KERETA diberhentikan tidak jauh dari sebuah kilang lama. Pada amatan Hud, kilang itu tidak lagi beroperasi kerana nampak terbiar. Lalu, pandangannya beralih kepada Zaki yang duduk di sebelahnya. Zaki sekadar mengangkat kedua-dua belah tangannya yang masih terikat.
“Jangan harap!” balas Hud, mengerti apa yang diinginkan oleh lelaki itu.
“Saja aku bawak kau ke sini.” Suara itu membalas, diikuti tawa mengejek.
Berdesing telinganya mendengar ejekan itu. Tangannya pantas merenggut kolar baju itu dengan sekuat hati.
“Jangan kau berani mainkan aku.”
“Ha...ha…ha... Takkan aku nak mainkan kau. Pistol aku ada pada kau,” balas Zaki masih menyeringai.
‘Ada yang tak kena!’ Hud mengingatkan dirinya sendiri. ‘Hendak berpatah balik? Tak mungkin.Jalan yang jauh telah ditempuhi. Takkan hanya kerana rasa tidak sedap hati, dia hendak berpatah balik?’
“Kau tunggu apa lagi? Keluarlah!”
“Kau tahu kenapa aku bawak kau ke sini?”
“Kenapa?Kau nak bunuh aku kat sini?” tebak Hud, tenang.
Lelaki bernama Zaki membongkokkan badannya, dekat dengan muka Hud. Sedikit pun dia tidak mengerdipkan mata, apatah lagi mengalih wajahnya.
“Kau percaya kawan baik kau, Zain?”
“None of your business!” luahHud, keras.
Panas pula hati apabila nama sahabatnya dikaitkan sebagai mastermind disebalik permainan ini. Tetapi entah kenapa wajah Zain melintas di fikiran.Senyumannya, fikirannya menyembunyikan sesuatukah?
“Kau tahu siapa Zain?”
“Zain yang upah aku untuk bunuh kau malam tadi. Sekarang aku nak duit aku, 100 ribu USD seperti yang kita dah deal tadi.”
“Tak semudah itu aku percaya kata-kata kau, apa lagi nak tabur duit pada kau. Jangan harap!” balas Hud, tersungging senyuman sinis di bibirnya.
Wajah Zaki bertukar kemerahan. Bengang! Marah! Dia meronta-ronta mahu melepaskan penumbuk pada wajah yang masih tersenyum mengejek itu. Pantang baginya manusia mungkir janji!
“Kalau betul Zain yang upah kau, dah lama kau beritahu aku. Takkan kau bawak akusejauh ni untuk beritahu nama Zain sebagai pengancam aku. Tak bijak, bro!”Hud menarik kolar baju Zaki dengan kasar sebelum menolak lelaki itu keluar dari kereta.
Dia sendiri keluar selepas itu, memaksa Zaki berjalan ke arah kilang lama itu.Sunyi. Tiada langsung tanda yang kilang itu masih menjalankan operasi atau ia cuma wayang semata-mata.
“Kau nak duit aku?” tanya Hud, bagai diberi ilham.
Zaki tidak menjawab. Hatinya masih berbara panas.
“Kau percaya sangat pada Zain, kan?”
“Baik aku percaya dia daripada percayakan kau,” sahut Hud, yakin. Dia terus menolak Zaki agar melangkah lebih laju, namun Zaki mengeraskan tubuhnya.
“Kau memang bodoh!” ejek Zaki.
Hud bengang. Dia mengepal buku lima, geram hendak bubuh sebijik di muka Zaki, namunbunyi derap kaki orang mengalih tumpuannya. Muncul tiga orang lelaki membawa kayu panjang entah dari mana.
Hud berundur setapak ke belakang.
Empat lawan satu.
“Ha...ha.... ha... Takkan goyang bro?”
MATA dibuka perlahan-lahan. Dia berusaha untuk bangun namun tidak berjaya. Tubuh dihempaskan kembali ke tilam. Betapa sakitnya seluruh badan ketika itu. Begitu juga dengan kepala yang berdenyut-denyut, tak mampu Zahra mengingat apa yang berlaku ke atas dirinya.Dia berasa sakit dari kepala hingga ke kaki.
Hanya mata yang mampu digerakkan ketika itu, lalu meliar ke kiri dan kanan, atas danbawah. Ketika itu juga telinganya menangkap bunyi pintu dikuak. Terus kepalanya ditoleh ke arah datangnya bunyi itu.
“Si...siapa?” Zahra berusaha mengeluarkan suaranya namun ia tak kedengaran pun di telinga sendiri, apatah lagi di telinga pelawatnya. Seorang wanita beruniform biru menghampirinya dengan senyuman.
“Alhamdulillah...Cik Zahra dah sedar. Kejap lagi saya panggilkan doktor, ya?” Suara itu menyapanya mesra.
Zahra tiada daya hendak menjawab. Hanya mata yang mampu digerakkan.
Seperti yang dijanjikan, seorang doktor muncul tidak lama selepas itu. Beberapa pemeriksaan dijalankan ke atas dirinya. Bebola matanya meliar lagi, menyaksikan segala tingkah laku doktor ke atasnya. Dia menyabarkan hati yang panasaran, ingin tahu sudah berapa lama dia di situ.
“Doktor...”Namun suaranya hanya bergema di dalam hati.
“Doktor...”Zahra mencuba lagi.
Dia tidak mahu cepat berputus asa walaupun terlintas pelbagai telahan di dalam mindanya pada ketika itu. Akhirnya, perlahan-lahan dia mengangkat tangannya lalu dibawa ke arah leher. Dia mengharapkan doktor itu mengerti apa yang ingin disampaikan melalui gerakan isyarat itu.
“Ya, Zahra,” sapa doktor itu.
Zahra kembali memegang lehernya. Kemudian, dia memberi isyarat tiada.
Barangkali doktor itu mengerti apa yang ingin disampaikannya, lalu mengarahkan Zahra membuka mulutuntuk diperiksa.
“Boleh Cik Zahra dengar apa yang saya cakap?” soal doktor. Tanda namanya tertulis nama Zaidah.
“Boleh...”Perkataan itu diusahakannya, namun ia tidak kedengaran baik di telinganya,mahupun kepada Doktor Zaidah sendiri.
Gigih Zahra mencuba. Akhirnya, yang keluar hanyalah air mata hiba. Dia terlalu sedih kerana kehidupan sederhananya selama ini seperti telah direntap. Saat itu dia terfikir, apa khabar emak di kampung?Dengan keaadan dirinya seperti itu, siapa yang memberi duit belanja untuk persekolahan adik-adiknya?
“Tolong saya, doktor!” Zahra berusaha lagi, malah kali ini lebih agresif. Dia cuba bangun dari baringan walaupun teramat payah.
Doktor Zaidah yang perasan akan perlakuan agresifnya itu cuba menenangkan. Dia tahu pesakitnya sedang berdepan dengan trauma kerana keadaan diri yang berubah selepas kemalangan yang menimpa dirinya.
“Sabar,Zahra! Sabar! Kami akan bantu sedaya kami.” Doktor Zaidah menitip kata paling lembut, memujuk Zahra agar bersabar.
“Macam mana saya nak sabar, doktor?Segala-galanya dah musnah! Macam mana saya nak kerja untuk sara keluarga saya?”
Suara itu masih tersekat di dalam. Tak mampu dilepaskan oleh Zahra. Yang terlepas hanya titisan air mata yang semakin lama, semakin laju.
Hati ini tidak kuat untuk menerima apa yang telah ditakdirkan berlaku ke atas hidupnya.Ya ALLAH, apakah ini jawapan untuk doa yang aku panjatkan kepada-MU? Hati aku tidak kuat, Ya ALLAH!Bantulah aku! Bantulah aku! Aku ingin kehidupan seperti dulu. Aku ingin tangan dan kaki yang boleh bekerja. Aku ingin suara yang boleh bercakap. Aku tak ingink aku dan bisu seperti ini.
Air mata terus menitis laju, seperti sangat mengerti apa yang dirasai dirinya.
“Sabar,Zahra. Sesungguhnya ALLAH memilih dirimu kerana ujian ini layak dipikul oleh bahu kerdilmu. Kami akan berusaha membantu. Saya sendiri akan panggil pakar ENT untuk beri penjelasan dan membuat pengesahan, betul atau tidak Zahra kehilangan suara.” Doktor Zaidah terus memujuk.
Hatinya turut lirih melihat perlakuan itu. Masakan tidak? Dia sudah bertemu dengan ibuZahra seminggu yang lalu. Malah, dua pembedahan telah dijalankan secara berasingan ke atas gadis itu. Salah satunya pembedahan plastik untuk membaiki semula struktur muka yang rosak akibat kemalangan itu, manakala satu lagi pembedahan melibatkan pembaikan tulang bahu yang patah serta bahagian dalaman leher yang retak.
Sebagai seorang pengamal perubatan beragama Islam, dia sangat bersyukur dengan pemulihan yang ditunjukkan oleh Zahra, cuma berlaku komplikasi lain pula selepas dia terjaga. Spinal cord yang dijangkakan tidak terjejas akibat keretakan bahagian leher rupanya terjejas juga.