Home Novel Umum ASAM - MASA
ASAM - MASA
Husin Walker al-Rumi
23/10/2017 11:51:04
1,726
Kategori: Novel
Genre: Umum
Senarai Bab
Bab 2

BAB 2

 

Insan yang membawa beg sandangnya itu berlari ke tandas. Mujur hari ini dia berseluar, langkahnya lebih selesa. Aydee tergopoh-gopoh menolak daun pintu. Alamak, tandas wanita di KL Sentral ini penuh! Tanpa disedari, sepatah kata kesat cacian terpacul keluar dari bibirnya. Hasilnya, semua kakak-kakak, adik-adik dan makcik-makcik yang sedang beratur menunggu giliran merenung tajam kepadanya. Segala-galanya umpama anak panah yang menghujani batang tubuh penghuni baharu tandas wanita ini. Mujurlah wajahnya terlindung sedikit oleh topi yang dipakainya. Bahkan ada yang menjegilkan mata sambil tangan kaum Hawa itu menutup telinga anak kecilnya dari mendengar kata kurang sopan si Aydee.

 

Aydee terpaku. Insan bertopi ini mengaduh sendiri. Haruskah dia ke tandas lelaki lagi? Dia tahu, dia bukannya tidak boleh menggunakan tandas itu. Bahkan itulah jenis tandas yang biasa digunakannya dalam 10 tahun terawal kehidupannya. Tapi…

 

Ah, persetankan semuanya! Aku dah tak tahan dah ni, fikir Aydee.

 

Dia lantas melangkah keluar dan menuju ke tandas di sebelah. Perlahan-lahan dia menjengukkan kepalanya ke dalam. Meninjau kalau-kalau ada insan lain. Syukur, tandas lelaki ini kosong. Meskipun kebiasaannya ia lebih kotor berbanding tandas wanita, sekurang-kurangnya dapatlah Aydee mengosongkan pundinya yang penuh.

 

Dengan langkah berhati-hati iras-iras ninja, Aydee melangkah. Dia tidak mahu terpercik air-air yang ada di lantai. Meskipun begnya ada berisi telekung, dia tidak mahu seluarnya dikotorkan dek entah cecair apa yang ada di lantai tandas. Jijik!

 

Satu-persatu daun pintu cubicle tandas lelaki ditolak. Nyata, samada ianya berkunci, bertanda rosak, atau tidak cukup bersih untuknya. Aydee mendengus. Dia terpaksa menggunakan urinal!

 

Sekali lagi Aydee menoleh ke kanan dan ke kiri. Nyata, tiada kaum Adam lain yang akan berdiri kelak di sebelahnya di tempat kencing berdiri ini. Fikirnya, meskipun ada orang-orang tua yang berpesan, kalau cikgu kencing berdiri, nanti murid kencing berlari, Aydee harus mengenepikan segalanya. Pundinya sudah semakin senak. Lagipun, dia bukanlah seorang cikgu.

 

Untuk keselamatan, Aydee mengalihkan beg dompetnya dari kocek belakang ke poket hadapan. Dia kurang selesa melepaskan hajat dengan cara sebegini, namun dia terpaksa.

 

Seusai hajatnya tertunai, Aydee mengancing seluar dan menzipnya kembali. Dia terkedu apabila terdengar derapan tapak yang melangkah masuk ke tandas lelaki itu. Langkah itu terhenti betul-betul di urinal di sebelahnya. Insan yang hadir itu umpama mencari solidariti insan maskulin. Hampir sahaja berdiri bahu ke bahu!

 

Jejaka itu juga tidak sabar untuk menjawab panggilan alam. Maklumlah, segmen terminal yang satu ini masih baharu, dibina khas demi keselesaan para pengguna keretapi berkelajuan tinggi (HSR). Maka, deru penghawa dinginnya masih kuat. Pada suhu seminima mungkin, ia bagai menghadirkan rasional buat warga KL, Kuala 'London' yang kadangkala lebih gemar bertali leher dan memakai kemeja berlengan panjang serta lengkap berkot. Andai kewarasan berpakaian dijelmakan di negara Khatulistiwa yang secara semulajadinya panas berdenting-denting dan tanahnya segan ditimpa salji ini, barangkali entah berapa banyakkah penjimatan kos penghawa dingin dan selanjutnya, alam sekitar yang dapat diselamatkan? Tetapi, sudikah semua membuat anjakan paradigma: maju tidak semestinya berlengan panjang, bertali leher dan berkot, walaupun berpeluh sakan di negara sebegini?

 

Aydee cepat-cepat berpaling dan melangkah pantas menuju ke sinki. Dia masih menunduk, cuba menyembunyikan wajahnya di sebalik topi. Tangannya pantas menekan punat-punat untuk sabun dan pili air.

 

“Adik, sekejap”.

 

Seruan jejaka di dalam tadas ini membuatkan langkah Aydee terhenti. Degupan jantungnya semakin kencang.

 

“Ini wallet  awak, kan? Tercicir kot tadi?”, soal jejaka yang tadinya menjawab panggilan alami di sebelahnya. Di tangannya kini terdapat sebuah dompet yang rona warnanya lebih cenderung ke arah merah jambu.

 

Aydee menepuk punggungnya, memeriksa, sebelum tangannya beralih pula ke hadapan, meraba ke kocek hadapannya. Sahih! Memang dompet yang dialihkannya tadi tercicir. Aduh, cuainya aku.

 

“Ha, nah, ambillah”, kata si jejaka sambil menyuakan dompet itu.

 

Aydee mengangguk lemah. Dalam kegopohannya untuk mengambil dan menyimpan kembali dompetnya itu, secara tidak secara tangannya tersentuh anggota badan berjari lima milik si jejaka. Tidak semena-mena, dompet itu sekali lagi terjatuh. MyKad milik Aydee terpelanting keluar.

 

Barangkali, sentuhan yang tidak disengajakan itu membuatkan si jejaka terkejut. Semacam suatu arus renjatan elektrik mengalir tatkala tangannya disentuh kulit milik si Aydee. Kulit tangan yang terlalu lembut, persis kulit mulus seorang gadis.

 

Si jejaka membongkok untuk mengutipnya seraya memohon maaf. Aydee masih berdiam diri. Kotak suaranya masih belum mengalunkan waima sebutir irama.

 

Insan yang sedang berbongkok itu kini sudah menggapai kedua-dua dompet dan MyKad yang menjadi penghuni sementara lantai tandas lelaki yang sentiasa basah di KL Sentral ini. Sedang dia kembali bangkit, tangannya secara tidak sengaja telah memusingkan dompet dan kad akuan diri itu, mungkin kerana naluri manusia yang sentiasa ingin tahu. Namun, acapkali juga naluri itu membuatkan kita terjerumus ke lembah pengetahuan yang kadangkala memeranjatkan, andai tidak menakutkan.


Dan itulah yang berlaku.

 

Mata si jejaka membulat tatkala terlihat gambar si pemilik MyKad. Wajah feminin yang turut diiringi aksara nombor ke-12 yang bersifat unik membuatkannya terkedu. Lantas, urat di tulang tamparan nyamuknya mengejang, membuatkan si jejaka mendongak deras ke atas. Maka dari sudut itu, terlihatlah wajah ayu insan bertopi di hadapannya. Lidahnya kelu.

 

Aydee yang tersenyum terus mengambil dompet dan MyKadnya. Dalam sekelip mata, dia melafazkan ucapan terima kasih dan meluru keluar meninggalkan jejaka di dalam ruang itu, keseorangan dan terpinga-pinga.

 

Si jejaka terkebil-kebil sendirian. Dia yakin matanya tidak rabun, apatah lagi buta. Baginya, wajah Aydee terlalu jambu bagi seorang lelaki. Kulitnya juga terlalu lembut. Lagipun, nombor terakhir kad akuan dirinya berakhir dengan angka sifar. Itu tandanya si pemilik dompet tadi bukanlah seorang lelaki. Namun, dia juga pasti, pasangan bebola mata yang sama miliknya turut menyaksikan insan misteri tadi baharu selesai menunaikan hajat dengan gaya sama sepertinya, berdiri di urinal!



http://www.portalilham.my/karya/Novel/Umum/WFSJLu3KyCM/HANYUT <<< untuk karya lain

Previous: BAB 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi