“Tok! Tok! Tok!” ketukan dimuka pintu
yang bertalu-talu mengejutkan Julia dari tidurnya. Dengan mata yang
berpisat-pisat dia bergegas ke muka pintu. Mata sempat mengerling melihat jam
dinding. Jam menunjukkan pukul 3 pagi.
“Kau buat apa, hah? Kenapa lambat
sangat? Penat aku berdiri dekat luar tu!” Bentak lelaki bertubuh kekar. Badan
Julia ditolak kasar. Bau busuk air kencing syaitan menusuk hidung Julia. Lelaki
itu duduk bersandar malas di sofa merah yang sudah lusuh warnanya itu.
“Mak kau mana?” Tanya lelaki itu.
Matanya liar melihat ke dalam bilik tidur ibunya yang gelap tanpa cahaya.
“Mak tak balik lagi…” Jawab Julia
perlahan. Matanya dielak daripada bertentang dengan mata lelaki itu. Mata merah
lelaki itu sering menakutkannya. Kadang kala Julia merasakan mata itu liar
memandang tubuh kecilnya.
“Rajin pulak mak kau kerja… Pagi tadi
kata tak sihat sangat. Tapi bagus la jugak. Dapat la jugak duit kan…” Lelaki
tertawa sinis. Julia faham maksud disebalik ketawa lelaki itu. Dia tahu lelaki
itu sedang menghina pekerjaan yang dilakukan oleh ibunya. Pekerjaan yang
sungguh hina dimata masyarakat. Julia segera ke bilik tidurnya lalu mengunci
pintu. Dia berasa tidak selamat apabila berdua dengan lelaki itu tanpa ibunya.
Lampu dibiarkan terbuka. Matanya
memandang siling. Sejak kejadian 3 bulan lepas Julia takut untuk tidur didalam
gelap. Takut peristiwa itu berulang kembali. Matanya ditutup rapat. Tiba-tiba
dia merasakan ada sepasang tangan yang merayap ke seluruh tubuhnya. Dia segera
menepis kasar dan cuba menjerit tetapi tangan kasar itu terlebih dahulu menutup
mulutnya. Julia bergelut untuk melepaskan diri dar genggaman lelaki itu. Bola
Kristal yang berada dikabinet kecil bersebelahan katil segera dicapai lalu
dihentak kuat ke kepala lelaki itu. Lelaki itu mengerang kesakitan. Julia
menolak tubuh lelaki itu lalu segera berlari keluar. Lelaki itu cuba menangkap
tangannya.
“Argh!!!” Julia menjerit. Tubuhnya
dibasahi peluh. Jam loceng menunjukkan pukul 6 pagi. Dia meraup wajahnya. Air
matanya menitis lagi. Kenangan 3 bulan lalu itu sukar dilupakan. Lelaki yang
sedang tidur di ruang tamu rumahnya itu pernah cuba untuk meragut kehormatannya
namun mujurlah nasib menyebelahi dirinya.
Bukannya Julia tidak pernah cuba mengadu
kepada ibu. Tapi wanita 40-an itu lebih mempercayai kekasih hatinya itu. Pernah
dia berlari ketakutan lalu memeluk ibunya, tetapi lelaki itu lebih pantas
membuka kata.
“Aku
excidentjatuh motor tadi… Sampai aje
rumah anak kau ni terpekik terlolong tengok aku. Takut agaknya…” Lelaki itu
menghadiahkan senyuman kepada ibunya. Julia hanya mampu melihat ibunya
melepaskan pelukan Julia dan berlari ke arah lelaki itu dengan mulut
menggumankan kerisauan mengenai kecederaan yang dialami lelaki itu.
“Dah, jom masuk, aku sapu ubat dekat
kepala kau ni. Takut nanti melarat pulak. Esok kita pergi klinik, okey?” Ibunya
melihat kepala lelaki itu dengan penuh kerisauan. Tangan lelaki itu dibimbing
masuk ke dalam rumah
“Tapi mak…” Julia cuba memprotes.
“Tapi apa lagi? Dah jom masuk dah malam
ni… Ke kau nak tidur luar?” Julia
mengetap bibir. Lelaki itu menjeling
sambil menghadiahkan senyuman sinis. Julia terpaksa akur. Hatinya geram,
hampa bercampur sedih. Dia tahu ibunya tidak akan percaya apa bakal
diceritakannya. Ibunya lebih mempercayai lelaki itu. Mata ibunya telah
dibutakan dengan cinta lelaki itu.
Julia mengeluh perlahan. Dia kalau boleh
tidak mahu lagi kenangan itu. Yang penting difikirannya sekarang adalah ilmu.
Dia ingin segera keluar dari rumah ini. Dia ingin memulakan hidup baru. Dengan
itu dia perlukan ilmu untuk membuatkan dia bertahan di dunia yang penuh dengan
tipu muslihat ini.
Baju tidur yang dipakai diganti dengan
T-shirt sekolah. Pakaian seragam sekolah pula dimasukkan ke dalam beg. Sejak
kejadian hitam itu dia sering keluar awal untuk mandi di bilik air sekolahnya.
Dia berasa tidak menggunakan bilik air rumahnya dengan kehadiran lelaki itu.
Setelah siap mengemas keperluan sekolah dia pergi ke dapur. Hati mengeluh
hampa. Ibunya lupa untuk meninggalkan duit belanja sekolahnya lagi. Dia ke
sekolah dengan hati yang bengkak.
Sesi sekolah telah pun tamat. Tapi Julia
masih belum pulang. Dia terus berjalan kaki menuju ke perpustakaan awam yang
terletak 15 minit dari sekolahnya. Peluh yang menitik di lap dengan lengan
baju. Tiba-tiba sebuah kereta kancil berwarna merah berhenti dihadapannya. Dia
cam nombor plat kereta itu. Itu kereta Cikgu Catherine guru kesayangannya.
Julia tersenyum gembira.
“Diana nak ke libraryke? Mari Cikgu hantarkan.” Diana nama yang sering digunakan
oleh Cikgu Catherine untuk memanggil dirinya. Nama sebenar Julia ialah Diana
Julia tetapi hanya Cikgu Catherine yang memanggilkan dengan nama Diana. Kata
Cikgu Catherine nama itu mengingatkan dirinya kepada mendiang adiknya yang juga
bernama Diana.
“Sebelum ke library kita makan dulu ya. Jangan risau Cikgu belanja…” Julia
hanya mengangguk. Sebetulnya dia berasa segan kerana Cikgu Catherine begitu
mengambil berat keadaan dirinya. Dia sering mengajak Julia makan bersamanya di
taman berhadapan dengan perpustakaan sekolahnya kerana tahu Julia sering tidak
membawa duit atau bekalan makanan ke sekolah.
“Julia. Cikgu sebenarnya ada sesuatu nak
bagi tahu kamu.” Cikgu Catherine memandang tepat ke wajah Julia. Lidah guru
kesayangannya itu masih tebal dengan accent
Amerika. Julia menanti gurunya itu untuk menghabiskan kata-katanya.
“Lagi dua bulan Cikgu akan berpindah ke
Pulau Pinang.” Julia tergamam. Wajahnya menunduk sayu. Selepas ini dia sudah
tidak punya tempat untuk mengadu. Selama ini Cikgu Catherine yang banyak
memberi dorongan kepadanya disaat orang lain memandang hina terhadap dirinya.
Cikgu Catherine bukan sekadar guru tetapi juga sahabat buat Julia. Julia tidak
mempunyai sahabat selain Cikgu Catherine.
“Kalau boleh Cikgu nak bawa kamu sekali
tapi kamu tahu kan semua tu mustahil?” Cikgu Catherine mengenggam erat tangan
Julia. Dia sendiri sudah menganggap Julia seperti adiknya sendiri.
“Kenapa pula tak boleh? Cikgu dah tak
sayangkan saya lagi?” Ucap Julia sayu.
“Diana… Kamu kan masih ada ibu kamu. Dia
penjaga kamu yang sah. Dia tak akan benarkan kamu ikut Cikgu. Takkan kamu nak
tinggalkan ibu kandung kamu?” Cikgu Catherine cuba memujuk. Mujurlah keadaan di
restoran itu lengang, kalau tidak pasti mereka berdua akan menjadi tontonan
pelanggan disitu,
“Kalau saya ikut pun ke tak ikut ke… Tak
ada bezanya pun. Mak lebih pentingkan lelaki tu. Dia bukan kisah pun dengan apa
yang saya buat.” Air matanya mula mengalir laju. Petang itu mereka tidak ke
perpustakaan. Cikgu Catherine membawa Julia ke taman untuk memujuknya sekaligus
menghabiskan masa yang tinggal di antara mereka.
Malam itu semasa Julia leka
mengulangkaji pelajaran, dia dikejutkan dengan jeritan ibunya diluar rumah.
Julia menjenguk ke luar tingkap. Ibunya sedang bertengkar dengan lelaki itu.
Ini kali pertama ibunya bertengkar teruk dengan lelaki itu.
“Kau tipu aku! Kau cakap kau pergi kerja
tapi sebenarnya kau keluar dengan perempuan lain! Jantan tak guna!” Jerit
ibunya sambil tangan cuba memukul dada bidang lelaki itu. Lelaki itu
menggenggam erat kedua tangan ibunya untuk mengelakkan ibunya bertindak ganas.
“Hei! Suka hati aku la aku nak keluar
dengan siapa pun. Kau tu bukan bini aku. Selama ni kau melacur pun aku tak
pernah kisah pun tahu tak!” Lelaki itu menggoncang kasar tubuh ibunya.
“Kau memang tak guna selama ni aku dah
banyak berhabis duit untuk kau, kau tahu tak!” Ibunya menggunakan sepenuh
tenaga untuk menolak lelaki itu sehingga terjatuh ke tanah. Lalu ibunya segera
berlari masuk ke dapur lalu mencapai pisau di atas meja.
“Sekarang aku nak kau keluar dari rumah
ni. Pergi! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Aku cakap pergi!!! Kalau tak aku
bunuh kau dengan pisau ni!!!” Ibunya menjerit histeria. Jiran-jiran yang
berdekatan dengan rumahnya telah mula keluar melihat apa yang berlaku. Lelaki
itu segera pergi sambil menyumpah seranah. Setelah itu ibunya terus masuk ke
bilik mengunci diri. Julia menarik nafas lega. Akhirnya lelaki itu pergi dari
hidupnya.
“SEORANG
PELACUR DISABIT KESALAHAN MEMBUNUH KEKASIH”
Julia melihat keratan akhbar 5 tahun
lepas. Walaupun ibunya tidak mengaku bersalah tetapi ramai saksi mengakui
melihat ibunya mengacu pisau ke arah lelaki itu. Bahan bukti yang lain juga
menunjukkan ibunya bersalah.
“Diana… dah siap?” Suara Catherine
menghentikan lamunan Julia.
“Sekejap… Nak turun dah ni…” Jerit Julia
dari dalam bilik. Keratan akhbar itu dimasukkan kedalam sebuah kotak
bersama-sama dengan buku-buku fiksyen jenayah dan penyiasatan kesayangannya.
Buku-buku yang membantunya supaya dia dapat keluar dari kehidupannya bersama
ibu yang tidak bertanggungwab itu. Buku-buku yang telah membantu dalam
menjayakan rancangan untuk membunuh lelaki itu.
Kotak itu ditolak ke bawah katil. Bibir
mengukir senyuman. Siapa sangka seorang budak berumur 10 tahun berjaya
merancang sebuah pembunuhan tanpa tertangkap. Setelah memperbetulkan rambut,
dia segera turun ke bawah untuk bertemu Catherine, Penjaganya yang sah.