BAB 7
Hajjah
Halimah mengetap bibir. Panas satu badan, geram tidak terkata, marah tidak terhingga. Kenapalah buat keputusan
tanpa merujuk pada orang tua. Ikut suka
dia sahaja. Kita berdoa siang-malam agar
dia berjaya dalam pelajaran, menggenggam segulung Ijazah, alih-alih hantar sms
kata nak berhenti belajar sebab ingin
berkahwin, Hajjah Halimah mengeluh kesal.
Susah payah dia
menghantar anak bongsunya itu belajar ke Mesir, baru tahun dua dah lain pula
ceritanya. Bukan dia menghalang anaknya
berkahwin, kalau sudah jodoh apa hendak dikata. Tapi takkanlah sampai terpaksa berhenti belajar?
Hajjah Halimah mengeluh lagi. Ah!
Budak-budak sekarang bukan faham perasaan orang tua, apa yang mereka tahu
kehendak mereka harus dipenuhi. Perasaan
orang tua yang terluka tidak perlu diubati.
Hajjah Halimah
berjalan ke hulu ke hilir. Tidak betah duduk diam. Semakin difikir semakin sakit hatinya. Semakin geram dan semakin marah. Kalaulah Syifa’ Umaira ada di hadapan matanya
mahu sahaja dicekik-cekik. Eee…! Geram betullah…!
“Awak ni kenapa?
sakit kepala saya tengok awak ke hulu ke hilir depan saya ni,” tegur Haji
Mansor. Hajjah Halimah mencekak
pinggang. Dia memandang wajah suaminya
yang sedang membaca buku yang baru
sahaja dibelinya dua hari lepas.
“Awak tak risau
ke? Mai nak berhenti belajar? Awak tak ambil tahu pun,” Hajjah Halimah duduk
di sebelah suaminya. Haji Mansor
meletakkan buku yang sedang dibacanya itu di atas meja kopi di hadapannya. Dia memandang wajah isterinya. Dia menggelengkan kepala.
“Siapa yang tak
risau Limah! Itulah satu-satunya anak kita yang menjejakkan kaki ke menara
gading, yang tiga orang lagi setakat
STPM lepas tu terus bekerja, tak nak sambung belajar
lagi… tapi kita nak buat macam mana? Dah
itu keputusan dia. Cuba awak baca sms
anak bongsu awak tu, kalau kita tak bagi kahwin, dia tetap akan kahwin, awak
nak buat macam mana lagi?” Haji Mansor mendengus kasar.
“Sakit kepala
saya ni, kita di sini mendoakan kejayaan dia. Dia senang-senang je ambil keputusan berhenti. Eh! siap nak
kahwin lagi. Kalau tak bagi, tetap akan berkahwin! Kita pula diugutnya,” marah Hajjah Halimah. Haji Mansor tersenyum.
“Tegas tak
bertempat Limah, itulah jadinya. Tidak tetap pendirian. Nanti bila ditimpa masalah baru nak menyesal,” leter Haji Mansor. Hajjah Halimah mengeluh kasar.
“Anak kita tu dah
gila agaknya? Atau pun ada orang buat guna-guna kat dia tak? Itu sebab dia ikut cakap orang tu?” duga Hajjah Halimah. Haji Mansor menggelengkan kepala.
“Tak baik
mendoakan anak dengan perkara yang tak elok Limah. Tak ada siapa nak guna-gunakan anak awak tu.”
“Awak takkan tak
nak buat apa-apa? Awakkan tok kadi?”
“Awak nak saya
buat apa? Awak ingat saya ni apa? Menteri! polis! Saya ni tok kadi je Limah
hoi! Saya boleh nikahkan orang je.”
“Esok orang yang
nak meminang anak kita tu datang. Ya,
Allah! macam mana ni bang? Siapa mereka tu?”
Hajjah Halimah mula resah dan risau.
Risau kerana tidak tahu siapa yang meminang anaknya. Resah kerana sikap Syifa’ Umaira yang
membelakangkannya.
“Tu… dalam sampul
surat tu ada maklumatnya, baca je lah…” Haji Mansor memuncungkan mulutnya
menunjukan satu sampul surat yang terletak di atas almari pinggan-mangkuk. Hajjah Halimah turut memandang ke arah yang
sama. Mereka saling berpandangan.
“Awak dah baca ke?” Tanya Hajjah Halimah. Haji Mansor yang kembali menyambung pembacaannya mengangguk perlahan.
“Awak kenal ke
orangnya?” Sambung Hajjah Halimah lagi.
Haji Mansor mengeluh.
“Kenal Limah,” jawab Haji Mansor perlahan
juga.
“Ish! Awak ni
buat endah tak endah je pertanyaan saya, kita tengah risau, dia boleh buat tak
tahu!”
“Awak nak saya
cakap apa? Memang saya kenal Ustaz Amir
Hudzaifa tu. Warak. Baik. Beriman, tawaduk dengan ilmunya. Ada maahad sendiri. Kalau
tengok dari gambar tu, memanglah itu Ustaz Amir Hudzaifa yang saya kenal, sebab
ada beberapa kali saya ikut kuliah dia.
Tapi setahu saya, Ustaz Amir Hudzaifa tu dah beristeri. Iyalah, saya
pernah jumpa isteri dia. Takkan anak
kita nak bermadu, Limah?” Haji Mansor
baru teringat. Tidak mungkin anaknya nak
bermadu, atau Ustaz Amir Hudzaifa dah bercerai dengan isterinya? Haji Mansor menggaru kepalanya yang tidak
gatal itu tapi sudah dipenuhi uban itu.
“Ada isteri? Ya, Allah! Semakin berserabut fikiran saya bang! Apalah nak jadi dengan anak kita sorang ni? Kenapalah
dia suka sangat buat saya marah? Nasib baik saya tak ada darah tinggi, kalau tidak mahu tumbang saya ni.” Hajjah Halimah mula sebak. Haji Mansor mengeluh kesal. Kalau Ustaz Amir Hudzaifa dari Kelantan tu
memang dia pasti ustaz itu sudah beristeri.
Haji Mansor memandang isterinya yang sudah pun menangis. Dahinya berkerut.
“Yang
awak menangis kenapa?” Tanya Haji
Mansor. Hajjah Halimah mengesat air
matanya. Dia tidak menyangka lelaki yang
meminang anaknya itu sudah beristeri, anaknya pula setuju dan menerima.
“Gila! Memang kerja gila! Anak awak tu tak fikir
masak-masak ke bang? Dia tahu ke tidak
yang Ustaz Amir Hudzaifa tu dah ada
isteri?” Hajjah Halimah mengelabah. Fikirannya mula tidak tenang dan berserabut
ditambah dengan maklumat yang baru diberitahu oleh suaminya bertambah kacau
fikirannya.
“Dahlah, tak payah
awak pening-peningkan kepala! Esok kita tahu jawapannya.” Haji Mansor bingkas bangun. Esok dia akan bertemu dengan Ustaz Amir
Hudzaifa dan rombongannya yang akan datang meminang. Waktu itu bolehlah dia bertanya sendiri pada
Ustaz Amir Hudzaifa status sebenar lelaki yang bakal menjadi calon suami
anaknya. Haji Mansor melangkah menuju ke bilik. Rumah teres setingkat itu dibeli lima belas
tahun dahulu dan sudah pun dibesarkan di hadapan dan belakang. Selesalah untuk dia dan isterinya tinggal. Anak-anak yang lain sudah berkeluarga dan
sudah ada rumah sendiri. Cuma tinggal
Syifa' Umaira sahaja yang bersama dengan mereka.
“Awak nak ke mana
pula tu? Masalah kita belum selesai ni?” Hajjah Halimah memandang suaminya yang
berlalu meninggalkan dia seorang diri di ruang tamu itu. Panggilannya tidak dipedulikan Haji Mansor. Hajjah Halimah mengeluh. Hatinya kecewa. Dadanya sebak. Hancur hatinya dengan sikap Syifa’ Umaira. Buat keputusan tanpa terlebih dahulu
berbincang dengan mereka. Kenapalah anaknya
itu buat keputusan terburu-buru, detik
hati kecilnya.
Sebelum ini tahu
pula anak gadisnya itu memberitahu tentang pemuda-pemuda yang ingin
meminangnya. Semuanya ditolak,
Hajjah Halimah tahu tentang itu kerana
Syifa' Umaira akan berbincang dengannya terlebih dahulu tapi kali ini kenapa
tidak ada perbincangan antara mereka.
Kenapa? Apa dah jadi dengan anaknya itu. Apa yang telah merasuk fikiran
anaknya itu sehingga membuat keputusan di luar jangkaan. Lain yang diharap, lain pula yang jadi.
Dia dan suaminya
menaruh harapan yang tinggi pada Syifa'
Umaira. Syifa' Umaira adalah harapan
mereka. Anak bongsunya itu adalah semangatnya.
Ku sangkakan panas sehingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari,
bisik hati kecil Hajjah Halimah. Pening,
pening! Hajjah Halimah mengeluh lagi. Hendak marah, empunya diri tidak ada di hadapan mata.
Hendak lepaskan geram pada siapa? Kata
hatinya lagi. Kepalanya mula berdenyut, kerana Syifa' Umaira sakit kepalanya menyerang
semula. Migrain...! Anak oh Anak… !