Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,242
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 4

Kereta yang dipandu Kamaludin dengan kelajuan sederhana menuju ke sebuah rumah usang di hujung kampung. Sampai sahaja di destinasi yang ingin dituju, kereta itu mengeluarkan signal untuk membelok ke kiri. Selepas melintasi dalam empat lima buah kereta, akhirnya Kamaludin berjaya mencelah masuk keretanya untuk membelok ke kiri. Kamaludin memarkir keretanya itu di halaman rumah Pak Karim yang sudah penuh dengan kereta itu. Amnina sekeluarga keluar daripada perut kereta itu. Langkah Amnina perlahan sahaja. Dia berasa berat hati untuk menjejakkan kaki ke rumah itu. Suasana dalam rumah Pak Karim agak suram walaupun dipenuhi dengan pesakit-pesakit yang datang untuk berjumpa Pak Karim.

"Assalamualaikum." Kamaludin memberi salam ketika berada di pintu rumah papan itu.

Pak Karim yang duduk di suatu sudut di rumah itu menjawab salam. Dia sedang sibuk melayan seorang pesakit. Di hadapannya terdapat sebuah mangkuk berisi garam kasar dan beberapa biji limau purut. Sebilah pisau turut diletakkan di sebelah mangkuk itu. Terdapat juga sebuah mangkuk berisi kemenyan yang sedang dibakar dan beberapa peralatan logam lama yang lain tersusun kemas dengan kedudukan tertentu di atas sehelai kain berwarna kuning. Kamaludin sekeluarga disuruh duduk menunggu gilirannya sehingga sampai.

Selepas menunggu beberapa ketika, akhirnya tiba juga giliran Amnina. Kamaludin menyatakan hasratnya kepada Pak Karim. Pak Karim mengangguk lalu memulakan aktiviti 'scan' ke atas Amnina. Amnina disuruh duduk berhadapan dengan Pak Karim. Dia memejamkan mata dan mulutnya terkumat-kamit membaca mantera dalam suara perlahan.

Selepas beberapa ketika Pak Karim akhirnya membuka mata dan bersuara, "Dia terkena buatan orang."

"Siapa yang dengki dengan keluarga kami ni Pak Karim?" soal Kamaludin agak terkejut.

Perbualan antara Pak Karim dan bapanya tidak diendahkan Amnina. Sebaliknya dia berasa tidak sedap hati. Hatinya memberontak mengatakan bahawa perbuatan ini salah dan mungkin merosakkan aqidahnya selama ini. Walaupun Amnina bukan seorang yang kuat pegangan agamanya, namun dia tidak tergamak untuk menggadaikan aqidahnya sebagai seorang beragama Islam. Akalnya juga tidak mampu menghadam rasional dan logik di sebalik perbuatan Pak Karim. Dia tidak pernah mempercayai bomoh, perkara tahyul, khurafat dan cerita hantu. Namun begitu, lidahnya kelu tidak mampu menyuarakan pendiriannya. Dia berada di dalam dilema sama ada mahu taat kepada ibu bapa dan menghormati orang tua atau menyuarakan pendiriannya. Sebelum pulang, Amnina diberikan beberapa helai kertas yang mengandungi simbol-simbol pelik dan pelbagai amalan zikir yang tidak diketahui sumber dalilnya. Katanya sebagai perlindungan kepada Amnina daripada diganggu makhluk halus.

Beberapa minggu selepas Amnina dibawa berjumpa tok bomoh, keadaan Amnina masih lagi belum pulih, bahkan Amnina semakin agresif dan mudah menangis. Emosinya semakin tidak terkawal. Bapanya menjadi naik berang dengan sikap Amnina. Dia dituduh tidak mahu mengikut nasihat Pak Karim. Ibunya pula bercadang membawa Amnina berjumpa dengan pengamal 'perubatan Islam' pula.

Berpandukan cadangan daripada Kak Ani, Amnina dibawa pergi berjumpa beberapa orang 'ustaz' yang dikatakan mengamalkan perubatan Islam. Bagi Amnina, dia tidak nampak apa bezanya antara bomoh dan pengamal perubatan Islam. Kedua-duanya menggunakan barang-barang semasa proses rawatan yang tidak diketahui dengan jelas apa rasional di sebaliknya. Kedua-duanya mengamalkan bacaan-bacaan dan amalan-amalan yang tidak diketahui dalilnya. Apa yang membezakannya cuma cara mereka berpakaian iaitu jubah, serban atau kopiah. Mereka juga turut memanggil diri mereka sebagai ustaz. Bacaan-bacaan mantera dan jampi serapah digantikan dengan ayat-ayat Al-Quran, zikir dan selawat tanpa dalil yang jelas.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan. Silih berganti Amnina berjumpa dengan pengamal perubatan Islam, namun keadaan Amnina tidak juga beransur pulih. Amnina tetap juga dipersalahkan atas keadaannya itu. Sementara itu, setiap kali Amnina sekeluarga pulang ke kampung untuk berjumpa sanak-saudara, pasti ada dalam kalangan saudaranya yang membawa kisah-kisah mistik setiap kali ternampak Amnina. Pendek kata, muka Amnina menjadi sumber inspirasi kepada kisah mistik. Malah dia sering diminta untuk menceritakan pengalaman aneh yang dialami olehnya. Amnina amat tidak selesa memandangkan kisah-kisah mistik dan tahyul itu bertentangan dengan logik akal.

"Eh, Nina kau dua-tiga hari ada tak nampak kelibat-kelibat makhluk halus. Yalah macam hantu perempuan rambut panjang ke? Hantu pakai baju putih ke? Ada tak?"

"Mengarut semua tu." Amnina berkata di dalam hati. Mulutnya menyimpulkan senyuman.

"Nina, kau tahu tak semalam masa Amir balik dari Kedai Runcit Pak Abu, dia terserempak dengan hantu galah."

"Lagi mengarut. Aku tak percayalah hantu-hantu ni," kata Amnina lagi di dalam hati.

"Tulah, aku dah pesan banyak kali jangan lalu tempat tu, 'keras'. Tapi dia degil."

"Eh Yah, kau tahu tak? Mak Siti jual sayur tu orang kata dia bela jembalang. Jembalang belaan Mak Siti tu yang ganggu anak kau ni."

"Kasihan Mak Siti, kena fitnah orang kampung." Amnina menidakkan, masih lagi di dalam hati.

"Yah, apa kata kau bawa Nina ni jumpa Ustaz Shahril pula lepas ni. Aku dengar dia tu hebat. Dia baca jampi kat air lepastu air tu bertukar jadi agar-agar."

"Eleh Ustaz Arman lagi hebat, dengar cerita dia ada belajar ilmu terbang."

"Ah, mengarut semua tu! Macam mana kamu semua boleh percaya cerita-cerita macam ni." Hatinya memberontak ingin membantah kata-kata ibu saudaranya tetapi lidahnya kelu untuk bersuara. Mulutnya terkunci. Satu patah perkataan pun tidak keluar daripada mulutnya. Dia ingin menjaga hati orang-orang yang lebih tua darinya.

Sementara itu pula, sepupu-sepupunya yang lain hanya memandang sinis Amnina. Amnina pula dianggap bodoh dan kolot. Dia berasa hina dengan pandangan sinis itu. Hal ini berpunca daripada setiap kali Amnina mengalami gangguan emosi, dia akan dipaksa melakukan bacaan-bacaan dan amalan-amalan yang dinasihatkan oleh 'pengamal perubatan Islam'. Dia tiada pilihan walaupun kelakuannya dianggap aneh. Amnina tidak lagi dibuli sebaliknya semakin disisihkan. Oleh kerana saudaranya yang lain menganggap penyakit Amnina akan berjangkit jika berkawan dengan anak-anak mereka.

"Kau tengok tu Maira, apa benda yang dibaca oleh Nina, terkumat-kamit mulut dia sambil goyang-goyang kepala," ujar salah seorang sepupunya sambil menuding jari ke arah Amnina.

"Apalah dibuat Si Nina tu main tabur-tabur garam pula, bazir je," kata mereka pula pada suatu petang Amnina menaburkan garam keliling rumah datuk mereka seperti disuruh Pak Karim.

"Ada lagi orang percaya benda-benda macam ni zaman sekarang ni kan?" kata sepupunya lagi apabila melihat ibu mereka membincangkan tentang perkara tahyul bersama Amnina.

"Kau tengok tu, budak superstitious tu dah balik!"

"Jangan kawan dengan budak tulah, nanti hantu dia berjangkit dengan kita pula."

"Apa benda alahnya ni, ada simbol-simbol pelik pula ni," ujar sepupunya merujuk kepada kertas yang Amnina perlu sentiasa bawa ke mana-mana.

"Bukan aku nak sangat pun buat benda-benda ni semua! Aku terpaksa tahu tak?! Terpaksa! Bilalah semua ini akan berakhir?! Kenapa hanya aku yang perlu berhadapan dengan semua ini?! Kenapa?!" jerit Amnina sepuas-puasnya meluahkan perasaannya. Namun begitu, dia hanya menjerit di dalam hati. Jiwanya memberontak menolak perkara-perkara tahyul, syirik dan khurafat daripada meresap ke dalam mindanya, tetapi di luarannya dia terpaksa bersetuju. Dia amat takut akan dituduh 'kafir', 'masuk neraka', 'tak yakin kuasa Allah' dan sebagainya jika dia menyuarakan pendapatnya. Hal ini semua berlaku kerana di pengakhiran cerita-cerita tahyul mereka mesti diakhiri dengan ungkapan 'tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah' atau 'ilmu Allah itu luas'.

********************

Kamaludin sedang asyik menyelak helaian akhbar di ruang tamu rumahnya. Badariah pula membawa secawan kopi dan dihidangkan kepada suaminya. Amnina mengintai ibu dan bapanya dari dalam bilik. Kata-kata Ustazah Fathiah tentang hukum mempercayai bomoh terngiang-ngiang di telinganya. Dia nekad ingin menceritakan hal itu kepada ibu bapanya. Dia tidak mahu terus-menerus berada dalam kesesatan kerana dia tahu, punca penyakitnya tidak pulih adalah kerana dia telah berbuat dosa dan ingin segera bertaubat.

"Ayah, boleh Nina cakap sikit?"

"Hmm...," jawab Kamaludin acuh tak acuh sambil matanya terus terpaku kepada surat khabar di tangannya.

"Ayah, tadi dalam kelas Pendidikan Islam, ustazah ajar mempercayai perkara khurafat seperti berjumpa tok bomoh tu berdosa."

"Jadi?" celah Kamaludin.

"Hmm... Nina rasakan ayah, rawatan yang Nina jalani ni tak berlandaskan Islam dan ada unsur syirik."

"Tu bukan bomoh, tu perubatan Islam." Belum sempat Amnina menghabiskan ayatnya telah dipotong oleh bapanya.

"Tapi, apa sebab Amnina tak baik-baik. Mungkin sebab cara kita ni salah sebab tu Tuhan tak redha, sebab tu Tuhan tak pernah perkenankan doa Amnina."

"Itu sebab Nina tak amalkan amalan yang dia bagi, tangkal yang Pak Karim beri pun Nina dah bakar kan? Kalau semua benda tu syirik, kenapa mereka menggelarkan diri mereka ustaz. Muka pun nampak baik, pakai jubah pakai serban lagi."

"Tapi tu semua luaran je ayah. Yang pentingkan apa yang berada di dalamnya bukan luaran sebab siapa-siapa pun boleh pakai macam tu dan mengaku diri dia ustaz."

"Ah, Nina jangan nak memandai-mandai ajar ayah. Nina tu apa tahu, ayah lebih tua lebih banyak makan garam dari kamu. Ustazah yang Nina ikut tu wahabi takyah dengar cakap dia dah." Nada suara Kamaludin mula meninggi. Air mukanya turut berubah.

Amnina tidak mampu membantah apabila bapanya mula menggunakan kuasa veto sebagai orang lebih tua. Badariah yang berada di sebelah hanya mendiamkan diri, membantah pun tidak mengiakan pun tidak. Amnina berasa kecewa dengan sikap ibu dan bapanya. Bapanya yang langsung tidak boleh dibawa berbincang dan ibunya yang hanya mendiamkan diri dan sentiasa mengiakan kata-kata bapanya tidak kira betul atau salah. Abang dan kakaknya pula langsung tidak mengambil tahu tentang perihal Amnina. Mereka hanya mahu berlepas diri. Amnina sahaja yang menanggung masalah itu keseorangan dalam keadaan keliru. Dia berjalan masuk ke biliknya dalam keadaan marah-marah.

"Benci betullah! Asal Nina nak cakap je semua salah. Cakap ayah semuanya betul," omel Nina sambil tangannya menutup pintu bilik.

"Apa yang salahnya Nina, apa yang betul?" soal Afrina yang kebetulan berada di bilik.

"Err... takda apa-apalah kak," jawab Nina sambil matanya menjeling ke tempat lain, tidak mahu bertentangan mata dengan kakaknya.

"Malas aku nak cerita, bukannya kakak kisahkan pun masalah aku. Bukan kakak pun yang sakit. Sudahnya masalah ni aku tanggung sorang-sorang." Amnina merungut sendirian. Suara rungutannya perlahan, hanya boleh didengari di telinganya sahaja.

Amnina kembali mengelamun dalam dunianya. Dia sudah pun melepaskan sauh kapal pelayarannya untuk berlayar di lautan fikirannya. Dia mula berkira-kira tentang kebenaran kata-kata ustazah yang didengarnya melalui kelas Pendidikan Islam di sekolahnya. Dia juga menimbangkan adakah benar apa yang dikatakan bapanya itu. Antara bapanya dan Ustazah Fathiah, siapa yang betul sebenarnya? Adakah kedua-dua pendapat mereka betul atau kedua-dua sekali salah? Kalau salah, di mana kebenaran sebenarnya?

"Tunggu, ayah ada cakap yang saya jumpa tu bukan bomoh tapi perubatan Islam sebenarnya. Yang bomoh tu memanglah syirik, perubatan Islam tak. Perubatan Islam itu dibenarkan Islam. Hmm... tapi kan apa beza bomoh dengan perubatan Islam ya? Nina tak nampak beza pun? Yalah mungkin betul apa yang ayah cakap ilmu aku ni masih cetek lagi, banyak lagi yang perlu aku belajar. Okeylah mulai hari ni aku patut tambahkan lagi ilmu pengetahuan aku mengenai perubatan Islam."

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.