Home Novel Seram/Misteri Berkawan dengan Bunian
Berkawan dengan Bunian
Norhairie Nordin
14/8/2016 16:09:27
4,743
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3 – Syed Fattah Buana

Bab 3 – Syed Fattah Buana

Lang Buana Gendaloka, putera bunian negeri Inderawangsih kembali ke alam baginda, jauh daripada jangkauan manusia. Baginda telah berpisah dengan sahabat baharunya, yang kembali meneruskan tugasnya memimpin para pengikut membina kehidupan mereka sebagai manusia. Ternyata hatinya masih terkesima, tidak dapat menahan rasa kagumnya, akan keimanan sahabatnya yang berbeza alam itu, terlalu mulia akan pandangan matanya. Tuturnya, tingkah lakunya, dan ilmunya, nyata membezakan dia dengan manusia-manusia yang pernah ditinjaunya sepanjang baginda hidup di hutan tebal itu. Sesungguhnya, insan-insan yang diangkat tinggi darjatnya daripada pandangan Allah, ialah mereka yang berilmu dan bertakwa. Berat hati baginda untuk menyuarakan perpisahan itu, sehingga terpacul daripada mulut baginda, bertanyakan saat pertemuan kelak dan cara mereka berhubung nanti.

Sutan Abdullah tidak keberatan memberitahunya, malah mengajarkannya tanpa sebarang selindung. Putera Gendaloka tidak sabar menghadap ayahandanya, bersembahkan kisah pertemuan dia dan manusia mulia itu ke bawah duli. Baginda menuju ke arah para pengikutnya, yang berselindung daripada kedatangan Sutan Abdullah. Biarpun para pengikutnya gagah dan perkasa, berbajukan perisai dan seni tempur, tetapi rasa gerun dan takut terhadap Sutan Abdullah lebih menyerlah berbanding ketika menghadapi musuh yang mencederakan putera Gendaloka. Baginda sebenarnya cuba dihalang oleh para pengikutnya kerana bimbang akan manusia itu, kendatipun begitu, putera Gendaloka tetap berkeras untuk bertemu Sutan Abdullah. Ternyatalah, pilihannya itu tidak menghampakannya. Baginda memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Esa, kerana mengaturkan pertemuan yang penuh bermakna.

“Ya tuanku, apakah tuanku tidak bimbang untuk bertemu manusia itu sedang hal itu bakal membinasakan tuanku kelak. Pada bicara patik, jangan diikutkan hati dan kehendak tuanku kerana hal itu, maka takut binasalah wazir yang memerintah di perbentengan negeri Inderawangsih ini....” Pengikut kanan baginda, segera menghadap lantas melihat kelibat putera Gendaloka yang menghampiri kelompok lasykar yang dipimpin.

“Maafkan beta, tetapi beta tiadalah berkenan melainkan bertemu manusia yang mejelis imannya itu, baik tingkah lakunya dan tiadalah bahana datang daripadanya, sebaliknya beta berasa tenang dan bahagia...” Jawab baginda.

“Sedangkan tuanku sedang gering, luka pada kaki tetapi tuanku gagahkan langkah bertemunya, bagaimanakah tiada gundah di hati patik melihat tuanku sedemikian rupa...”

“Jangan risau, beta telah disembuhi oleh manusia itu. Sungguhpun tiada sepatah ujar daripada beta, namun begitu manusia itu telah menawarkan dirinya merawat kecederaan beta, sampai tiada lagi langsung rasa perit gering itu,” putera Gendaloka menunjukkan tempat kecederaan kepada orang pentingnya itu.

“Ya Allah, patik benar-benar takjub akan kesaktian manusia itu! Apakah sihir digunakan hingga tersembuhnya gering tuanku? Luka tuanku bukanlah luka yang sebarangan untuk disembuhkan, kerana telah diracuni oleh jin-jin jahat itu, ingin membunuh tuanku!” Dalam nada teruja, si pengikut itu benar-benar bersyukur kerana putera Gendaloka itu selamat daripada ancaman musuh mereka.

“Manusia itu membacakan ayat-ayat al-Quran, menyembuhkan beta. Jangan dituduh sahabat beta itu pengamal ilmu sihir hitam, kerana dosa syirik itu paling besar di sisi Allah. Beta percaya, sahabat beta itu mulia orangnya...”

“Ampun tuanku, janganlah dimurkakan akan patik ini,” wajah pengikutnya itu bertukar gerun apabila nada titah putera Gendaloka yang biasanya lembut, kedengaran sedikit keras.

“Panggilkan para lasykar beta untuk bersiap-siaga pulang ke kota. Nampaknya, musuh-musuh kita telah menjauhi negeri kita ini hatta baiklah lekas kita beristirahat dan merawat kecederaan bagi mereka yang luka,” titah putera Gendaloka.

“Baiklah tuanku. Segala titah tuanku akan patik junjung...” Seraya setelah bersembah maka bersegeralah ia mengerjakan suruhan puteranya itu.

Setelah menyampaikan titah putera Gendaloka itu, maka pulanglah segala bala tentera baginda ke kawasan perkampungan yang diamanahkan ayahanda putera Gendaloka di bawah kekuasaannya. Walhal, putera Gendaloka merupakan putera mahkota, tetapi baginda ditugaskan sebagai pembesar di kampung sebagai ketua tentera dan pelindung negeri Cenderawangsih itu. Putera Gendaloka tidak pernah mengeluh malah dijalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan bersungguh, kerana sayangnya akan negeri.

Keberangkatan pulang putera Gendaloka ke kampung disambut ceria oleh para penduduk dan pengikutnya. Kejayaan baginda menghalang serangan musuh mereka menjadi buah mulut rakyat negeri Inderawangsih. Baginda beristirahat seketika di istana hinggap sebelum berangkat semula ke istana agam milik ayahanda baginda. Perjalanan ke pusat pemerintahan Inderawangsih itu tidaklah jauh, kira-kira 30 minit berjalan. Negeri Inderawangsih itu tidaklah segah kota-kota manusia, kerana landskapsnya dipenuhi tumbuhan hijau dan rumah-rumah kayu milik penduduk di situ. Di pusat pemerintahan itu terdapatnya pasar-pasar dan tempat pengajian untuk kaum bunian di situ. Mereka juga bertukang dan berniaga sebagaimana manusia yang lain.

Kendatipun begitu, setiap penduduk negeri itu begitulah bersederhana dan tidak materialistik, hidup dalam keadaan yang tawaduk dan berserah kepada-Nya. Lantaran itu, suasana negeri begitu permai dan suci daripada kelodak pancaroba dunia, jenayah dan kebencian. Setibanya baginda ke istana agam negeri Inderawangsih, putera Gendaloka menapak masuk ke tempat bersemayam ayahandanya. Istana itu tidak semewah mahligai kerajaan manusia, bahkan reka bentuk istana itu seakan-akan binaan masjid lama Melayu tradisional yang dihiasi ukiran khat, ayat-ayat al-Quran. Seni ukiran yang halus itu, sungguh unik dan cantik. Dalamnya terhampar permaidani untuk memudahkan mereka beribadat. Dalam istana itu juga, tidak banyak perabot yang ada, melainkan tempat singgahsana si raja dan almari-almari buku yang terisi al-Quran dan kitab-kitab lama.

“Ampun tuanku...” Sembah Gendaloka, menghadap ayahandanya, Syed Fattah Buana, Raja Bunian Negeri Inderawangsih.

“Wahai anakanda, syukur kepada Allah melihatkan kamu pulang tanpa sebarang cedera. Ayahanda mendengar berita akan serangan musuh kita, jin-jin jahat yang cuba melanggar negeri kita. Alangkah sukacitanya hati ayahandamu ini mendengar kejayaan anakanda,” Syed Fattah Buana bangkit dari singgahsananya, lalu menghampiri Gendaloka sambil memeluk putera sulungnya itu.

“Terima kasih, ayahanda. Akan tetapi, patik telah dilukai dalam pertempuran itu oleh musuh kita,” Gendaloka membalas pelukan ayahanda baginda itu, lantaran memaklumkan hakikat yang berlaku.

“Apakah mata ini mengaburi pandangan ayahanda, wahai anakanda? Apa yang ayahanda saksikan hanyalah anakanda sihat dan gagah, tanpa sedikit pun kesan luka.”

“Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda ini telah dirawat oleh sahabat anakanda, seorang manusia. Sahabat anakanda ini alim orangnya dan berilmu tinggi. Bahkan, ia mempunyai kasyaf pandangannya sehinggakan terlihatnya alam kita yang selama ini tiada seorang insan pun pernah menembusinya. Luka yang dirawatnya bukanlah luka-luka yang biasa. Kesakitan anakanda ini datang daripada senjata yang digunakan jin jahat. Kesan luka senjata itu sangat teruk kerana kesan mantera dan besinya yang mengandungi racun berbahaya membuatkan sukar untuk merawati kecederaan itu. Kuasa Allah, bertemulah anakanda akan sahabat yang membantu anakanda ini,” Gendaloka menerangkan situasi baginda kepada Syed Fattah Buana, menyebabkan ayahandanya itu berasa hairan dengan situasi anaknya itu.

Selama ini, anakandanya itu tidak pernah bercerita dan ingin mendekati manusia malah selalu menjauhinya. Sudah beberapa kali anakandanya berselisih dengan manusia, namun sedikit pun tidak pernah dipedulikannya. Syed Fattah Buana sendiri pernah bertemu dan berinteraksi dengan manusia, namun tidak pernah menjalinkan hubungan persahabatan apatah lagi mendapatkan bantuan daripada mereka.

“Siapakah gerangan nama manusia itu...” Soal Syed Fattah Buana.

“Sutan Abdullah gerangannya, wahai ayahanda...” Jawab Gendaloka.

“Siapakah keturunannya? Dari manakah asal wilayahnya?”

“Ampun tuanku, anakanda tidaklah mengetahui asal dan salahsilah manusia ini, kerana pertemuan kami begitu singkat sekali. Yang anakanda tahu, Sutan Abdullah baru sahaja berhijrah,” terang Gendaloka, menjawab persoalan Syed Fattah.

“Benarkah begitu, wahai anakanda? Tiadakah apa-apa yang diberitahu oleh manusia itu pada akhir pertemuan anakanda dengannya? Apakah anakanda tahu cara menghubungi manusia itu?” Soal lagi Syed Fattah.

“Oh, barulah anakanda teringatkan pesanan manusia yang mulia itu, wahai ayahanda. Anakanda telah dipesan oleh sahabat anakanda itu amanat dan cara untuk kami bersua kembali melalui perhubungan rohani.” Maka Gendaloka pun mengajarkan ayat al-Quran yang diberitahu oleh Sutan Abdullah. Syed Fattah mendengarkannya dengan penuh teliti agar tidak dilupai oleh baginda.

Setelah beberapa ketika, datanglah bersembah Bendahara menamatkan dialog antara dua beranak itu. Gendaloka yang faham akan kesibukan ayahanda itu, meminta izin untuk mengundur diri dan pulang ke kampung jagaannya bagi persiapan pertahanan akan datang. Syed Fattah membenarkan anakandanya pergi dan sempat bertitah untuk tidak cuai melindungi negeri Inderawangsih. Setelah keberangkatan pulang anakandanya, Syed Fattah mendengarkan laporan daripada Bendaharanya, mengetahui hal-ehwal dan selok-belok negerinya.

Pada malam itu, Syed Fattah beristirahat di kamar peraduannya, teringatkan kata-kata anakandanya. Baginda yang agak curiga itu, mengamalkan bacaan al-Quran yang diterangkan oleh putera sulungnya itu. Setelah menghabiskan bacaannya, mulutnya pun mengucapkan;

“Assalamualaikum wahai Sutan Abdullah....” Sebut pertama.

“Assalamualaikum wahai Sutan Abdullah....” Sebut kedua.

“Assalamualaikum wahai Sutan Abdullah....” Sebut ketiga Syed Fattah, sebagaimana diperkatakan anaknya.

“Waalaikumusalam, wahai sahabatku....” Seraya, terdengarlah Syed Fattah Buana, suara Sutan Abdullah, menjawab sahutan salam milik baginda.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.