Bab 2

SYARIKAT IRIS STAR HOLDING hari ini begitu sibuk sekali. Ramai wakil dari syarikat-syarikat luar negara datang membincangkan tentang kerjasama mereka dengan syarikat tersebut. Walaupun sibuk, dia tetap bersemangat untuk menyelesaikan semua kerjanya pada hari ini.

"Muaz, macam mana dengan pembekal kristal dan juga emas putih kita? Ada apa-apa masalah ke?" Soal pengarah muda syarikat tersebut.

Syarikat Iris Star Holding sudah diusahakan sejak 35 tahun dulu dan merupakan salah satu syarikat ternama di Malaysia. Sejak arwah Dato' Arshad meninggal, syarikat tersebut sudah diambil alih oleh anak bongsunya.

Hasil produk yang dihasilkan oleh syarikat ini sangat mendapat perhatian daripada golongan-golangan elit mahupun yang berkemampuan. Reka bentuk daripada kedua-dua produk syarikat itu sangat halus, cantik dan eksklusif.

"Tak ada apa-apa masalah, tuan. Semuanya baik sahaja." Beritahu Muaz, pembantu Aniq.

"Tuan Aniq, tadi ada panggilan daripada Tuan Harith."

"Pentingkah?" Berkerut dahi Aniq bila tahu panggilan itu daripada abangnya.

"Dia cakap berkenaan dengan anak buah tuan."

"Yana? Kenapa dengan Yana, Muaz?" Riak risau mula kelihatan. Anak buahnya itu adalah orang yang paling dia sayang dan menitikberatkan apa sahaja keperluan yang anak buahnya mahukan.

"Pasal makanan, tuan. Tuan Harith cakap yang Yana nak sangat makan bento. Sejak beberapa hari lepas lagi dia nak makanan tu. Tapi, masalahnya makanan yang dia nak tak ada dekat sini." Beritahu Muaz.

"Muaz, telefon saya mana?" Laju Aniq meminta telefonnya dikembalikan. Muaz segera memberikan telefon itu semula kepada Aniq. Sepanjang mesyuarat berlangsung tadi, Aniq langsung tidak membawa telefonnya bersama. Dia meminta pembantunya menyimpan telefonnya untuk seketika.

"Muaz, tolong uruskan mereka yang lain sementara saya buat panggilan." Muaz mengangguk lalu meninggalkan majikannya yang masih tercegat di situ.

 


SUHANA AIVY berlegar-legar di sekitar kawasan bangunan Sunway Pyramid. Sementara menunggu waktu sekolah habis, Hana mahu mencari sesuatu di situ. Dia melangkah kaki masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis barangan Jepun. Hampir sejam dia berada di situ memilih barang-barang yang diperlukannya.

Usai membayar dia keluar naik ke tingkat seterusnya. Mana lagi kalau bukan ke kedai buku. Hana jika berjalan pasti akan menyinggah terlebih dulu ke kedai buku sebelum pulang. Jika ada buku yang dia berkenan pasti dia akan membelinya.

Rambang matanya melihat semua novel-novel baru yang terpapar di rak tersebut. Langkah diatur ke rak sebelah pula. Bola matanya besar. Lagi rambang matanya apabila melihat pelbagai jenis buku resipi. Begitulah dia jika setiap kali melangkah masuk ke kedai buku. Susah untuk membuat pilihan dan masa juga banyak dibuangkan di tempat tersebut.

"Cik dari tadi ke sana ke sini? Ada apa-apa masalah ke?" Tegur seorang lelaki.Hana berpaling ke belakang.

"Saya tak ada apa-apa masalah, pun." Beritahu Hana. Dia kembali fokus dengan buku-buku yang ada di depan mata. Kali ini dia di bahagian komik pula. Dia mahu mencari komik yang sesuai untuk bacaan Arissa.

"Saya Faiz Dylan." Lelaki itu memberanikan diri untuk berkenalan dengan Hana sambil menghulurkan tangannya. Hana tergamam. Tangan dan wajah lelaki itu dipandang bersilih ganti.

"Maaf,saya tak sentuh orang." Kata Hana. Faiz tersengih sambil meramas belakang tengkuknya. Malu bila salamnya tidak disambut.

"First time saya jumpa perempuan macam awak. Perempuan yang tak sentuh lelaki." Kata Faiz sekali gus membuatkan Hana berasa rimas.

"Maaf, saya ke sana dulu." Ujar Hana mahu melarikan diri. Takut pula dia dengan lelaki itu. Mukanya ada iras-iras 'Mat Salleh' tapi fasih berbahasa melayu.

Hana meliarkan mata mencari buku agama pula. Di tangannya sudah penuh dengan pelbagai jenis buku. Sedang khusyuk meneliti setiap tajuk buku itu, dia disapa kembali dengan lelaki tadi. Hana terkejut.

"Awak ni kenapa? Dari tadi ganggu saya." Hana menahan rasa geramnya. Faiz tersenyum.

"Maaflah. Saya cuma nak berkenalan dengan awak saja."

"Berkenalan? Untuk apa? Nak jadi kawan saya? Muka 'Mat Salleh' macam awak ni boleh percaya ke?" Soalan bertubi-tubi diajukan kepada lelaki itu. Hana selamba saja mengambil beberapa jenis buku agama yang ada di depan mata lalu membawa kesemua buku-buku yang dipilihnya ke kaunter pembayaran. Lelaki itu setia mengikutnya dari belakang.

Tiba di kaunter, dia terus meletakkan buku-buku tersebut. Hampir 12 jenis buku yang dibelinya. Pekerja di bahagian kaunter itu sudah tersenyum-senyum. Mana tidaknya, pelanggannya yang satu ini sudah menyumbangkan duit yang banyak untuk membeli buku-buku di kedai buku mereka.

"Semunya RM242.50." Beritahu pekerja perempuan itu.

Hana tidak terkejut dengan harga belian yang diberitahu oleh pekerja tersebut. Dia sudah biasa. Nasib baik dia ada kad ahli. Kalau tidak lagi mahal dia akan bayar buku-buku tersebut. Dengan pantas Hana mengeluarkan beg dompetnya.

"Tak apa, saya bayarkan." Hana terkejut bila lelaki itu menawarkan diri untuk membayar buku-buku tersebut. Beberapa not wang kertas sudah diberikan kepada pekerja perempuan itu. Hana merengus.

"Kenapa awak bayarkan? Saya tak minta pun awak bayarkan, kan?" Geram betul Hana dengan lelaki di depannya ini. Dia tidak peduli. Dia mengeluarkan juga not kertas berjumlah RM242 dan duit siling 50 sen lalu diserahkan kepada lelaki didepannya.

"Nah, saya bayar balik! Saya tak nak hutang dengan orang yang saya tak kenal." Kata Hana. Pekerja perempuan itu hanya melihat sahaja situasi tersebut. Dia tidak ingin masuk campur.

"Eh, tak apa. Saya belanja." Faiz menolak duit tersebut.

"Tapi saya tak nak awak belanja." Hana tetap bertegas. Dia tidak peduli jika lelaki itu tidak mahu terima duitnya. Apa yang penting dia sudah bayar hutangnya pada lelaki itu. Dia mengambil plastik yang berisi buku-buku itu dan duit belian buku-bukunya diletakkan di atas kaunter. Hana terus melangkah keluar.

"Cik, cik!"

"Hesy, mamat ni tak reti nak putus asa ke?!" Semakin geram dia dengan kelakuan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia harus berbuat sesuatu. Hana melihat seorang lelaki yang berpakaian formal sedang berdiri tidak jauh darinya. Ah, redah sajalah! Hana terus mendekati lelaki berpakaian formal itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh