki yang mencuri hatinya itu kelihatan berlainan
sekali sekarang. Irsyad tidak lagi seceria dahulu. Seperti ada beban yang
memberati lelaki yang terkenal dengan sifat ceria itu.
“Tok…tok…” Bunyi ketukan pintu
menghentikan lamunan Husna.
“Masuk, pintu tak berkunci.” Husna
sekadar mengerlingkan mata ke arah pintu. Mungkin adiknya Zulaikha yang datang
menjengah. Selalunya jika lampu bilik Husna masih terpasang lewat malam begini,
adik bongsunya pasti akan datang menjenguk a.k.a.
menyibuk.
“Kak Una tak tidur lagi?” Adiknya
itu masuk ke dalam bilik sambil tersengih.
“Eh, tengah tidur la ni. Tak
nampak?” Sambil membuka laptop Apple Husna menjeling ke arah Zulaikha. Malas
nak melayan soalan berbasa-basi tu.
“Amboi, garangnya… Tak baik tau
garang-garang. Kedut muka tu nanti.” Sempat lagi mengusik.
“Iyalah tu. Hah, nak apa? Kamu tu
kenapa tak tidur lagi? Esok kan sekolah?” Mata Husna masih terpaku pada skrin
laptopnya. Dia ingin mengemas kini status facebook
miliknya. Tabiat yang sukar dibuang sejak dibangku sekolah. Setiap hari pasti
ada sahaja status yang akan dikemas kini. Status yang ditulis selalunya
berkaitan dengan perkara yang berlaku disekelilingnya. Kisah mak cik sebelah
rumah yang baru pindah itu pun turut dikongsi untuk tatapan teman-temannya di
laman sosial itu.
“Kak Una ni… Esok hari Sabtu lah…
Cuti.” Mata Zulaikha mencuri pandang melihat status yang baru sahaja dikemas
kini oleh kakak kesayangannya itu.
Malam ini sunyi
lagi tanpa khabar dari si dia.
‘Hurm… Status macam ni yang aku tak
gemar ni.’ Bisik Zulaikha di dalam hati.Walaupun Zulaikha muda 4 tahun dari
Husna, namun kematangan fikirannya lebih terserlah dalam sifat
keanak-anakannya.
Zulaikha tidak suka mengemas kini status yang
berbaur perasaan cinta serta sesuatu yang tidak berfaedah. Tapi untuk menegur
kakaknya itu dia masih belum punya kekuatan. Takut kakaknya itu akan berasa
hati pula. Zulaikha kenal sangat dengan kakak kandungnya itu. Terlalu sensitif.
Kalau marah atau berkecil hati dengan
seseorang dia boleh tidak bercakap dengan orang itu sehingga berhari-hari
lamanya. Dia ingat lagi teguran Zulaikha mengenai tudung pendek yang dipakai
Husna ke kolej membuatkan gadis awal 20-an itu tak bercakap dengannya hampir
seminggu.
“Kak…” rengek Zulaikha apabila
melihat kakaknya itu terlalu asyik melayani laman sosial sehingga terlupa
dengan kehadirannya disisi.
“Apa…” Tanya Husna, malas.
“Jom kita solat sekali…”
“Solat apa pukul 12 ni? Zu tak
isyak lagi ke?” Kepala diteleng ke wajah putih bersih itu. Hairan pula.
Selalunya Zulaikha akan berusaha untuk solat di awal waktu. Jarang sekali
adiknya yang berada ditingkatan empat itu melewatkan solat.
“Solat sunat, solat sunat witir,
solat sunat taubat, solat sunat hajat…” Dia tahu Husna kurang pengetahuan
tentang soal agama. Solat lima waktu yang wajib itu pun kadang kala ditinggalkan
juga. Padahal solat itukan tiang agama. Kalau runtuh tiang itu, maka runtuh
jugalah agama itu.
Namun dia tidak menyalahkan
kakaknya. Husna terlalu lama membesar di Perancis bersama papanya. Tinggal di
negara yang mengamalkan sistem sekular serta dikelilingi dengan masyarakat
bukan Islam menyebabkan Husna sedikit buta tentang kepentingan beragama itu
sendiri.
“Malaslah. Kalau Zu nak solat, Zu
solat la…Akak dah mengantuk. Nak tidur.” Husna cepat-cepat menutup laptopnya
sambil buat-buat menguap. Sengaja dia buat begitu kerana malas mendengar
ceramah dari adik ‘Ustazah’nya itu. Bukan benci, tapi kadang-kadang dia berasa
sedikit jengkel apabila sejak akhir-akhir ini Zulaikha kerap sahaja
menasihatinya tentang hal-hal berkaitan agama.
“Kalau macam tu tak apalah. Akak
tidurlah ye. Nanti Zu kejutkan subuh nanti.” Zulaikha masih cuba tersenyum.
‘Peringkat awal berdakwah memanglah
susah sikit. Nabi-nabi Allah pun mengambil masa yang lama sehinggakan ada yang
memakan masa ratusan tahun untuk berdakwah kepada umatnya.’ Zulaikha cuba
meniupkan semangat kepada dirinya sendiri.
“Tak payah lah. Akak boleh bangun
sendiri. Kunci jam.” Sekali lagi Husna cuba mengelak. Dia cukup pantang andai
tidurnya diganggu. Padahal bukankah solat itu lebih baik daripada tidur?
Sekali lagi Zulaikha hanya mampu
tersenyum. Didalam hati dia tetap berdoa agar satu-satunya kakak kandung yang
dia miliki akan dihadiahkan hidayah oleh Allah.
“HUSNA…
Saya ada sesuatu yang saya nak beritahu awak. Mulai bulan depan saya akan ke
Palestin mengikuti misi kemanusiaan.” Kata-kata Irsyad membuatkan Husna
tergamam.
“Buat apa pergi sana? Awak nak mati
ke?” Kata-kata jujur dari Husna itu kedengaran sedikit kasar. Seolah-olah dia
tidak pernah terkesan dengan tragedi yang menimpa saudara seagamanya. Irsyad
yang sedikit terkejut dengan kata-kata itu cuba mengawal riak wajahnya.
“Macam saya cakap tadi, saya akan
ikut misi kemanusiaan ke Gaza. Saya nak berjihad menolong saudara-saudara kita
yang dalam kesusahan di sana.” Husna hanya mencebikkan bibirnya.
“Kalau nak tolong tak payah
susah-susah nak ke sana. Bagi aje
derma. Tak pun doakan keselamatan diorang aje.
Kan awak sendiri cakap doa tu senjata mukmin.”
“Memang kita boleh bagi derma,
memang kita boleh berdoa. Tapi sampai bila? Doa perlu disertakan dengan usaha.
Sampai bila umat Islam sekadar nak menjadi pemerhati? Sudah sampai masanya kita
turut serta memperjuangkan hak rakyat Palestin yang tertindas dibumi sendiri.”
“Habis tu, awak nak pergi jugak
tinggalkan saya terkontang-kanting dekat sini? Awak kan dah janji nak kahwin
dengan saya.” Irsyad terkelu seketika. Memang dahulu dia terlanjur menabur
janji. Waktu itu dia belum punya kesedaran lagi untuk membantu saudara seagama.
Tetapi setelah mengetahui asal usulnya yang sebenar, hatinya meronta-ronta
untuk ke bumi yang terletaknya kiblat pertama umat Islam.
“Maafkan saya Husna. Saya terlanjur
berjanji. Tapi saya mesti pergi. Saya tahu suatu hari nanti awak pasti akan
faham. Maafkan saya Husna.” Irsyad segera bangun dari bangku taman itu tanpa
memandang wajah Husna. Dia takut hatinya akan berbolak-balik untuk ke
Palestine. Sungguh dia mencintai gadis keras kepala itu. Dia tidak mahu
memberikan harapan palsu. Soal jodoh biarlah masa yang menentukan. Andai
Ainatul Husna memang sudah tertulis untuknya, ke hujung dunia mana pun mereka
pasti akan bertemu.
BEG
sandang
yang digalas dihempas ke atas katil. Hatinya masih sakit dengan keputusan
Irsyad yang berkeras mahu ke bumi bergolak itu. Entah apa yang ada disana
sehingga Irsyad sanggup pergi meninggalkan dirinya. Sambil mengesat air mata,
status di facebook masih sempat
dikemas kini. Peristiwa hari ini diceritakan untuk tatapan umum.
Dalam tempoh kurang sejam pelbagai kecaman
serta kritikan keras diterima oleh Husna. Dia dikatakan tidak sensitif serta
peka dengan isu yang menimpa bumi Al-Quds. Akhirnya kerana tidak tahan dengan
kecaman itu, status tersebut dipadam begitu sahaja.
Di bilik sebelah Zulaikha yang
kebetulan turut melayari laman sosial ciptaan Yahudi turut membaca status
tersebut. Hatinya menggeleng hiba. Hati meronta-ronta untuk menasihati kakaknya
itu. Zulaikha cuba mencari jalan terbaik untuk menyedarkan Husna tentang isu
Palestin yang tidak pernah berkesudahan itu.
Sepanjang hari Husna hanya memerap didalam
bilik. Dia hanya turun untuk makan serta mengambil minuman sahaja. Mujurlah
mamanya ke Sarawak atas urusan kerja. Kalau tak pasti akan disoal siasat
tentang penyebab muka monyoknya ini.
Dirasakan hidupnya hari ini sedikit malang. Irsyad
akan ke Palestin. Status facebooknya
pula dikecam hebat. Bunyi mesej masuk menghentikan lamunan Husna. Dengan malas
dia bangun dari katil menuju ke meja studi untuk mengambil Samsung S4 kesayangannya.
Akak
sayang!!! Bukak emel.*smiley face*
‘Budak ni mimpi apa? Duduk satu
rumah pun hantar mesej bagai. Banyak sangat kredit dia agaknya.’ Husna
menggeleng kepala. Pelik dengan perangai adiknya. Namun, jemarinya tetap laju
membuka membuka emel. Satu persatu pautan yang diberikan Zulaikha dibuka. Tanpa
diduga hatinya yang selama ini keras mulai lembut. Air matanya tumpah secara
tiba-tiba.
Gambar-gambar kekejaman di Palestin
di lihat satu persatu. Video yang di hantar pula hanya ditonton separuh. Tak
sanggup dia melihat penyeksaan yang dilakukan rejim Zionis terhadap umat Islam.
Namun sebuah video menarik perhatiannya.
Dalam video itu dia melihat seorang
lelaki berjambang dipukul oleh tentera Israel kerana mempertahankan seorang
anak kecil. Lelaki itu dipukul tanpa belas kasihan dan kemudian diheret masuk
ke dalam sebuah trak tentera Yahudi. Air matanya semakin deras mengalir. Dia
kenal lelaki itu. Itulah bapanya yang telah sekian lama menghilang tanpa jejak.
Husna melulu masuk ke dalam bilik
adiknya yang tidak berkunci. Ketika itu Zulaikha sedang mengerjakan solat
Isyak. Walaupun hatinya sedang meronta-ronta mahukan penjelasan, dia tetap
membiarkan adiknya mengerjakan rukun Islam yang kedua. Selesai sahaja Zulaikha
memberi salam, Husna terus duduk berlutut dihadapan adiknya.
“Mana Zu dapat video tu?” Zulaikha
melepaskan keluhan berat.
“Seorang kawan papa yang bekerja di
Al Jazeera. Dia ada waktu kejadian tu tapi terpaksa bersembunyi. Lagipun dia
nak buktikan pada dunia tentang kekejaman kaum Yahudi.”
“Kenapa kakak tak pernah tahu pasal
ni? Pasal papa ke Palestin pun kakak tak tahu. Kenapa Zu rahsiakan? Mama tahu
pasal ni?” Mata Husna masih lagi berkaca. Selama ini dia beranggapan yang papa
sudah tidak sayangkan dia lagi. Kerana itulah papa meninggalkan dia di Malaysia
kemudian hilang tanpa khabar berita.
“Mama orang pertama yang tahu. Zu
sendiri pun dapat tahu secara tak sengaja waktu pinjam laptop mama. Kakak
jangan marahkan mama ye? Mama minta Zu rahsiakan hal ni dari kakak. Dia tak nak
kakak susah hati. Lagipun papa pun minta mama rahsiakan perjalanannya ke sana
daripada pengetahuan kita.” Zulaikha menelan air liurnya sendiri. Dia terpaksa
memungkiri janji pada mama. Dia tahu sekiranya sesuatu itu melibatkan papa hati
Husna akan menjadi lembut. Dia tak mahu Husna terus pesimis dengan perjuangan
membebaskan kota suci itu.
“Sampai hati mama dengan Zu buat
kakak macam ni. Selama ni akak ingatkan papa dah tak sayangkan akak lagi…”
“Kak Una, jangan la macam ni…”
“Papa ada lagi?” Zulaikha hanya
terdiam mendengar soalan itu kerana dia sendiri pun tidak pasti dengan nasib
ayah kandungnya itu. Malam itu buar pertama kalinya, Husna turut bersama-sama
Zulaikha mengerjakan qiamullail secara berjemaah. Setelah pulang dari Sarawak,
Puan Wilda berasa sungguh gembira melihat perubahan Husna. Doanya supaya anak
sulungnya itu berubah akhirnya dimakbulkan Allah.
SETELAH
menunggu
hampir 3 tahun akhirnya nama Husna disenarai pendek untuk menyertai misi
bantuan ke bumi Palestin. Malam ini dia akan terbang bersama-sama rakan NGO
yang lain ke Jordan sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Palestin. Hanya
Zulaikha yang menghantarnya ke lapangan terbang. Mama sudah setahun
meninggalkan mereka berdua. Dia pergi menghadap Allah dalam sembahyang sewaktu
bulan Ramadhan tanpa sempat menatap wajah suami yang dicintainya.
“Akak, jaga diri kat sana ye?
Sekarang Zu Cuma ada Kak Una sorang aje…” Luahan hati Zulaikha merentap jiwa
Husna. Memang dia sedih meninggalkan adiknya sendirian disini. Dia juga tahu
betapa Zulaikha ingin sekali mengikutnya ke Palestin membantu saudara seagama
namun adiknya itu masih punya komitmen lain. Minggu hadapan dia bakal menduduki
peperiksaan akhir semester dua. Tanggungjawab menuntut ilmu harus dilunaskan
terlebih dahulu supaya bermanafaat kepada agama.
“Insyaallah…Zu pun jaga diri kat
sini ye. Doakan akak dan rakan-rakan seperjuangan disana. Dan doakan akak jumpa
papa.” Mereka berpelukan seketika. Air mata yang ditahan mengalir juga. Selepas
ini Husna akan menempuh satu lagi pengalaman sebagai seorang pejuang. Walau
tidak mengangkat senjata, tetapi dia berjuang dengan jalannya sendiri. Kamera
DSLR dipegang erat. Dia mahu meneruskan legasi papa untuk membongkar kejahatan
bangsa yang bongkak serta penuh tipu muslihat.
SEMINGGU
di
bumi yang tidak pernah aman ini memang menguji kemampuan mental serta fizikal
Husna. Dengan kepakaran sebagai seorang doktor, Husna membantu sedaya upaya.
Sepenjang minggu ini rejim Zionist melancarkan serangan roket secara
besar-besaran di Gaza. Dengan keadaan hospital yang serba kekurangan serta
kelengkapan yang tidak mencukupi, ramai rakyat Palestin yang syahid.
Paling menyayat hatinya apabila
mendengar rintihan para ibu yang kehilangan anak kecil mereka. Apakah dosa anak
kecil ini sehingga sanggup dibunuh? Kamera yang dibawa tidak sempat digunakan
untuk mengambil foto-foto bukti kekejaman.
Dentuman bom menggegar perkarangan
hospital Al-Shifa. Husna yang kebetulan berada dipintu masuk hospital segera
berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dari jauh dia dapat melihat
kepulan asap tebal. Jerit pekik penduduk awam membingitkan suasana. Serta merta
perkarangan hospital dipenuhi dengan mangsa-mangsa yang tercedera. Hatinya
memberontak. Inilah pengganas sebenar! Merekalah yang perlu diperangi! Betapa
masyarakat antarabangsa menganak-tirikan orang Islam. Husna kembali ke dalam
hospital sambil membimbing seorang wanita tua yang cedera terkena serpihan bom.
MALAM
itu
Husna menghabiskan masanya dengan membaca al-quran disebuah bilik kecil untuk
para doktor yang bertugas. Kalau nak di ikutkan tugasnya berakhir petang tadi
tetapi dia kembali semula ke hospital selepas solat isyak. Niatnya mahu
merakamkan foto-foto mangsa. Dia melangkah perlahan. Keadaan mangsa yang
menyayat hati melemahkan langkah kakinya.
Tiba-tiba dia berhenti disebuah
katil yang menempatkan seorang pesakit lelaki. Walaupun kehilangan tangan kanan
serta kaki kiri, lelaki itu masih mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-quran
dengan begitu merdu melalui hafazan. Tanpa sedar dia memeluk lelaki itu. Itulah
Muhammad Frank Abdullah, bapanya yang telah lama menghilang.
PERTEMUAN
itu
telah membuatkan Husna mengambil keputusan untuk berkampung dihospital itu.
Sambil merawat penduduk Palestin, Husna mahu sentiasa berada disisi papanya.
Berita tentang papanya telah diberitahu kepada Zulaikha melalui sms. Adiknya
itu meminta agar Husna mengusahakan untuk membawa pulang papa mereka ke
Malaysia. Segalanya telah diuruskan Husna. Sekarang mereka cuma perlu
menantikan kelulusan pihak berkuasa sahaja.
“Husna…” Husna yang sedang menuang
air mengalih pandangan ke wajah papanya. Gelas ditangan disua kepada papanya.
Dengan kalimah bismillah air itu diteguk perlahan.
“Papa nak cakap sikit boleh?”
“Apa dia papa? Cakap la.” Senyuman
ikhlas dihadiahkan kepada papanya.
“Papa nak minta maaf sebab
tinggalkan mama, Husna dan Zulaikha.”
“Tak perlu minta maaf papa. Una
tahu yang papa terpaksa tinggalkan kami sebab nak bantu saudara-saudara kita.”
“Tapi papa tetap rasa bersalah.
Papa tak jalankan tanggungjawab papa kepada kamu berdua. Kepada arwah mama.
Tolong sampaikan maaf papa pada Zulaikha.” Ada air jernih mengalir dipipi
papanya. Hati Husna berasa sayu.
“Kenapa papa cakap macam tu? Kami
semua tak pernah marahkan papa. Zulaikha pun tak sabar nak tunggu papa balik.
Dia nak peluk papa.”
“Entahlah Husna. Papa takut papa
tak sempat…Hurm tak apalah. Papa nak minta tolong Una boleh?” Papanya cuba
menukar topik, Dia tak mahu Husna bersedih.
“Apa dia papa?” Husna mengesat air
mata dengan hujung kain selendang yang dipakainya.
“Papa nak kahwinkan Husna dengan
seseorang. Itu pun kalau Husna setuju. Papa nak ada orang yang akan menjaga
Husna serta Zulaikha nanti.” Permintaan papa membuatkan Husna terdiam.
Bagaimana mungkin dia berkahwin dengan lelaki lain sedangkan hatinya masih pada
lelaki yang bernama Muhammad Fahrin Irsyad.
Tapi demi papa dia sanggup
berkorban. Dia tahu papa mesti akan memilih lelaki yang terbaik untuk menjadi
pembimbingnya. Irsyad pula tidak tahu dimana keberadaannya tika ini. Kali
terakhir dia berjumpa dengan Irsyad ialah sewaktu lelaki itu menyuarakan hasrat
untuk ke Palestin. Setelah itu mereka terputus hubungan.
Hari yang dinanti telah pun tiba.
Segala persiapan pernikahannya dibuat secara ala kadar. Sebentar lagi dia akan
menjadi suri untuk seorang lelaki yang belum sempat dia temui. Yang Husna
lelaki itu juga merupakan rakyat Malaysia dan telah berada disini
bertahun-tahun lamanya demi mencari ibu kandungnya. Ibunya telah meninggal
sebulan yang lepas dan mengamanatkannya supaya pulang sahaja ke pangkuan
keluarga angkatnya. Dia mahu anak lelaki itu menyebarkan maklumat tentang
keadaan sebenar dibumi ambia ini.
Mendengar sahaja cerita tentang
ketaatan lelaki yang di panggil Yasser itu sudah cukup membuatkan hati Husna
meronta-ronta untuk bertemu dengan bakal suaminya itu. Namun perasaan malu
masih lagi menguasai. Dia masih tahu batas-batasnya sebagai seorang Muslimah.
Sepanjang majlis akad nikah itu
berlangsung Husna hanya menundukkan wajahnya. Malu untuk mencuri pandang pada
bakal suaminya itu. Sewaktu mencium tangan suaminya yang sah dia masih juga
menundukkan wajahnya sehinggalah namanya dipanggil oleh sang suami. Saat
bertentang mata, pasangan pengantin baru itu terkedu. Sambil menitiskan air
mata kedua-duanya melafazkan rasa syukur. Ainatul Husna akhirnya milik Muhammad
Fahin Irsyad.
SEPASANG
kanak-kanak
kembar lelaki yang bermain dipantai itu kelihatan riang sekali disamping Acu
Ika mereka. Husna serta suaminya hanya memerhati keletah nakal anak-anak kembar
mereka itu sambil tersenyum. Muhammad Fateh Irsyad dan Muhammad Mehmed Irsyad
menjadi penceria kehidupan Irsyad dan Husna.
“Seronok tengok anak-anak kecil itu
ketawa kan? Alangkah indahnya andai anak Palestin dan Syria dapat mengecapi
kebahagiaan yang sama.” Irsyad memeluk bahu isterinya. Kata-kata isterinya itu
turut bermain-main difikirannya. Mereka turut berkongsi rasa serta impian yang
sama. Untuk melihat bumi Palestin kembali aman.
“Insyaallah. Cepat atau lambat bumi
para ambia itu akan kembali ke tangan umat Islam. Kita sebagai umat Islam
kenalah bersatu untuk membebaskan bumi Palestina. Takkan kita nak harapkan
orang bukan Islam yang berjuang untuk kita kan?” Husna turut mengangguk
mendengar kata-kata Irsyad. Pandangan matanya tiba-tiba terpaku pada seorang
lelaki berusia lewat 50-an.
“Kalau papa ada, mesti dia sebaya
dengan pak cik tu kan?” Hatinya tiba-tiba rindu pada arwah papa. Arwah papa hanya
sempat memijak kaki di bumi Malaysia selama 2 minggu sebelum menghembuskan
nafas terakhir disisi mereka. Mujurlah papa sempat berjumpa dengan adiknya.
Jenazah papa di kebumikan bersebelah dengan kubur arwah mama.
“Sama-samalah kita doakan
kesejahteraan mereka disana. Yang pergi tak akan kembali. Yang ada pula pasti
yang menyusul pergi.” Sambil mendoakan ahli keluarga yang telah pergi, mereka
turut mendoakan keselamatan rakyat Palestin yang masih tertindas. Semoga mereka
tabah menghadapi dugaan serta cabaran. Mereka suami isteri serta masyarakat
Islam yang lain akan turut berusaha membantu mengikut kepakaran masing. Mereka
akan berusaha untuk menyedarkan masyarakat dunia tentang kekejaman Zionis.