Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
04 - MURID JADI MANGSA JIN HUTAN

MURID JADI MANGSA JIN HUTAN

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Beberapa bulan lagi, peperiksaan akan bermula. Pihak sekolah bercadang mengadakan kem motivasi untuk murid-murid darjah enam yang bakal menduduki peperiksaan. Haiqal bercadang memberitahu ibunya Sarimah, dia ingin benar menyertai kem motivasi tersebut. Sarimah tidak bersetuju, lalu dia pun berbincang dengan Odah.

“Haiqal beria-ria benar mahu pergi kem motivasi tu. Aku tak tahu nak cakap apa lagi.” Sarimah menuangkan air teh ke dalam cawan, lalu diletakkan pada Odah.

“Pergi kem motivasi ni ada baik dan buruknya, Sarimah. Yang baiknya, kalau modulnya bagus, baiklah untuk pelajar-pelajar. Kalau bab-bab keselamatan terjamin, baguslah.” Odah menyambut cawan berisi air teh daripada Sarimah, lalu meneguknya.

Ketika itu, kes-kes berkaitan kencing tikus belum ada. Ketika itu, kawasan-kawasan air terjun, kolam dan sungai masih bersih. Alam semula jadi masih lagi terjaga.

“Aku risau dengan anak aku sebenarnya. Haiqal tu, dah tak macam dulu. Makin biadab dengan aku. Kalau aku tak bagi dia pergi, aku takut dia makin memberontak, makin melawan cakap aku.” Sarimah menyandarkan dirinya pada sofa panjang.

“Aku dengar, dekat kem itu nanti, biasanya ada program yang akan buat budak-budak ini insaf, sedar diri dan bila balik nanti mereka akan berubah jadi lebih baik, lebih sopan, lebih yakin, lebih bersemangat... macam-macam benda-benda baik.” Odah melihat ke dalam cawannya. Dia menjilat bibirnya. “Sedap air teh kau ni, Sarimah. Boleh tuangkan lagi?”

-o-

Sarimah dan Haiqal tiba di kawasan sekolah. Ketika itu sudah ramai pelajar darjah enam berada di sekitar tapak perhimpunan.

“Mama, kalau Haiqal dan sampai nanti, Haiqal telefon Mama. Mama jangan risau, ya?” pujuk Haiqal.

Sarimah keberatan berpisah dengan anaknya. Namun sekejap sahaja, Haiqal sudah dikerumuni kawan-kawan sekolahnya.

“Haiqal, cikgu dah panggil suruh berhimpun. Cikgu nak kira orang!” jerit Adam, yang juga merupakan salah seorang peserta perkhemahan.

Sarimah memeluk dan mencium Haiqal di pipi. Perbuatan itu diperhatikan dan diketawakan oleh kawan-kawan Haiqal. Budaya orang Barat tampak berbeza dengan budaya orang tempatan.

“Dah besar pun nak peluk cium lagi,” bisik salah seorang pelajar sekelasnya. Haiqal terdengar kata-kata tersebut tetapi Haiqal tetap diam dan bersabar.

Haiqal teringat, ustaz di sekolahnya pernah mengatakan bahawa orang mengata buruk kita di belakang-belakang, sebenarnya telah memberi kita pahala percuma jika kita bersabar. Orang yang memburuk-burukkan kita itu pula telah berhutang dosa dengan kita, hutang akhirat di mana kalau dia tidak meminta maaf dengan kita dan kita tidak memaafkannya, azab akhirat akan menunggunya. Selagi kata-kata buruknya tidak memudaratkan kita, kita tak perlu risau.

-o-

Selepas dua jam perjalanan, rombongan perkhemahan Haiqal tiba di kaki pergunungan (nama gunung dirahsiakan untuk kebaikan pihak-pihak tertentu). Haiqal dan kawan-kawannya disambut oleh beberapa orang fasilitator. Memang tegas layanan mereka.

“Sebelum kamu semua berangkat ke tapak perkhemahan masing-masing, kesemua barang larangan mesti diserahkan kepada fasilitator. Telefon bimbit, pemetik api, rokok, permainan video dan apa sahaja barang-barang yang boleh mengingatkan kamu kepada rumah kamu mesti diserahkan. Sekiranya selepas ini, kami masih temui barang-barang tersebut di kalangan kamu, semua peserta akan diminta berendam di dalam air lumpur sehingga jam 3 pagi.” Ketua komander berdiri tegak sambil berpeluk tubuh.

Haiqal teringatkan bahawa dia telah berjanji untuk menelefon ibunya malam ini. Haiqal mengeluarkan telefon bimbitnya lalu cuba menelefon ibunya.

“Alah, tak dapat!” Rupa-rupanya tidak ada liputan satelit di kawasan hutan ini. Haiqal mula bimbang ibunya akan risau.

“Saya bilang sampai sepuluh sahaja. Jika semua barang larangan masih belum diserahkan kamu semua akan didenda! Satu... dua... tiga...” Mendengar kata-kata fasilitator tersebut, semua peserta pun semakin kelam-kabut mengambil dan menyerahkan barang-barang larangan kepada fasilitator. Haiqal terpinga-pinga.

“Sepuluh....” Ketua komander kem, memandang ke arah Haiqal. Dilihatnya Haiqal masih lagi memegang telefon bimbit. “Kamu akan berendam di dalam air lumpur malam ini!”

-o-

Malam. Gelap. Jarum jam sudah menganjak ke angka dua belas. Sarimah mundar-mandir di ruang tamu. Sekali-sekala dia memandang telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Haiqal belum lagi menelefonnya.

“Kau kena jenguk anak kau tu, Sarimah...” Suara Tok Long tiba-tiba bergema di dalam telinga Sarimah. “Kau nak dia jadi macam suami kau?”

“Betulkah ini?” Sarimah tersentak mendengar perkataan ‘suami’ disebut oleh bisikan itu. Perasaan bimbang mula berguling-guling meruntun hati Sarimah. Degup jantungnya bertambah kencang.

“Tak boleh jadi. Kenapa Haiqal tak telefon-telefon lagi?” Selepas kehilangan suaminya, Haiqal adalah satu-satunya permata hati yang mengubat kerinduannya. Tanpa berfikir semasak-masaknya, Sarimah bertekad untuk pergi ke kem tersebut malam ini. Dia ingin tahu keadaan anaknya.

Sarimah menutup pintu rumah banglonya rapat-rapat. Dia membuka pintu kereta. Biarpun baru mendapat lesen percubaan, Sarimah tetap yakin untuk memandu jauh ke kem tersebut. Lampu kereta dihidupkan, enjin kereta mula berbunyi, tayar berpusing dan kereta yang dipandu Sarimah pun mula meninggalkan perkarangan rumah banglo.

Di puncak hujung atap banglo, kelihatan satu lembaga hitam kelabu berupa beruk melompat ke bawah, betul-betul di atas bumbung kereta tanpa sebarang bunyi. Sarimah terasa keretanya berat sedikit, tetapi kebimbangannya terhadap Haiqal telah mengatasi perasaan curiganya tentang apa yang sedang berlaku ke atas keretanya.

-o-

Bau lumpur sangat kuat. Haiqal hampir mahu menangis apabila melihat suasana di kawasan berlumpur itu. Gelap, berkabus dan menyeramkan. Bunyi cengkerik begitu kuat seolah-olah turut sama mengetawakan Haiqal.

“Masuk ke dalam lumpur, duduk di situ. Jangan risau kerana ada fasilitator menjaga kamu.” Tegas sekali nada lelaki muda itu. Dia adalah salah seorang fasilitator yang paling tegas di situ. Petang tadi dia baru sahaja mendenda ketuk ketampi untuk beberapa orang pelajar yang didapati telah melanggar peraturan. “Jangan anggap ketuk ketampi ini satu denda kerana ketuk ketampi ini bagus untuk mencerdaskan minda. Kami suruh kamu buat ketuk ketampi supaya kamu bertambah bijak, dan bila kamu bijak, kamu akan berfikir dahulu sebelum bertindak.”

Haiqal menanggalkan kasutnya. Diletakkan kasut itu di pinggir kolam berlumpur. Dia mencelupkan tapak kakinya ke dalam air berlumpur, sejuknya terasa hingga ke tulang sumsum.

“Saya... saya minta maaf, bang.” Tiba-tiba Haiqal bersuara. Suaranya terketar-ketar.

“Jangan jadi penakut. Setiap perbuatan ada balasannya. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Terima hukuman kamu, esok jangan buat lagi.” Tenang sahaja suara fasilitator tersebut. “Turun!”

Tengkingan secara mengejut oleh fasilitator itu telah menyebabkan Haiqal secara spontan terjun ke dalam kolam berair itu. Air kolam melimpah ke pinggir dan mengenai kasut si fasilitator.

“Berendam dan jangan keluar selagi tidak ada arahan.”

Haiqal akur. Fasilitator tersebut pun beredar dari situ, menuju ke satu stor barang-barang yang berada kira-kira 20 meter dari situ. Sengaja mahu menguji keberanian Haiqal untuk duduk bersendirian di dalam kolam berlumpur itu.

Tiba-tiba Haiqal terasa ada benda di sekelilingnya. Dia terasa ada benda menggeletek tapak kakinya. Kemudian benda itu menggeletek perutnya. Haiqal tidak mampu menahan geli lalu dia pun menjerit dan cuba berlari ke tebing kolam tetapi suaranya tidak keluar. Dia pun memandang ke sekelilingnya. Dia rasa ada sesuatu memeluknya dari belakang. Ada sesuatu menekap mulutnya supaya dia tidak mampu bersuara. Ada sesuatu menghalangnya daripada menjerit.

“Uuuuuuuuop... uuuuuoopp!” Kedengaran suara seperti suara siamang di mana-mana.

Haiqal mendapati ada beberapa ekor lembaga hitam berbulu mengelilinginya. Haiqal lebih terkejut apabila melihat satu lembaga di depannya. Lembaga itu mirip Haiqal. Haiqal Palsu! Haiqal Palsu tersengih memandang Haiqal yang sebenar. Haiqal Palsu meletakkan jari telunjuknya di bibirnya. Mata Haiqal Palsu mirip mata seekor kucing.

Haiqal meronta-ronta tetapi segala-galanya bagaikan mimpi. Pergerakannya terasa semakin perlahan. Pandangan Haiqal gelap. Haiqal mula terasa dirinya berada di satu alam yang serba gelap. Dalam dunia yang aneh itu, Haiqal dapat mendengar suara ibunya, Sarimah. Suara Sarimah menyebut nama Haiqal berulang-ulang kali. Haiqal dapat melihat samar-samar jasad lembaga wanita memancarkan cahaya berwarna ungu kemerahan sedang duduk sambil memandu kereta. Itu adalah ibunya yang sedang memandu kereta dari jauh bersama-sama seorang teman. Teman yang berupa orang tua bongkok yang duduk di atas bumbung kereta. Orang itu ialah Tok Long!

“Mama! Tok Long! Tolong Haiqal!” Mata Haiqal terbeliak! Dia cuba melambai-lambai ke arah ibunya, tetapi ibunya masih fokus memandu.

-o-

“Kau kena cepat, Sarimah! Kau mesti cari Haiqal!” Suara Tok Long bergema lagi. Berbisik-bisik seperti seorang penasihat.

Kereta yang dipandu Sarimah bersendirian merentasi jalan raya. Di sekelilingnya penuh dengan hutan. Lembaga berupa beruk yang berwarna hitam kelabu itu terus kaku di atas bumbung kereta, seolah-olah menjaga keselamatan Sarimah!


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015: Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015: Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015: Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015: Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.