Home Novel Keluarga Mahar Cinta Untuk Kirana
Mahar Cinta Untuk Kirana
Iman Zahri
13/6/2018 13:34:22
17,542
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

BUKU yang dibaca diletak ke tepi. Sakit kepala membaca buku lama-lama. Hampir dua jam dia tidak berganjak dari meja belajar. Peperiksaan akhir untuk semester kelima makin hampir. Tak sampai sebulan saja lagi. Dia memandang ke tepi. Soffea masih dengan perangai malasnya. Menonton filem sambil mengunyah jajan atau pun lebih dikenali sebagai snek.

Dia bangun dari kerusi lalu merebahkan diri di atas katil. Lega. Hilang sengal-sengal pada ototnya. Mata juga terasa amat berat. Kalau tak dilawan perasaan mengantuk, pasti dia boleh hanyut terlena. Lagipun, waktu asar makin hampir. Tak elok kalau dia tidur.

Sebiji bantal dicapai lalu dilempar tepat pada Soffea. Sasarannya memang mengena tepat pada kepala Soffea. Apa lagi, menjerit sakanlah Soffea kerana tumpuannya terganggu.

“Kau dah kenapa? Tak senang hati ke tengok aku macam ni?” Dia membaling semula bantal kepada Kirana. Cekap dia menyambut bantal supaya tidak terkena pada mukanya.

“Tak nak belajar ke? Final exam dah dekat tau.Dah lupa keputusan exam semester lepas macam mana? Cukup-cukup makan je. Apa nak jadi dengan kau ni? Tahulah anak orang kaya. Jangan sia-siakan duit mak ayah kau.” Kirana sudah mula membebel.Sebal melihat Soffea yang masih belum berubah.

Soffea mengeluh. “Aku pun tak tahu kenapa aku malas. Mungkin dah dilahirkan macam ni kot. Kesian mak ayah aku  dapat anak macam ni.”

“Ada pula cakap macam tu. Tak baik merungut macam tu. Kau tu bukannya malas. Tapi,buat-buat malas. Dulu kau tak macam ni pun. Semenjak kau tangkap cintan dengan si Farid tu, semua tunggang langgang. Aku tengok dia tu macam nak gelapkan masa depan kau adalah.”

Huihh. Makan dalam sungguh ayat Kirana. Memang menusuk jauh ke dalam hati. Komputer riba ditutup lalu diletak ke tepi. Dia mula tertarik dengan katak-kata Kirana. Kenapa Kirana tidak pernah suka dia berkawan dengan Farid? Apa salah kekasih hatinya?

“Cuba bagi alasan kenapa kau tak suka aku bercinta dengan Farid tu. Dia baik kot. Rupa pun segak,” kata Soffea lalu tersengih.

Rasa nak termuntah mendengar kata Soffea. Geli geleman dibuatnya.

“Macam tu baik? Kalau betul dia baik, dia tak ajak kau keluar lewat malam. Dia tak suruh kau ponteng kelas. Kelmarin kau tak masuk kelas kan? Mengaku cepat,” desak Kirana. Sudah banyak cerita yang dia dengar mengenai Soffea. Cuma selama ini dipendam saja seorang diri.

Soffea menelan liur. Macam mana pula Kirana boleh tahu soal ini. Pasti ada mulut orang yang bercerita.

Perlahan-lahan Soffea mengangguk. Terpaksa mengaku akhirnya. Dia cukup gerun kalau Kirana sudah mengetahui semua ni. Takut kalau-kalau Kirana mengamuk. Dia tahu persis bagaimana sikap Kirana yang terlalu melindunginya. Macam kakak menjaga adik.

“Ya Allah,Soffea! Baru kali ni aku rasa geram sangat dengan kau. Syaitan apa yang hasut kau ni? Tak kiralah apa nak jadi. Sekarang juga aku nak kau call Farid. Minta putus sekarang juga. Lelaki macam tu tak boleh dibuat suami. Bukannya nak jaga kau. Nak suruh kau jadi baik. Disuruh kau jadi lebih teruk pula.”

Telefon bimbit dihulur kepada Soffea. Dengan teragak-agak Soffea mengambil. Walaupun sifat Kirana agak menjengkelkan, suka-suka hati saja paksa orang. Tapi dia tahu Kirana memang baik. Sebab itu dia sayang sangat akan Kirana. Apa saja kata Kirana, dia akan patuh. Berapa kali sudah dia putus cinta gara-gara Kirana.

Sepanjang tiga tahun mereka belajar di sini dan berkawan baik, sudah empat kali dia gagal dalam hubungan cintan cintun. Itu pun sebab Kirana tak suka dia berkawan dengan lelaki pilihan hatinya. Kata Kirana, mereka semua perangai tak baik. Fuh! Dah macam wartawan bergerak Kirana ni. Semua perangai bekas teman lelakinya, Kirana pasti tahu.

Pada awalnya memang dia tidak boleh menerima tindakan Kirana. Tetapi, lama-kelamaan dia akur juga. Kirana memang tahu lelaki mana yang baik, mana yang tak baik. Dia tak pernah menyesal memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya. Bersyukur lagi adalah. Itu pun sebab dia nampak dengan mata kepala sendiri perangai mereka yang teruk. Ada yang merempit. Ada juga yang buat hal sehinggakan dibuang universiti. Fuh! Dahsyat.

“Kau termenung apa lagi? Call cepat!” tegas Kirana bersuara.

“Hah? Okey,okey. Aku call sekarang. Jangan marah-marah. Cool down babe,” ujar Soffea.

Kirana mengangguk puas hati. Sudah lama sebenarnya dia mengintip Farid. Ada juga dia bertanya kawan-kawan kampus soal lelaki itu. Memang tak baik. Dia jamin! Sebab itu dia tidak mahu Soffea terlalu sayangkan lelaki itu. Jadi, lebih baik dia suruh Soffea putuskan hubungan secepat yang boleh.

Bukan main lama Soffea berbual di telefon. Dia panasaran ingin tahu. Nak putuskan hubungan pun payah sangat. Kirana perasan akan perubahan pada riak wajah Soffea. Dia yakin sekali Soffea sedang naik angin sekarang ini. Dari percakapan pun dia sudah tahu. Rasa ingin ketawa pun ada.

“Selesai masalah,” ujar Soffea lalu melabuhkan punggung di birai katil. Telefon bimbit dilempar kasar di atas katil.

“Dia tak cakap apa-apa ke sebab kau mendadak putuskan hubungan?” tanya Kirana. Diapanasaran ingin tahu.

“Mengamuk besar. Berani dia tengking-tengking aku. Siap mencarut bagai. Memang betul sangat cakap kau. Lelaki macam Farid tu tak layak nak dijadikan teman hidup. Belum ada apa-apa, dah berani maki-maki aku. Hishh. Sakit hati ni."

Kirana tersenyum. “Lepas ni sila pilih lelaki yang baik, beriman. Baru kau bahagia dunia dan akhirat. Sekarang ni, lupakan dulu soal cinta bagai ni. Lagi dua semester je kita nak habis belajar. Fokus dulu. Kejar cita-cita.”

“Kau ni sesuai jadi pakar motivasi lah. Tak pun, doktor cinta. Tak payahlah jadi akauntan. Jadi kaunseling je,” usik Soffea lalu tertawa.

Sekali lagiKirana membaling bantal kepada Soffea.

“Weh!Sakitlah sengal.” jerit Soffea.

 Bingit telinga Kirana. Berdesing!

 

 

AYSAR memicit kepala. Mummy selalu sangat mendesak menyuruhnya berkahwin. Kalau berkahwin itu semudah ABC, sudahlama dia menamatkan zaman bujang. Lagi pula, dia belum berjumpa wanita idamanhati. Yang dia jumpa, semua nak mengikis duit. Boleh jatuh bankrap kalau berkahwin dengan perempuan yang bersikap materialistik.

Mummy pula baru menghubunginya. Belum sempat dia memberi salam, mummy menyuruhnya pulang. Ada gambar-gambar calon isteri yang ingin ditunjuk kata mummy. Lagilah dia sebal. Kalau tak pulang, mummy akan menarik muka masam. Merajuk dua hari dua malam.

Sakit hati betul. Tak tenang langsung. Entah macam mana pula calon menantu yang mummy cari. Apa yang dia pasti, mesti calon yang mummy pilih berpakaian seksi dan serba ketat. Itu cirri-ciri yang mummy suka. Pelik betul cita rasa mummy.

Orang kalau nak pilih menantu, cari yang ada agama. Keturunan baik-baik. Tahu jaga maruah diri dan keluarga. Ini tidak. Ciri-ciri yang mummy cari, yang utama mesti setaraf dengan mereka. Kedua, berharta. Kata mummy, dia mahu bermenantukan anakTan Sri atau pun anak Datuk. Dia tak mahu orang biasa.

Apa dia peduli? Bukannya mummy yang nak berkahwin. Dia langsung tak kisah sama ada dia akan berkahwin dengan anak orang biasa sekalipun. Asalkan kuat pegangan agamadan yang penting, tidak tinggal solat. Cantik atau tidak, itu belakang kira.Janji hatinya terpikat.

Aysar meraup wajah dengan kasar. Dengan hati yang berat, kunci kereta di atas mejadiambil lalu menghayun langkah keluar dari rumah. Belum sempat dia membuka pintu kereta, satu suara menyapa. Mendayu-dayu sungguh nada suara. Lain takbukan, pasti Delisha.

Dia memusing tubuh lalu bersandar pada kereta. Dia memandang Delisha dengan wajah yang tiada perasaan. Kosong.

“Doktor dah nak balik? Awal lagi. Baru pukul tiga. Emmmm. Jom kita pergi minum?” Delishapantas menarik tangan Aysar.

Spontan Aysar merentap tangannya. Suka-suka hati nak pegang tangan dia. Bukan muhrim.Dosa tahu.

Delishaterpana. Wajahnya sudah memerah menahan malu. Nasib baik tak ada orang berhampiran mereka. Kalau tidak, lagi berganda-ganda malu.

“Kenapa you ni? Sakit tangan I.” Dia mengusap tapak tangannya. Konon-konon sakitlah tu.

 “Saya ada hal. Tolong ke tepi. Tak pasal-pasal awak jadi kentang lenyek nanti kalau duduk dekat dengan kereta saya,” selamba saja Aysar berkata. Langsung tak memikirkan perasaan Delisha. Apa dia peduli.

“Hish! Sombong betul you ni. Cakaplah baik-baik,” balas Delisha. Wajahnya sudah masam mencuka.Susah betul nak goda pensyarah kacak di universiti ini.

 Aysar tidak menjawab. Sebaliknya cepat-cepat dia membuka pintu kereta dan meloloskan diri dalam perut kereta. Pintu kereta segera dikunci. Tidak mahu Delisha masuk ke dalam kereta. Bukan dia tidak tahu perangai gadis itu. Tergedik-gedik, terkinja-kinja. Rimas sungguh.

“Hey! Dr.Aysar!” jerit Delisha sambil mengetuk cermin tingkap kereta berulang kali.Sakitnya hati diperlakukan begitu.

Tanpa memandang Delisha, Aysar terus menekan minyak. Sekejap saja, kereta milik Aysar sudah jauh daripada Delisha. Dia sama sekali tidak peduli kalau Delisha hendak meraung di situ sekali pun.

Kaki dihentak berkali-kali. Sesekali dia merungut seorang diri. “Siap kau. Sombong sangat dengan aku. Ini Delisha. Setakat lelaki macam kau, senang je aku nak tackle.” Angkuh dia bersuara.

Previous: Bab 1
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.