Home Novel Cinta Ajaibnya Cinta!
Ajaibnya Cinta!
thussss_
13/11/2017 18:53:18
2,178
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
1

KOMPUTER riba di hadapannya dipandang kosong. Hannah masih tidak dapat membina ayat yang bagus untuk memberi penerangan dalam tugasannya kali ini. Dia rasakan susah sangat hendak fikirkan sesuatu yang menarik untuk menarik perhatian pensyarahnya agar memberi markah yang baik padanya. Hannah sedar akan suatu perkara, dia tidak boleh berputus asa untuk siapkan tugasan ini kerana dia sudah berana dalam semester akhir.

"Hannah, malam nanti jangan lupa pula," pesan rakan sebilik Hannah sebelum melangkah meninggalkan perpustakaan.


Hannah mengerutkan dahi. Ada apa pula malam ini. Pasti dia sudah terlepas sesuatu yang penting kerana langsung tidak membelek telefon bimbitnya hari ini. Tangannya segera mengeluarkan Iphone 7 plus yang tersisip dalam salah satu ruang beg sandang. Group whatsapp A.N.G.E.L.S segera dibuka. Alamak dah ada hampir 100 lebih notifikasi. Ada perkara yang dibincangkan oleh mereka rupanya. Patutlah dia terlepas sesuatu. Hannah mengeluh.

A.N.G.E.L.S 👸

Bella

Gaiss! Malam nanti kita keluar ya. ingat nak buat surprise party untuk James. 🙏

Yuyu

Surprise party apetewww babe?

Bella

Birthday James la babe. Korang okay kan. Kalau jadi, tunggu korang depan lobi.

Yuyu

Okay ja. Malam ni pishang teruk noks.

Mya

pun okay saja. 💆

Bella

How about Hannah?

Perbualan mereka terhenti di situ. Perlukah dia sertai mereka malam ini? Sebenarnya Hannah agak tidak sukakan sikap kekasih Bella iaitu James. Lelaki itu selalu sahaja cuba menggodanya apabila Bella tiada bersama. Jika hendak ditegur tentang sikap lelaki itu, nanti ada yang kata dia perasan lebih pula. Mahu tidak mahu, terpaksalah Hannah maniskan muka juga kerana James adalah kekasih sahabat baiknya, Bella.

Jarum jam sudah menunjukkan hampir jam 6:00 petang. Hannah mengambil keputusan untuk segera pulang ke asrama. Lagipun dia hendak singgah di kedai serbaneka di kafe sebentar untuk membeli barang. Setelah mengemas semua barang, Hannah membawa beg sandang keluar dari perpustakaan. Langit kelihatan agak gelap dan menandakan hari akan hujan sebentar lagi. Risau juga kalau hujan turun sebelum sempat dia tiba di asrama. Payung juga lupa untuk dibawa.

Itulah Hannah Elvira, selalu sangat cuai dan lupa perkara penting begitu. Dah tahu setiap petang selalu hujan, lupa juga nak bawa payung. Lamat-lambat Hannah membawa langkah menuruni anak tangga menuju ke laluan yang menghubungkan bangunan perpustakaan dan kafe. Nampaknya hujan sudah mulai turun dan kebanyakan pelajar berteduh di laluan berbumbung itu.

Setibanya di kedai serbaneka, terdapat ramai pelajar yang sedang membeli barang. Akhirnya Hannah membatalkan niat untuk membeli barang kerana dia tak suka bersesak dengan orang ramai. Lagipun malam ini dia akan keluar. Jadi dia hanya perlu membeli barang di luar sahaja. Langkahnya dibawa ke tepi kafe. Keluhan dilepaskan apabila hujan semakin lebat. Nampaknya tak bolehlah untuk dia pulang asrama kalau begini.

Banyak manusia lalu lalang di bawah taburan hujan sambil membawa payung. Hannah terpandang akan perhentian bas yang kosong. Ada baiknya juga dia menunggu di sana sahaja. Beg sandangnya dijadikan alat untuk melindung tubuhnya daripada dibasahi hujan. Tiba-tiba tubuh Hannah disimbahi air hujan apabila sebuah kereta meluncur laju dengan melanggar air yang bertakung.

"Ah! Tak guna betul," jeritnya agak.

Kaca mata yang basah ditannggalkan lalu disisipkan pada leher blouse. Habis basah semua bajunya. Dalam hati habis-habisan dia mengutuk tindakan pemandu itu. Memang nahas dia kerjakan. Hannah segera memeriksa komputer riba di dalam beg. Nampaknya komputer riba itu sudah basah dan tidak berfungsi lagi apabila ditekan butang On. Habislah semua assignment yang disimpan dalam itu. Mahu memangis rasanya.

Hannah tersandar pada tiang perhentian bas. Kusut kepalanya fikirkan semua tugasan yang berada di dalam komputer riba itu. Tidak lama selepas itu, kelihatan kereta yang melanggar takungan air hujan sebentar tadi berhenti betul-betul di hadapan tempat perhentian bas. Seorang lelaki tinggi lampai dengan wajah seakan-akan pemuda Cina keluar dari kereta itu.

"Cik, saya minta maaf. Saya tak tersengaja langgar air tadi," pinta lelaki itu sambil menolak anak rambutnya yang berjuntaian di dahi ke belakang.

Kembang kempis juga hidung Hannah menahan marah. Sesenang itu sahaja dia meminta maaf. Tahukah bahawa dia telah rosakkan komputer riba milik Hannah sebentar tadi.

"Awak dah rosakkan laptop saya." Agak tinggi juga nada suara Hannah ketika itu.

Wajah lelaki itu seakan terkejut dengan jeritan Hannah yang nyaring. Mungkin dia terkejut mendengar jeritan Hannah kerana tubuh gadis itu kecil sahaja jika hendak dibandingkan suaranya. Kali ini lelaki itu memandang tepat ke arah bebola mata Hannah lalu memeluk tubuh. Ewah-ewah, dah buat salah dengan orang. Boleh pula berpeluk tubuh bagai.

"Saya rasa tadi pun cik dah redah hujan dengan letak beg itu atas kepala untuk datang ke sini. Rasanya saya langgar air itu tidaklah kuat sangat sampai rosakkan laptop buruk cik," sindir lelaki itu selamba.

Merah padam muka Hannah apabila lelaki itu berkata demikian. Pandai pula lelaki ini memanipulasi keadaan. Inilah lelaki, bila dah buat salah pandai pula memanipulasi keadaan. Hannah merentap kad matrik yang tergantung pada leher lelaki itu. Aiden Han Bin Abdullah / Han Young-Bin. Eh! Muallaf agaknya dia ini. Abaikan, yang penting Hannah perlu ambil ID pelajar dia untuk laporkan pada Majlis Perwakilan Pelajar.

"Awak nak buat apa pula ni," Aiden mengambil kembali kad matrik di tangan Hannah sebelum sempat gadis itu menangkap gambar kad matriknya.

"Saya nak laporkan pada..." ayat Hannah terjeda.

Aiden tersenyum sinis. "Laporkan pada polis? Bomba ataupun Tentera."

Nada suara Aiden seakan mengejek Hannah. Sakit betul hatinya melihat wajah Aiden yang bersahaja. Jangan sampai Hannah berubah jadi Hulk sudah. Aiden merampas komputer riba yang berada dalam dakapan gadis itu. Boleh pula dia mengetuk skrin komputer riba milik Hannah berkali-kali. Ada air yang mengalir dari komputer riba itu.

"Aku boleh perbaiki laptop buruk kau ni. Bagi nombor telefon kau. Nanti dah siap aku call." Aiden menghulurkan Samsung J7 Prime miliknya pada Hannah.

Teragak-agak juga Hannah hendak mengambil dan memasukkan nombor telefonnya. Jangan-jangan ini adalah salah satu taktik Aiden untuk dapatkan nombor telefon dia pula. Mungkin Aiden adalah stalker selama ini ataupun dia crush pada Hannah. Jadi dia gunakan cara ini untuk dapatkan nombor telefon Hannah. Banyak pula perkara bermain dalam fikiran gadis itu.

"Hoi, kau jangan nak berangan sangat. Aku ni tak ada maknanya nak stalk atau crush kau. Dah siap perbaiki laptop buruk kau, aku akan padam nombor kau."

Aiden macam tahu-tahu saja apa yang bermain dalam fikiran Hannah. Tanpa banyak bicara, Hannah terus mencapai telefon bimbit Aiden. Baru saja hendak dimasukkan nombor, rupanya skrin itu terkunci. Hannah tersenyum sinis apabila ternampak gambarnya bersama wanita separuh abad pada skrin itu. Mungkin ibunya. Anak emak rupanya. Padanlah poyo semacam sahaja.

"Kau jangan nak fikir aku anak manja pula ya," bidas Aiden lagi.

Terdiam terus Hannah dibuatnya. Bahaya betul lelaki ini. Boleh pula dia baca fikiran Hannah dengan tepat. Jangan-jangan bela saka agaknya dia ini. Aiden bergegas ke arah kereta mengeluarkan sesuatu sebelum kembali semula pada Hannah.

"Kau gunalah payung ni. By the way, aku budak IT. Kalau tak percayakan aku, bolehlah cari aku di fakulti nanti."

Aiden meloloskan diri ke dalam kereta lalu memandu pergi. Tiba-tiba telefon di dalam beg Hannah berdering. Cepat-cepat dia mencapai telefonnya tapi tidak menajawab pula. Nombor siapa pula ni. Lambat-lambat Hannah menjawab panggilan itu.

"Save nombor aku baik-baik budak pendek." Panggilan terus ditamatkan.

Ah! Tak guna punya Aiden. Dia ingat dia tinggi sangat nak panggil Hannah pendek. Tapi Aiden memang tinggi pun. Hannah akui itu. Ketinggian Hannah hanya paras bahu Aiden sahaja. Tanpa menunggu lebih lama, Hannah membuka payung jernih yang diberikan oleh Aiden sebentar tadi. Hannah tersenyum apabila dia dapat melihat dengan jelas air hujan mengalir di atas payung itu. Konon feeling korea pakai payung begitu. Dia terus melangkah pulang ke asrama.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.