Mereka ke rumah Izmir mengambil Puan Nora dan Puan Julia kemudian ke butik yang dikatakan oleh Puan Nora. Izzah dan Izmir kedua-duanya tidak berapa teruja berbanding dengan Puan Nora dan Puan Julia. Mereka berjumpa dengan pemilik butik itu. Dia anak saudara Puan Nora. Dani namanya. Dani meminta pembantunya mengeluarkan beberapa persalinan.
Setelah sejam dua mencuba persalinan untuk pernikahan barulah ada sepakat tentang warna yang mereka berdua berkenan. Warna biru royal menjadi pilihan untuk makan beradap dan baby blue untuk baju nikah. Terpana juga Izmir melihat Izzah dengan baju satin berwarna biru royal untuk makan beradap. Lama dia memerhati tetapi segera mengalih pandangan bila perasan ibunya dan ibu Izzah tersenyum-senyum antara mereka melihat riak wajah Izmir.
“Cantik kan Izzah tu pakai warna biru ni,” puji Puan Nora sengaja. Matanya mencari reaksi anak lelakinya. Puan Nora tersenyum melihat Izmir yang matanya terpana pada kelibat Izzah. .
“Oh, ye ke? Nampak macam biasa saja. Tak ada apa pun istimewa,” ujar Izmir selamba membuatkan Izzah mencemik. Punyalah mata lelaki itu lekat di wajahnya agak seketika namun hanya mengatakan tiada yang istimewa. Puan Nora dan Puan Julia berpandangan. Sudah terang lagi bersuluh tapi ego tak mahu mengaku.
“Kan ibu dah kata. Kamu berdua ni ada banyak persamaan. Dua-dua suka warna biru. Mula-mula Iz bawa Izzah tempohari ibu dah tahu dah Izzah sesuai untuk Izz,” tegur Puan Nora. Izmir hanya diam sambil tersenyum nipis. Begitu juga Izzah. Sekadar supaya tidak nampak perasaan mereka berdua yang sebenarnya. Mereka terpaksa berlakon begitu untuk elak ibu masing-masing terasa.
“Ye ke Kak Nora?” soal Puan Julia yang kini sudah memanggil kakak pada ibu Izmir, Puan Nora. Cepat sungguh meningkat kadar kemesraan antara mereka.
“Ye Lia. Dua-dua sedondon berbaju biru. Lepas tu bila bercakap asyik tersaing aje. Kelakar sungguh. Itu yang buat akak rasa mereka berdua ni sesuai,” luah Puan Nora sambil ketawa.
“Petanda baik tu. Moga panjang jodoh mereka berdua ye kak,” sambut Puan Julia sangat gembira. “Aminnn aminn ya rabbal alamin,” Izmir dan Izzah hanya berpandangan seketika tetapi masing-masing menala wajah kebosanan. Sesuai? Izzah dan Izmir mencemik kemudian mengeleng-ngeleng. Sikit pun tidak. Tak tahukah ibu bapa mereka bahawa mereka macam kucing dengan anjing. Macam Tom and Jerry. Selalu ada saja perkara yang hendak digaduhkan. Kalau mereka berkahwin nanti mereka harus elakkan antara satu sama lain untuk mengurangkan pergaduhan di antara mereka.
“Dan juga cepat bagi kita cucu,” doa Puan Nora bersungguh. Puan Julia menggangguk dan ketawa. “Yang itulah yang paling penting,” sela Puan Julia. Puan Nora ketawa suka. Cucu? Mereka berdua mengangkat bahu seperti tak sanggup memikirkannya. Merah muka Izzah. Entah mana nak letak muka. Jauh sangat pemikiran ibu-ibu mereka berdua itu!