Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
40,244
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 10

Bunyi kokokan ayam memecahkan keheningan subuh. Amnina bangun daripada katilnya dengan berasa malas sekali. Dia menggeliat untuk menghilangkan kantuknya. Dia merenung lama beg sekolahnya sebelum bangun untuk mandi dan bersiap-siap ke sekolah.

Amnina kurang berselera ketika sedang bersarapan. Ibunya sudah menyiapkan nasi goreng untuk sarapan hari ini. Hari ini dia bersarapan seorang diri. Bapanya awal-awal pagi lagi sudah pergi ke kebun miliknya. Sementara ibunya pula sibuk melakukan kerjanya di dapur. Setelah menghabiskan suapan yang terakhir dan menghabiskan milonya, Amnina mengambil beg sekolahnya dan keluar daripada rumahnya untuk menuju ke sekolah.

Amnina berjalan kaki menuju ke sekolah. Dia tidak melalui perjalanan yang biasa dilaluinya tiap-tiap hari. Apabila Amnina hampir sahaja ke kawasan sekolah, dia melencong ke belakang sekolah. Dia ingin masuk ke sekolah melalui jalan belakang. Dia tidak mahu barang yang berada di dalam begnya dirampas pengawas sekolah semasa melalui pintu hadapan. Tambahan pula, hari ini Fauzi rakan sekelasnya yang ditugaskan di pintu pagar. Malu dia dibuatnya kalau rahsianya terbongkar.

Dia menempuh hutan belakang sekolah dan berhenti di kawasan lapang iaitu markas rahsianya. Dia meletakkan begnya lalu mengeluarkan barang yang diambilnya daripada stor semalam.

"Fuh, berat betul beg hari ni kan. Barang ni punya pasal aku kena masuk ikut pintu belakang," rungut Amnina sendirian.

Amnina berjalan menuju ke kelas 5 Cempaka dengan wajah sugul. Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Alam Flora yang datang lebih awal berbual sesama mereka. Pelbagai topik yang dibualkan mereka. Ada yang berwajah gembira dan ada yang muram sahaja.

Sebaik sahaja Amnina melangkah masuk ke kawasan sekolah itu, pelajar-pelajar yang sibuk berbual itu tiba-tiba sahaja senyap. Mereka seperti memerhatikan sesuatu. Mereka semua sedang memerhatikan Amnina. Ada sesuatu yang lain pada Amnina hari ini. Haziq yang daripada tadi khusyuk membaca buku berhenti dan memandang kiri dan kanannya. Dia ingin tahu apa yang diperhatikan pelajar-pelajar yang lain. Dia terus memandang ke arah Amnina yang menjadi perhatian semua orang. Dia terpana seketika.

"Amnina, kenapa hari ini awak pakai rantai besi pula ni. Pakai kat leher pula tu. Nak kata fesyen, tak mungkinlah. Mana ada fesyen pelik macam tu. Sah penyakit chuuni dia dah datang balik." Haziq tidak menujukan soalan itu kepada Amnina sebaliknya dia bercakap dengan dirinya sendiri dengan suara perlahan.

Haziq menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Semua orang bertindak menjauhi Amnina. Ada sebahagian pelajar perempuan sudah mula berbisik-bisik sambil memandang sinis Amnina. Namun begitu, berlainan pula dengan Haziq. Dia cuba merapati Amnina lalu menegurnya.

"Amnina, kenapa pakai macam tu? Maksud saya rantai besi tu." Haziq menunjukkan rantai besi yang dibelit di lehernya seperti shawl yang dipakai pada musim sejuk.

"Maksud kau yang ni ke. Ini seal. Fungsinya untuk mengawal raksasa yang aku dah kurung dalam badan aku semalam. Kalau aku tak pakai ni nanti raksasa duduk dalam badan aku mengganas dan serang semua orang," terang Amnina panjang lebar.

"Menyesal aku tanya dia, kenapalah aku tanya soalan yang obvious macam ni," monolog Haziq dalam hati. Dia tidak marah kepada Amnina sebaliknya menyalahkan diri sendiri.

"Amnina, kamu dah besar tahu tak, sampai bila kamu nak jadi macam ni. Sudahlah tu Amnina. Kembalilah ke alam realiti. Sampai masa kamu perlu melangkah juga menuju ke alam kedewasaan." Haziq mula memberikan nasihat kepada Amnina.

"Realiti yang kamu semua lihat bukannya realiti yang sebenar. Overseers mengaburkan pandangan kamu semua untuk menutup kebenaran yang sebenar. Suatu hari nanti kebenaran pasti akan terbongkar dan kamu semua akan lihat wajah dunia ini yang sebenar." Amnina meninggikan suaranya supaya semua orang yang berada di situ mendengar kata-katanya.

Haziq semakin pening dengan tingkah laku Amnina. Dia menekup mukanya dengan sebelah tangannya.

"Aku sangkakan dia telah pulih daripada penyakitnya." Haziq mengeluh perlahan. Amnina terus berjalan meninggalkan Haziq di belakang.

"Kau takkan faham Haziq. Kau takkan faham masalah aku," monolog Amnina sambil menitiskan air mata.

"Tolonglah pergi jauh dari hidup aku, usah ganggu aku lagi. Kau takkan boleh selesaikan masalah aku sebab kau tak faham masalah aku, malah takda siapa pun kat dunia ni yang boleh faham masalah aku," sambung Amnina lagi.

Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke kelas 5 Cempaka. Sampai sahaja di kelas, seluruh pelajar yang duduk di kelas itu berasa terpegun dengan Amnina. Mereka semua memandang Amnina serentak. Ada yang bangun daripada kerusinya. Tanpa mempedulikan mereka, Amnina terus duduk di kerusinya di hujung kelas itu. Dia terus melentokkan kepalanya ke atas meja. Berdesing bunyi rantai besi itu berlaga dengan mejanya.

"Maaflah Haziq, aku terpaksa tipu kau. Tiada raksasa pun yang duduk dalam badan aku. Bukan raksasa yang nak dikurung tetapi sebenarnya akulah raksasa itu. Terkurung dalam tubuh badan ini, terpenjara dalam dunia aku, kehidupan aku. Rantai ini cuma simbolik sahaja, simbolik terhadap diri aku yang dirantai. Tidak bebas untuk menentukan kehidupanku sendiri. Tidak bebas daripada pemikiran kolot masyarakat di sekelilingku."

********************

Amnina seperti biasa melepak di markas rahsianya di belakang sekolah. Kali ini dia tidak bercadang pun untuk bermain dengan Laeveteinn miliknya pun. Dia hanya duduk memeluk lutut di suatu sudut di kawasan lapang itu. Dia termenung memikirkan masa hadapannya yang kelam. Kata-kata ibu dan bapanya masih lagi jelas terngiang-ngiang di telinganya.

Klak!

Bunyi ranting patah dipijak seseorang menghentikan lamunan Amnina. Amnina bingkas bangun dari tempat duduknya untuk menyiasat sumber bunyi itu. Kelihatan kelibat seseorang keluar daripada semak-samun. Amnina amat mengenali susuk tubuh itu.

"Kau lagi, Haziq?" jerit Amnina kepada pelajar lelaki itu dengan nada menyampah.

Kalau boleh dia tidak mahu lagi terserempak dengan lelaki itu lagi sebenarnya. Haziq mengangkat kedua belah tangannya sambil berjalan ke arah Amnina sebagai tanda mengalah.

"Amnina, hari ni awak tak training lagi ke?" ujar Haziq dengan nada bergurau apabila dia mendekati Amnina.

Amnina memandang tempat lain, malas mahu melayan Haziq. Haziq tersenyum dan menghela nafas panjang. Dia terus menanti kata-kata terbit dari mulut Amnina untuk berbual dengannya. Suasana menjadi hening seketika. Masing-masing tidak mahu membuka mulut untuk berbicara.

Amnina memandang semula Haziq lalu berkata, "Kau juga cakap kat aku yang benda ni semua tak wujud. Kau jilat balik ludah kau ke? Atau kau perli aku?" Amnina mengetap bibir menahan geram selepas meluahkan kata-kata itu dari mulutnya.

"Maksud awak, awak dah tak percaya lagi benda tu semua?" tanya Haziq dalam nada tidak percaya. Matanya terbeliak mendengar jawapan dari mulut Amnina setelah lama mendiamkan diri.

Amnina memandang wajah Haziq dengan riak wajah sedikit marah. Dia malas mahu mengulangi kata-katanya itu.

"Okey, okey aku faham. Aku faham," kata Haziq sambil mengangkat kedua belah tangannya tanda mengalah.

"Habis tu?" tanya Haziq lagi sambil menunjukkan rantai besi yang dibelit di leher Amnina.

"Ini ke?" Amnina menjawab soalan dengan soalan sambil menunjukkan rantai besi itu di lehernya.

"Ini sebenarnya...." Kata-kata Amnina terputus di situ. Dia tidak tahu sama ada dia patut menerangkan keadaan yang sebenarnya atau menyembunyikannya daripada pengetahuan Haziq.

"Cakaplah, Amnina. Saya ikhlas nak tolong awak ni," celah Haziq apabila mendengar Amnina terhenti daripada berkata-kata.

"Ikhlas? Hai sejak bilalah ada orang ikhlas nak tolong aku ni. Setahu aku takda siapa pun kat dunia ni nak tolong aku. Semua orang nak ambil kesempatan ke atas aku. Termasuklah orang yang kelihatan seperti ustaz sekalipun," Amnina membalas dengan membuat isyarat menggerakkan empat jarinya sebagai tanda membuka kata. Haziq menghela nafas panjang.

"Amnina, masih ada lagi orang yang nak tolong awak, caring pada awak. Cuma awak je tak tahu," ujar Haziq dengan nada lembut.

"Siapa? Kau ke?" soal Amnina sinis. Amnina mula berputus asa.

"Ya, aku dan Cikgu Suriya." Terbeliak mata Amnina apabila mendengar jawapan yang terkeluar daripada mulut Haziq.

"Cikgu Suriya?" tanya Amnina hampir tidak percaya. Haziq terus mengangguk laju mengiakan pertanyaan Amnina.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari