Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 28
BAB 28

Petang itu, bunyi deruan enjin bot membelah laut biru seakan memberi satu kebebasan dan keseronokan kepada mereka. Tamparan angin yang kuat menerpa ke wajah menjadikan wajah sedikit kebas namun terasa segar. Sesekali bot sedikit melambung melawan arus ombak yang membadai sementara burung-burung berlegar-legar diudara menunggu masa untuk menyambar ikan di lautan.

Beberapa buah bot laju juga kelihatan turut membelah lautan yang membiru. Pulau Kapas yang kelihatan kecil sebentar tadi kini semakin membesar menandakan mereka sudah menghampiri pulau. Kejernihan air disekitar pulau sangat memukau mata memandang. Setibanya di jeti, Wanda dan Mimi telah sedia menanti mereka di sana. Nampak kelegaan di wajah mereka setelah melihat ketibaan Irfan dan staf yang lain.

Lisa meletakkan kepalanya di atas bantal yang empuk. Sekejap dia berpusing ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Lisa melihat Wanda dan Mimi telah pun tidur dengan nyenyak. Mata Lisa tidak dapat dilelapkan walaupun badan Lisa terasa begitu letih disebabkan perjalanan yang jauh siang tadi. Sudah menjadi kebiasaan bagi Lisa untuk sukar melelapkan mata di tempat yang baru.

“Tak boleh jadi ni…” Lisa bangkit daripada pembaringan.

Selendang yang disangkut di rak dicapai lalu diletakkan di atas kepala. Pencahayaan yang kurang di dalam bilik sedikit menyukarkan pergerakan Lisa. Lisa melangkah perlahan-lahan agar derap langkahnya tidak mengejutkan Wanda dan Mimi.

Pintu bilik dibuka. Angin malam mula menerpa ke wajah. Bangku di luar beranda ditarik lalu Lisa melabuhkan punggungnya di situ. Lisa termenung panjang melihat kepekatan malam di lautan yang hanya diterangi cahaya bulan. Kerdipan lampu dari Bandar Kuala Terengganu juga dapat dilihat dari sini walaupun ia jauh.

“Hai, termenung jauh nampak?”sapa seorang lelaki.

Lisa memandang ke sekeliling. Namun, tidak kelihatan gerangan empunya suara.

“Di sini… Sebelah rumah kau ni.”

Lisa berpaling ke arah yang disebutkan.

“Eh, awak buat apa dekat sini?!” marah Lisa dek kerana terkejut dengan kelibat Irfan. Bulat matanya memandang Irfan.

“Aku dah lama dekat sini… Kau sahaja yang tak perasan,” kata Irfan sambil tangannya menongkah dagu di beranda chalet sebelah.

“Ya ke? Tak perasanlah gelap-gelap macam ni.” Lisa memperbetulkan tudungnya.

“Ini kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Irfan.

“Tak boleh nak tidurlah… Risau fikir hari esok. Saya bukannya pandai nak jadi model ni… Ini semua awak punya pasal!” Lisa sedikit meninggikan suara.

“Kenapa salah aku? Bukan itu impian kau ke?” Irfan tersenyum sinis.

“Impian? Saya rasa macam awak dah selidik saya ni....”

“Ya, impian.... Bukan ke kau yang tulis dekat kertas suatu ketika dahulu?” Irfan sedikit menduga Lisa.

“Kertas?”

“Ingat tak dulu kau pernah ikut aku ke rumah semasa mama aku pengsan tu. Masa tu bukan main kau hempuk aku dengan fail kan? Kalau nak tahu kertas hijau pucuk pisang tu dah terjatuh dalam kereta aku.... So,aku bacalah,” bohong Irfan padahal hakikatnya dia yang menarik keluar kertas tersebut daripada fail Lisa.

“Kertas hijau pucuk pisang?” Lisa cuba mengingati.

“Alaa… Yang tulisan dekat atas tu ada ditulis Lisa Sweet… Sweetlah sangat. Masam adalah…”

Lisa menelan air liur. Ya, kertas itu telah ditulis segala impiannya ketika bosan menunggu seminar habis ketika berkursus di hotel pada awal tahun baru-baru ini.

“Ishh, dia ni… Pandai-pandai sahaja baca kertas orang!” bebel Lisa.

“Dah kertas tu sengaja nak bocorkan rahsia kau…” Irfan mengusik. Cantik wajah Lisa kalau marah.

“Eeee…” Lisa menggerakkan tangannya seperti mahu mencakar Irfan.

“Jarak macam ni, mana dapat kau nak cakar aku…” Irfan hanya ketawa.

Lisa terus masuk ke dalam bilik. Geram hatinya. Ini tak boleh jadi! Lisa membuka peti ais.

Selipar diluar cepat sahaja disarungkan dikaki. Lisa terus melangkah ke chalet sebelah.

“Nah!” Lisa menjiruskan air sirap sejuk ke badan Irfan yang sedang leka menghayun buaian di luar beranda.

T-shirtputih kini bertukar warna. Sepantas kilat Lisa berlari masuk ke dalaam bilik. Pintu dikunci. Diluar Irfan sedang berang.

“Padan muka kau!” Lisa tersenyum puas setelah mengintai disebalik langsir bilik. Kurang ajar baca kertas aku! Lisa bergerak perlahan-lahan ke katil. Dia tidak boleh tidur begitu lambat kerana bimbang matanya akan sembab esok pagi.

Awal-awal lagi mereka telah tiba di Pulau Gemia dengan menaiki bot yang ditempah khas. Segala kelengkapan pengambaran juga dibawa bersama. Pada mulanya, mereka mahu menginap di Pulau Gemia, tetapi rezeki mereka tiada disebabkan tempahan bilik semuanya penuh dan sebab itulah mereka mengambil keputusan untuk menginap di pulau yang berjiran dengan Pulau Gemia iaitu Pulau Kapas. Maka, dapatlah mereka merasai keindahan panorama di kedua-dua gugusan pulau ini.

Pagi itu wajah Irfan mencuka begitu juga dengan Lisa. Wanda, Mimi dan yang lain hairan dengan perubahan tingkah laku model-model mereka sepertinya ada satu perang sedang berlaku.

“Mereka berdua ni kenapa? Semalam aku tengok ok sahaja,” tanya Jayjay pada Daus.

“Entahlah....” Daus mula memasang payung besar.

“Haa.... Model-model sekalian cepat datang sini. Kami nak cat muka-muka yang masam hari ni… Cepat!” kata Jayjay sekadar mengusik. Pelbagai lawak diketengahkan ketika menyolek wajah model mereka namun tidak berhasil.

“Eh, lambat lagi ke nak siap ni? Muka dah macam monyet sarkas kalau bersolek macam mana pun tetap macam monyet sarkas!” tajam mata Irfan memandang wajah Lisa yang sedang disolek oleh Mimi.

“Siapa monyet sarkas? Baduk sarkas mana yang busuk sangat mulut dia pagi-pagi ni?” balas Lisa.

“Cik Lisa yang lawa macam ni Encik Irfan cakap macam monyet sarkas?” tanya Mimi.

“Lawa kau cakap Mimi? Ini kalau geng-geng monyet sarkas tengok pun boleh lari ni!” Irfan tidak berpuas hati. Panas betul hatinya bila teringatkan peristiwa semalam.

“Dahlah tu Mimi.... Tak payah layan baduk sarkas ni.... Memekak sahaja kerja. Dah tak ada kerja ke baduk yang datang mengacau orang ni?” tanya Lisa sambil tangannya mencapai jambangan bunga.

“Dia kata aku baduk? Haishh....” Panas hati Irfan.

“Encik Irfan, Cik Lisa… Nah,cepat tukar baju dalam khemah. Ini bajunya.... Cepat sikit ya,” panggil Daus selepas telinganya rimas mendengar pergaduhan antara Irfan dan Lisa.

Busana pengantin yang direka khas ini bertukar tangan. Pemakaian Lisa dibantu oleh Mimi manakala pemakaian Irfan dibantu oleh Jayjay. Sudah menjadi kebiasaan orang lelaki akan bersiap lebih cepat berbanding wanita. Perempuan banyak benda yang perlu dititikberatkan. Tudung yang berwarna merah jambu lembut yang bersulamkan manik-manik indah dipakaikan dikepala Lisa menutupi mahkota wanitanya. Gaya solekan yang dikenakan begitu secocok dengan padanan tudung dan baju yang dipakai.

“Aku ke ni?” Lisa menatap wajahnya dicermin.

“Cantik.... Bila ya aku nak kahwin?” Lisa memuji diri sendiri.

Tiara indah diletakan diatas kepalanya. Senyuman terukir diwajah Lisa sementara Irfan diluar telah lama menanti.

Lisa melangkah keluar dari khemah. Angin pantai yang bertiup lembut membantu mencantikkan persembahan pakaian yang dipakai oleh Lisa. Kain yang lembut terbuai – buai mengikut tiupan angin. Senyuman diukir seikhlas mungkin. Muka yang tadi terasa ketat cuba dilonggarkan.

Irfan yang dari tadi menghirup minuman sejuk terpesona dengan penampilan Lisa. Sangat cantik dan menawan!

“Irfan carikan ya? Kalau boleh, carikan calon menantu betul untuk mama sekali ya… Model pengantin mama dan menantu mama....” Tiba-tiba sahaja ayat ini terngiang-ngiang ditelinga Irfan.

“Ok, kita boleh mulakan pengambaran kita....” Encik Fuad bersuara setelah memperbetulkan apa yang patut pada rekaan busana pengantinnya.

Irfan tersedar daripada lamunan. Lisa melangkah angkuh tanpa memandang Irfan dibelakang. Lisa cuba berlagak dengan Irfan.

“Encik Irfan tengoklah monyet sarkas dah menjadi tuan puteri yang cantik jelita,” bisik Mimi pada Irfan.

Irfan tidak mempedulikan kata-kata Mimi. Irfan tersenyum sinis. Gadis ini mesti dikenakan balik diatas perbuatannya semalam.

“Kacak juga engkau baduk sarkas dengan baju melayu siap bertanjak dan bersamping ni… Ala-ala Putera Raja Melayu zaman dulu kala. Alahai, cair hati aku....” Lisa memuji dalam diam.

“Fokus Lisa! Fokus! Perang tetap perang!” Lisa menguatkan semangat.

“Encik Irfan dan Cik Lisa boleh duduk dekat sikit,” kata Raizal selaku fotografer hari itu kerana sejak dari tadi model dihadapannya kaku.

“Sanalah sikit!” Lisa menolak keras bahu tegap Irfan apabila badan lelaki tersebut terlalu hampir dengannya.

Irfan tidak mempedulikan amarah Lisa. Irfan semakin menghampiri Lisa. Lisa masam mencuka.

“Cik Lisa tolong senyum. Senyum seikhlas mungkin. Tangan kanan Cik Lisa cuba letakkan di dagu… Macam ni....” Raizal menunjukkan gaya.

Irfan meletakkan tangannya dibahu Lisa.

“Profesionallah sikit monyet sarkas.... Ingat murah ke mama aku bayar fotografer ni?” Irfan berbisik ditelinga Lisa.

Lisa menepis tangan Irfan yang berada dibahunya. Mahu sahaja dicakar-cakar muka Irfan. Geram hatinya!

“Maafkan saya.... Saya nak rehat 2 minit. Saya nak betulkan moodsaya sekejap,” kata Lisa meminta izin daripada fotografer.

“Engkau ni kenapa! Berlagak macam artis la pula,” sindir Irfan sambil duduk di batuan pantai.

Lisa menjeling tajam ke arah Irfan. Irfan tersenyum sinis.

“Baiklah.... Kami bagi awak masa. Tapi pastikan lepas ni awak bagi kerjasama.... Encik Irfan pun sama.... Profesional sikit,” kata Raizal.

“Aik… Aku pun kena?” Irfan menunjukkan dirinya.

Lisa meneguk air sejuk yang telah disediakan. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan perlahan-lahan dihembus keluar. Segala perasaan geram pada Irfan dilemparkan ketengah lautan. Dia perlukan aura positif untuk menjayakan sesi fotografi ni.

“Senyum Lisa… Senyummmm...,” pujuk hati Lisa.

“Ok, kita mulakan,” kata Lisa setelah merasakan moodnya telah kembali.

“Jaga kau Irfan! Aku akan buat senyuman aku ni dapat mencairkan hati kau yang keras bak batuan yang kau duduk tu....”

Lisa menghampiri Irfan dengan senyuman yang sangat menawan. Irfan mengalihkan pandangannya. Hatinya bergetar.

“Hahaha... Balaslah senyuman aku ni… Apa lagi.... Takut ke?” bisik hati Lisa. Kini, keyakinan diri mula menjalar ke segenap tubuhnya yang langsing.

“Ok, kita mulakan sekarang,” kata Daus.

Lisa dan Irfan mengambil tempat masing-masing. Pelbagai gaya dipersembahkan. Walaupun pada mulanya Lisa berasa kekok dan tidak mahir, setelah beberapa kali ditunjuk ajar oleh Daus dan Raizal, Lisa dapat melakukannya dengan baik. Senyuman yang indah diukirkan diwajah agar menampakkan ketampanan dan kecantikan masing-masing. Kali ini Lisa dan Irfan dapat memberikan kerjasama yang baik walaupun didalam hati sepertinya ada gunung berapi yang mahu meletus.

Beberapa persalinan baju telah ditukar. Kali ini sudah kali yang ke empat. Untuk busana yang keempat ini, Lisa mengenakan gaun kembang putih yang dilapisi dengan kain lace yang begitu indah sekali sulamannya. Permandangan alam semulajadi membantu mencantikkan lagi persembahan gaun tersebut.

Sut hitam mewah yang dipakai Irfan sangat sesuai dengan badannya yang tegap. Kali ini belon merah jambu dan putih yang diikat dengan riben putih dipegang Irfan. Ini sekadar mencantikkan ilusi di dalam gambar setelah ia dicetak nanti. Angin pantai membantu belon-belon tersebut menari-nari diudara. Taburan kelopak bunga ros merah juga ditaburkan di atas pasir pantai yang memutih. Gambar-gambar ini pasti akan cantik ditambah pula dengan kepakaran teknik fotografer menangkap gambar. Beberapa pelancong asing turut melihat sesi pengambaran yang sedang berlansung. Mereka turut memuji kecantikan model dan baju pengantin yang digayakan.

“Alhamdulillah.... Selesai juga pengambaran kita hari ini.... Kita akan sambung empat persalinan lagi esok. Pastikan kamu berdua tak bergaduh macam hari ini. Faham?” kata Encik Fuad tegas.

“Baiklah Encik Fuad,” kata Lisa lalu menjeling pada Irfan yang sedang bercakap dengan pelancong Inggeris yang sejak dari tadi menonton pengambaran mereka.

Lisa menghampiri Irfan.

Congratulation both of you....Kamu berdua adalah pasangan pengantin yang sepadan dan sangat hebat!” kata pelancong tersebut pada Lisa dan Irfan.

Lisa dan Irfan berpandangan. Orang Inggeris ini pandai bercakap Bahasa Melayu?

“Terima kasih… Kamu boleh bercakap Bahasa Melayu? Amazing...,”puji Lisa.

“Boleh sikit-sikit.... Kami dah banyak kali datang ke sini. Kami sukakan Malaysia dan budaya yang ada. Banyak kami belajar perihal budaya dan bahasa di sini, ” kata wanita Inggeris dengan senyuman mesra di wajah.

“Boleh kita tangkap gambar bersama-sama?” tanya wanita tersebut.

Sure....Boleh-boleh… Tidak ada masalah,” kata Irfan.

Lelaki Inggeris tersebut meminta bantuan Daus untuk menangkap gambar mereka.

Beberapa keping gambar diambil.

“Terima kasih.... Semoga kamu berdua hidup bahagia dan dikurniakan anak-anak yang comel.”

Terbeliak mata Lisa mendengar ungkapan tersebut. Anak-anak? Ini mesti mereka berdua salah faham.

“Tapi kami bukan pasangan pengantin… Kami hanya menjalankan pengambaran untuk koleksi baju pengantin ni,” Lisa memperbetulkan salah faham yang ada.

“Owh.... Kami ingatkan kamu pasangan pengantin. Kamu berdua sangat sesuai kalau bersama. Pandangan mata encik ni seperti sukakan cik,” kata wanita itu lagi.

Irfan pura-pura memandang ke atas. Entah apa yang dilihatnya. Lisa tersenyum kelat. Setelah beberapa lama berbual mesra, pelancong tersebut meminta diri. Ramah betul mereka berdua menyapa orang yang tidak dikenali. Lisa turut bangga kerana orang asing turut belajar dan memahami Bahasa Melayu.

“Kau jangan ambil kisah sangat apa yang dikatakan pelancong tadi tu… Aku tengok kau, aku pun dah naik menyampah tau tak?” Irfan menunjukkan jari telunjukknya betul-betul dihadapan mata Lisa.

Lisa memalingkan mukanya agar matanya tidak tertusuk jari telunjuk Irfan.

“Haa.... Monyet sarkas tak reti-reti lagi nak tukar baju butik mama aku ni? Habis melekat peluh! Busuk!” sindir Irfan selepas melihat Lisa tersengih seorang diri. Irfan sengaja menyalakan api kemarahan Lisa.

“Busuk-busuk saya pun, tak adalah kena mandi air sirap....” Lisa membalas sindiran Irfan.

“Sekejap-sekejap… Air sirap?” tanya Mimi yang sejak dari tadi mendengar pertelingkahan mereka.

Lisa memandang Mimi.

“Ya, air sirap.... Air sirap yang dalam peti ais kita tu Lisa dah gunakan untuk mandikan Si Baduk ni semalam.”

“Ya Allah.... Patutlah saya cari tak jumpa air tu.... Tak pasal-pasal hari ni dah menjadi Air Oren.”

“Maaflah Mimi.... Semalam ada orang busuk… Itu yang Lisa mandikan air tu. Sirap pekat kan?”

“Aaah… Saya dah bancuh dengan 2 kg gula.”

Irfan yang mendengar terasa berdesing telinganya. Nak sahaja dicincang mulut Lisa halus-halus dan dicampakan ke dalam laut.

“Dahlah tu.... Jom kita balik sekarang. Esok Encik Irfan dan Cik Lisa jangan buat perkara seperti hari ni lagi. Benci-benci nanti tak pasal-pasal jadi pasangan pengantin yang betul,” pesan Encik Fuad.

“Dia ni nak jadi suami saya? Memang taklah Encik Fuad....”

“Sudah-sudah.... Kita kemaskan apa yang patut. Kita balik, makan dan rehat...”

Mereka bekerjasama mengemaskan barang-barang yang telah dipakai. Bot yang dijanjikan untuk mengambil mereka telah menunggu di gigi air.

Previous: Bab 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.