Home Novel Umum ASAM - MASA
ASAM - MASA
Husin Walker al-Rumi
23/10/2017 11:51:04
1,724
Kategori: Novel
Genre: Umum
Senarai Bab
BAB 1

“Ke arah membanteras identifikasi kerjaya berdasarkan gender”, itulah tajuk utama yang terpampang di dada akhbar.

 

Lipatan kertas pembawa berita yang tadinya terselit di ketiak Aydee sedikit lembab dan suam. Sesuam mutu kandungan berita yang tertulis di atas kertas bersaiz broadsheet yang berkelebaran 23 inci setengah dan berkepanjangan 29 inci setengah. Mungkin sekarang ini musim slow news day, tiada apa-apa yang menarik untuk dipaparkan. Atau barangkali si editor masih lembab dalam menapis dan menyaring apa yang dilaporkan para wartawan.

 

Aydee menghamparkan akhbar di atas meja. Memang, akhbar ini sedikit unik sebagai bahan bacaan di tahun 2026. Hampir enam tahun sudah berlalu sejak tibanya tahun wawasan yang telah dinanti-nantikan selama tiga dekad. Segalanya telah berubah secara mendadak berbanding 10 tahun yang lalu. Jika dilihat, kini lebih ramai yang membaca secara digital di peranti-peranti elektronik mudahalih mereka. Jari-jemari menyentuh skrin sesentuh, membuatkan mana-mana gajet yang tidak disaluti gentian kaca jenis matte berkilauan, samada walhasil sentuhan tangan yang berminyak, mahupun dek kerana tumpahan bahan-bahan dari sekeliling. Kini, peranti-peranti itu tidak lagi perlu dirapatkan ke telinga, kerana semua pengguna sudah beralih ke dunia gagang dan speaker berbentuk wireless atau Bluetooth. Lagipun, jika masih ada yang membaca akhbar jenis cetakan kertas, kebanyakannya memilih yang bersaiz tabloid. Itupun, jika ada yang masih mahu membaca akhbar!

 

Aydee sebenarnya tahu akhbar yang di hadapannya ini kini di tahap hidup segan mati tak mahu. Ianya masih dicetak dan semata-mata didokong tuntutan agensi-agensi pemerintah. Sayangnya, biarpun dahulunya ia pernah gah membawa berita sahih dan menjana minda serta membakar semangat perjuangan nasionalisma, ia kini telah kehilangan segalanya. Dek kelahapan habuan, atau barangkali kerana cintanya si editor kepada pangkat, ia telah turun ke tahap pemutar berita. Sesuai benarlah ianya kini dijadikan alas kaki atau pelapik makanan bungkus. Namun begitu, tajuk utama yang terpapar hari ini sungguh benar-benar mengujakan si Aydee.

 

Kepalanya berdenyut-denyut. Barangkali inilah penangan pil-pil yang ditelannya tadi. Pil-pil yang menjadi sahabat sejatinya itu umpama oksigen buatnya. Meskipun dia tidak akan mati tanpanya, Aydee tidak rela hidup pula tanpa pil-pil itu. Begitulah magisnya butir-butir silinder berhemisfera kecil berisi hormon sintetik estrogen dan progestogen. Molekul dan rangkaian struktur-struktur estradiol, estril, estron dan progesterone inilah yang telah digunakannya selama 10 tahun untuk menentang segala bencana dan kebejatan yang dibawa molekul-molekul androstenedion, dehydroepiandrosteron, dihydrotestosteron dan testeron yang turut menemaninya sewaktu dilahirkan ke mukabumi ini.

 

Ah, rasa mual dan loyanya kembali muncul. Seusai akhbar di hadapannya dilipat, Aydee cepat-cepat membuka bungkusan berisi asam.  Kepingan demi kepingan asam jenis kulit limau kering dihisapnya. Lagaknya umpama wanita di awal kehamilan.

 

Aydee terdiam, apakah dirinya mengandung?


http://www.portalilham.my/karya/Novel/Umum/WFSJLu3KyCM/HANYUT <<< untuk karya lain

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Husin Walker al-Rumi