Sola-Ui
- Dan berakhirlah
memori ini….
Inginku ceritakan,
satu kisah ringkas; katakanlah kisah ini hanyalah dongenganku. Suatu hari,
apabila aku bangkit daripada lenaku, tiada cahaya menerangi. Fikirku, mungkin
bekalan elektrik buat hal lagi. Aku pun menuju ke punca elektrik, cuba
menghidupkan suis utama tetapi gagal. Matahari sudah galak menerangi, tetapi
tiada seorang pun kelibat keluargaku di rumah. Menyedari situasi ini, buatkan
aku curiga. Apabila aku menjenguk luar rumahku melalui tingkap, kecurigaan aku
makin menjadi-jadi.
Pertamanya, tiada langsung kereta lalu-lalang. Malah,
jalan yang sibuk itu, lengang bisu seribu bahasa. Aku bingkas keluar dari
rumahku, memerhatikan situasi aku kini. Lampu-lampu isyarat tidak berfungsi.
Malah, apabila aku ingin masuk ke kedai serbaneka di hadapan rumahku, pintu
automatik itu tidak berfungsi. Fenomena pelik ini membawaku kembali ke rumah,
mengambil basikal elektrikku lalu kutunggang ke pekan berdekatan. Sebagaimana
situasi di kawasan rumahku, pekan yang sibuk itu, tiada langsung kelibat
manusia di sana. Terlalu sunyi untuk sebuah kawasan tumpuan di tempat aku!
Aku tidak berganjak lagi, sebaliknya termangu di situ.
Tiada kereta, bas atau teksi yang biasanya menghiasi sungai tar ini. Pekan yang
menjadi tempat singgahanku itu, bersosial dan berurus niaga, bagai sudah mati
dilanda sepi. Aku tidak mengalah, lalu menghidupkan suis basikal elektrikku itu
kemudiannya menunggang ke bandar kecil berhampiran. Keputusannya sama, tiada
tanda-tanda kehidupan di situ. Aku tidak mengalah lalu meneruskan perjalananku
mencari makhluk bernama manusia. Pekan ke pekan, bandar ke bandar. Dari minit
menjadi jam. Daripada kegigihan kepada kekalahan. Akhirnya aku tidak mencari
lagi. Bunyi amaran bateri pada basikal elektrikku berbunyi, menandakan
perjalanan aku perlu ditamatkan.
Sedar atau tidak, aku sudah berada di ibu kota Malaysia,
Kuala Lumpur. Mungkin kegelisahanku membutakan aku pada jarak yang pastinya
mustahil untuk aku pergi hanya dengan berbasikal elektrik ini. Dalam kecamuk
fikiranku, perutku menjerit minta diisi. Aku tidak bersarapan lagi. Lantaran
itu, aku menuju ke sebuah pasar raya yang sunyi tanpa manusia itu, mencapai
makanan seperti roti dan kuih, serta minuman tin yang sudah tidak lagi sejuk
kerana keputusan bekalan elektrik. Sudah tentu, aku meletakkan bayaran harga
makanan kuambil itu di kaunter, sebelum menjamah kudapanku itu. Rasa bersalahku
sesekali mengusik hati, mengambil makanan di kedai kosong itu, biarpun kubayar
harganya.
Selepas mengalas perut, aku berjalan jauh ke dalam kota
gergasi di Malaysia ini. Mulanya, aku gembira melihat kenderaan di atas jalan
raya, namun riaku tidak berpanjang kerana semuanya kosong – tanpa manusia. Aku cuba
mengecas bateri basikalku di stesen cas yang menggantikan stesen petrol, kerana
bahan bakar itu sudah pupus di muka bumi ini. Malang sekali, elektrik di stesen
itu juga terputus. Aku menyeluk saku jaketku, mencapai sesuatu.
Oh, aku punya telefon pintar! Aku mendail nombor
keluargaku, tetapi hanya membisu. Tiada nada atau suara operator kedengaran
melalui telefon pintarku. Aku kemudiannya berputus asa, mengayuh basikalku
secara manual, pulang ke rumahku dalam keadaan yang sangat hampa. Tibanya di
rumahku, hari sudah gelap. Kalau tiada telefon pintarku ini, pastinya sukar
untuk aku melihat dalam keadaan jalan yang amat gelap tanda lampu. Aku masuk ke
rumah, mandi dan terus sahaja tidur. Mungkin kalau aku bangun nanti, semua ini
akan berakhir, sebagai mimpi semata-mata. Ya, aku yakin bahawa aku sedang
bermimpi ketika ini. Tuhan, apabila aku sedar esok, kembalikan dunia aku
sebelum ini.
Ah, masih lagi tiada tanda kelibat manusia di
sekelilingku. Kosong. Keluargaku juga tidak kelihatan dari semalam. Aku yang
sudah mencelikkan mata ini, bangkit daripada tidurku lalu merencanakan sesuatu.
Aku pun mula menyiasat rumah ke rumah. Semua rumah yang kumasuki, tiada
langsung tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya penculikan, pembunuhan atau
sebagainya yang menyebabkan mereka hilang begitu sahaja. Di rumah-rumah yang
aku masuki, tersusun set pinggan mangkuk di atas meja, untuk persiapan makan
bersama keluarga. Daripada pemerhatianku, makanan yang dimasak di rumah-rumah
tersebut kemungkinan besar sebagai sarapan kerana di dalam periuk dan pinggan
tersebut merupakan nasi lemak, lontong dan makanan-makanan yang popular di
Malaysia sebagai juadah pagi. Sungguhpun Malaysia sudah mencapai kemodenan yang
pesat sehingga berada dalam dunia pertama, negara maju, tetapi sebahagian besar
warganya tetap mengekalkan makanan tradisi ini.
Musykil hanya satu, ke manakah perginya manusia-manusia
ini? Mereka ghaib begitu sahaja. Satu rumah ke satu rumah aku ceroboh untuk
mencari jawapan, sebaliknya mindaku terus dipenuhi persoalan demi persoalan.
Sehari itu, seluruh kawasan penempatan kejiranan ini aku redah. Tatkala memecah
masuk rumah-rumah itu, aku mengumpul makanan tahan lama dan makanan tin untuk
bekalanku. Aku mula mengumpul keperluan hidup tersebut di rumah aku. Sepanjang
hari aku bergerak ke kiri dan ke kanan, memunggah barangan dengan troli yang
ku’pinjam’ dari kedai serbaneka berdekatan.
Hari pun berlalu dan kini mencecah seminggu. Sepanjang
waktu itu aku mencari setiap ceruk dan penjuru, maklumat dan keperluan hidupku.
Dunia tanpa elektrik ini, membuatkan aku mencari alternatif lain, menggunakan
penjana solar, yang aku ‘jumpa’ di dalam salah satu rumah kosong yang
ku’ziarahi’. Aku mula mempelajari cara pemanduan sendiri menggunakan
kereta-kereta elektrik yang ada. Setelah beberapa kali menjahanamkan kenderaan
mesra alam ini, aku sudah tidak kekok lagi memandu. Aku memecah masuk rumah
paling kaya berdekatanku, dan ‘meminjam’ kereta solar sebagai ‘kaki’ baharu aku
menyelesaikan misteri ini.
Kadangkala, aku berharap akan ada insan yang memberkas
aku kerana perbuatan aku ini. Mencuri makanan dan barangan elektrik di kedai-kedai
atau di rumah-rumah yang menjadi rutin harianku dalam tempoh masa aku
keseorangan di tempat aku ini. Tetapi, perasaan bersalahku lama kelamaan lenyap
kerana bagai menjadi kelaziman buatku. Sekalipun begitu, aku benar-benar harap
ada polis menangkapku. Sekurang-kurangnya, aku dapat bertemu dengan manusia
yang lain. Impianku itu hanya terus menjadi anganan sahaja.
Masuk minggu kedua, seluruh kawasan di tempatku
diselubungi bau-bau busuk. Bau-bau ini datang daripada makanan basi yang ada di
dalam kediaman kosong mahupun di premis perniagaan terbiar. Apatah lagi,
bekalan elektrik yang terputus, memburukkan situasi ini. Kendatipun begitu,
adaptasi manusia begitu menakutkan. Dalam keadaan stres ini, aku membiasakan
diri dengan bau-bau tersebut. Minggu ketiga, bau itu tidak lagi aku endahkan.
Dalam masa tersebut, aku perasaan sesuatu. Makanan yang mula mereput itu, tiada
seekor lalat pun yang menghurung. Tiada seekor lipas pun yang merayap. Aku
benar-benar dalam dunia tanpa kehidupan! Tidak, sekurang-kurangnya masih ada
pokok yang tumbuh melata, menghijau pandanganku. Pokok juga sebahagian daripada
kehidupan.
Sebulan hidup menyepi, akhirnya aku mengambil keputusan
meninggalkan rumahku ini. Aku memuatkan bagasi dan makanan dalam kereta solar
mewah yang kini menjadi milikku lalu memulakan perjalanan yang tiada destinasi
itu. Kereta solar itu hanya mampu beroperasi pada siang hari. Pada sebelah
malamnya, aku akan berhenti di mana-mana kawasan yang mempunyai bekalan air. Aku tidak risau
akan nyamuk atau haiwan bisa jika tidur berdekatan hutan kerana makhluk-makhluk
ini tidak wujud walau seekor pun setakat ini. Mungkin kerana terlalu kerap
menggunakan kenderaan ini, kereta solar mewah ini tidak lagi beroperasi dan
rosak. Namun, aku tidak kisah kerana aku menggantikan kenderaan itu dengan
kereta solar model terkini yang baru dijual dalam pusat pameran yang kebetulan
aku temui sebelum kereta itu rosak. Sesekali aku rasa agak bagus hidup begini.
Sampai sahaja di bandar besar, aku akan menggantikan kereta aku dengan model
lebih baik atau setarafnya. Dari Kuala Lumpur, aku menuju ke Bangkok, sebelum
tiba di Hanoi. Entah beberapa bulan aku merantau, aku tiba di Beijing.
Perjalanan aku tidak ada destinasinya. Sampai bila? Sudah
aku katakan ini dongenganku. Aku akan terus merantau dan merantau. Mungkin
bulan, mungkin tahun, mungkin dekad, mungkin hingga penghujung nyawaku.
Menjerit di Dubai? Menconteng Tembok Besar Cina? Berjoget di Seoul? Seorang
diri, tanpa teman, aku membazirkan masaku sebegitu sahaja. Agaknya hampir berbulan-bulan
keseorangan tanpa berteman, apalah perasaan aku agaknya kalau aku bertemu
seseorang. Bagaimanakah rupa wajahku apabila bersemuka dengan manusia yang
lain? Agaknya macam ini....
Di hadapanku, ada seorang gadis, menyelubungi dirinya
dengan kain tebal seperti kanvas, dengan rambut seakan keperakan memandang
tepat kepada aku. Biarpun rambut itu dilindungi kain dipakainya itu, tetapi
jelas warna rambutnya bagai bersinar pada pandangan matanya. Raut wajah gadis
itu bertukar ceria, terlalu gembira kerana buat kali pertama dalam masa hampir
setahun ini, dia bertemu dengan seseorang. Air mata kegembiraan mengalir deras,
tatkala gadis itu tersenyum lebar lalu membahasakan sesuatu;
“Wattakumps stilryht kiltz fithks, wattakumps rigthkka
survitha...”
Gadis itu memeluk aku, tanpa memberi ruang untuk aku
memahami kata-kata itu. Sekali pun begitu, aku bagai memahami perasaan gadis
tersebut. Kata-kata gadis itu mungkin sama dengan apa yang kufikirkan....
“Terima kasih kerana berada di sini, terima kasih kerana
masih hidup... bukan?”
- Inilah pertemuan pertama kami......
.....................................................................................
Hidup
berkelana aku diteruskan seperti biasa, bezanya kali ini berteman. Teman
baharuku itu, seorang yang duduk di sebelah aku ini tidak mempunyai aura
seperti manusia biasa. Sekalipun begitu, aku masih terasa hangat tubuh gadis
itu membuatkan aku rasa seperti ‘hidup’. Bila difikirkan balik, ini kali
pertama aku berpelukan dengan seorang gadis bukan muhrimku. Aku jadi keseganan
tiba-tiba. Gadis itu memandangku, tertanya-tanya mengenai perubahan reaksi
wajahku secara tiba-tiba.
“Jumptha
isthkhtara ush?” Soal gadis itu. Bahasa apakah yang diujari gadis ini.
Inggeris, pastinya bukan. Jerman? Nampak macam ganjil benar bunyinya.
“Razif.
Saya Razif....” Kataku, menepuk dadaku, memperkenalkan diri.
“Khitriath
Razif?” Soal gadis itu. Aku mengangguk kecil.
“Milth,
Tiamat...” Meniru gayaku, gadis itu memperkenalkan diri.
“Tiamat?”
Aku mencari kepastian. Tiamat mengangguk, mengesahkan kenyataan itu. Aku
tersenyum melihat telatah gadis itu, sangat comel. Gadis itu berketinggian
dalam lingkungan 140 cm, jauh lebih rendah daripada aku yang berketinggian 171
cm.
“Utlskth
mia jtahnana kuth....” Tiamat bersuara lagi, tetapi aku tidak memahaminya.
Tiamat bagai menunggu reaksiku, tetapi aku tidak mengerti apa yang perlu aku
lakukan.
“Ulskth!”
Setelah bosan menantikan reaksiku, Tiamat mencapai tanganku, lalu menggenggam
jemariku dengan kedua-dua tangannya. Mulut Tiamat terkumat-kamit, membacakan
mentera yang tidak kufahami sebelum tangan gadis itu mengeluarkan cahaya.
“Bahasa
dikesan. Mengaktifkan komunikasi bahasa Melayu...” Tiamat mula berinteraksi
dalam bahasa ibundaku.
“Awak
boleh berbahasa Melayu?” Ujarku, gembira.
“Ya,
saya baru menguasainya....” Tiamat mengangguk.
“Siapakah
sebenarnya awak, Tiamat?” Soalku, ingin mengetahui identiti gadis itu.
“Makhluk
asing, dalam bahasa kamu....” Jawab Tiamat, tanpa selindung.
“A-awak
yang memusnahkan bumi?!” Aku terus sahaja membuat konklusi tersebut. Dalam
cerita fiksyen Sains, makhluk asing yang datang ke bumi pasti mahu menghancur
bumi dan kehidupan di dalamnya. Tiamat menggelengkan kepalanya.
“Yang
memusnahkan bumi itu, ialah manusia. Saya datang menyelamatkannya...” Balas Tiamat,
membuatkan aku terdiam.
“Apa
maksudmu, Tiamat? Ini semua salah manusia?” Soalku lagi.
“Razif,
manusia mencipta teknologi gelombang sebagai alat penting dalam penerokaan alam
semesta. Mereka mahu mengawal gelombang graviti supaya mereka dapat menjelajah
planet lain dalam sekelip mata. Mereka berjaya. Kapal angkasa gelombang pertama
telah berjaya dilancarkan. Ironinya, kejayaan itu hanya mendatangkan kegagalan
kerana akibat penggunaan teknologi ini, bayarannya begitu mahal iaitu
terjadinya keralatan dimensi ruang dan masa di bumi. Awak satu-satunya manusia
yang tidak terkesan dalam fenomena. Dengan kata lain, semua manusia di dunia
telah dihanyutkan dalam dimensi ruang dan masa sekarang. Saya perlu
menyelamatkannya...” Jelas panjang Tiamat.
“Bagaimana?”
Soalku, masih tidak mampu untuk menelan kenyataan gadis itu.
“Saya
perlukan manusia untuk menjadi teras dalam membetulkan situasi ini. Jadi
kehadiran awak sangat besar maknanya....” Jawab Tiamat.
“Saya?
Kenapa?” Aku tidak berpuas hati, memandang aku pula perlu dipertanggungjawabkan
untuk menyelesai krisisi ini.
“Saya
perlukan memori kehidupan. Awak ialah manusia yang hidup di dunia ini...”
Tiamat tidak tersinggung dengan reaksiku, sebaliknya lembut bersuara.
“Jangan
risau, awak tidak akan melakukan atau berkorban apa-apa. Itu tugas saya...”
Sambung Tiamat.
“Baiklah,
aku faham. Jadi di manakah destinasi kita sekarang?”
“Turki,
Istanbul. Tempat paling sesuai untuk saya melakukan pemulihan tersebut.”
“Mana
alatnya?” Soalku, memerhatikan sekeliling.
“Sayalah
alatnya itu....”
.....................................................................................
Buat kali pertama, aku mempunyai destinasi yang perlu aku
tuju. Istanbul, antara tempat tumpuan pelancong di seluruh dunia itu menjadi
lokasi seterusnya penjelajahan aku. Bersama Tiamat, gadis makhluk asing ini,
aku melalui beberapa sempadan negara untuk sampai ke sana. Sepanjang
perjalanan, Tiamat bertanyakan aku itu dan ini. Bagaikan budak kecil, Tiamat
begitu teruja melihat tempat atau benda baharu. Aku juga turut sama meladeni
karenah gadis ini sehingga aku lupa bahawa Tiamat makhluk asing. Sebenarnya,
setelah aku mendengar Tiamat bukanlah ‘kehidupan’, tetapi ‘alat’, aku agak
sedih dan kecewa mengetahui hakikat itu. Namun, siapalah aku untuk mempersoalkan
Tiamat dan nasib dirinya. Cukup bagus makhluk ini mahu membantu manusia
membetulkan bencana yang dilakukan oleh mereka sendiri.
“Kenapa Razif? Awak marah?” Soal Tiamat, mengembalikan
aku pada dunia realiti. Saat ini kami berada di Moscow, ibu kota Russia. Hari
sudah menjelang senja, dan aku memilih berehat di rumah presiden kerana musim
sejuk di luar. Rumah mewah pemimpin tertinggi Russia itu mempunyai penjana
kuasa elektrik khas membuatkan aku dan Tiamat selesa di kediaman tersebut.
Setelah mengembara hampir 3 bulan bersama, aku dan Tiamat terpaksa menetap di
sini buat sementara bagi menunggu ribut salji reda pada musim sejuk ini. Sudah
lama aku tidak merasai tilam empuk, jadi inilah peluang untuk aku menikmatinya,
bukan?
“Razif?”
“Maaf, saya masih terkesima melihat keindahan rumah
Presiden ini. Siapa sangka, saya dapat berada di sini meskipun dilanda bencana
ini...” Spontan kataku, melihatkan Tiamat yang berubah wajah apabila melihat
aku terdiam sejak tadi.
“Awak pasti?” Tiamat menyoal lagi.
“Ya, ya....” Kataku, membelai rambut perak gadis yang
lembut itu.
“He..he...” Riak Tiamat kembali ceria, tersengih kecil
apabila aku mengusap rambutnya, seperti kanak-kanak.
Tiamat pandai memasak. Menggunakan tepung dan
bahan yang ada, Tiamat menyediakan hidangan seperti pasta, roti dan sup panas.
Agak sukar untuk kami mendapatkan sumber protien memandangkan tiada langsung
haiwan yang boleh diburu atau ditangkap. Mujurlah ada produk tenusu dan keju
yang dapat membekalkan keperluan kami. Tambah lagi, produk suplemen yang kami
ambil daripada farmasi yang ada dapat membekalkan nutrisi ini. Tiada masalah
bagi buah atau sayur kerana bahan ini boleh didapati di dusun atau di kebun
yang terbiar. Aku gembira dengan kehadiran Tiamat, tetapi sampai bila kami akan
terus bersama. Selepas berakhirnya misinya itu, mahukah dia hidup bersamaku?
“Tiamat, boleh saya tanya sesuatu?” Soalku, tiba-tiba,
semasa kami makan malam bersama. Hari ini, makan malam kami berupa piza
berintikan keju, ketulan tuna (dalam tin) dan sayuran (diambil daripada kebun
sayur Presiden).
“Ya, Razif? Ada masalah?” Respon Tiamat, yang sedang
menjamah pizanya.
“Selepas tamat penjelajahan dan misi kita ini, mahukah
Tiamat terus bersama saya?” Tanyaku dengan nada serius. Tiamat meletakkan
potongan piza ditangannya dan menghabiskan kunyahan sebelum berkata;
“Maaf, perkara itu mustahil...”
“Mengapa? Mengapa mustahil? Tiamat akan lenyap selepas
menyelamatkan bumi?” Soalku, agak terkilan dengan jawapan itu.
“Tidak. Saya masih wujud selepas ini. Tetapi Razif, awak
akan melupai saya...”
“Mustahil, Tiamat. Saya pasti bahawa Tiamat akan saya
ingati sampai mati!” Aku menyangkal dakwaan Tiamat, tetapi Tiamat menggeleng
kecil seraya berkata;
“Terima kasih Razif. Saya juga akan mengingati awak...”
Tiamat tersenyum.
“Saya cinta akan kamu, Tiamat...” Aku terus memeluk tubuh
kecil gadis itu. Gadis itu membalas pelukanku.
“Terima kasih Rasif....” Aku rasa ada kehangatan
menyerang dadaku. Air mata Tiamat membasah dadaku. Aku tidak sedar bahawa
Tiamat tidak membalas luahan cintaku. Hanya ucapan terima kasih, dan bisikan
minta maaf.
Dua bulan kami berada di rumah itu, dan kami berdua bagai
merpati dua sejoli. Sekalipun tiada kata cinta daripada mulut Tiamat, kami
berdua begitu rapat dan sering bersama sentiasa. Namun, hubungan kami masih
terbatas sekadar kawan baik sahaja. Aku tidak kisah begitu. Aku bahagia bersama
Tiamat. Masa tidak menunggu sesiapa, dan musim sejuk di Moscow akhirnya berlalu
pergi. Menggunakan kenderaan istimewa Presiden, aku dan Tiamat meneruskan
perjalanan ke Istanbul.
.........................................................................................................
Sola-Ui
ialah makhluk yang mampu rentasi dimensi. Mereka mampu menguasai ilmu dan
pengetahuan manusia untuk memudahkan pengadaptasian mereka dalam masyarakat
manusia ini. Sola-Ui akan bertindak sekiranya berlaku gangguan dimensi seperti
menimpa dunia Razif. Dunia Razif yang canggih kerana kemajuan teknologinya itu,
membuat kesilapan besar melalui kajian ‘Pandora Box’. Dengan membuka dimensi
dunia, manusia dapat bergerak tanpa memerlukan ‘daya’ sebaliknya perubahan
‘ruang’. Teknologi ini melampaui kaedah ‘teleport’, memindah objek melalui
pergerakan partikal atau ‘warp’ yang menggunakan kelajuan cahaya untuk
bergerak. Seperti nama kajiannya, apabila ‘kotak’ itu terbuka, yang datang,
hanyalah malapetaka. Seluruh kehidupan yang bergerak hilang dalam dimensi
menjadi bumi kini dalam keadaan statik. Mengapa pula Razif masih ada di dunia
itu?
Razif
kebetulan sedang tidur dan apabila dia tidur, pergerakan dirinya agak minimum
hingga ada yang cuba mengejutnya menyangkakan Razif sudah meninggal dunia.
Nasib Razif baik dalam hal ini, kerana tabiat buruknya itu, dia tidak terkesan
dalam fenomena ini. Sola-Ui Tiamat terpaksa mencari makhluk yang masih wujud di
dunia ini bagi menyelamatkan keadaan, dan kemunculan Razif menceriakannya.
Seorang
Sola-Ui sukar menunjukkan ekspresi mereka. Tiamat agak berbeza, kerana dia
sudah biasa berdampingan dengan manusia. Teman manusia Tiamat semuanya
menyayanginya kerana kecomelannya. Semua temannya melahirkan perasaan sama
seperti Razif, iaitu ingin bersama biarpun bencana yang dihadapi sudah
berakhir. Sebaliknya, kesudahan mereka tetap sama, memori mengenai Tiamat
terpadam dengan sendirinya. Tiamat tidak memulihkan dunia, sebaliknya
memutarkan masa dunia sebelum bencana berlaku dan menghalang bencana tersebut
sebelum bermula. Mustahil memori mereka akan kekal apabila ‘memori bersama
Tiamat’ tidak pernah berlaku.
Tiamat
tidak kesah kerana yang pentingnya, dia pernah merasai kasih sayang daripada
‘teman-teman’nya itu. Walau bagaimanapun, inilah kali pertama Tiamat menerima
luahan cinta. Razif begitu menyayanginya. Pertama kali, dia merasakan perasaan
aneh dalam hatinya. Sebagai Sola-Ui, dia tidak faham. Bersama Razif, dia
bersama terlalu bahagia, gembira dan sejahtera. Sebab itulah, sebelum mereka
meneruskan perjalanan ke Istanbul, Tiamat telah menghadiahkan sesuatu kepada
Razif.
“Razif, awak simpanlah benda ini...” Kata
Tiamat kepada Razif.
“Buah
rantai?” Soal Razif, yang agak terkejut dengan hadiah tiba-tiba itu, melihat
ukiran buah rantai yang unik dan istimewa itu.
“Simpan
hadiah saya itu, sebagaimana awak menyayangi saya...” Razif tersenyum dengan
ujaran Tiamat itu, dengan ceria berkata;
“Baiklah!”
......................................................................................
Setelah
hampir sebelum meredah laluan bergunung-ganang menggunakan kenderaan istimewa
‘pinjaman’ aku ini, akhirnya kami melepasi sempadan Turki. Nampaknya,
penjelajahan kami hampir sampai ke penghujungnya. Aku melihat Tiamat yang
begitu asyik melihat permandangan sepanjang perjalanan kami ini. Senyuman
manisnya membahagiakan aku. Malah, aku menerima hadiah daripada gadis itu.
Pertama kali dalam sejarahku, aku menerima sesuatu daripada seorang gadis.
“Razif,
apakah itu?”
Aku
melayan pertanyaan Tiamat tanpa jemu-jemu. Setiap saat bersama gadis ini akan
aku hargai sebaik-baiknya. Walaupun Istanbul sudah tidak jauh, aku mengambil
keputusan berhenti di kawasan peranginan berhampiran untuk berehat di sana.
Tiamat tidak membantah, kontradiksinya bersetuju dengan cadanganku. Malam itu
aku menyediakan unggun api dan berkhemah di kawasan khas. Biarpun lalang dan
semak-samuk mula menguasai tapak itu, kami tidak bimbang kerana tiada kehidupan
lain yang akan muncul di sini. Aku dan Tiamat berbual panjang sebelum tewas
dengan kantuk yang menyerang kami.
Esoknya,
aku memandu kereta ke arah lokasi yang ditunjukkan oleh Tiamat. Sampai sahaja
di kawasan itu, Tiamat terus sahaja menuju ke tempat lapang lalu memulakan
upacara menyelamatkan bumi. Sebaik sahaja simbol aneh muncul di bawah kaki
Tiamat, dia memanggil aku.
“Razif,
awak kenaa mendekati saya....” Arah Tiamat. Aku menurut sahaja.
“Begini?”
“Rapat
lagi. Dekatkan dahi awak dengan saya, rapat-rapat...” Aku merapati Tiamat dan
meletakkan dahiku pada dahi Tiamat. Tiamat tersenyum, sangat manis membuatkan
aku keseganan. Aku menyayangi gadis ini, sepenuh hati.
“Razif,
saya mencintai awak juga....” Luahan Tiamat itu mengejutkanku.
“Benarkah?”
Aku gembira.
“Ya,
Razif. Tapi, maafkan saya kerana........”
...............................................................................................
“Abang,
bangun!” Rohana, adikku menggunakan seluruh keupayaannya menggegarkan katil
bujangku itu.
“Yelah....”
Aku mengalah lalu bangkit dari katil menuju ke bilik air.
“Jangan
lupa sarapan!” “Yelah......”
Aku
duduk di meja makan yang terhidang sarapan masakan ibuku selepas mandi. Aku
memulakan suapanku dengan penuh berselera, bagaikan sudah lama tidak menikmati
makanan ibuku itu. Entah mengapa, aku rasa sangat rindu akan masakan ibuku.
Kerana asyik dengan makanan, aku menghiraukan sahaja paparan berita sensasi
mengenai kemusnahan projek rahsia ‘Pandora Box’ di Amerika Syarikat angkara
sabotaj oleh pihak luar. Projek rahsia itu gagal dilaksanakan dan merugikan
negara Pakcik Sam itu berbilion-bilion Dolar Amerika. Aku yang suka akan berita
sensasi ini mengutamakan makanan. Ibuku yang melihat kegelojohan aku itu
menegurku sambil diiring tawa menjengkelkan oleh adikku itu. Biarpun berasa
marah, entah mengapa, terasa amat bahagia ketika ini.
“Em?”
Kocek seluar berbonjol, terisi sesuatu di dalamnya. Aku mengeluarkan benda itu
kerana agak merimaskan aku. Sebaliknya, apabila aku melihat benda dikocekku itu,
aku jadi kelu. Rantai kunci? Sejak bila aku memilikinya?
“Abang,
kenapa abang menangis? Mak, abang menangis. Takkan kena ejek pun menangis....”
Adikku yang ceria itu mula cuak dengan tangisanku.
“La,
takkan dah besar pun nak nangis. Eh, kenapa dengan Zif ini....?”
Aku
menangis teresak-esak. Air mataku ini bagai tidak mahu terhenti. Kenapa? Apa
yang sedang aku lupakan? Aku.......
........................................................................................
“Tiamat,
misi awak sudah berakhir....” Ujar ketua misi Sola-Ui, Yggdrasil kepada Tiamat,
melalui telepati. Tetapi, Tiamat tidak menjawab. Dia kini berada di sebalik
pokok, memerhatikan seorang lelaki yang sedang menangis teresak-esak, melalui
tingkap rumah.
“Tiamat,
dia sudah melupakan awak. Tidak, awak tidak wujud dalam hidupnya...”
“Saya
tahu....” Tiamat cuba tersenyum, tetapi air matanya pula mengalir.