Bab 4

“ABANG RITH, Fidah tak tahu nak buat apa lagi dengan anak kita tu. Dah seminggu asyik nak benda yang sama.” Pening kepala Rafidah dengan anak perempuannya itu. Harith ketika itu lagi sibuk membaca surat khabar.

“Kenapa dengan Yana tu, Fidah?” Satu suara menegurnya.

“Mama, terkejut Fidah." Rafidah mengurut dadanya.Terkejut dia dengan kehadiran ibu mertuanya itu.

"Cucu kesayangan mama ni la. Dia nak sangat makan bento. Entah mana lagi nak cari makanan tu.” Rungut Rafidah.

“Kenapa tak buatkan saja budak tu makanan yang dia nak.” Geleng kepala Datin Ruhaina. Dia menghenyakkan punggung bertentangan dengan anak lelakinya.

“Bukannya tak nak buat mama. Fidah ni mana reti nak buat bento. Seni pun tak lepas.” Sama seperti apa yang dia beritahu kepada suaminya sebelum ini. Harith hanya tersenyum.

“Pembantu rumah ni pun mana reti nak buat bento.” Tambahnya lagi.

“Bento? Apa benda bento tu?” Baru Datin Ruhaina sedar dengan perkataan bento itu.

“Bento tu makanan orang Jepun. Makanan bekal yang diisikan dengan pelbagai jenis hidangan berseni dan berwarna-warni.” Beritahu Harith. Surat khabar dilipat dan diletakkan di tepi.

“Oh, makanan Jepun yang popular tu?” Datin Ruhaina ada juga mendengar tentang makanan popular itu daripada teman-temannya yang baru pulang dari negara matahari terbit.

Harith dan Rafidah serentak mengangguk. Datin Ruhaina ketawa kecil. Kasihan betul cucunya itu mahukan makanan yang bukan berasal dari tanah air sendiri.

“Selagi Yana tak dapat apa yang dia nak selagi itulah dia akan ungkit.” Ujar Rafidah.

“Harith dah suruh Aniq tolong carikan bento. Itupun, kalau dia dapatlah. Kalau soal anak buah kesayangannya ni, Aniq mesti ambil peduli, kan?” Teringat kembali Harith dengan perbualannya dengan adik lelakinya itu. Bukan main risau lagi suara adiknya ketika dihubungi. Semua pasal Yana mesti diambil peduli. Mengalahkan dia dengan isterinya pula adiknya itu.

“Cakap pasal Aniq, kamu berdua dah soal selidik pasal dia? Ada dia berkenan dengan mana-mana gadis?” Wajah anak dan menantu dipandang bersilih ganti. Tersengih saja mereka berdua. Datin Ruhaina melepaskan keluhan kecil.

“Mama tanya ni pun sebab umur Aniq tu dah 27 tahun.Sepatutnya, adik kamu tu sudah ada calon menantu untuk mama.” Sambung Datin Ruhaina.

“Mama macam tak kenal pula si Aniq tu. Kalau cakap pasal kahwin ni memang dia tak naklah. Sejak uruskan syarikat arwah ayah, Harith tak pernah lagi tengok dia keluar dengan perempuan lain melainkan si Edine tu.”

“Hesy, Edine tu mama tak berkenan langsung. Tak cukup kain perempuan tu. Langsung tak sesuai nak jadi menantu mama.” Datin Ruhaina berterus terang.

“Mak bapa dia pun mama tak kenal. Cuba kamu nasihatkan sikit adik kamu tu. Jangan nak dekat sangat dengan perempuan yang tak cukup kain tu.” Tambahnya lagi.

“Habis mama nak menantu yang macam mana?” Soal Harith ingin tahu. Datin Ruhaina tersenyum. Suka dia mendengar soalan itu.

“Mama nak cari menantu yang pandai uruskan adik kamu.Bukan tahu nak menghabiskan duit suami aje,”

“Bakal menantu mama tu mesti pandai memasak. Sopan santun dan berbudi bahasa. Ada rasa hormat, taat pada suami.” Tambah Datin Ruhaina.

“Gadis Melayu terakhirlah ni? Ada lagi ke perempuan macam tu, mama? Tengok semua perempuan sekarang sama je.”

Harith senyum segaris bila si isteri berkata begitu.

“Mana ada sama, sayang. Fidah okey je abang tengok. Taat dan masih setia dengan abang. Prihatin, penyayang, jaga makan minum abang lagi.” Sempat Harith memuji isterinya itu. Rafidah tersipu malu. Lengan suaminya dicubit manja. Harith pura-pura mengadu kesakitan. Datin Ruhaina geleng kepala. Ada-ada saja perangai anak dan menantunya itu.

"Daripada layan romantik kamu berdua, baik mama naik atas. Tidur lagi bagus." Datin Ruhaina terus melangkah pergi. Meletus tawa Harith dan juga isterinya.


 

KECOH sungguh murid-murid yang berada dimeja depan kantin itu. Yana dan teman-temannya cuba mengintai dari tepi. Entah apa sahaja yang dipuji oleh murid-murid tersebut.

Bulat mata Yana bila melihat makanan yang diidamkannya sejak seminggu lepas ada di depan mata. Yana memberanikan diri untuk bertanya salah seorang murid yang berkumpul di meja itu.

“Awak, boleh tanya tak?” Yana menegur murid lelaki yang duduk di tepi meja. Matanya tidak lepas memandang makanan tersebut.

“Tanya apa?”

“Ini bento, kan?” Yana meminta kepastian. Laju murid lelaki itu mengangguk.

“Mama awak yang buat?” Soal Yana lagi. Murid lelaki itu geleng kepala.

“Bento ni aunty dia yang buat.” Murid lelaki itu menunjuk ke arah seorang murid perempuan yang duduk di tengah antara mereka.

“Arissa! Dia nak bento awaklah.” Selamba saja murid lelaki itu bercakap. Padahal, murid perempuan di depannya itu hanya sekadar bertanya saja.

Arissa berpaling. Senyuman diukir. Dia berdiri lalu menghampiri Yana.

“Awak nak bento saya? Saya boleh kongsi dengan awak.” Arissa menghulurkan bentonya kepada Yana. Yana jadi segan.

“Saya tanya saja. Saya tak minta pun.” Malu tapi mahu.

“Tak apa. Awak rasalah. Bento ni, aunty saya yang buatkan. Bento yang lain pun, aunty saya yang buat.” Beritahu Arissa yang mesra dengan senyuman yang tidak lekang di wajahnya.

“Betul, saya boleh rasa makanan ni?” Teragak-agak Yana mahu merasa makanan tersebut.

Arissa angguk laju. Dia menaikkan sedikit bekas bentonya. Senyuman masih menghiasi wajah comelnya itu.

"Rasalah." Tidak sabar Arissa mahu melihat reaksi murid perempuan di depannya itu apabila merasa bento tersebut.

Yana mengambil sedikit makanan yang ada di dalam bekas tersebut lalu menyuapkan ke dalam mulutnya. Bola matanya besar. Dia memandang Arissa dengan senyuman lebar.

“Sedapkan?”

Laju Yana mengangguk. Padahal masakan yang dimasak oleh aunty Arissa itu biasa-biasa sahaja. Mungkin disebabkan ada seni dalam makanan itu yang membuatkan makanan tersebut sedap.

Aunty saya bukan saja pandai buat bento, dia pandai memasak masakan lain juga. Semuanya sedap. Sebab tu semua kawan-kawan saya suka.” Dengan bangga dia memuji auntynya. Yana hendak tergelak melihat telatah Arissa itu.

“Boleh tak saya jumpa dengan aunty awak?” Tanya Yana. Dia betul-betul mahukan bento seperti itu. Kalau boleh dia sendiri yang akan berjumpa dengan orang yang membuat bento ini dan meminta tolong daripadanya agar dapat membuatkan bento yang diingininya.

“Boleh. Tapi, kena jumpa dia lepas habis sekolah nantilah.” Kata Arissa lalu mengajak Yana duduk bersamanya. Mereka berbual sambil menikmati bento. Arissa suka tengok wajah teruja Yana itu. Tidak sabar dia hendak beritahu auntynya lepas sekolah nanti.

 

LOCENG berbunyi menandakan tamatnya sekolah untuk hari ini. Arissa sudah menunggu Yana di tingkat bawah. Nampak sahaja kelibat Yana, Arissa terus berlari mendapatkan teman barunya. Mereka beriringan keluar daripada kawasan bangunan sekolah.

“Yana!” Panggil suara garau yang amat dikenalinya. Yana berpaling. Tersenyum lebar dia kerana unclenya yang datang menjemputnya hari ini. Yana membawa Arissa berjumpa dengan unclenya itu.

“Siapa ni, Yana?”

“Ini kawan baru Yana, Arissa nama dia. Arissa ni uncle saya. Uncle Aniq.”

Aniq mencubit manja pipi gebu milik Arissa.

“Comel kawan Yana ni.” Puji Aniq membuatkan budak itu tersengih sendiri.

“Arissa balik naik apa ni?” Soal Aniq.

Aunty Arissa yang ambil. Kejap lagi dia datang.” Beritahu Arissa.

“Kalau macam tu, uncle bawa anak buah uncle ni pulang dululah, ya?” Yana segera menghalang unclenya. Aniq memandang dengan wajah yang pelik.

Uncle, janganlah balik dulu. Yana nak jumpa aunty dia. Yana nak minta tolong dengan aunty dia.” Pujuk Yana. Aniq mengerutkan dahi. Yana dan Arissa dipandang bersilih ganti.

“Minta tolong apa?”

Yana tersengih. Semakin pelik pula Aniq melihat anak buahnya itu.

"Tersengih-sengih ni kenapa?"

“Sebenarnya uncle..." Yana tersengih lagi.

"Yana... Yana nak minta aunty dia buatkan bento untuk Yana.” Beritahu Yana. Aniq tercengang.

“Buatkan bento?" Aniq tersenyum sinis. Dia kemudian berpaling ke arah Arissa.

"Aunty Arissa pandai buat bento ke?” Tanyanya. Dia agak terkejut juga bila dapat tahu aunty budak perempuan itu pandai membuat bento.

Arissa mengangguk.

Aunty Aivy memang pandai buat bento. Arissa selalu minta dia buatkan bento untuk Arissa. Aunty Aivy pun buatkan untuk kawan-kawan sekelas Arissa juga.” Beritahu Arissa.

Tidak lama selepas itu, kereta jenama MYVI bewarna putih berhenti tidak jauh daripada mereka. Seorang perempuan berhijab dengan pakaian kasualnya keluar daripada perut kereta tersebut dan menghampiri mereka. Arissa tersenyum gembira. Dari jauh dia melambai-lambai ke arah auntynya.

“Itulah aunty Aivy, aunty Arissa.”Dari jauh Arissa memperkenalkan auntynya kepada mereka berdua.

Aniq mengamati perempuan bertudung itu. Dia yakin, dia pernah jumpa dengannya sebelum ini. Aniq cuba mengingati gadis itu dan perlahan-lahan senyuman diukir. Dia menyandarkan tubuhnya pada kereta. Tidak sangka pula mereka berjumpa di tempat seperti ini.

“Assalamualaikum, my kitty.” Sapa Hana. Dia masih tidak sedar kewujudan lelaki yang berdiri hanya beberapa kaki saja jarak darinya.

Waalaikumussalamaunty.” Balas Arissa.

Aunty, ni kawan baru Arissa. Nama dia Yana.” Arissa memperkenalkan Yana kepada auntynya. Laju Yana menyalami Hana. Hana membongkok lalu mengusap kepala Yana.

Aunty ni comellah. Cantik.” Puji Yana.

“Terima kasih, Yana.” Hana menghadiahkan senyuman buat teman baru Arissa itu.

Aunty, Yana ni sebenarnya nak minta sesuatu dekat aunty.” Arissa mencelah. Berkerut dahi Hana. Dia berpaling ke arah Yana semula.

“Yana nak minta apa dekat aunty?” Lembut bicara Hana pada budak perempuan itu.

Hmmm…” Yana jadi malu untuk mengatakan permintaannya itu.

“Cakap jeAunty tak marah pun.” Hana mengukir senyuman sambil menunggu jawapan Yana. Baru sahaja Yana mahu buka mulut, unclenya menyampuk pula.

“Yana nak awak buatkan bento untuk dia.”

Hana mendongak. Baru dia perasan akan kewujudan lelaki yang berdiri tidak jauh dari mereka. Hana menegakkan semula badannya dan memandang lelaki itu. Dia ternganga. Wajah sudah bertukar warna.

“Tak sangka jumpa awak dekat sini.” Senyuman manis yang sungguh mencairkan hati. Rupanya lelaki itu masih ingatkan dia.

Hana cepat-cepat sedar. Mana boleh dia lupa lelaki ini yang menjadi mangsanya tempoh hari. Segala yang berlaku tempoh hari kembali bermain di mindanya.

“Kenapa buat muka macam tu? Tak comel langsung.” Sempat Aniq memerlinya. Arissa dan Yana pasang telinga. Cuba menangkap apa yang sedang dibualkan oleh dua orang dewasa itu.

Habislah aku kali ni! Macam mana pula boleh terserempak dengan lelaki ini di sini? Apa yang aku nak buat ni?! Hana mengerling sekilas. Lelaki itu masih tidak melepaskan pandangannya.

“Dari tadi saya berdiri tengok awak. Awak langsung tak sedar ke yang tunang awak berdiri dekat sini?”

“Tunang?!” Berani betul lelaki itu mengusiknya di depan dua orang budak ini. Aniq berlagak tenang sambil berpeluk tubuh. Arissa dan Yana terkejut apabila mendengar perkataan ‘tunang’. Mereka berdua memandang Hana dan Aniq bersilih ganti dengan mulut yang ternganga.

Aunty dengan uncle dah bertunang? Sejak bila? Arissa tak tahu pun.” Arissa menarik lengan baju Hana. Dia mahukan jawapan daripada mulut auntynya sendiri.

“Err…” Hana garu kepala. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu mereka berdua. Arissa dan Yana saling berpandangan.

“Jawablah. Sejak bila kita ni bertunang. Dia orang ni nak tahu.” Aniq memandang Hana yang sudah tidak keruan. Senyumannya disembunyikan.

Hana mengetap bibir. Geram. Jangan haraplah kalau mereka berjumpa lagi selepas ini.

Aunty dengan uncle memang kenal ke? Tahu-tahu dah jadi tunang.” Tanya Yana bila aunty Arissa itu tidak menjawab soalan unclenya.

“Ya.”

“Tak!” Jawab Hana pula. Aniq menjegilkan matanya. Hana telan liur.

“Mana satu jawapan yang betul ni?” Geram Arissa. Begitu juga dengan teman barunya itu.

Tak boleh jadi ni! Aku kena pergi dari sini cepat, bisik Hana.

“Arissa, jom pulang. Yana, nanti aunty buatkan bento untuk Yana, ya.” Hana memberi kata putus sebelum menarik anak buahnya ke kereta. Tidak mahu dia berlama-lama di situ. Dia masih malu dengan kejadian tempoh hari.

Aniq mengukir senyuman. Tidak sangka dia akan bertemu dengan gadis itu lagi. Dari jauh dia memerhatikan mereka berdua meninggalkan kawasan sekolah.

Uncle, kenapa tak halang dia orang?” Soal Yana.

“Banyak hari lagi, Yana. Jom, masuk. Nanti, Yana ceritalah dekat uncle apa yang Yana tahu pasal aunty Arissa tu.” Tidak sabar dia ingin tahu cerita tentang gadis itu dari mulut anak buahnya sendiri. Yana sekadar mengangguk.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh