Home Cerpen Islamik Antara Aku, Kau dan Dia?
Antara Aku, Kau dan Dia?
Mohd Zakir Ali Mohd Taib
16/1/2014 02:48:31
2,728
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik
"I Love...
I Love Y...
I Love Yo...
I Love You..
I Love Yougurt... Hehe.."

Itu pesanan ringkas yang aku terima dari Hakimi pada petang itu. Selalu saja Hakimi mengajukku dengan pesanan-pesanan sebegitu sebelum ini. Namun, aku hanya mengabaikan saja tanpa memperdulikan. Bagi aku bercinta sebelum bernikah itu hanyalah merugikan sebagaimana ruginya para 'abid yang banyak melakukan amal ibadah tetapi tidak pandai menjaga lidah. Alangkah sia-sianya amalan seseorang yang tidak menahan lidahnya daripada kehinaan.

Dalam satu riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz r.a sambil memegang lidah, “Tahanlah ini!” Mu’adz berkata, “Apakah kami akan diseksa kerana apa yang kami ucapkan, wahai Rasulullah?” “Ibumu akan kehilangan dirimu wahai Muadz. Tidaklah wajah orang-orang itu dilemparkan ke dalam api neraka melainkan kerana hasil perbuatan lidah mereka.“(Riwayat Imam At Tirmidzi dan Imam Ahmad Rahimahumallah. Berkata Imam At Tirmidzi: "Hadis Hasan Sahih").

Begitu juga dengan mereka yang asyik menjalin hubungan cinta sebelum nikah. Untuk apa menjalin hubungan cinta sebelum nikah sedangkan jalinan hubungan suami isteri yang sah itu merupakan rahmat dan satu kenikmatan yang tiada taranya? Ketahuilah, sesungguhnya kemesraan yang terjalin sesudah bernikah itu merupakan kenikmatan yang besar disamping pahala yang bakal diperolehi. Lalu untuk apa menjalin kemesraan sebelum ada ikatan yang sah yang jelas satu kerugian dan sudah pasti bakal mengundang kemurkaan Allah pula?

"Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian." (Ayat 1 & 2 Surah Al Asr)
_______________________________________

Burung-burung kelihatan beterbangan kearah matahari yang semakin mahu melabuhkan tirainya. Manakala, anak-anak kecil yang berkeliaran di sekitar kawasan perumahan tempat tinggalku pula sedang beransur-ansur pulang kerumah masing-masing. Memandangkan waktu maghrib bakal menjelang, aku segera menggerakkan langkah untuk menutup kesemua jendela yang terbuka. Sejurus menutup jendela, aku langsung saja bersiap-siap untuk menunaikan solat Fardhu Maghrib secara berjamaah bersama keluarga.

Sememangnya sudah menjadi kelaziman kami sekeluarga untuk meluangkan masa bersama-sama bagi menunaikan solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah. Lagi pula pada waktu itu aku sedang cuti semester, sudah pasti masa yang ada tidak harus dibazirkan begitu saja sebaliknya perlulah diisi dengan sebaik mungkin bersama keluarga.

"Assalamualaikum Warahmatullah...." Lafaz yang diakhiri dengan salam terakhir itu menunjukkan solat Isyak secara berjamaah selesai ditunaikan oleh kami sekeluarga.

Seusai solat yang disusuli tasbih, tahmid, tahlil dan takbir serta doa itu, kami sekeluarga lalu saling bersalaman antara satu sama lain. Sebaik sahaja selesai bersalaman, tiba-tiba ayah memulakan bicara seraya bertanya:

"Aisyah, esok ayah cuti. Jadi ayah ingat nak hantar Aisyah balik ke kampus. Pukul berapa esok Aisyah nak balik?" Tanya ayah kepadaku.

"Tak tahu lagi ayah,maybe sebelah pagi kot." Balasku.

"Habistu, barang-barang Aisyah dah siap ke?" Tanya ayah lagi.

"Sudah ayah." Jawapku ringkas.

"Bagaimana dengan duit perbelanjaan Aisyah? Masih cukup ke? Kalau tak cukup, ayah boleh tolong tambahkan."

"Takpa, ayah. Duit biasiswa masih ada lagi. Ayah tak payahlah susah-susah ye." Kataku pada ayah sambil melipat telekung dan sejadah yang telah digunakan.

"Kalau Aisyah dah kata macam tu takpelah. Tapi kalau ada masalah apa-apa nanti jangan lupa telefon ayah ok." Kata ayah pula sambil tersenyum padaku.

"Yelah, ayah."

Selesai bicara itu, ayah lalu beredar menuju ke ruang tamu, sementara aku pula bergerak menuju ke ampaian kecil yang berada disudut bilik solat bagi meletakkan telekung dan sejadah yang dilipat tadi. Lalu aku terus mengekori ayah dari belakang menuju ke meja yang berada diruang tamu. Diatas meja tersebut terdapat komputer riba milikku, maka aku pun mendekati komputer riba itu. Setelah itu, aku langsung saja membuka komputer riba tersebut dan seterusnya melayariFacebook. Sebaik sahaja log masuk akaunFacebook, aku lalu melihat terdapat sekurang-kurangnya tiganotificationsdan satu pesanan diruangan peti masuk. Aku kemudian klik pada ruangan inbox bagi melihat pesanan yang masuk.

Hakimi:

"Hai ukhti Aisyah, uhibbuki fillah. Hihi ^_^"

5 minutes ago.

Tatkala aku membaca mesej tersebut hatiku seolah bercampur baur.

"Eh, kenapa dengan dia ni? Mengarut saja." Desis hatiku kehairanan.

Selepas itu, aku lantas menaip mesej untuk dihantar kembali kepada Hakimi.

"Awak ni kenapa? Awakonlinewaktu macam ni, awak dah solat ke belum? Saya dekat sini baru selesai solat berjamaah bersama keluarga, takkan awak dekat sana dah balik dari solat Isyak dekat surau?"

"Isshhh, awak ni!! Banyak betul soalannya, mana satu yang saya nak jawab?" Balas Hakimi seminit kemudian.

"Yang mana-mana ajelah!!" Balasku ringkas.

"Okay, sabar-sabar. Awak nirelakslah, janganlah salah sangka. "Uhibukki fillah" tu saya maksudkan, saya sayang awak sebagai kawan kerana DIA(Allah). Hehe." Balas Hakimi pula.

"Saya tak peduli. Awak masih tak jawab soalan saya, awak dah solat ke belum?" Tanyaku lagi

"Oklah, saya belum solat. Saya tak solat berjamaah di surau tadi sebab saya balik lewat dari kelas. So, tak sempat." Jelasnya.

"Ok, kalau macam tu pergi solat. Awak tahu kan tak boleh melengah-lengahkan solat, dalam surah al maun ayat 4-5 dijelaskan, "kecelakaanlah bagi mereka yang lalai dalam sembahyang." Saad Bin Abi Waqqas r.a pernah bertanyakan kepada Rasulullah tentang maksud "orang lalai dalam sembahyang." Baginda saw menyatakan bahawa yang dimaksudkan itu ialah mereka yang melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya." Jelasku pula.

"Ok, baiklah ustazah!! Cepat balik ye ustazah, saya rindu dekat awak ni. Hehe. Assalamualaikum." Balas Hakimi lagi disamping meletakkan simbolsmiley.

"Waalaikumusalam." Jawapku ringkas.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran....."(ayat 3 Surah Al Asr)
______________________________________________

Pada keesokan harinya.......

Matahari mula meninggi dan menampakkan sinarnya dari ufuk timur. Ayam pula sudah mula berkokok memecah keheningan pada pagi itu. Warna langit yang tadinya kekuningan sudah semakin cerah kebiru-biruan. Pada ketika itu, aku masih lagi berada didalam rumah untuk memastikan semua barang-barang milikku cukup untuk dibawa pulang ke kampus. Manakala ayah dan ibu tetap sabar menanti aku diluar halaman rumah kami.

"Aisyah.... Aisyah..... Cepat enjin kereta ayah dah panas dah ni." Sahut ibuku dari luar halaman rumah.

"Ye..... ye... Aisyah datang ibu." Teriakku pula. Sebaik sahaja mendengar sahutan ibu aku langsung saja bergegas keluar dari rumah.

"Wah! Cantiknya anak ibu pagi ni." Ajuk ibuku.

"Alah, ada-ada jelah ibu ni." Pintasku lembut.

Pada pagi itu, aku mengenakan pakaian serba kemerah-merahan. Tudung labuh bundarkoshibo warna merah jambu menjadi pilihanku ketika itu, manakala baju yang dipakaiku pula adalah dari T-Shirt Muslimah Moden berwarna merah dan bercorak bunga.

"Dah boleh berangkat sekarang ke?" Soal ayah kepadaku.

"Dah boleh, ayah." Ucapku pula.

Sejurus selepas itu, kami sekeluarga pun memulakan perjalanan ke kampus iaitu tempat aku menuntut ilmu. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang selama tiga jam. Sepanjang perjalanan tiga jam itu aku menikmati pemandangan yang cukup indah yang dipenuhi dengan kehijauan alam semulajadi ciptaan Tuhan Rabbul Aalamin. Keasyikan pemandangan alam semulajadi ciptaan Tuhan itu sekaligus mengingatkan aku akan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.anhumaa, bahawa Rasulullah saw bersabda:

Tafakkaru Fi Kholqillah Wala Tafakkaru Fi Dzatillah

"Berfikirlah akan perkara yang diciptakan Allah, dan janganlah berfikir akan perkara DzatNya Allah"(Hadis berstatus hasan, disebut dalam Sahih al Jami' oleh Syaikh Al Albani Rahimahullah no 2979)

Tujuan hadis ini diucapkan adalah bagi mengajak kita sekalian manusia untuk lebih memikirkan akan apa-apa sahaja yang diciptakan Allah berbanding sibuk memikirkan dzat Allah itu sendiri. Hal ini kerana dengan memikirkan apa-apa yang diciptakan Allah itu akan membawa kita lebih dekat kepada sang Pencipta selain menjadikan kita bertambah takjub akan segala kebesaranNya. Adapun, seandainya kita lebih menyibukkan diri memikirkan tentang dzat Allah maka hal yang demikian akan lebih membawa kita kepada persoalan yang tidak berkesudahan. Dengan kata lain, dzat Tuhan itu sulit untuk dijangkau dengan akal manusia yang terbatas. Justeru, alam ciptaanNya inilah sebagai wakil untuk manusia agar terus menerus merenung hakikat keberadaanNya. Berkata Al Imam Asy Syafie' Rahimahullahu Taala:

"Jadikanlah makhluk itu sebagai bukti atas kekuasaan Allah, dan janganlah kamu memaksa-maksa diri kamu untuk mengetahui hal-hal yang tidak dapat dicapai oleh akalmu"

Tatkala aku asyik merenung dan menghayati alam semulajadi ciptaan Tuhan, tiba-tiba sampai satu mesej dari Hakimi:

"Salam, Aisyah. Hari ni saya nak luahkan sesuatu pada awak. Dah lama saya pendam, namun semakin lama saya pendam semakin membuatkan saya resah. Saya tak mampu nak tahan lagi isi hati saya. Aisyah, saya cintakan awak. Saya sangat berharap yang awak sudi menjadi kekasih hati saya. Kita jumpa kat kolej nanti ye, saya nak tahu jawapan awak.- Hakimi."

Begitulah mesej yang aku terima dari Hakimi semasa perjalanan pulang ke kampus. Pada ketika itu, hatiku seolah-olah bergetaran manakala dalam benak fikiranku pula timbul pelbagai persoalan.

"Kenapa dia kata macam ni? Kenapa terlalu cepat dia meluahkan? Perlu ke aku terima dia atau tak perlu? Kalau aku tak terima, apa yang akan jadi pula?" Ini antara beberapa persoalan yang bermain dalam fikiranku.

Namun, setelah beberapa waktu aku memikirkan dan bermuhasabah, akhirnya aku menemui jawapan. Bukan sahaja jawapan malah pendirian yang bakal aku ambil juga. Dan aku mengharapkan pendirian yang aku ambil ini adalah pendirian yang terbaik bukan sahaja untuk aku tetapi untuk Hakimi juga. Tidak lama kemudian, kami pun sampai ke destinasi yang dituju iaitu kampus tempatku menuntut ilmu. Sejurus tiba aku langsung saja turun dari kenderaan dan mengambil barang-barang dari bonet kereta. Selepas itu, aku terus mendapatkan ibu dan ayahku kembali untuk bersalaman dengan mereka.

"Maafkan ibu ye sayang tak dapat nak tunggu Aisyah lama-lama." Ujar ibu kepadaku.

"Takpa, ibu. Aisyah pun ada banyak kerja yang nak diselesaikan."

"Jaga diri dan belajar rajin-rajin ye Aisyah." Ujar ayah pula.

"Baiklah ayah."

"Vroommm....." Bunyi kereta ayah yang berlalu pergi meninggalkanku.

Sebaik sahaja mereka beredar meninggalkanku, tanpa berlengah aku langsung saja pergi ke kawasan Wisma Pentadbiran untuk mendaftar bagi semester yang baru. Aku pun berjalan perlahan-lahan menuju ke bangunan wisma. Tiba-tiba datang seseorang menerpaku daripada belakang dengan memanggil-manggil namaku:

"Aisyah... Aisyah... Tunggu saya Aisyah." Sergah Hakimi.

"Oh, Hakimi rupanya." Bicara hatiku.

"Aisyah, awak baca tak mesej yang saya bagi tu?" Tanya Hakimi. Namun, aku hanya mendiamkan diri sambil menundukkan kepala.

"Macam mana? Saya nak tahu jawapan dari awak." Sambungnya lagi.

"Mungkin inilah masanya." Desis hatiku sekali lagi.

"Awak... Awak dengar tak?" Soal Hakimi.

"Awak, saya minta maaf. Tapi saya tak boleh terima cinta awak. Maaf sangat-sangat. Assalamualaikum." Kataku sambil memulakan langkah untuk sambung berjalan.

"Kejap... Kejap... Tapi kenapa? Apa kurangnya saya?" Kata Hakimi pula sambil menghalang diriku yang mula mahu beredar dari situ. Aku mahu segera pergi dari situ kerana tidak mahu membuat kekecohan di tempat tersebut. Apatahlagi, ramai yang sedang memperhatikan tindak tanduk kami berdua ketika itu.

"Awak takda kurang apa. Cuma saya tak boleh terima buat masa sekarang ni. Maaf sekali lagi." Jelasku lagi.

"Kalau saya takda kekurangan apa-apa, kenapa awak susah nak terima? Atau awak dah ada yang punya?" Katanya sinis.

"Memang!!" Kataku yang mula meninggikan suara sambil memandang tajam kearah matanya.

"Huh, saya dah agak dah. So, siapa dia tu?" Tanya Hakimi sambil melipat kedua tangannya didada.

"Memang! Memang saya dah berpunya! Saya punyanya Dia. Awak juga punyanya Dia. Dia tu Allah!! Allah yang mempunyai kita berdua. Sedang syariatNya lah sebagai penghalang dan batasan antara kita berdua. Saya cintakan Allah, dan saya takut melanggar perintahNya yang menyuruh kita supaya jangan mendekati zina. Saya takut hubungan kita bakal membawa kita dekat kepada zina sekaligus menjauhkan kita dari Allah. Awak kena faham, ini bukan masanya untuk bercinta. Sekarang ni masanya adalah untuk belajar kerana Dia dan juga kerana ibu ayah kita. Kalau awak nak jugak cinta dari saya, awak kena sabar. So, nanti-nanti saja kalau ada jodoh!! InsyaAllah." Sebaik mengucapkan itu, aku langsung saja pergi meninggalkan Hakimi yang masih lagi terpinga-pinga kehairanan. Barangkali dia tidak menyangka akan jawapan yang aku berikan.

Walau langkah kakiku pantas meninggalkan Hakimi, namun aku masih sempat lagi mendengar satu suara yang berkata-kata,

"Kenapa Hakimi? Alah, kau tak payah layanlah minah bajet bagus tu. Bunga bukan sekuntum." Suara itu kudengari dari tempat tadi. Berkemungkinan itu adalah suara rakan Hakimi. Pun begitu, tidak pula aku mendengar suara dari Hakimi. Tanpa mempedulikan kata-kata itu, aku lantas meneruskan langkahku.

Dan semenjak dari hari itu aku tidak lagi berbicara dengan Hakimi. Ada juga beberapa kali aku terserempak dengannya, namun kami hanya mengambil haluan masing-masing dan tidak lagi bertegur sapa.

"Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"(ayat 3 Surah Al Asr),

______________________________

"Maafkan aku Hakimi. Aku bukan tidak mahu menerima cinta kau. Aku hanya lebih cintakan Allah dan RasulNya..."

"Maafkan aku Hakimi. Aku bukan tidak mahu menjalin hubungan cinta dengan kau. Tapi aku tidak mahu engkau lebih mencintai aku dari Allah dan RasulNya..."

"Maafkan aku Hakimi. Aku bukan tidak mahu berkasih mesra dengan kau. Aku hanya tidak mahu kau dan aku melanggar batas-batas yang Allah tetapkan."

"Namun, kalau kau tetap mahu memaksa nescaya akanku pilih Allah dan RasulNya. Dan kalau kau memandang rendah akan pendirian yang diambilku ini nescaya apalah dayaku melainkan hanya bersabar."

"Demi Masa!Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"(ayat Surah Al Asr),

Sekian.... Tamat...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.