Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
07 - RAJA SYAITAN DAN 20 PERAJURIT BERKUDA

RAJA SYAITAN DAN 20 PERAJURIT BERKUDA

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Hutan rekreasi. Sekali imbas bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku di kawasan kem motivasi terssebut. Pokok-pokok yang tinggi dan besar dengan daun-daun hijau gelap pada malam hari kelihatan tenang, kelihatan tidak ada satu apa pun kisah untuk disampaikan. Kabus biru gelap setinggi sepuluh kaki perlahan-lahan merangkak dari segenap sudut hutan itu. Beberapa lembaga perkasa menunggang kuda muncul. Kehadiran mereka secara senyap-senyap itu mengundang lolongan sayu anjing-anjing hutan dan unggas-unggas yang baru sahaja hendak merehatkan mata.

Alam jin. Perkampungan jin hutan kelihatan tenang tanpa sebarang gangguan biarpun tidak jauh dari tempat mereka itu, terdapat puluhan anak-anak manusia sedang tekun mengikuti aktiviti program kem motivasi yang dianjurkan oleh sebuah sekolah di bawah kaki gunung tersebut.

Ketika itulah, sekalian lembaga yang menunggang kuda itu menapak perlahan-lahan menuju ke perkampungan jin. Terdapat dua puluh satu penunggang kuda. Setiap seekor kuda itu adalah lebih besar daripada sebuah van atau lori kecil. Ketua mereka berdiri di tengah-tengah. Dengan topi besi bertanduk seperti kambing gurun, jubah hitam berapi yang mengalir ke bumi, dan baju zirah besi berlambangkan tengkorak bertanduk di dada, lengkap dari badan ke hujung kaki, Raja Syaitan Berkuda – Kimaris menjulang pedangnya ke udara sebelum dihunusnya ke arah perkampungan jin itu. Lalu, sekalian perajurit syaitan berkuda yang seramai dua puluh orang itu pun meluru ke depan mengikuti raja mereka untuk menyerang perkampungan jin hutan.

Raja Syaitan Kimaris melibas-libas pedangnya ke udara, lalu muncullah api berwarna hitam dan membakar rumah-rumah kayu jin hutan yang berada di atas darat, di bawah tanah dan juga di atas pokok. Jin-jin hutan yang berupa seperti mawas, harimau, ular, burung hantu, jengking, rusa, kucing dan lain-lain haiwan pun menjerit ketakutan.

Melihat rumah-rumah mereka diserang, kesemua jin hutan pun bertempiaran lari. Alam jin gamat menyampaikan berita, tentang amukan Raja Syaitan Kimaris, yang kini tunduk kepada Pesuruh Iblis, Akalil yang berbangsa manusia itu. Khabar disampaikan melalui bisikan angin, tersebar pantas lalu sampai ke pengetahuan Belian.

“Ini semua angkara kau Belian, habis satu kampung kita diserang. Kau tahukah dengan siapa yang kau cari pasal?”

Belian menyeringai. Marah. Tidak puas hati dipersalahkan oleh pengikut-pengikutnya sendiri. Jauh di dalam hatinya ada perasan takut. Serentak dengan itu juga Belian meninggalkan rumah banglo besar itu, berlari mengikut haluan angin, kembali ke perkampungannya. Kebimbangan Belian bertambah-tambah, lalu dia pun bertukar menjadi bebola api dan memecut laju. Sekejap sahaja, Belian hilang dari daerah itu.

Ketika Belian tiba di perkampungannya, kelihatan berpuluh-puluh pengikutnya sudah pun tunduk dan sujud menyembah Kimaris. Yang berani melawan sudah pun hangus terbakar di merata-rata tempat. Melihat betapa dahsyatnya kekuatan Raja Syaitan Berkuda itu, Belian pun melutut dan tunduk kepada Kimaris.

“Kau yang bernama Belian, bukan?” Mata Kimaris berwarna ungu terang menyorot dan menyuluh dengan ganas ke arah jin hutan itu.

Belian mengangguk dalam ketakutan.

“Kau tunduk kepadaku dan jangan kau ganggu darah daging Akalil itu lagi, maka kau akan selamat di bawah pengampunanku.” Kimaris menghunus pedangnya, lalu diletakkan di bahu Belian.

Belian bersetuju. Peluang hidup mesti direbut.

“Jangan sesekali kau pengapakan putera Akalil atau aku akan memburu dan menghapuskan kau dan pengikut-pengikut kau.” Selesai berkata demikian, Kimaris pun mengarahkan orang-orangnya beredar. Kuda hitam gergasi milik Kimaris berdiri dengan dua kaki sambil meringkik megah sebelum berlari meninggalkan tempat itu. Jubah Kimaris yang diperbuat daripada api hitam itu dibuai-buai angin yang laju sehinggalah Raja Syaitan Berkuda dan pengikut-pengikutnya hilang ditelan kabus.

Belian dan pengikut-pengikutnya masih belum berani bangkit dari sujud. Api hitam terus membakar rumah-rumah mereka. Mayat-mayat jin hutan yang melawan telah rentung menjadi abu.

Ketika itulah, munculnya seorang budak lelaki. Wajahnya disapu dengan darah di bahagian tengah dari atas dahi hingga ke dagu. Satu pertiga mukanya basah dengan darah. Budak lelaki itu adalah Zaqwan Haiqal.

“Mulai hari ini, kalian adalah pengikutku. Pada siang hari aku adalah manusia, dan pada malam hari aku adalah Sqall, dan aku akan menghukum sekalian manusia dan jin pada malam hari.” Suara Haiqal kedengaran garau, tidak seperti biasa. Bayang-bayang Saka Tok Long kelihatan berdiri di belakangnya. Lembaga berbentuk seakan-akan seekor gorila.

Ternyata, Haiqal telah pun bersetuju untuk mewarisi Saka Tok Long.

-o-

Sebuah rumah usang. Di dalamnya terdapat seorang wanita tua berusia sekitar seabad. Tok Long. Nenek tua yang sudah bongkok itu menangis sendirian. Sejak dirinya ditinggalkan Sarimah tempoh hari, nenek tua itu kerap menangis. Dia masih ingat ketika itu Sarimah di dalam van, dia sedang membuat air di dapur. Kemudian ketika dia telah menyiapkan air tersebut, van yang dinaiki Sarimah dan pengurus rumah orang-orang tua itu pun berlalu pergi. Menyangkakan Sarimah tidak lagi mahu bertemu dengannya, Tok Long melaung-laung dengan nada sayu memanggil Sarimah tetapi van itu tetap berlalu pergi.

Sejak hari itu, setiap awal pagi Tok Long sering merayau-rayau mencari jejak Sarimah tetapi dia tidak tahu di mana Sarimah berada. Sampai waktu malam, barulah Tok Long pulang ke rumahnya. Tok Long tidak tahu kenapa, tetapi dia berasa begitu dekat dengan Sarimah. Tok Long tahu, Sarimah adalah seorang perempuan yang baik. Tok Long tahu, dalam hati Sarimah ada semacam perasaan kehilangan. Tok Long mahu menggembirakan hati Sarimah sebagaimana Sarimah mahu menggembirakan hatinya.

Pemergian Sarimah begitu sahaja cukup melukakan hati Tok Long. Malam itu, Tok Long merenung bintang-bintang di langit. Tok Long cuba mengingati kisah silamnya. Kenapa dia menyisihkan diri daripada keluarganya.

Tok Long tidak mahu, tidak mahu keluarga atau warisnya tahu di mana dia berada. Tok Long tidak mahu saka yang menguasai dirinya diwarisi oleh anak cucunya. Tok Long menjauhkan diri daripada semua yang mempunyai pertalian darah dengan dirinya supaya sakanya tidak dapat mencari pewaris baru. Tok Long mahu matinya tidak diketahui. Tok Long mahu saka itu tidak bertuan buat selama-lamanya.

Tok Long gagal... Saka Tok Long telah memilih waris baru.


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.