“Astaghfirullah Al-azim. Astaghfirullah Al-azim. Allah….
Engkau lindungilah hatiku daripada hasutan syaitan, Ya Allah.” Bibir
Rahmatullah tidak henti beristighfar kepada Allah Maha Esa. Tangan kanan
diletakkan di atas dada kiri yang berdenyut kencang. Dia cuba untuk melupakan gerangan yang
menggoncang iman dan nafsunya.
Ketika dalam perjalanan pulang dari usrah di Universiti
Islam Antarabangsa, dia terlihat akan kereta Volkswagen New Beetle yang
tersadai di tepi jalan yang gelap dengan lampu kereta masih terbuka. Volkswagen
berwarna merah itu menarik Rahmatullah untuk berhenti apatah lagi hari sudah
larut malam. Kereta diperlahankan dan diberhentikan di hadapan kereta tersebut.
Rahmatullah mengerling sekilas melalui cermin kereta.
Gelap. Susah untuk melihat gerangan si pemandu
kerana kereta bercermin gelap. Dengan langkah bismillah, Rahmatullah turun
mendekati kereta Volkswagen merah itu. Cermin kereta diketuk sambil diberi
salam. Beberapa kali dia melakukan tapi masih tiada tanda ada orang di
dalamnya.
Dengan tiba-tiba, pintu kereta terbuka dan serentak
dengan itu seseorang terjatuh dari kereta tapi sempat ditahan Rahmatullah. Bau
busuk dan masam menerpa hidungnya sekali gus membuatkan dia hampir termuntah.
“Allahu-akbar!”
Ketika itu baru Rahmatullah sedar gerangan yang
dipegangnya itu seorang wanita. Dengan pantas tangan ditarik dan wanita itu
jatuh terjelopok. Rahmatullah terkejut melihat kornea matanya menyapa seorang wanita
berpakain cukup menyakitkan mata dan keadaan wanita itu tidak terurus. Mulutnya
meracau entah apa-apa dalam bahasa Mandarin.
Mabuk!
“Cik, cik tak apa-apa?”
Wanita itu mengangkat muka dan memandang Rahmutullah
dengan muka bingung. Kemudian dia tersenyum sebelum menarik lengan Rahmatullah
membuatkan lelaki itu terjatuh.
“Allah!!” Rahmatullah terperanjat.
“Ní….. Hen Shuai. (Kamu…. Handsome.)” Perempuan Cina itu
ketawa. Rahmatullah yang tidak faham menjauhkan diri. Dadanya berdenyut maha
hebat.
“Ni yao
qu nali? (Kemana kamu mahu pergi?)”
“Cik, saya rasa lebih baik cik pulang. Hari dah larut
malam. Bahaya cik ada kat sini sorang-sorang.” Rahmatullah tidak ambil pusing
apa yang diperkata malah dia sempat memberi nasihat. Fikirnya, bahaya untuk dia
terus berdua-duaan di situ tapi tak akan dia mahu meninggalkan perempuan
berbangsa Cina ini pula?
“Bu you zou!! Qing bu you zou….(Jangan pergi!! Tolong
jangan pergi….)” Tiba-tiba dia menangis. Tak semena-mena Rahmatullah diterpa
oleh wanita Cina itu. Tidak sempat mengelat, dirinya sudah dipeluk. Rahmatullah
beristighfar panjang.
“Wei shen me? Ni wei shen me li kai? Weis….(Kenapa?
Kenapa kamu pergi? Kenaap…)” Rahmatullah mengerutkan dahi. Badan wanita itu
terasa berat dan tangisannya sudah hilang.
“Cik, cik… Cik!!”
……………………
Bunyi penggera di telefon bimbit mengejutkannya.
Rahmatullah meraup muka. Loceng yang berbunyi menandakan kini sudah berginjak
ke jam 3 pagi. Dia tidak sempat tidur lagi hari ini kerana menguruskangadis Cina yang
ditemuinya itu pengsan dengan tiba-tiba. Akhirnya, Rahmatullah mengambil
keputusan untuk membawa pulang ke rumah uminya memandangkan dia tidak tahu
tempat tinggal gadis itu.
Entah kenapa hatinya masih bedenyut kencang apabila
teringatkan wajah itu. Ada
sesuatu yang bertandang ke sudut hatinya. Cinta? Cintakah ini atau hanya
semata-mata bisikan syaitan yang menganggu hatinya? Rahmatullah menganggap ini
adalah godaan syaitan semata-mata. Dia tidak mahu terus hanyut dengan gelora di
hati. Entah apa-apa. Kalau ya cinta masakan gadis Cina itu pilihan hatinya?
Rahmatullah bingkas dari katil, tidak jadi untuk melelapkan
mata buat seketika. Fikirnya ada baiknya dia melakukan solat sunat dahulu
sebelum merehatkan badan dan bangkit semula untuk solat Subuh. Dia tidak mahu
ketinggalan solat sepertiga malam kerana Rasulullah SAW bersabda:
“Kerjakanlah solat malam sebab itu
adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan
diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari
perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” -
(Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
Rahmatullah menghamparkan sejadah ke arah kiblat apabila
selesai mengambil wuduk. Niat disertakan dengan takbiratul ihram.
“Allahu-akbar.”
…………………….
Huan Yue yang bosan terus terperat dalam bilik mengambil
keputusan untuk ke laman rumah banglo setingkat itu. Apabila keluar dari pintu
gelonsor, tidak jauh dari situ kelihatan seorang pemuda dan kanak-kanak
perempuan berumur antara sembilan hingga dua belas tahun elok bersila di atas
gazebo diperbuat daripada kayu. Huan Yue mendekati mereka apabila melihat tiada
siapa yang perasan akan kehadirannya.
“Abang Rahmat! Betul ke perempuan kena pakai tudung? Umi
Yaya cakap kalau nak masuk syurga kena pakai tudung.” Tanya budak perempuan
yang bersila di hadapan pemuda bernama Rahmat.
“Betul tu cakap umi Yaya. Adik-adik tahu kan, rambut itu aurat
bagi perempuan dan kita wajib menutup aurat. Dalam hadis riwayat Abu Daud:
Aisyah r.a menceritakan bahawa Asma’ binti Abi Bakar menemui Rasullullah s.a.w
dengan pakaian nipis. Lalu Rasulullah bersabda: “Wahai Asma’! Sesungguhnya
perempuan yang telah datang haid, tidak boleh dilihat kecuali ini sahaja.”
Rasul mengisyaratkan kepada muka dan tangannya.
"Maksudnya
adik-adik, aurat perempuan yang sudah baligh hanya muka dan tangan sahaja yang
bukan aurat. Yang lain wajib ditutup.Kalau adik-adik nak
tahu lagi, azab kepada orang yang tidak menutup aurat ni sangat pedih! Balasan
wanita yang membuka rambut kepalanya selain suaminya, akan digantung dengan
rambutnya di atas api neraka sehingga menggelegak otaknya, berterusan selama ia
tidak menutupnya. Dada yang sengaja dibuka atau ditonjolkan supaya kelihatan
seksi, akan di gantung atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat
dengan rantai neraka sebagai penggantungnya. Betis dan paha yang
terselak-selak, sedia untuk dipanggang…Allah, pedihnya tidak terkira!
Nauzubillah, adik-adik. Abang harap adik-adik tidak akan tergolong di antara
mereka.”
“Takutnya….”
“Eee… takutnya, Abang Rahmat. Lepas ni, Chaca pun nak pakai
tudunglah. Chaca tak nak kena seksa.”
“Wawa pun nak tutup aurat juga,”
Rahmatullah hanya tersenyum mendengar celoteh mereka.
Dalam melayan anak-anak jirannya itu, sempat matanya menangkap kelibat Huan
Yue. Matanya kelihatan berkaca dan tangannya terketar-ketar. Tidak sempat
Rahmatullah menegur, Huan Yue terlebih dahulu melarikan diri.
………………….
“Abang nak kahwin dengan dia?!” tanya umi Rahmatullah,
Puan Kalsom dan adiknya, Rohimah serentak.
“Abang betul-betul ke atau tipu-tipu ni?” Puan Kalsom
mencubit Rohimah.
“Abang serius umi, adik. Abang mahu kahwin dengan Huan
Yue.”
“Mana boleh….” Leret Rohimah.
“Ya Allah… Abang dah kenapa? Huan Yue tu kan bukan seagama dengan
kita.” Puan Kalsom turut menyuarakan apa yang dipendamnya. Rahmatullah diam
sejenak.
“Dia…. Huan Yue Islam, umi. Islam…”
Puan Kalsom tercengang.
Rohimah tergamam.
………………..
“Abang Rahmat, boleh saya cakap sekejap dengan abang?”
ujar Huan Yue ketika dia menemui Rahmatullah di UIA.
“Apa yang Huan Yue nak cakapkan itu? Sampai sanggup cari saya di sini.”
“Abang tahu agama saya?”
Rahmatullah mengerutkan dahi dengan pertanyaan tiba-tiba
Huan Yue. Dia menggeleng.
“Saya…. Saya Islam, Abang Rahmat.” Huan Yue tertunduk.
“Subhanallah. Bila lagi?”
“Saya peluk Islam lima
bulan lepas. Saya masuk Islam bukan kerana Allah, tapi kerana saya mahu kahwin
dengan bekas suami saya. Saya tak pernah kenal Islam. Lebih-lebih lagi bekas
suami saya pun hidup seperti saya yang dahulu. Arak itu, dah jadi minuman harian kami dan
disko itulah tempat kali pertama saya berjumpa dengan bekas suami saya. Malam
tiga bulan lepas, yang Abang Rahmat bawa saya pulang ke rumah umi itu malam
dimana saya kena cerai selepas dua bulan kahwin dengannya. Kami tak sehaluan,
selalu bergaduh. Saya kena cerai pun disebabkan dia ada perempuan lain.”
“Allahu-akbar….” Ujar Rahmatullah perlahan. Sungguh dia
tidak sangka gadis Cina yang dijumpa dahulu dengan keadaan mabuk dan berpakaian
seksi itu beragama Islam. Kesian kepada Huan Yue pun ada juga. Sudahlah memeluk
Islam kerana lelaki, dicerai dan ditinggalkanpula terkontang-kanting
tanpa mengenal erti Islam yang sebenar.
“Abang Rahmat…..”
Rahmatullah mengangkat muka tapi ditundukkan kembali
apabila Huan Yue menikam pandangan ke arahnya.
“Saya mahu kenal Islam, abang.”
“Alhamdulillah.” Rahmatullah menarik senyuman sebaris.
“Saya, umi dan adik sedia membantu kalau benar Huan Yue
mahu berubah. InsyaAllah, saya sekeluarga akan tolong apa yang kami mampu.”
“Saya….”
“Saya mahu….. Abang Rahmat. Saya nak lamar…. Abang
Rahmat jadi suami saya.”
Rahmatullah tergamam.
“Abang Rahmat sudi mengambil saya jadi iseri abang?
Abang sudi membimbing saya untuk mengenal Islam?”
Dan Huan Yue
terus menaruh harapan.
………………..
“Alhamdulillah. Semuanya sudah selesai.”
Rahmatullah melepaskan lelah di atas sofa setelah semua
tetamu yang sudi hadir meninggalkan majlis akad nikah. Dia memejamkan mata
seketika. Tidak dapat ditahan, bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan
akan status baharunya. Suami. Masih dia ingat ketika memegang tangan tok kadi
betapa ketarnya tangan dia. Dan lafaz yang satu itu berjaya juga dilafazkan
dari bibirnya. Kalau didengar dan disebut, memang mudah. Tapi tidak semudah
itu.
Dengan lafaz ‘Aku terima nikahnya’, besar maknanya.
Bukan sahaja membawa erti bersatunya satu ikatan yang halal antara lelaki dan
perempuan. Tapi ia juga bermakna kini dia menggalas segala dosa isterinya jika
dibiarkan tanpa menegur, bertanggungjawab dalam memberinya nafkah zahir dan
batin, memberinya ilmu dunia akhirat dan juga memimpinnya sama-sama ke jalan
syurga. Jika seorang suami itu gagal bermakna dia seorang suami yang dayus dan
fasik, maka neraka jahanam adalah tempatnya. Allahu Rabbi!
Rahmatullah membuka matanya dan ketika itu juga matanya
menangkap kelibat Huan Yue yang baru meloloskan diri ke kamar pengantin. Rahmatullah
bangun meregangkan urat yang terasa lenguh dan kemudian turut melangkah ke
kamarnya. Sempat dia mengetuk pintu beberapa kali sebelum terdengar suara dari
dalam menyahut.
“Assalamualaikum.” Salam diberikan kepada si isteri yang
berdiri di hadapan meja solek. Perlahan-lahan pintu ditutup. Rahmatullah
memandang isterinya yang turut memandang dari biasan cermin.
“Waalaikummussalam….” Lembut dan perlahan. Malu-malu
Huan Yue menjawab salam apatah lagi Rahmatullah merenungnya.
“Subhanallah…” ucap Rahmatullah perlahan. Kagum akan
ciptaan Allah dihadapannya kini. Rahmatullah mendekati Huan Yue dan tangan
mulus itu diraih.
“Cantik isteri saya.” Puji Rahmatullah. Huan Yue ditarik
dan dibawa ke katil. Dilabuhkan punggung disebelah isterinya di birai katil.
Dia hanya memerhati apabila tangannya dikucup Huan Yue.
“Terima kasih…. Abang. Terima kasih kerana sudi terima
saya jadi isteri abang. Terima kasih sudi terima saya yang banyak kekurangan
ini.” Huan Yue mula sebak. Terasa dirinya banyak kekurangan berbanding
Rahmatullah yang sempurna di matanya.
Rahmatullah menggeleng.
“Abang yang banyak kekurangan. Isteri abang ini, cukup
cantik nak dibandingkan dengan abang yang tak kacak ni.” Sempat Rahmatullah
berseloroh apabila terlihat akan air mata Huan Yue. Dilap air mata itu dengan
jemarinya.
“Cantik itu subjektif. Bila-bila Allah akan tarik, abang
kan? Tapi
saya kurang ilmu agama. Tidak tahu menahu keindahan Islam yang sebenar.
Ruginya….”
“Tak apa, sayang…. Masih ada masa untuk berubah. Kita
sama-sama mencari keindahan Islam itu ya?” pujuk Rahmatullah. Tubuh kecil molek
si isteri dibawa ke dalam pelukan.
“Sayang isteri abang.”
“Sayang?” Huan Yue mengangkat muka.
“Ya. Kenapa?”
“Tak… Cuma pelik. Abang tak pernah nak kenal saya
sebelum ini dan tak pernah berkawan rapat. Tapi malam ini, cepat betul sayang
abang datang?” Rahmatullah ketawa perlahan mendengar komen Huan Yue.
“Sebab dah jadi isteri abang, itu yang abang sayang….”
Ringkas jawapan Rahmatullah.
“Tapi….” Huan Yue tidak berpuas hati
“Kalau sayang nak tahu, segala gerak geri, suara dan lirikan
milik orang depan abang ini yang mengacau bilaukan hati dan iman abang ketika
malam dahulu. Hati abang ini, tak senang duduk. Mula-mula abang fikir, godaan
syaitan semata-mata. Tapi, lepas lamaran sayang tu dan selepas istikharah….
Hati ini yakin, selain kerana godaan sayang ia dinamakan cinta pandang pertama
dan cinta suci dari Allah. Jadi, tak ada apa yang perlu diragukan kerana
bersatunya ikatan kita ini, abang akan sentiasa sayang dan cinta akan isteri
abang. Insya-Allah janji abang, cinta kita ini cinta till jannah. Hingga ke
syurga.”
“Allah… terima kasih Allah. Terima kasih abang.” Terharu
dengan kata-kata suaminya, air mata Huan Yue mudah sahaja mengalir. Dipeluk
Rahmatullah dengan erat.
“Siti Aisyah Abdullah….”
Huan Yue mengangkat muka.
“Ya, saya.” Sahut Huan Yue dengan gelak kecil.
“Sebagai langkah permulaan cinta till jannah kita ini,
mari abang ajarkan cara berwuduk dan solat. Lagipun, solat isyak abang belum
tunaikan.”
Huan Yue mengganguk dalam senyuman. Langkah Rahmatullah
ke bilik air diikuti dengan hati yang mengucapkan lafaz syukur yang tak
terhingga. Jika ini permulaanya, dia sudah dapat merasa bahang indahnya Islam.
Tidak sabar untuk mendalami keindahan Islam yang suci.
TAMAT